Tuesday 11 September 2012

Penswastaan


PENSWASTAAN mempunyai makna yang bertentangan dengan nasionalisasi. Jika nasionalisasi bertujuan memiliknegarakan perusahaan yang dimiliki oleh swasta, penswastaan pula bermakna memindah perkhidmatan dan perusahaan kerajaan kepada swasta.

Biasanya syarikat dan perkhidmatan yang dimiliki dan diurus oleh kerajaan kurang berjaya atau terus rugi. Ini kerana cara pengurusan kerajaan amat berbeza daripada pengurusan swasta.

Sebaliknya perniagaan dan perusahaan swasta lebih kerap untung daripada rugi. Setiap syarikat swasta yang untung dikehendaki membayar cukai sebanyak 40-50 peratus daripada jumlah keuntungan.

Jika apa yang diusahakan oleh kerajaan dipindah kepada swasta, kerajaan tidaklah akan kehilangan punca pendapatan. 40-50 peratus daripada pendapatan akan terus diterima oleh kerajaan. Ini adalah lebih baik daripada kerajaan memiliki perniagaan dan perusahaan yang rugi sepanjang masa dan menjadi beban bukan sahaja kepada kerajaan, bahkan secara tidak langsung kepada rakyat.



Biasanya kerajaan mengurus beberapa perkhidmatan tertentu. Di Malaysia, perkhidmatan pos dan telekom, radio dan televisyen, keretapi, syarikat penerbangan dan perkapalan, lapangan terbang, hospital dan klinik, pelabuhan, institusi pelajaran, jalan raya dan lain-lain perkhidmatan awam yang dimiliki oleh kerajaan. Selain daripada sektor-sektor ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah memasuki secara langsung dalam pelbagai jenis perniagaan dan perusahaan sama ada secara monopoli atau sebagai pemegang saham. Trend ke arah penglibatan kerajaan dalam perniagaan biasa telah meningkat sehingga kerajaan sering bersaing dengan pihak swasta.

Oleh kerana kerajaan berkuasa maka kerajaan dengan mudahnya dapat mengalahkan perniagaan dan perusahaan milik swasta. Oleh keranaperniagaan kerajaan kerap rugi, bukan sahaja kerajaan tidak mendapat apa-apa pendapatan daripada perniagaannya, tetapi kerajaan pusat kehilangan cukai yang biasa dikutip daripada perniagaan yang maju.

Daripada perkhidmatan seperti telekom, pelabuhan, radio dan televisyen dan keretapi, kerajaan mungkin mendapat hasil yang tinggi. Tetapi jika perkhidmatan ini diurus oleh swasta, kerajaan masih boleh mendapat cukai dan lain-lain bayaran. Jikalau perkhidmatan ini lebih maju kerana pengurusan secara perdagangan, maka ada kemungkinan kerajaan akan memperoleh pendapatan yang lebih daripada semasa kerajaan sendiri memiliki dan pengurus perkhidmatan-perkhidmatan ini.

Memandangkan kepada kemungkinan ini, maka beberapa perkhidmatan awam serta perniagaan milik kerajaan harus dipindah milik kepada pihak swasta. Pemindahan balik ke swasta ialah penswastaan.

Proses penswastaan ini boleh dibuat secara beransur-ansur setelah kajian dibuat dengan teliti. Sebarang perubahan tetap akan membawa kepada keadaan kelam-kabut dan kekeliruan buat sementara waktu. Tetapi jika penswastaan dilakukan berhati-hati, keadaan kekeliruan tidak akan berpanjangan.

Baca artikel berkaitan (klik tajuk):

1) Cerita-cerita "kejayaan" penswastaan.

2) PROTON

-------------------------
Dipetik daripada: Jomo, K. S. (2010). Warisan Ekonomi Mahathir. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

No comments: