Cakap-cakap yang hangat mengenai perlaksanaan (lebih kepada penangguhan) perundangan Hudud, dan teka-teki tarikh sebenar pilihanraya umum (PRU) telah mengembalikan ingatan (selektif) saya terhadap perbualan saya bersama seorang rakan, Arthur Muamba, seorang pensyarah dan penyelidik PhD dari Nairobi University, Kenya.
Kenya dan pengasingan kaum
Seingat saya, waktu itu dia baru kembali ke Oxford setelah meluangkan masa selama 3 bulan menjalankan kajian lapangan di sekitar bandar Nairobi. Beberapa foto telah beliau kongsikan, yang menunjukkan pola pengasingan bandar (urban segregation) yang ketara di Nairobi.
Kenya flag (google images)
Ringkasnya, pembentukan dan pertumbuhan kawasan bandar di sana dibahagikan mengikut zon-zon tertentu iaitu:
1) Kawasan moden dan maju - dihuni golongan berpendapatan tinggi berkulit putih (British). Di zon ini fasiliti yang dibangunkan adalah lengkap terutama kemudahan awam dan perniagaan.
2) Kawasan sederhana - terbentuk di sepanjang laluan kereta api dari Nairobi dan Tasik Victoria. Majoriti penghuni merupakan migran daripada India yang dibawa ke Kenya bagi tujuan pembinaan landasan kereta api tersebut. Apabila selesai, migran-migran ini kekal bersama British dan akhirnya tinggal secara tetap di zon berkenaan. Zon ini menjana peluang pekerjaan dan perniagaan kerana ianya strategik di laluan penting perniagaan dan perhubungan/pengangkutan.
3) Kawasan miskin/mundur - anda tentu dapat mengagak golongan yang menghuni zon ini - penduduk rakyat tempatan yang berkulit hitam. Majoriti mereka adalah miskin, terpaksa menghuni setinggan bandar (urban slum) yang tidak dirancang dengan teratur, kelemahan sistem jalan raya, pembetungan, kemudahan asas, ruang ekonomi yang terhad dan kadar jenayah yang tinggi.
Saya tidak pula bertanyakan dari zon mana Arthur dan keluarganya menetap, tetapi dengan penampilan beliau saya kira kehidupan dia dan keluarganya di sana masih OK.
Majoriti pemimpin politik di Nairobi juga menetap di zon moden bersama-sama "tuan" mereka. Justeru, kesenangan hidup mereka banyak diatur oleh perancangan di balik tabir pihak British, demi menjaga kepentingan ekonomi orang kulit putih yang kaya.
Duta
Kebetulan hari itu kami bersembang mengenai politik dan pentadbiran. Saya juga turut berkongsi pengalaman Malaysia di dalam menguruskan politik dan pentadbiran. Begitupun, bagi menyahut seruan kerajaan yang meminta supaya setiap warganya yang tinggal di luar negara bertindak sebagai "duta bergerak" dan hanya bercerita yang baik mengenai Malaysia, maka tidaklah bercerita lanjut dan "membuka pekung di dada" di dalam perkara-perkara yang sensitif (pada kita sensitif tetapi ianya biasa pada kacamata orang di sana).
Saya kira Arthur juga agak selektif di dalam membicarakan hal-hal berkait dengan negaranya. Namun terdapat dua perkara yang bermanfaat yang telah saya pelajari petang itu iaitu:
1) Keperluan meminda perlembagaan jika ingin memastikan sesuatu dasar dan perundangan itu dilaksana dan memenuhi harapan.
2) Mengembalikan peranan golongan profesional di dalam urustadbir dan meletakkan peranan ahli politik di tempat yang sepatutnya.
Pinda Perlembagaan
Arthur ada bertanya mengenai sistem politik negara dan kaedah kita mengendalikan proses pilihanraya. Seingat saya, ada menyebut mengenai kepelbagaian kaum yang tinggal di Malaysia (Melayu, Cina dan India), sistem 2 gabungan yang mula mendapat tempat (BN dan PR), keputusan PRU ke-12, badan penyelia pilihanraya (SPR), tetapi tiada kaedah yang jelas untuk menetapkan tarikh pilihanraya kerana ianya terletak di tangan Perdana Menteri, menjadikan kedua-dua gabungan perlu berpolitik sepanjang masa hingga menjadikan rakyat terlalu fokus kepada politik, sedangkan rakyat masih ketinggalan dalam hal ekonomi dan pendidikan, contohnya.
Arthur berkongsi pengalaman Kenya yang mengalami transformasi besar sistem politik dan pentadbiran sebaik negaranya mengadakan pindaan terhadap perlembagaan negara. Memang beliau sendiri tidak nafikan bahawa sebelum "aman" - perang saudara, korupsi dan kacau-bilau sudah menjadi kelaziman. Begitupun, apabila kerajaan baru dilantik, suatu proses penggubalan terhadap perkara-perkara tertentu dalam perlembagaan telah dibuat bagi mengawalselia kuasa dan mengembalikan kestabilan dan hak rakyat yang menentukan kerajaan secara sistem demokrasi.
Menurut Arthur lagi, antara perkara yang dipinda dan telah memberikan kesan positif kepada negara dan rakyat adalah penentuan tarikh pilihanraya secara terperinci di dalam perlembagaan negara. Contoh:
"Parlimen hendaklah dibubarkan setelah cukup 5 tahun tempoh pemerintahan, pada bulan Ogos, minggu ke-3, hari Jumaat".
Sehingga ke perincian seperti itu. Justeru, kedua-dua pihak tidak lagi hidup dalam suasana yang berteka-teki akan bila hendak diadakan pilihanraya dan bila parti mereka perlu menggerakkan proses lobi, kempen dan pendaftaran keahlian.
Ringkasnya, sebaik sahaja selesai sesebuah PRU itu, rakyat dan semuanya telah tahu bilakah pula tarikh PRU yang akan datang. Dalam suasana seperti ini, pihak parti yang memerintah lebih aman untuk menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka dan pihak pembangkang hanya akan menyerang dan mengkritik kerajaan apabila penggal kerajaan bakal berakhir. Rakyat juga tidaklah sibuk berpolitik 24 jam sepanjang tahun dan boleh fokus dengan kegiatan masing-masing.
Malaysia barangkali boleh mempelajari sesuatu daripada pengalaman Kenya ini.
Menurut Arthur, semenjak penggubalan (perlembagaan) tersebut, kesannya lebih dirasai di mana keadaan politik menjadi lebih stabil, perancangan kerajaan lebih jelas kerana boleh buat kerja sehingga cukup 5 tahun, rakyat boleh tumpukan kepada aspek lain dan pembangkang dapat mengkaji dan memantau sesuatu isu secara jangka panjang.
Peranan Ahli Politik & Profesional
Perubahan kedua yang dibuat adalah melibatkan pengasingan dan "penempatan semula" peranan golongan profesional di dalam kementerian-kementerian di dalam kerajaan.
Sebagai contoh, Menteri Kerjaraya adalah seorang jurutera, Menteri Kewangan adalah pakar ekonomi dan Menteri Pertanian adalah profesional berkelulusan Sains Pertanian.
Matlamat yang diharapkan adalah meletakkan mereka yang arif di bidang yang betul dan mengurangkan campur tangan politik (sekalipun tidak sepenuhnya berjaya).
Manakala peranan ahli-ahli politik telah dikembalikan kepada motto mereka yang ingin "berkhidmat kepada rakyat" iaitu dengan membawa mereka menduduki kerusi-kerusi gabenor wilayah-wilayah.
Pendek kata melalui perubahan sistem pentadbiran ini, segala isu di peringkat tempatan dan wilayah diuruskan oleh ahli-ahli politik yang dipilih rakyat. Mereka kemudian membawa aduan dan rintihan rakyat (sebab mereka adalah "wakil rakyat") untuk dibincang dan diurus secara profesional oleh menteri-menteri yang berkelayakan di peringkat negara.
Ini berlainan dengan amalan sesetengah negara (kita?) di mana wujud "conflict of interest" kerana Menteri adalah ahli politik yang terlibat langsung dengan tender dan projek kementerian yang lumayan, yang dibida dan diberikan kepada syarikat-syarikat milik parti yang beliau sendiri wakili.
Ibarat kata pepatah "keluar saku kanan, masuk saku kiri".
Sekurang-kurangnya, itulah hasrat sebenar penggubalan tersebut dibuat.
Ini berlainan dengan amalan sesetengah negara (kita?) di mana wujud "conflict of interest" kerana Menteri adalah ahli politik yang terlibat langsung dengan tender dan projek kementerian yang lumayan, yang dibida dan diberikan kepada syarikat-syarikat milik parti yang beliau sendiri wakili.
Ibarat kata pepatah "keluar saku kanan, masuk saku kiri".
Sekurang-kurangnya, itulah hasrat sebenar penggubalan tersebut dibuat.
Arthur mengakui bahawa isu korupsi adalah suatu ancaman yang sentiasa wujud dan sukar dibasmi. Saya menyokong mendapat beliau kerana ianya wujud di mana-mana hatta di negara yang ditadbir oleh orang Islam sekalipun.
Di Malaysia, keadaannya masih jauh berbeza. Kita mungkin berhujah bahawa rupa-reka kedua negara ini berbeza justeru pemahaman kita dan cara menangani isu yang berlaku juga mungkin berbeza.
Saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana bukankah lebih seronok apabila hidup ini penuh dengan "teka-teki"?
No comments:
Post a Comment