Sebentar tadi saya sempat mendengar laporan oleh Pengarah Jabatan Parit & Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan perihal kos penyelenggaraan tinggi yang perlu ditanggung pihaknya bagi membayar kerja-kerja pembersihan torowong SMART setiap kali selepas air limpahan dialirkan melalui terowong berkenaan.
Walaupun dari segi "politiknya" masyarakat boleh mengkritik projek ini sebagai tidak smart kerana bukan sahaja tidak berupaya membendung masalah banjir kilat di ibu negara secara signifikan, kos untuk menyelenggaranya selepas ditutup operasi pula tampak begitu membebankan.
Namun demikian, andainya difikirkan menjangkaui kepungan politik yang sempit, perlu diakui bahawasanya sikap ambil mudah dan kejahilan kitalah juga yang sebenarnya menjadi punca sungai-sungai kita menderita dengan dipenuhi segala macam sampah dan sarap.
Foto hiasan (google images)
Seperti yang saya dengar juga, pihak JPS memaklumkan bahawa jumlah buangan sampah ke Sungai Klang dan Ampang adalah mencapai sehingga 5 tan setiap hari! (sumber) Bayangkan dari sekecil-kecil puntung rokok hinggalah kepada set sofa, kesemuanya "menghuni" dasar sungai kita.
Mendidik jangan bermusim
Usaha menukar mentaliti dan menyedarkan minda dan hati setiap insan memerlukan suatu usaha yang berterusan dan berpanjangan.
Foto hiasan (google images)
Namun begitu, dengan kadar penurunan kualiti sungai yang semakin pantas pada ketika ini juga turut menuntut suatu usaha dan kaedah baru yang lebih berkesan ke arah mendidik masyarakat agar prihatin terhadap nasib sungai, sebelum terlambat.
Memang ada dilancarkan kempen-kempen kesedaran mengenai pemeliharaan sungai, namun ianya masih jauh daripada mencapai sasaran iaitu, menghadirkan perubahan mentaliti dan sikap di kalangan masyarakat terhadap peri-pentingnya sungai dipelihara.
Asalnya hanya dari "satu sampah"
Bagi mereka yang tidak sensitif dengan isu pencemaran sungai, berkemungkinan mereka boleh beranggapan "aku hanya buang satu kotak rokok je, setakat manalah kesannya?".
Pun begitu perlu kita sedari dan insafi bahawa bertan-tan sampah yang dikutip di setiap pintu kawalan sampah saban hari, adalah bermula dengan "satu sampah" (yang dikatakan tidak memberi kesan buruk terhadap sungai).
Bayangkan kalau ramai orang berfikiran "mana mungkin ada mudarat hanya dengan aku buang satu sampah". Bayangkan jika ada 10,000 orang yang buang sampah juga berfikiran seperti itu? Sudah pastilah terdapat 10,000 atau lebih macam hasil buangan @ sampah di dalam sungai kita.
1) Satu sampah dibuang di atas jalan, ketika hujan ia akan dihanyutkan air ke dalam sebatang longkang.
2) Di dalam longkang, satu sampah akan bertemu dengan satu sampah dari longkang yang lain.
3) Beberapa longkang pula akan bersambung ke dalam sebatang parit konkrit.
4) Beberapa rangkaian parit konkrit pula akan mengalirkan sampah-sampah ke dalam anak sungai.
5) Beberapa anak sungai kemudiannya bercantum dan mengalir ke dalam sungai utama.
6) Kesemua sampah (yang asalnya hanya "satu sampah") akhirnya terkumpul sehingga menjadi bertan-tan sampah.
7) Sungai yang "tercekik" akhirnya tersumbat dan air sungai "dikembalikan" kepada rumah-rumah penduduk (di dalam bentuk banjir kilat)!
Sungai nadi kehidupan
Itulah slogan yang sering kita lihat pada papan-papan tanda kempen sayangi sungai kita.
Benar, sungai membekalkan sumber air. Bersih sungai kita, bersihlah sumber bekalan air kita. Tercemar sungai, tergugatlah sumber air bersih buat kita.
Foto hiasan (google images)
Air bukan sahaja penting untuk kegunaan kita seharian seperti untuk mandi, minum atau siram pokok. Bahkan, air turut menjadi keperluan asas yang menggerakkan ekonomi (industri dan kilang).
Industri dan kilang perlukan bekalan air untuk beroperasi, tanpa air, kilang terpaksa mengurangkan atau tutup operasi.
Apabila perusahaan atau kilang tutup operasi, pekerja-pekerja yang terlibat juga akan menjadi penganggur.
Dan panjanglah ceritanya....
Foto hiasan (google images)
Kesimpulannya, mulai sekarang ubahkan sikap dan buanglah mentaliti "Ah! tak mengapalah aku hanya buang SATU SAMPAH, mana mungkin ianya memudaratkan". Tanggapan ini amat salah sebagaimana huraian saya di atas.
Berlaku adillah terhadap alam ini. Janganlah kerana sikap jahil dan keras kepala kita, sungai yang menjadi nadi kehidupan pula terpaksa menanggung derita. Sekian.
(nota: saya sarankan bacaan tambahan berkaitan isu yang sama di SINI - terima kasih buat sahabat, Dr Sukri di atas artikel ini).
No comments:
Post a Comment