Friday 23 December 2011

"Power follows money": Barat perlu akui kuasa Asia

Hadir dan berdampingnya para pemimpin Eropah dengan kerajaan dan pelabur China ketika ini adalah bagi mendapatkan sokongan kewangan kuasa besar dunia itu di dalam membantu menyelamatkan Eurozone.

Perkembangan menarik ini juga membuktikan betapa Barat hari ini mula menerima hakikat bahawa berkembang atau tidak ekonomi mereka adalah turut didorong oleh kemakmuran ekonomi Asia.

Inilah yang menjadi perhatian pelbagai pihak, iaitu untuk memerhati apakah bentuk keputusan pelaburan yang bakal dibuat oleh kuasa Asia ini bagi menyokong (atau "menyelamat") ekonomi negara-negara Eropah dan Amerika Utara.

"TANGAN AJAIB" ASIA?

Contoh yang jelas bagi menggambarkan pengaruh dan kesan pelaburan Asia di Eropah boleh kita lihat di dalam kes syarikat pengeluar kenderaan SAAB dan Volvo

Minggu ini, SAAB akhirnya "mengangkat bendera putih" dan memfailkan permohonan muflis. Pada tahun lepas, syarikat ini telah dijual oleh General Motors kepada syarikat pembuat kereta mewah dari Belanda, Spyker Cars. Namun pengurusan barunya juga gagal untuk memulihkan SAAB (gagal memenuhi sasaran pengeluaran dan jualan) sehingga lebih banyak cawangan SAAB terpaksa menamatkan operasi mereka. 

Namun, dari satu pihak yang lain iaitu Volvo, perkembangan yang begitu kontra pula berlaku.

Walaupun Volvo telah turut dijual (di dalam tempoh yang lebih kurang sama dengan SAAB dijual), iaitu kepada Geely. Hari ini, Geely telah menjadi syarikat pengeluar kereta kedua terbesar di China.

Di bawah pemilik dan pengurusan baru, Volvo terus berkembang dan maju, serta menghasilkan inovasi (model-model baru) dengan masa depannya juga turut terjamin. 

Tidak lama lagi, Geely bakal muncul sebagai pengeluar kereta dari China yang pertama melancarkan kenderaan mereka bagi pasaran UK.


Melihat kepada apa yang telah berlaku, dua kesimpulan dapat dibuat iaitu:

1) Syarikat kereta Eropah yang diambil alih oleh syarikat dari Asia (China) nampaknya berjaya diubah nasib daripada 'nazak' kepada lebih maju dan berkembang. Ini merupakan pemulihan yang tidak berupaya dilakukan oleh pihak Eropah sendiri. 

Kejayaan ini bukan hanya didatangkan oleh "tangan ajaib" China, malah telah dibuktikan sebelum ini oleh Tata Motors dari India yang berjaya memajukan semula Jaguar Land Rover dari UK.

2) Kesuraman situasi ekonomi Eropah ketika ini telah membuka peluang pelaburan kepada negara kuasa Asia untuk berkembang dan maju. Justeru, tidak hairanlah 2/3 simpanan kekayaan dunia kini dipegang oleh Asia.

Kesimpulannya, Asia juga perlu "berterima kasih" kepada keadaan Eropah yang kelam-kabut ketika ini di mana lebih ramai pelabur Asia dapat "melabuhkan pukat tunda" mereka, iaitu dengan membeli atau melabur/membeli saham-saham berharga murah dari syarikat-syarikat Eropah yang bermasalah.

Pernyataan oleh Liang Xinjun, Ketua Fosun,  koglomerat terbesar mewakili sektor swasta China sudah cukup bagi menggambarkan hasrat besar pelabur China

"Kuasa beli US-EU telah mengalami kemerosotan sejak 3-4 tahun kebelakangan dan ia dijangka berterusan untuk 4-5 tahun yang akan datang. Pertumbuhan sektor perniagaan mereka juga dijangka terbantut atau merosot. Ini bakal membuka peluang kepada pelabur (Asia) membeli 10-30% saham syarikat-syarikat yang bermasalah ini, menjadikan mereka (pelabur Asia) pemegang saham terbesar atau kedua terbesar. Pelabur kemudiannya boleh membawa syarikat-syarikat ini ke China dan mengembangkan pasarannya di sana."

BELI TWITTER

Nampaknya, bukan sahaja wang China yang begitu dikejar Eropah dan Barat, bahkan kekayaan Asia Barat juga menjadi sasaran mereka. 

Inilah yang dapat dilihat setelah Putera Alwaleed bin Talal dari Arab Saudi yang membelanjakan US$300 juta membeli saham Twitter baru-baru ini.

Namun begitu, dari segi strategi pelaburan, pelabur China dilihat berbeza dengan pelabur Asia yang lain kerana mereka lebih mengutamakan kepentingan strategik negaranya sebelum membuat keputusan pelaburan. Manakala kebanyakan pelabur dari Timur Tengah dan India pula cenderung kepada nilai komersil sesuatu perusahaan sebagai prospek pelaburan.

Sebagai penutup, dunia Eropah dan Barat hari ini perlu menerima bahawa realitinya mereka semakin hilang kuasa dan kawalan ke atas perusahaan penting yang selama ini menjadi kebanggaan dan tunjang kepada ekonomi mereka, yang mula berpindah ke tangan pelabur dari Asia. 

Walaupun timbul desakan dalaman supaya diwujudkan undang-undang bagi membenarkan negara memelihara kepentingan mereka, pada hakikatnya di dalam sistem ekonomi kapitalis yang mereka sendiri anuti, "power follows money".

Dan kini, wang dan kuasa itu di tangan Asia!

---------------------------

Nota: dirumuskan dari artikel: McRae, H. "We'd better get used to Asian power". i, 21 Dec 2011: 23.

No comments: