Friday, 9 December 2011

‘Checklist’ penting untuk PRU13

Nota: 

- Artikel ini saya hasilkan setelah menonton rakaman “Wacana Perdana PRU13 – BN atau PR?” yang diadakan di Kelantan baru-baru ini. Menarik dan bermaklumat. Bagi yang berminat, silalah tonton rakamannya di Youtube: KLIK

- Setiap kepala tajuk bagi senarai semak atau ‘checklist’ berikut merupakan lontaran idea moderator wacana terbabit (PM Dr Muhammad Agus). Manakala huraiannya dibuat dan dikembangkan melalui pembacaan dan rujukan lanjut yang saya lakukan.

Semakan 1: Faktor 5 negeri

Sebelum lebih ramai dari kalangan kita terus dihanyutkan oleh buaian mimpi indah serta angan-angan tinggi untuk melihat Pakatan Rakyat (PR) menduduki Putrajaya, eloklah dicubit dahulu peha itu supaya segera membuka mata, seterusnya kembali berpijak di bumi yang nyata.

Bukan salah untuk memasang angan-angan, tetapi biarlah setelah bersandarkan realiti semasa. Salah satu kunci ke jendela realiti itu adalah sejauh mana kedua-dua pihak (PR dan BN) telah berupaya untuk mengenalpasti kekuatan dan juga kelemahan mereka di lima (5) buah negeri yang disifatkan Prof Agus sebagai kunci kejayaan atau punca kegagalan mereka menjelang PRU13 yang bakal diadakan. 

Sumber foto: pelbagai (tidak dinyata)

Lima negeri yang dimaksudkan beliau adalah Sabah, Sarawak, Johor, Selangor dan Perak. Menariknya, apakah yang signifikannya kelima-lima negeri ini kepada peluang PR mahupun BN pada PRU13 nanti? Jawapan paling ringkas adalah:

5 negeri ini menyumbang 128 kerusi Parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi pada PRU. 

Dengan kata lain, ia membentuk 58% jumlah kerusi Parlimen (menurut strategi politik, menguasai 5 negeri ini bermaksud mencerahkan peluang untuk menang dengan ‘majoriti mudah’). 

Sumber foto: dinyatakan

Pihak manakah yang sekarang ini berada pada kedudukan yang selesa dan mana yang sedang 'senak'? Rujuk rekod dan statistik berikut:

·  PR mentadbir negeri Selangor (PR: 17/BN: 5), total = 22 kerusi
·  BN menguasai Sabah hampir sepenuhnya (PR: 1/BN: 24), total = 25 kerusi
·  BN menguasai Sarawak hampir sepenuhnya (PR: 1 kerusi/BN: 30), total = 31 kerusi
·  BN terus bertakhta di Johor (PR: 1/BN: 25), total = 26 kerusi
·  BN membuat ‘kejutan’ di Perak (PR: 11/BN: 13), total = 24 kerusi

Ringkasnya, BN telah mendominasi 4 dari 5 buah negeri yang penting. Rekod PRU2008 menunjukkan BN telah jauh meninggalkan PR dengan total 97 kerusi (atau 76%). Ini fakta yang dipersembahkan kepada kita setelah politik tanah air dilanda “tsunami”.

Harapnya pihak-pihak yang terlibat boleh menyemak kembali angka yang saya tonjolkan. Kemudian buatlah timbang-tara dengan usaha yang telah mereka lakukan selama 3 tahun selepas itu (2008-2011), sama ada sudah mantap dan cukup untuk memberikan kelebihan buat menembusi kubu kuat lawan masing-masing?

Semakan 2: Milik siapa 43 kerusi di kawasan FELDA?

Bagi semakan seterusnya, Prof Agus mahukan hadirin (dan pemimpin) menilai/melihat sejauh manakah keupayaan pihak-pihak yang bakal berentap pada PRU13 berupaya memenangi hati dan sokongan (undi) masyarakat FELDA, yang menyumbang sejumlah 43 kerusi parlimen (20% kerusi) di dalam PRU13 nanti.

Sumber foto: pelbagai (dinyata & tidak dinyata)

Sekalipun pengamatan terkini mendapati wujudnya isu dan pertikaian di antara pihak pengurusan FELDA dengan para peneroka dan persatuan yang mewakili golongan peneroka berkenaan isu-isu tertentu seperti penilaian harga hasil sawit, skim tanam semula dan yang terbaharu, ‘perang mulut’ di antara Isa Samad dan Pak Sam (Peneroka Kebangsaan), adakah semua ini dapat merubah mood golongan peneroka untuk berpihak kepada calon PR pada PRU13?

Semakan 3: Kriteria “boleh menang”...bukan hanya kepada calon!

Terdapat 3 komponen penting berkaitan “kriteria boleh menang” yang perlu dilihat, dibahas dan diperhalusi oleh parti-parti yang bakal bertanding pada PRU13 iaitu: (1) imej calon, (2) imej parti dan (3) imej perpaduan parti-parti di dalam gabungan, PR dan BN.

Komponen pertama iaitu ‘calon boleh menang’ telah dibincangkan secara meluas dan rasanya tidak perlulah dikupas di sini. Komponen 2 dan 3 akan dibincangkan secara bersama kerana berkait rapat.

Soalnya, apakah telah wujud atau bagaimana untuk memantapkan kerjasama di antara parti dari Semenanjung dengan parti-parti tempatan yang mewakili kaum-kaum di Sabah dan Sarawak?

Soalan ini tidak saya tujukan kepada BN kerana bukti wujudnya kerjasama parti-parti komponen dalam BN telah dapat kita semua lihat hari ini. Malah ramai pemerhati politik melabelkan kedua negeri ini sebagai ‘fix deposit’ buat BN pada setiap PRU.

Sebaliknya, usaha PR mengembangkan pengaruh mereka di Sabah dan Sarawak masih dibayangi oleh isu kegagalannya menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang tempatan. Sebagai contoh, kegagalan PR membentuk kesefahaman dengan SNAP untuk bersama menentang BN di Sarawak baru-baru ini dan kegagalan memujuk SAPP untuk bergabung tenaga di Sabah.

Isu ini, tidak dapat tidak, telah mencalar imej perpaduan yang cuba ditonjolkan oleh kalangan parti pembangkang.

Sungguhpun tidak dinafikan PR (melalui DAP), telah berjaya merebut kerusi di Sarawak dan Sabah pada PRU yang lepas, ia hanyalah diperoleh di kawasan yang majoriti pengundinya Cina/Bandar. Dengan kemudahan di Bandar yang baik, persepsi pengundinya tidaklah boleh disamakan dengan mentaliti dan cara berfikir majoriti rakyat Sabah dan Sarawak yang hidup jauh di pedalaman.

Sumber foto: pelbagai (tidak dinyata)

Justeru, tiada jaminan situasi dan mood yang sama akan berulang pada PRU yang akan datang jika andainya kemelut yang sama tidak diatasi oleh PR.

Semakan 4: Jaga poket rakyat, undi anda terjaga

Mengapakah tsunami politik yang menumbangkan rejim Suharto di Indonesia (Mei 1998) tidak lama dahulu gagal untuk menggoyahkan pemerintahan kerajaan BN di Malaysia? Apakah yang mempengaruhi mood rakyat Malaysia waktu itu?

Terbaharu, timbul persoalan sama ada the Arab Spring berupaya untuk mempengaruhi iklim politik di Malaysia? Berbeza barangkali dengan perkembangan luar, di mana kebanyakan rakyat yang membina hidup di negara kita masih boleh berfikir panjang sebelum bertindak meleburkan usaha-usaha perpaduan antara kaum yang diusahakan sejak 50 tahun yang lalu itu. Syukurlah kita tidak ke tempat kerja, atau anak-anak ke sekolah dengan diiringi tentera bersenjata.

Kita semua maklum bahawa fenomena ‘musim bunga Arab’ bukanlah ada kaitan yang kuat dengan penafian hak untuk mengamalkan agama. Ianya lebih kepada kisah kebangkitan rakyat demi menuntut keadilan disebabkan kerajaan mereka gagal untuk menjaga ‘poket rakyat’.

Dengan erti kata yang lain, rakyatnya hidup dalam kesempitan kerana tiada pekerjaan, berhutang, miskin dan terabai aspek kebajikan. Sedangkan para pemimpin mereka pula sedang sibuk memperkayakan diri, kaum keluarga dan kroni melalui perompakan hasil kekayaan negara. Inilah jadinya; Negara kaya tetapi rakyatnya begitu miskin.

Soalan yang sama juga seharusnya kita tanyakan berkaitan pengurusan kerajaan di Malaysia. Bagaimana wang pembayar cukai telah dibelanjakan? Bagaimana ‘wakil’ yang dilantik rakyat itu telah bekerja untuk rakyat dengan penuh amanah sehingga poket rakyat penuh dan kehidupan mereka terbela?

Siapakah yang mampu menjamin boleh menjaga poket rakyat di 56 kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak menjelang PRU13 nanti? Kalaupun PR memberikan 100% tumpuan kepada 3 negeri kuat pengaruh PAS iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu – pun masih jauh untuk mencapai angka 56 kerusi itu.

Lihat: Harapan Pas (Kelantan=14; Terengganu=8 dan Kedah=15) = 37 kerusi untuk dipertandingkan.

Banyak faktor lain sebenarnya yang turut menyumbang ke arah pembentukan ‘tsunami politik’ tahun 2008. Makanya, PR tidak boleh merasa senang hati mahupun terlalu yakin bahawa kekuatan sokongan yang sama bakal mereka raih pada PRU yang ke-13 nanti.

Kecuali di beberapa kawasan yang menunjukkan PR mampu menang besar seperti di Ipoh Timur (DAP/Kit Siang majoriti 21, 942 undi); Gelugor (DAP/Karpal Singh majoriti 21, 015 undi); Bagan (DAP/Guan Eng majoriti 22, 070 undi) dan banyak lagi, faktor undi protes dari kalangan penyokong BN juga tidak boleh diambil mudah.

Pernah saya baca, bukan sedikit orang-orang UMNO telah membuat undi protes kerana merasa ‘harapan telah dihancurkan’ oleh Pak Lah sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sesungguhnya telah banyak perubahan yang telah, sedang dan bakal berlaku sebelum tibanya PRU13. Saya melihat asas kejayaan kedua-dua pihak tidak lagi tersandar di bahu para pendokong tegar mereka, kerana ianya tidak akan membawa kesan dan perubahan yang besar (seperti 37 kerusi ‘harapan PAS’ vs 56 kerusi di Sabah dan Sarawak). Bahkan jika sekiranya golongan pengundi yang sebelum ini membuat protes telah ‘memaafkan BN’ dan berikrar kembali mengundi untuk calon-calon BN, makin gawatlah PR.

Semakan 5: Formula 3M (tapi boleh jadi 4M ataupun 5M)

Turut diulas oleh Prof Agus adalah pengaruh 3M di dalam mencorakkan haluan sepanjang tempoh berkempen pada PRU. Apakah 3M itu? Adakah Makan, Main dan Mengulor? Tidak!

Iaitulah Money, Machine and Media (wang, jentera kempen dan media).

Wang
Barang sesiapa yang ada wang dan pandai ia gunakan untuk ‘tujuan kebajikan’, maka pihak itu dilihat mampu mencorakkan imej yang ‘bermurah hati’ di mata pengundi. Buktinya, sekarang ini riuh sekali di luar bandar yang gembira menerima ‘durian runtuh’ iaitu agihan wang bantuan RM100. 

Sumber foto: dinyatakan

Jika di Terengganu, selepas dapat RM100, akan dapat lagi RM100 yang diberikan oleh kerajaan negeri melalui dana wang Ihsan. Kini, masing-masing sedang ‘gatal tangan’ menunggu untuk mengisi borang bagi mendapatkan bantuan bernilai RM500 pula.

Tentulah bagi Menteri ataupun taukeh besar, wang RM700 itu kecil. Tetapi bagi mereka-mereka yang memerlukan, peluang mendapatkan RM700 bukanlah sesuatu yang boleh dilepaskan begitu sahaja. 

Saya juga bersangka buruk tentang perkara ini, tetapi saya yakin tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang ingin peningkan kepala mereka memikirkan dari mana wang tersebut diperoleh, melainkan bersyukur saja apabila mendapatnya.

Jentera kempen
Sesiapa pun akan mengambil dan ‘memanfaatkan’ kemudahan/logistik yang mereka miliki bagi membantu tugas-tugas kempen, baik jentera milik kerajaan negeri, mahupun persekutuan. Sama sahaja. Kedua-duanya sering dikerah untuk menyiapkan platform berkempen parti yang memerintah.

Media
Sedarkah anda bahawa sebaik selesai PRU ke-12, maka bermulalah kempen PRU ke-13. 

Ya. Masakan kita setiap hari berpolitik sehingga segala benda dipolitikkan sampai pening rakyat jadinya. Telah acap kali kita dengar bahawa media arus perdana merupakan alat propaganda bagi kerajaan BN, manakala ‘media baru’ yang makin rancak berkembang pula dikaitkan sebagai pro-PR.

Begitupun, fungsi dan tujuan kedua-dua media ini adalah sama, iaitu terus berkempen di luar waktu untuk pihak yang mereka sokong.

Setiap bentuk media, baik TV, akhbar mahupun blog dan Facebook ada kekuatan tersendiri. Namun sehingga kini belum ada satu kajian/survey yang benar-benar boleh meyakinkan iaitu "impak dan pengaruh media baru terhadap persepsi pengundi di kampung, golongan belia luar bandar dan golongan berpencen".

+1M
Selain 3M yang saya sebutkan di atas, M yang berikutnya, yang boleh ditokok tambah ialah Manipulasi. Apa yang telah sekian lama menjadi kebimbangan di kalangan pimpinan dalam PR adalah kemenangan BN pada PRU yang dikatakan telah disokong oleh perbuatan manipulasi yang dimainkan oleh badan pengendali Pilihanraya, selain layanan pihak berkuasa melalui pengenalan peraturan berkempen yang berat sebelah, salahguna jentera kerajaan dan propaganda media yang melampau sehingga mewujudkan lantai persaingan yang tidak rata.

+1M
M yang terakhir yang suatu ketika dulu dianggap releven adalah Mahathir. Waktu itu Mahathir masih di puncak kuasa. Anda boleh tidak setuju dengan pendapat saya, tetapi saya berikan penjelasan. Sekalipun Mahathir telah tidak berjawatan, beliau masih memainkan peranan penting di belakang tabir terutama di zaman Pak lah (kemuncaknya ialah apabila Mahathir bertindak keluar dari UMNO sebagai langkah mendesak Pak Lah berundur). Kini, pandangan beliau masih lagi ditagih (lihat isu Lembu) dan mungkin beliau akan menjadi tumpuan terutama pada saat-saat akhir proses berkempen. Di mana waktu itu saya jangkakan ‘apa yang beliau kata’ berkemungkinan boleh mempengaruhi mood serta pertimbangan “wait and see voters” atau pengundi atas pagar sebelum sebelum mereka keluar membuang undi.

Bagi mereka yang sememangnya anti-Mahathir tentulah tidak akan menerima faktor M yang ke-5 ini. Terpulang, dan sama ada pendapat saya ini dapat dibuktikan secara realiti, hanya masa yang akan menentukan.

Izin mencelah: Cara kita berpolitik memerlukan kita supaya adanya pilihan atau alternatif

Dah masuk ke bab penutup.

Secara peribadi saya menyokong seandainya suatu masa nanti PAS dan UMNO dapat menemukan masa yang sesuai untuk duduk semeja berbincang dan mencari ikhtiar bagaimana dapat dikembali dan ditinggikan lagi martabat agama Islam dan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu di Malaysia.

Harapan saya, bersatulah di dalam mencapai tujuan yang sama dengan mencari titik-titik persamaan itu.

Namun untuk melihat supaya mana-mana parti dibubar dan masuk bergabung menjadi parti yang tunggal, bukanlah sesuatu yang boleh saya bayangkan.

Ini kerana saya percaya dengan cara kita berpolitik hari ini, memerlukan kita supaya mempunyai wadah pilihan atau alternatif untuk menyampaikan aspirasi kita dalam berpolitik. Maksudnya, jika pihak A tidak mengotakan janjinya (mensejahterakan poket rakyat), maka rakyat seharusnya mempunyai pilihan lain (Parti B atau C, etc) untuk disandarkan segala harapan mereka itu.

Dan seandainya orang Islam dan orang Melayu di Malaysia hanya memiliki 1 parti, secara langsung menunjukkan itu sajalah yang ada dan terpaksa disokong walau baik, walau buruk - kenalah ditelan jua.

Harapnya tidaklah sampai ke tahap ini. Kerana malang sekali buat kita selain ianya juga berlawanan dengan apa yang semua pihak cuba ditonjolkan iaitu ‘pendemokrasian politik’ di Malaysia.

Keperluan kepada wadah alternatif ini juga saya kaitkan dengan kelemahan yang bakal kita alami sekiranya terbentuknya sistem dua (2) parti. Seperti yang dilihat hari ini iaitu BN dan PR. Tidak saya nafikan ada beberapa kebaikkan dengan amalan sistem 2 parti terutama mengoptimumkan fokus bagi menghadapi pertembungan 1 lawan 1 di dalam pilihanraya. Bahkan sumber (kewangan dan tenaga manusia serta jentera dan media) dapat diatur dan digerak secara lebih sistematik, berkesan dan ekonomik.

Namun saya berpandangan sistem 2 parti juga boleh membantutkan proses inovasi dalam berpolitik.

Maksudnya begini: sekiranya para pengundi berpendapat selepas PRU12 BN tidak menunaikan janji-janjinya, maka rakyat boleh memilih untuk menggantikan BN dengan PR pada PRU13. Dan seandainya PR juga terjangkit sindrom yang sama dengan BN, maka rakyat akan tolak PR dan angkat kembali BN berkuasa pada PRU14.

Situasi ini boleh silih berganti, tetapi akhirnya siapapun yang diterima mahupun ditolak, tanpa inovasi-pun, salah satunya akan dipilih jua untuk menjadi kerajaan. Saya harap anda nampak maksud saya ini.

Sesungguhnya kerangka dan idealisme politik di negara kita hari ini telah jadi begitu mencabar. Banyak isu telah berubah. Kerana itulah Mahathir berkata beliau perlu menyemak semula karya “Dilema Melayu” yang dikarangnya pada tahun 1970 itu kerana isu dan situasinya telah berubah. 

Kehendak dan tuntutan rakyat yang berbilang bangsa dan agama telah menghadirkan cabaran kepada minda dan tindakan pemimpin (BN mahupun PR). Makanya suatu kerangka politik yang responsif (keluar dari kepompong pemikiran stail lama) perlu kita bangunkan dan sebarang isu yang timbul perlulah ditangani secara bijak oleh sesiapa jua yang inginkan kunci untuk memasuki Putrajaya selepas diumumkan keputusan PRU13 yang akan datang!

Wallahua'lam.

No comments: