Monday, 25 May 2009

Timbalan Presiden PAS

Perlumbaan telahpun bermula.

Kini telah sah bahawa pertandingan bagi kerusi Timbalan Presiden PAS pada muktamar parti bulan hadapan akan menyaksikan pertembungan 3 penjuru di antara penyandang asal dan 2 naib presiden sebelum ini- Nasharuddin Mat Isa (penyandang), Mohamad Sabu (Naib Presiden) dan Husam Musa (Naib Presiden) - Sumber.

Inilah pertembungan yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama. Ketiga-tiga calon ini rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Masing-masing punya kelebihan, punya pengikut dan punya peluang tersendiri untuk memenangani pertandingan ini.

Adalah sukar untuk saya mengupas secara terperinci mengenai topik ini kerana sama ada mahu atau tidak, ia akan menyentuh hal-hal peribadi orang yang seboleh mungkin kita elakkan.

Ini kerana hal peribadi, hanya individu itu sendiri yang lebih maklum. Kita yang menulis ini mungkin sekadar membuat tekaan, andaian atau telahan berpandukan peristiwa dan tindakan yang diambil mereka, yang jika tidak tepat kita ulas, bakal membuatkan timbulnya fitnah dan penipuan fakta.

Makanya, saya akan cuba mengulas secara umum sahaja, berpandukan berita dan artikel yang dipetik dari beberapa sumber. Harapnya tidaklah ia sampai memfitnah peribadi orang-orang yang terlibat. Insya-Allah.

Semuanya jaguh

Malam ini, tiadalah lagi tidur yang lena buat penyandang kerusi Timbalan Presiden (TP) iaitu Ustaz Nasha. Mana tidaknya, beliau bukan berdepan dengan satu, malah dua orang lawan yang bukan calang-calang kejaguhan mereka.

Kedudukan Nasha sebagai penyandang, jika kena "caranya" boleh memberikan kelebihan awal buat beliau untuk mempertahankan jawatan TP. Ini kerana majoriti perwakilan telah melihat sendiri cara kerja, komitmen, kebijaksanaan dan kemampuan beliau selama 2 penggal menjawat TP parti.

Foto: sumber

Berbanding dengan calon-calon TP lain yang masih belum diketahui kemampuan sebenar mereka, Nasha ketika ini juga seharusnya mempunyai motivasi yang tinggi jika mengambilkira jumlah pencalonan yang beliau terima. Biarpun tiada angka 60% jumlah pencalonan (angka ini tidak ada asasnya), namun nampaknya kalangan perwakilan negeri-negeri masih melihat Ustaz Nasha sebagai calon yang layak bagi membantu TNHH mengemudi PAS bagi tahun-tahun yang mendatang.

Bagi calon kedua, Mohammad Sabu a.k.a Abe Mat - orang lama di dalam PAS. Saya melihat beliau adalah pemimpin yang dihantar PAS untuk menjalankan "tugasan kasar". Maksud saya tugas yang perlu menyingsing lengan, berpeluh, bergari dan diheret Polis dan bermalam di dalam lokap.

Foto: sumber

Mana lagi pemimpin utama PAS yang sanggup dikerah buat tugas-tugas berat di bawah terik mentari dan berbasah disimbah air FRU? Abe Matlah orangnya. Pemimpin-pemimpin lain saya lihat agak terkebelakang dalam "tugas-tugas kasar" seperti ini. Maaf jika saya tersilap membuat andaian ,tetapi inilah yang saya perhatikan.

Maka, kekuatan bagi calon kedua (Abe Mat) ini terletak kepada komitmen tinggi beliau terhadap kerja-kerja parti tidak kira dari peringkat paling bawah, paling berat dan paling kasar, sehinggalah kemunculan beliau di pelbagai pentas ceramah dan forum, bercerita tentang pelbagai isu dan perkembangan semasa politik tanah air. Beliau adalah pemimpin yang betul-betul "turun padang" - ini pandangan saya secara peribadi.

Namun, apakah ini kriteria yang terbaik untuk bakal TP PAS? Terserah kepada pertimbangan para perwakilan untuk menilaikannya.

Calon ketiga, YB Husam Musa yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan. Merupakan Naib Presiden parti yang kini cuba untuk mendaki satu lagi anak tangga, bertanding jawatan TP.

Foto: sumber

Husam rasanya bukanlah pemimpin yang asing lagi di dalam, mahupun di luar PAS. Pemimpin yang digambarkan sebagai "profesional-ulamak" ini memiliki karisma serta idea kepimpinan tersendiri. Selesa dengan penampilan yang tidak berkopiah, Husam semenjak kebelakangan ini sering muncul dan agak terkehadapan di dalam membincangkan pelbagai isu. Sebagai contoh, Husam telah mengutus surat kepada PM berkenaan situasi politik di negeri Perak (sumber).

Pada pengamatan saya, dengan cara kerja dan imej yang dibawa Husam, boleh dikatakan beliau adalah calon harapan dan sandaran untuk menterjemahkan aspirasi ahli-ahli PAS yang berlatarbelakangkan profesional dan golongan muda di dalam mencorakkan halatuju parti.

Peluang

Sudah pasti sesiapa jua yang mengesahkan bertanding telah awal-awal lagi mencongak peluang masing-masing. Logiknya, jika tidak berpeluang, masakan mahu juga mencuba. Tiada siapa rasanya yang ingin malu dengan menerima kekalahan yang teruk.

Saya secara peribadi mempunyai calon yang saya rasa berpotensi memenangi kerusi TP ini, dan rasanya anda di luar sana juga yang mempunyai calon kegemaran anda sendiri, bukan? Apapun, biarlah saya simpan ia sebagai rahsia saja.

Perlu kita ingat dan faham bahawasanya sifir politik ini bukannya sesuatu yang mudah dan senang dijangka. Sedangkan musuh boleh dijadikan kawan karib dalam politik, inikan pula sesama rakan yang turut sama merebut jawatan.

Mungkin calon-calon yang bertanding bagi PAS tidak menjalankan usaha-usaha melobi sebagaimana rakan UMNO di dalam persidangan agung yang lepas. Mungkin. Tetapi, memperkenalkan diri adalah cara yang paling berkesan untuk para ahli mengenali calon pemimpin dan apakah manifesto yang ingin diketengahkannya.
===
Di atas kertas, Ustaz Nasha mungkin memiliki peluang yang cerah untuk menang disebabkan beberapa faktor:

1) penyandang jawatan dan dari segi peribadi, beliau tidak terpalit dengan sebarang isu besar yang boleh menggugat kredibiliti beliau.
2) menerima respon yang positif dari sayap utama parti, termasuk Dewan Ulamak yang inginkan pemimpin dari kalangan agamawan terus mengisi kerusi no. 1 dan no. 2 parti (pengaruh Dewan Ulamak).
3) pencapaian cemerlang PAS di dalam PRU12 dan PRK semasa Nasha masih di dalam penggal perkhidmatan beliau sebagai TP.
===
Di atas kertas juga Abe Mat, tidak dapat tidak, mempunyai pengaruh, sokongan dan keupayaan untuk membawa perubahan terhadap halatuju PAS jika beliau menang. Hal ini disandarkan kepada beberapa faktor:

1) aktif dengan kegiatan akar umbi, termasuk turun padang bahu membahu dengan ahli parti terutama semasa perhimpunan Bersih dan kes di Perak dan banyak lagi - mungkin terkesan di hati ahli akar umbi.
2) seorang pemimpin yang berani mengharungi risiko berdepan tindakan undang-undang:- ditangkap, disaman, didakwa di mahkamah kerana terlibat dengan perhimpunan haram dan ceramah tanpa permit, etc. Pemimpin lain dari PAS tidak ramai seperti beliau (kalau PKR tu Tian Chua lah orangnya).
3) seorang NP yang patuh kepada arahan daripada ketua. Beliau begitu komited dengan aktiviti ceramah dan penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu dan perkembangan semasa politik dan lain-lain isu (benar atau tidak kandungan ceramah dia tu, hanya tuhan sahaja yang tahu niat hati dia).
===
YB Husam pula, dilihat sebagai seorang lagi calon yang semakin hari semakin meningkat naik namanya. Justeru, persetujuan beliau untuk bertanding TP parti wajar diambil berat oleh perwakilan kelak. Husam dilihat calon yang berpotensi bersandarkan kepada:

1) kedudukan dan pengalaman beliau yang lama sebagai exco kerajaan Kelantan, menerima tunjuk ajar langsung daripada TGNA dan dikatakan pemimpin pelapis yang berbakat.
2) penampilan beliau yang "moderent" dan sederhana, menarik minat golongan bukan ulamak atau agamawan dan golongan muda mendekati perjuangan PAS (kadang-kala orang muda rasa "segan" dengan imej terlalu agamawan - pandangan penulis secara peribadi). Dan cara beliau berurusan turut disenangi oleh para pemimpin PR yang lain.
3) beliau sering muncul secara konsisten di dalam menyatakan pendirian parti terhadap sesuatu isu dan permasalahan. Kadang-kala terfikir juga, di mana Presiden dan TP waktu itu? - sekadar bertanya.

Ini yang penting

Mahu tidak mahu, pertembungan akan tetap berlaku. Makanya, akan adalah pihak yang akan menang, dan ada yang bakal kecundang. Namun, menang tidak bererti dapat semua, dan kalah tidak bermaksud hilang semua.

Saya melihat isu sebenar adalah bagaimana PAS dapat menangani masalah perpecahan yang mungkin berlaku selepas sesuatu pertandingan!

Ini kerana telah wujud bukti bahawa pertandingan (tambahan pula merebut jawatan), mampu menjerumuskan sesebuah parti politik itu secara keseluruhannya ke kancah perpecahan, dan akhirnya parti akan lemah, hilang kepercayaan dan sokongan dan kemudian, tinggal tunggu masa untuk rebah.

Mungkin juga perpecahan tidak akan berlaku di dalam PAS seandainya semangat setiakawan dan keikhlasan mendahului kepentingan peribadi calon yang bertanding. Tetapi niat di hati tiada siapa yang tahu. Plan for the worst, hope for the best.

Kesimpulannya, siapa jua calon yang pandai membawa "isu", maka mereka ini berpeluang untuk menaikkan imej diri ke tahap yang lebih tinggi. Isu yang dikupas secara baik, bakal menimbulkan persepsi tertentu kepada perwakilan dan dari situlah titik perjuangan boleh dihidupkan. Contoh: anda mesti tahu siapa pemimpin yang imejnya dibina atas laungan "reformasi" bukan? - itulah maksud saya.

Akhirnya, kesemua calon untuk TP ini masing-masing merupakan jaguh yang ada karisma tersendiri. Inilah prasyarat terawal yang telah melayakkan mereka diletakkan di posisi tersebut.

Masa masih ada untuk sama-sama kita tunggu apakah perkembangan selanjutnya mengenai hal ini.

Wassalam.

No comments: