Friday, 15 June 2012

Renungan minggu ini - Golongan yang tidak masuk syurga

Daripada Abu Hurairah R.A, baginda Nabi S.A.W bersabda:

"Ada dua golongan yang menjadi penghuni neraka. Aku tidak pernah melihat mereka. Iaitulah segolongan manusia yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya. Kedua, golongan perempuan yang berpakaian pada rupanya, namun bertelanjang pada hakikatnya, yang bergaya dan menggoda, rambut mereka didandan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk syurga, dan tidak dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu boleh didapati dari jarak sekian sekian". (Riwayat Muslim).

Apa yang telah diterangkan oleh baginda Nabi SAW itu tidak berlaku pada zamannya, tetapi baginda diberikan wahyu oleh Allah Taala yang golongan tersebut itu akan datang pada akhir zaman kelak (yang menjadi salah satu petanda kedatangan Kiamat).


Apa yang berlaku pada zaman ini, sedang membenarkan dan membuktikan kebenaran yang telah disabdakan baginda Nabi SAW seperti hadith yang disebutkan di atas. 

Golongan manusia yang disifatkan oleh Rasululllah ini sudahpun wujud. Kita melihat kezaliman berlaku di merata tempat dan negara. Orang-orang yang zalim memukul umat Nabi Muhammad SAW yang mahu meneruskan ajaran Islam sebagaimana yang digariskan Al Qur'an dan Sunnahnya.

Mereka (yang zalim ini) telah menekan dan memukul kumpulan Umat Islam laksana pemegang cemeti yang seperti ekor lembu yang dilibaskan di belakangnya tanpa pengetahuan apa-apa, semata-mata memuaskan hawa nafsu. Hinggalah ada yang membawa kepada pertumpahan darah dan hilangnya nyawa.

Kedua, kita juga telah dan sedang melihat munculnya perempuan-perempuan yang tidak bermaruah dan tiada harga diri seperti yang digambarkan oleh baginda Nabi SAW. Mereka ini berpakaian dengan pakaian-pakaian yang menjolok mata, yang tidak menepati matlamat seruan menutup aurat.

Lebih malang lagi, perbuatan mungkar inilah yang terus digalakkan berlaku di dalam masyarakat, dengan ditambah pula dengan agenda kebebasan yang berusaha menolak seboleh mungkin sebarang bentuk tindakan. Sedangkan di sesetengah negara pula kita menyaksikan golongan wanita yang berusaha menjaga cara pemakaian yang menutup aurat pula telah disekat, maruah mereka diancam dan diambil berbagai bentuk tindakan.

Sumber foto (google image)

Bagi yang patuh dan beristiqamah di atas jalan agamaNya, Allah telah menjanjikan sebaik-baik balasan ke atas usaha dan perbuatan mereka sebagaimana fiman Allah di dalam Surah Fussilat (ayat 30 - 32) yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka teguh di atas jalan yang betul, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan menyatakan, Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih serta bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu. Kamilah pelindung-pelindung kamu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu minta, sebagai hidangan daripada Tuhan yang maha pengampun lagi maha penyayang."

Adapun bagi mereka-mereka yang kafir, zalim, fasik ataupun munafik, keadaan mereka telah dijelaskan oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya di dalam Surah al-An'am (ayat 93 & 94) yang bermaksud:

"Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakaratulmaut sedang para malaikat memukul dengan tangan-tangan mereka, sambil berkata, "Keluarlah nyawa kamu, pada hari ini kamu dibalas dengan seksaan yang menghinakan, kerana kamu selalu mengatakan kepada Allah perkataan yang tidak benar dan kerana kamu selalu menyombong diri dengan ayat-ayatNya. Dan sesungguhnya kamu datang kepada kami bersendirian sebagaimana kamu diciptakan pada mulanya. Dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang sudah kami kurniakan kepada kamu. Dan kami tidak melihat bersamamu pembantu-pembantu yang kamu anggap mereka itu sekutu-sekutu Tuhan antara kamu. Sesungguhnya sudah terputuslah pertalian antara kamu dan sudah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah)."

Bergembiralah wahai hati di sebalik ujian dunia ini dan beringat-ingatlah wahai diri akan godaan kemaksiatan yang bisa mengundang murka Allah.

Moga beroleh manfaat!

No comments: