Saturday 30 May 2009

Cakap-cakap orang kaya

Di atas merupakan senarai terbaru kedudukan 40 orang terkaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Forbes. Tiada kejutan besar berlaku dengan banyak nama yang lazim masih berada di dalam senarai tersebut.

Melihat kepada senarai dan jumlah kekayaan ini dari suatu sudut boleh memberikan "motivasi" kepada orang lain untuk berusaha lebih menjadi orang kaya - tidak salah rasanya memasang angan-angan itu.

Saya tidak begitu ghairah melihat senarai dan nilai kekayaan yang mereka ada, cuma lebih penting pada saya ialah untuk kita melihat "siapakah muka-muka baru yang muncul sebagai orang kaya baru". Ini kerana kita ingin tahu latar belakang dan tips kejayaan mereka sehingga berjaya muncul sebagai antara individu baru yang terkaya di Malaysia.

Senarai tersebut juga kelihatannya "kurang lengkap" dengan ketiadaan penyertaan beberapa nama tokoh politik yang saya jangka mereka juga "orang-orang kaya" yang banyak makan jasa rakyat. Bak kata seorang rakan di dalam email beliau, di mana tokoh seperti Daim, Taib Mahmud, Mukhriz, KJ dan ramai lagi. Apakah pelaburan tahun lepas dan tahun ini kurang memberi pulangan kekayaan kepada mereka? Entahlah, sekadar bertanya.

Kalau nak kaya cepat

Kata orang, pekerjaan yang halal ini lambat sikit nak buat kita jadi kaya-raya (tapi pernyataan ini juga tidak semestinya tepat - tetapi logiknya ada).

Di negara "lain", bukan Malaysia-lah, terdapat golongan kaya dan hartawan yang menjana kekayaan dengan cara terlibat dengan aktiviti "pintu belakang". Di antara kegiatan yang lazim menjadikan seseorang itu cepat kaya ialah menjadi penyeludup dan pembekal senjata api, raja dadah, ketua kongsi gelap dan agen pelacuran, taikun perjudian, kasino dan arak, etc. - ini kerana segala yang haram, lazimnya memang orang suka, dan penyedia khidmat tersebut juga akan cepat dapat untung dan jadi kaya-raya.

Namun, itu dari sudut makro. Dari skop mikro pula, contoh termudah adalah para penjual CD haram a.k.a cetak rompak di pasar-pasar malam. Mereka yang menjual CD haram ini bukan tidak sedar risiko dan hukuman berat yang menanti mereka jika tertangkap, tetapi di sebabkan untung "besar yang cepat", mereka sanggup memperjudikan hidup melakukan pekerjaan ini. Tambahan pula, mereka bukannya nak buat kerja-kerja haram ini sampai mati, niat mereka ini cuma untuk mengumpul modal.

Daripada untung segera perniagaan "pintu belakang" yang banyak inilah, mereka kemudiannya "berhenti" kerja haram (atau serah operasi kepada anak didik) dan untung kegiatan tersebut akan dibuat modal dan "dibersihkan" melalui pelaburan ke dalam amanah saham dan menubuhkan syarikat dan perniagaan (yang nampaknya) halal dan legal seperti pembinaan dan hartanah, perhotelan, kewangan, perladangan dan sebagainya.

Itu halnya di luar negara yang kekayaan sesetengah orang diperoleh dari sumber haram, atau illegal yang kemudiannya dibersihkan dengan menjalankan aktiviti legal.

Sepengetahuan saya juga, inilah modus operandi yang digunapakai oleh para pedagang-pedagang CD Haram di Malaysia. Biarpun tahu kegiatan dan pendapatan tersebut adalah haram, namun desakan mendapatkan "wang yang banyak, dalam masa yang singkat", mereka sanggup tidak ambil pusing mengenai risiko yang ditanggung.

Lepas 1 tahun buat kerja haram, modal pun sudah cukup untuk beli lot kedai dan memulakan pernigaaan halal seperti membuka minimarket atau pasaraya. Dengan itu, bermulalah "cita-cita sebenar mereka untuk menjadi seorang usahawan" dengan menjalankan aktivti yang halal dan sah. Modal yang asal terbabit kemudiannya akan bertambah dan berkembang hingga mereka ini menjadi orang kaya.

Mengapa perlu bermula dengan yang haram? Ini kerana menurut pemikiran sesetengah mereka, pekerjaan makan gaji secara halal atau menjadi kuli orang, sampai tua pun belum tentu cukup modal sendiri nak buka perniagaan dan "mencapai cita-cita mereka itu" - buka business sendiri.

Pada akal yang dangkal, pendapat ini ada betulnya juga, namun cara yang salah tetap salah - matlamat tidak menghalalkan cara.

Perniagaan yang dijana melalui sumber (modal) yang haram, tetap akan menerbitkan hasil yang haram, biarpun dilabur ke dalam bentuk yang halal, dan walaupun sebesar manapun sumbangan kebajikan yang telah mereka lakukan.

Contoh mudah adalah orang yang tembak babi, dan kemudian dia jual babi kepada taukeh kedai makan Ah C. Mereka tidak kata "jual babi", mereka cuma "jual harga peluru". Duit hasil jualan tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli beras dan ikan, - anak isteri makan dan bakinya disedekah kepada masjid selepas setiap Jummat - semua haram dan semua tidak berkat.

Tetapi

Namun, tidak semua orang kaya bermula dengan kegiatan haram. Usahawan seperti Syed Mokhtar saya yakin beliau menjalankan kegiatan yang halal dan menjadi billioinaire pun dengan hasil yang tidak diragui.

Manakala, yang lain-lain itu sama ada perbankan, pembinaan, komputer, perladangan, pembekal kuasa, perhotelan, kita kena lihat dan siasat juga di mana wang-wang mereka dilaburkan. Bagi taukeh-taukeh perjudian dan pemegang syer dalam kilang arak, itu memang sah-sah haram sumber kekayaannya.

Biarpun mereka ini orang bukan Islam (orang Islam pun ada tumpang 2 kaki), kita perlu ada rasa sensitif di mana wang hasil judi dan penjualan arak ini akan dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dan kerajaan bayar gaji kakitangannya dengan wang cukai-cukai ini.

Lebih rancak kegiatan judi dan arak, makin bertambahkan bilangan taukeh judi yang jadi kaya, maka makin bertambahlah pendapatan kerajaan melalui cukai perjudian dan penjualan arak. Kakitangan kerajaan yang beragama Islam pun kenyang juga bagi makan anak-isteri hasil sebegini (nasihat dan ingatan kepada diri sendiri).

Apapun, bukan kuasa kakitangan kerajaan yang di bawah (yang makan gaji) ini untuk menghalang perkara ini, hanya sekadar mengingatkan. Namun, tidak hairanlah jika ada orang tertentu yang bertegas dengan prinsip, mereka sanggup berhenti kerja kerajaan kerana tidak ingin terpalit dengan situasi ini.

Bukan sahaja pendapatan kita yang kena bersih, aktiviti kebajikan dan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang tidak bernasib baik juga perlu diperhalusi agar terhindar dari anasir yang syubhah - lihat kisah sport toto taja anak yatim (sumber).

Kemampuan vs keinginan

Dari segi pecahan kekayaan di antara kaum juga jelas dapat kita lihat pada senarai di atas. Tidak dinafikan orang-orang Cina jauh lebih kaya dan mampu hidup lebih senang di bumi Malaysia. Orang-orang Melayu yang secara "terang kaya" adalah tidak ramai tetapi jika mengambilkira beberapa nama yang "terhilang", terutama orang-orang politik Melayu, dan anak-menantu mereka, rasanya jumlah sebenarnya akan jauh lebih ramai lagi.

Moral: Jika pendapatan dan kekayaan anda itu datang dari cara yang betul (halal), isytihar sajalah. Jangan buat hamba rakyat yang juga pembayar cukai ini tertanya-tanya dan membuat spekulasi yang bukan-bukan.

Dulu, saya sering juga berangan-angan hendak menjadi orang kaya. Tengok sajalah Robert Kwok - USD 9 billion duit dia. Tetapi bila dah hidup agak lama ni rasanya, tak kaya pun tak apa, janji boleh hidup dengan senang hati dan gembira. Kesian tengok orang yang kaya, terlalu sibuk menjaga harta sampai banyak aspek dan keindahan hidup ini berlalu meninggalkan mereka begitu sahaja (rugi). Kaya bukanlah syarat untuk hidup senang, tenang dan gembira.

Ini kerana, sekaya manapun kita, berapa pinggan nasi yang mampu kita makan? Berapa banyak bilik tidur boleh kita guna untuk tidur 1 malam? Berapa banyak kereta boleh kita naik dalam satu perjalanan? Sekaya manapun Bill Gate, beliau tidak makan sampai 40 pinggan untuk sarapan, tidak tidur 33 katil dalam 1 malam dan tidak naik 3 kereta mewah untuk 1 perjalanan, biarpun beliau amat-amat-amat mampu dari segi kewangan untuk memilikinya.

Menyumbanglah

Syed Mokhtar adalah tokoh yang saya kagumi daripada senarai orang-orang terkaya di atas. Bacalah kisa hidup beliau di sini dan cubalah kita semua fahami. Alhamdulillah! ada orang kaya yang ringan tangan menyumbang. Sedangkan kita yang tidak kaya inipun kadang-kala ralat juga nak hulurkan wang untuk kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Walhal setiap sen duit kita itu, ada hak orang lain juga.

Alangkah baiknya jika sumber alam yang Allah kurniakan kepada setiap bumi orang Islam dapat para pemimpin Islam gunakan untuk mengkayakan negara. Lebih ramai orang Islam kaya, lebih baik untuk pembangunan dan pembelaan ummah. Jadilah orang Islam kaya yang menyumbang kepada ummah dan golongan-golongan lemah yang wajib dibantu. Jika orang yang tidak kaya pun Islam minta sama-sama bantu yang miskin dan lemah (keluarkan zakat), yang kaya-raya itu apatah lagi tuntutannya.

Janganlah kita jadi seperti pak-pak Arab yang kaya-raya, tetapi apabila saudara sebangsa dan seagama di Palestin yang tinggal sebelah pagar ditimpa musibah dan krisis kemanusiaan, semua pakat lari, pegi bercuti ke tempat lain, tinggal saudara-saudara ini. Makanya, jadilah mereka bangsa yang celaka kerana kufur dan kedekut dengan nikmat kurniaan Allah.

Jangan tak jadi kaya

Kesimpulannya, jadi kaya adalah penting - kepada orang Islam dan orang Melayu. Ini kerana di bumi Malaysia ini amat makmur dengan nikmat dan kurniaan Allah. Cuma apabila kita sendiri yang pilih untuk salah gunakannya, itu yang buat keberkatannya tidak dapat kita rasa dan kecapi.

Tetapi syukur, masih ada beberapa muka orang Islam dan Melayu yang kaya-raya. Namun harapnya kekayaan itu jangan dimakan seorang atau disorok untuk kaum kerabat. Sebaliknya menyumbanglah buat agamamu, bangsamu dan negaramu.

Orang yang kaya dengan jalan yang betul lagi bersih, akan selamat dan kenyang hidup mereka di dunia dan di akhirat.

Jikapun tidak mampu untuk menjadi kaya dan hidup kaya (sayalah orang itu), hiduplah secara bersederhana. Jangan pula hidup pun cuma cukup-cukup makan, tetapi berbelanja macam seorang jutawan. Malanglah.

Orang yang kaya hasil pendapatan yang haram lagi kotor, mungkin akan kenyang di dunia, tetapi celakalah dia, perut dia, perut anak-isteri, dan kaum kerabat dia di hari akhirat kelak. Ini janji Allah dan Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Daging yang tumbuh dari hasil yang haram itu, api neraka adalah lebih layak baginya.

Wama-a'laina-illalbala-ru'lmubin.

No comments: