Wednesday, 6 May 2009

Menjelang Muktamar Parti Al-Islam SeMalaysia (PAS)

Artikel ini bukan bertujuan mempersendakan sesiapa, sekadar lontaran pendapat seorang rakyat biasa berkenaan isu yang dibaca dari sumber-sumber tertentu.

Bakal bermula

Dijadualkan pada awal bulan hadapan bakal berkumpullah para ahli dan pimpinan Parti Al-Islam SeMalaysia (PAS) di Shah Alam, Selangor bagi sambutan Muktamar tahunan ke-55.

lelaki di kiri dengan kopiah hijau itu adalah
tukang rumah yang buat dapur di rumah ibu saya

sumber foto di sini

Siang-siang lagi, pelbagai pihak tidak kira sama ada dari kalangan ahli PAS mahupun bukan PAS, mereka ini telah memulakan kerja-kerja awal ke arah menghangatkan lagi keadaan, sehinggalah tibanya ke detik muktamar yang sebenar itu berlangsung kelak.

Disebabkan saya ini agak buta IT dan baru belajar mencari berita-berita di internet, makanya beberapa sumber rujukan utama sajalah yang saya tahu dan layari jika ada kelapangan bagi mendapatkan maklumat berkenaan muktamar kali ini. Antaranya Utusan Malaysia, Berita Harian, TKO Online, Kosmo (untuk kisah dalam masyarakat dan gossip artis Malaysia yang tak seberapa hangat), Harakahdaily, Malaysiakini, blog Chedet.

Selain itu saya ada juga mengikuti perkembangan dan penulisan beberapa rakan bloggers yang agaknya sama buta IT macam saya. Oklah, satu kapal - tak berapa pandai menulis mengenai isu-isu semasa.

Berbalik kepada topik asal kita. Jika tidak silap saya, sebelum saya datang ke UK lagi setiap kali menjelangnya muktamar PAS, beberapa 'isu ulang-tayang' akan mengambil tempat. Makanya, 'jawapan ulang-tayang' jugalah akan diberikan oleh pihak terbabit. Antara isu yang boleh saya ingat adalah:

1) Kepimpinan Ulama vs Professional
2) Erdogan dalam PAS
3) Kerjasama dengan UMNO
4) Agenda negara Islam (perlaksanaan Hudud, etc) dan DAP

(jika ada lagi yang saya teringat kelak, akan saya tambah)

1) Kepimpinan Ulama vs Professional

Bagi saya ini dah menjadi isu 'standard' setiap kali berlangsungnya maktamar PAS. Ahli-ahli dan segelintir pemimpin sendiri ada bercakap tentang usaha memantapkan halatuju dan survival parti PAS pada masa depan.

Dengan sambutan yang semakin bertambah terutama oleh golongan bijak-pandai dan profesional kepada PAS lewat ini, menunjukkan parti yang bertunjangkan agenda Islam itu bukan sahaja diminati oleh ahli agama dan para ulamak, malah mereka-mereka yang bukan berlatar belakangkan agama juga.

Disebabkan kemasukan barisan profesional dan adunan tunjuk ajar ulamak ini jugalah pelbagai agenda penjenamaan dan penambahbaikan imej PAS dari sebuah parti yang pernah dicop sebagai 'Parti Orang Kampung' kepada PAS FOR ALL (PAS untuk semua), Sayap Nisa', Unit Amal, dan sebagainya lagi.

Usaha yang agresif ini dilihat meyakinkan para pengundi Melayu dan bukan Melayu, Islam dan bukan Islam bahawa PAS masih releven dan nampak terbuka dengan perubahan zaman yang dilalui.

Justeru, muncullah idea-idea yang lebih lunak dan menampakkan keterbukaan PAS bersama barisan parti pembangkang utama yang lain melalui manifesto 'Negara Berkebajikan' - alternatif kepada Negara Islam, etc.

Bagi mengenang jasa dan bakti golongan profesional yang menyokong parti berideologikan Islam inilah, mereka telah dilantik ke jawatan-jawatan penting di dalam PAS. Kini ada pemimpin PAS yang tidak dipanggil 'Ustaz' lagi, malah ada juga dipanggil 'Ir', 'Dr/Drs', 'Dato' dan sebagainya.

Kebangkitan golongan profesional di dalam PAS mengikut pandangan sesetengah pihak di dalam PAS sendiri dilihat mewujudkan satu kecenderungan baru di mana mereka merasakan kepimpinan profesional lebih mampu untuk memimpin dan dengan idea dan inovasi yang baru dapat lebih membantu menguatkan parti PAS pada masa depan.

Manakala, di satu pihak lagi tetap mempertahankan peranan utama yang dimainkan golongan Ulamak dan agamawan di dalam menentukan hala tuju PAS di masa depan. Seperti golongan yang pro-profesional juga, pelbagai hujjah dibentangkan sebagai menyatakan sokongan mereka untuk mengekalkan ulama sebagai pimpinan tertinggi PAS.

Namun, apakah isu kepimpinan Ulamak vs Profesional ini benar-benar signifikan untuk dijadikan bahan bagi menjelaskan keadaan sebenar dalam PAS? Adakah wujud 2 kem iaitu pro ulamak dan pro-profesional dalam PAS? dan apakah pimpinan sedia ada PAS tidak sedar dan bertindak terhadap hal ini, sehingga ia masih didendangkan hingga ke saat ini?

Ini antara soalan yang saya sedang tunggu akan jawapan dan sebahagiannya telah dijawab disini dan disini

2) Erdogan dalam PAS

Ini satu lagi isu hangat yang sering timbul setiap kali hampirnya muktamar (dan pilihanraya juga). Awalnya saya tidak nampak apa kaitan pemimpin Turki ini dengan PAS - saudara ka?

Seperti posting saya sebelum ini. Erdogan ka, Aragon ka, Otromen ka, itu semua label - yang diberikan oleh satu pihak kepada pihak yang lain, di mana pihak yang dilabelkan itu tidak mengakui dan mengiktirafnya pun.

Erdogan dilabelkan sebagai kewujudan kumpulan kecil dalam PAS yang dipimpin oleh tokoh tertentu yang pro-Anwar atau yang mendokong ideologi dan cara perjuangan Anwar.

Dalam PAS sendiri masing-masing masih menuding jari. Sana kata yang sini, yang sini kata yang sana. Tiada yang berani tampil dan mengaku sebenar-benarnya yang dialah pemimpin Erdogan (kalau itu label yang diterimapakai). Semua yang diteka, menepisnya dengan memberikan pelbagai alasan.

Bagi golongan yang tidak mahu ideologi Islam digoncang oleh ideologi ciptaan manusia termasuklah demokrasi (dan reformasi), mereka memang menentang golongan ini. Kalau boleh, mereka mahu PAS membersihkan mereka ini seluruhnya daripada menggugat agenda dakwah Islam yang dibawa oleh PAS.

Kali ini isu Erdogan ini dipanaskan semula oleh anak TG Nik Aziz sendiri dalam blog beliau (rujuk disini).

Saya masih menunggu bagaimana isu ini bakal ditangani oleh bijak-pandai dalam PAS.

3) Kerjasama dengan UMNO

Kerjasama atau perbincangan atau juga disebut muqabalah dengan parti UMNO terus didendangkan awal-awal lagi, sebelum muktamar berlangsung.

Ia juga sebagai rentetan kejayaan atau prestasi luar jangka PAS di dalam PRU ke-12 yang lalu, yang menyaksikan pakatan pembangkang, melalui gabungan Pakatan Rakyat (PR) berjaya menumbangkan beberapa kerajaan asal di negeri Perak (ha?), Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, selain menggengam teguh negeri Kelantan.

Lantas dalam situasi samar-samar, dilaporkan pihak UMNO ingin mengadakan rundingan dengan PAS untuk mencapai kata sepakat bagaimana mengembalikan kuasa dan peranan Orang Melayu dan orang Islam agar kembali memerintah dengan kuat.

Pusingan-U yang dibuat terutama oleh para pengundi bandar dengan memberi undi, terutama kepada DAP/calon bukan Melayu, bukan sedikit meninggalkan luka kepada UMNO, malah begitu terkesan kepada moral ahli dan pendokong UMNO. Justeru, langkah rundingan dengan niat memperkasakan kembali orang Melayu dan Islam perlu dibuat.

Lantas pertemuan tidak rasmi dibuat pimpinan tertinggi parti, namun tidak semua orang PAS maklum tentang hal ini, sehinggalah kisah sebenar terbongkar. Maka, keluarlah 2 jawapan dengan nada yang berbeza di antara Mursyidul Am dan Dato' Presiden tentang isu muqabalah ini.

Baru sahaja nak surut isu muqabalah yang berpotensi buat orang berbalah, timbul pula apa yang dipanggil agenda ke arah pembentukkan 'Kerajaan Perpaduan' (Unity Government)- tapi pada awalnya dikelirukan dengan istilah yang lebih kurang sama iaitu 'Kerajaan Campuran' - iaitu PAS masuk BN semula.

Kekeliruan ini bagaimanapun telahpun dikupas oleh Dato' Presiden PAS - sila klik di link 'kerajaan perpaduan'.

Ada juga sesetengah kita melontarkan pendapat, yang saya secara pribadi pun setuju:

"...pokoknya, setelah terbelanya Islam, maka secara aotumatiknya akan terbelalah hak orang Melayu, Cina, India, Iban, Dayak dan lain-lain kaum - kerana Islam itulah rahmat yang membawa keadilan sebenar-benarnya kepada ummat manusia".

Saya sambung lagi:

"...akan tetapi, untuk membolehkan tertegaknya Islam itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang boleh meluluskan undang-undang Syariah dan segala polisi berkaitan Islam, dan di Malaysia kerajaan tidak boleh tertubuh secara rampasan, kita menerima pakai demokrasi. Berjuanglah ikut sistem demokrasi dan setelah berjaya membentuk kerajaan, barulah syiar Islam dapat disusun dan seterusnya ditegakkan".

Tiada siapa akan mengikut cakap kita, jika kita bersyarah seorang diri di Taman KLCC meminta orang yang lalu-lalang menerima pendekatan Islam. Kita pulak nanti dikatakan gila. Justeru, idea unity government boleh jadi alternatif masa depan dan ianya berbaloi untuk difikirkan secara serius oleh kedua-dua pihak.

Pastinya untuk PAS dan UMNO bergabung itu bukan benda mudah kerana ia tidak hanya melibatkan gabungan fizikal (ibu pejabat, kad keahlian, logo, lagu rasmi, etc), malah yang paling sukar ialah pelarasan ideologi yang ketika ini nampaknya satu menghala ke timur dan satu lagi ke barat.

Namun, jika tak cerdik takkanlah rakyat angkat mereka-mereka ini menjadi pemimpin kan?

4) Agenda Negara Islam dan DAP

Semua rakyat Malaysia tidak kira ahli parti manapun rasanya sudah sedia maklum bahawasanya dasar perjuangan PAS adalah bagi menjayakan pembentukan dan pemerintahan sebuah negara Islam (berpandukan Al-Quran dan Hadis).

Di atas niat inilah PAS diminati dan digeruni kawan dan lawan, sama ada di dalam mahupun luar negara. Track record para pemimpin PAS tidak kira pimpinan tertinggi parti, Ahli Parlimennya, ADUNnya jarang sekali kita dengar dipanggil ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau tindakan disiplin keras terhadap ahli yang belot, etc. Namun terdapat juga laporan yang dibuat, namun hingga kini kita belum nampak keputusannya.

Parti PAS boleh dikatakan agak reda daripada dilanda konflik atau krisis berbanding rakan lain di dalam PR. PKR nampaknya masih berhempas-pulas untuk bangkit membetulkan persepsi yang tercalar dek tindakan ADUN nya di Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Begitu juga halnya dengan DAP yang mengepalai pentadbiran Pulau Pinang.

Justeru, langkah PAS masuk PR dilihat dan dinilai bercampur oleh ahli dan orang ramai, khususnya orang Melayu. Mengapa sertai rakan (DAP) yang jelas menolak perjuangan membentuk negara Islam? Mengapa tidak sertai parti sebangsa, sama bahasa dan sama warna kulit iaitu UMNO? Saya petik artikel ini untuk bacaan lanjut anda - rujuk (disini)

Muktamar 2009

Sebagai pengundi yang belum menjadi ahli mana-mana parti politik, perjalanan muktamar tahunan PAS memang sering saya ikuti jika berkelapangan. Media arus perdana ada menyediakan ruangan khusus untuk berita muktamar, tapi banyak bersifat negatif (maaf, tapi itu yang dapat saya simpulkan), dan untuk seimbangkan kenalah jenguk saluran berita alternatif seperti TV Antara, TKO, dan harakahdaily juga (sama juga semasa Persidangan UMNO itu hari, selain info alternatif, kena jenguk juga akhbar arus perdana untuk seimbangkan fakta).

Biarpun saya belum lagi tahu apakah isi kandungan dan agenda utama muktamar tahun ini, pastinya bandaraya Shah Alam akan sekali lagi dibanjiri lautan manusia yang berdatang dari serata pelusuk tanah air bagi menghadiri muktamar berkenaan.

Ulamak atau profesional, Erdogan mahupun otromen, muqabalah atau berbalah, PR atau BN, harapnya akan ada perbincangan dan debat yang sihat berkenaan hal ini.

Jangan hanya hal merebut jawatan dalam parti sahaja yang mengambil tempat!

Peruntukkan lebih ruang untuk ahli menyampaikan pandangan dan pemimpin juga haruslah turun bersama-sama rakyat berbilang bangsa, merintis jalan bagi menyatukan ummah dan menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia tercinta ini.

Bukalah ruang permaafan dan persahabatan dengan rakan sebangsa dalam UMNO, dan lain-lain NGO juga, buang yang keruh ambil yang jernih. Bukankah kita sama-sama makhluk Allah yang tiada apa-apa daya-upaya dan kuasa pada kita melainkan kepada Allah jualah kita bersama bergantung harap.

- Kalau kita rasa kuat, Allah itu Maha Kuat.
- Kalau kita rasa kita dah besar sangat dah dengan kuasa yang kita pegang, ingatlah yang Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa ke atas segalanya.

Bila kita faham konsep ini, tiada Melayu ka, Cina ka, India ka yang merasa depa terlalu kuat atau merasa teraniaya dan tertindas.

Semua yang benar itu dari Allah, mana yang silap itu adalah dari saya sendiri dengan izin Allah.

No comments: