Friday 15 May 2009

Politik uwang: PAS bakal dijangkiti?

Isu 'politik wang' dalam pemilihan jawatan dalam PAS mulai hangat diperkatakan oleh akhbar arus perdana. Ada yang melihatnya sebagai serius, dan ada yang memandangkan tidak lebih hanya gimik media kerajaan bagi melariskan jualan akhbar mereka sahaja - bacaan lanjut disini.

sumber foto

Namun, setelah usaha 'lobi-melobi' oleh bakal calon dengan cara memberi hadiah dan sedekah ketika menghadiri majlis bersama rakyat ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato' Mohamed Daud Iraqi baru-baru ini, nyatalah ia sesuatu yang perlu disiasat, dipantau dan diambil tindakan segera oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS (JPP).

Nafi

Terbaru, pengerusi JPP iaitu Dato' Mustafa Ali telah menafikan wujudnya gejala politik wang dalam pemilihan kepimpinan PAS Jun ini (baca lanjut disini).

sumber foto

(Ironinya, PAS sendiri tidak menggunakan istilah RASUAH dalam membincangkan hal ini, hanya POLITIK WANG. Sama seperti kes UMNO ketika persidangan agungnya baru-baru ini)

Menurut beliau, apa yang dilaporkan media kerajaan BN hanyalah propaganda serta suatu bentuk provokasi terhadap parti, sedangkan JPP sendiri sehingga ke hari ini tidak menerima apa-apa laporan berkaitan politik wang di kalangan pemimpin parti.

Justeru, tanpa sebarang laporan dan kertas bertulis mengenai isu ini, bagaimana mungkin siasatan boleh dibuka dan pihak yang terlibat dibawa ke pengadilan. Makanya, apa yang dilaporkan media kerajaan telah dianggap sebagai berita tanpa asas yang kukuh.

Apa yang boleh PAS tawarkan?

Para pendokong PAS sesetengahnya masih tidak dapat mempercayai wujudnya amalan politik wang di dalam PAS. Ini kerana mata dan telinga mereka hanya mempercayai bahawa politik wang ini hanya wujud dalam parti yang sudah 52 tahun memerintah negara.

Apabila ditanya; wujudkah politik wang dalam PAS? Sering mereka jawab; apa harta, projek dan kesenangan yang dapat PAS tawarkan?

Jelas bagi mereka, PAS tidak punya apa-apa kesenangan duniawi untuk ditawarkan kepada pengamal rasuah. PAS tidak menguasai projek-projek kementerian yang saban tahun kita dengar dibentang belanjawan di Parlimen yang mencecah berbilion-bilion ringgit.

sumber foto

PAS hanya mentadbir 2 negeri (Kelantan dan Kedah), dan mengikut cerita di kalangan mereka, ramai kontraktor dan pemaju mengeluh akhir-akhir ini kerana MB Kedah tidak minta mereka tunggu selepas tamat mesyuarat, tidak membincangkan berapa komisyen yang perlu diberi. Habis mesyuarat, terima tender, terus beredar keluar.

Begitu juga halnya di Kelantan. Telah beberapa kali wujud cubaan mengheret MB agar disiasat SPRM, namun ternyata tiada apa-apa kes dapat disabitkan dengan rasuah terhadap MB.

Untuk mentadbir negeri pun PAS meminjam dengan kerajaan Pusat, apakah pula halnya untuk merasuah yang bukan sedikit belanjanya.

Namun, itu jika hujjah yang digunapakai dalam konteks yang lebih luas. Apa yang menjadi fokus semasa ini ialah tindakan beberapa pemimpin a.k.a bakal calon, yang nampak berminat menawarkan diri telah menganjurkan majlis kenduri (makan-makan), memberikan hadiah serta buah tangan kepada pemimpin di peringkat akar umbi.

Murah hati

Sikap bermurah hati secara agak 'tiba-tiba' ini pastinya menimbulkan pertanyaan di benak orang ramai. Ternyata apabila amalan bermurah hati itu diamalkan secara bermusim dan semakin kerap apabila makin dekat dengan pemilihan jawatan parti, makin bertambahlah syak wasangka orang terhadap pemimpin tersebut.

Terdapat bakal calon dikatakan menganjurkan majlis makan-makan dan memberikan hadiah berbentuk baju kepada perwakilan untuk melobi bagi mendapatkan pencalonan pada pemilihan parti itu bulan hadapan (sumber).

sekadar foto hiasan

MB Kedah pula berpendapat orang mungkin terkeliru dengan amalan suka bersedekah dengan politik wang. Katanya, telah menjadi suatu kelaziman bagi seseorang untuk memberi sedekah. Waktu melawat orang sakit atau meninggal dunia pun mereka berikan sedekah. Mungkin amalan seperti inilah yang disalahtafsir sebagai mengamalkan politik wang.

sumber foto

Justeru, beliau sendiri kini tidak ingin nampak terlalu bersemangat untuk bersedekah tambah lagi apabila makin hampir dengan tarikh pemilihan parti, kerana takut dikatakan ingin melobi dan membeli undi perwakilan. "Kalau sesiapa ingin minta derma daripada saya, tunggu selepas Jun ini" - Sumber.

Tak kenal maka tak cinta

Tak benar maka orang tak kata! Itupun jika laporan yang dijaja akhbar-akhbar kerajaan mempunyai asas dan bukti kukuh bagi mengaitkan pimpinan PAS dengan amalan politik wang.

Dalam kesibukan kita bercerita tentang kebimbangan penularan wabak selesema babi (hingga hari ini, sudah 2 kes dilaporkan di Malaysia), nampaknya jika petanda awal ini tidak segera dikesan dalam PAS, maka parti ini bakal terkena jangkitan wabak terbabit. Mencegah lebih baik dari merawat bukan? - bacan lanjut disini.

Ironinya juga, media milik kerajaan seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian hanya menggunakan istilah RASUAH bagi menggambarkan situasi dalam PAS, sedangkan sepanjang tempoh sehingga ke Persidangan Agung UMNO, tidak timbul istilah RASUAH hanya POLITIK WANG sahaja.

Dari perbuatan ini sahaja, rakyat telah dapat membaca akan niat sebenar laporan kedua-dua akhbar ini dan motif yang ingin dicapai mereka. Justeru, jika ingin membaca kandungan laporan mereka, pembaca hendaklah juga mencari 'pemberat yang sama' dari sumber alternatif, agar "telinga tidak jadi satu, lidah tidak jadi dua" - istilah yang diguna oleh A Samad Said, agar kita jauhi para pemimpin yang bertelinga satu, dan berlidah dua.

Apapun, tunggu, lihat dan buatlah penilaian berkenaan isu ini. Rujuklah kepada pelbagai sumber agar membantu memberikan lebih pilihan dan pemahaman kepada kita. Amatlah sayang jika ada lagi parti yang disertai orang Islam dan orang Melayu terpalit dengan isu-isu moral sebegini.

Wassalam.

No comments: