Wednesday, 27 June 2012

Catatan kembara: "Saya buat sebab orang lain tak buat"

Alhamdulillah, kini saya kembali ke bumi UK, lebih tepat lagi ke kampung Oxford bagi menyelesaikan beberapa tuntutan yang berbaki. Saya pohon kemaafan buat sahabat-handai di sini kerana tidak memaklumkan dan memunculkan diri kerana masih terikat dengan pelbagai komitmen. InsyaAllah sedikit masa lagi, bilamana saya akan sedikit lapang, berhajat sangat nak bertemu muka dengan sahabat semua.

Kunjungan ke Oxford kali ini tidak menghadirkan kelainan yang besar, mungkin disebabkan permusafiran kali ini hanya saya seorang diri. Tidak banyak perubahan ditambah pula dengan "wet and windy summer" di sini.

Apabila berseorangnya, timbul keinsafan betapa banyak perkara perlu dibuat sendiri. Saya tabik kepada beberapa kawan di sini yang berkorban meninggalkan anak, isteri atau suami demi mengejar ilmu.

Kesunyian ini juga membuatkan saya lebih menghargai kerja-kerja yang lazimnya dibuat oleh isteri saya. Betapa saya kadang-kala "ambil mudah" akan pengorbanan seorang isteri, walaupun kerja-kerja itu kecil (kecil tapi leceh).

Selepas bosan terperap di Brookes saya ke bandar. Di city centre seperti biasa sesak dengan orang, tambahan lagi program Summer School telah bermula. Banyak kedai dan gudang perniagaan juga turut mengambil kesempatan dengan membuat Summer Sale

Bagi rakyat Malaysia yang "kaki Portmeirion" (pinggan mangkuk, etc) tentulah tersenyum lebar dengan jualan harga runtuh sebanyak 75% itu (lihat offer di internet)! Kedai kasut Clarks dan Body Shop juga menawarkan sehingga 50% dan GAP pula sehingga 60% diskaun. Lain-lain kedai saya tak tahu!

Saya hanya sempat singgah ke Mark & Spencer dan Primark mencuci mata, sambil-sambil melepaskan gian pekena "Chai Latte" di Cafe Nero. Kepada sesiapa yang bercitarasa seperti saya, maka saya berani rekomen kepada sesiapa yang minat nak cuba rasanya.

Semalam juga hujan turun dengan agak lebat, 2 kali saya kebasahan. Makanya, persinggahan saya hanya sementara sahaja di pusat bandar. Rasanya perlu datang lagi kerana tidak sah kalau tidak berkunjung ke kedai-kedai buku dan cenderamata yang ada di bandar ilmu ini.

Pulang, saya bergegas ke Surau di Brookes. Solat jamak. Rahmat yang besar bagi musafir seperti saya kerana waktu solat Asarnya panjang (Maghrib masuk sekitar jam 9.30 malam dan Isyak 10 malam ke atas). Maka, saya hanya "himpun dahulu" dan solat seterusnya akan ditunaikan sekitar jam 9.30 malam.

Selepas solat saya duduk dan meneliti bahan-bahan bacaan (risalah da'wah) yang ada. Kebetulan saya di sapa oleh Dr Syeikh Ramzy, pengasas NGO Muslim (Oxford Islamic Information Centre, OIIC).

Beliau tanyakan pandangan saya berkaitan bahan-bahan bacaan dan da'wah yang diletakkan di rak di luar surau. Saya katakan padanya yang kebanyakan bahan itu saya ada ambil dan bawa pulang ke Malaysia.

Saya tampalkan di cermin pejabat saya di Kuala Lumpur. Ramailah orang yang melintasi pejabat saya akan berhenti membaca dan meneliti risalah-risalah yang ditampal. Saya katakan padanya ada manfaat dari kerja dan khidmat beliau terhadap usaha da'wah sehingga saya juga telah turut memanfaatkannya.

Dr Ramzy ternyata gembira, lalu diberikan lebih banyak bahan sebaran bagi tujuan Da'wah kepada saya. Saya minta dikurangkan kerana ianya boleh difotokopi sahaja nanti untuk diberi secara percuma kepada mereka yang berminat.

Saya tanya bagaimana boleh timbul minat bagi beliau aktif dengan tugasan da'wah sedangkan pelbagai kerja lain turut dilakukannya.

Jawab beliau bersahaja "saya buat sebab orang lain tak buat". Saya mula membuka meja di tengah Corn Market Street di pusat bandar sejak 25 tahun yang lepas dengan tujuan bagi mempromosikan Islam kepada orang ramai di Oxford.

Selepas beberapa ketika, barulah kumpulan gereja Kristian, Yahudi dan humanist dan atheist membuka meja di sepanjang jalan tersebut bagi menyebarkan fahaman masing-masing. Di sini bebas dan terbuka, tiada sekatan untuk berda'wah dan tiada pihak yang menganggu anda.

Saya bertanya lagi "ramaikah orang puteh (British) yang tertarik dengan da'wah anda?".

Jawab beliau "Saya nampak sambutan begitu menggalakkan. Saya tidak melihat kuantiti, tetapi kualiti dan minat untuk minat (nak tahu yang sebenar) berkaitan Islam itu yang penting, dan kami menerima raspon yang positif."

Tambah beliau lagi, "kadang-kala seminggu tu adalah dalam 2-3 orang yang akan duduk lama di meja saya dan berkongsi soal-jawab mengenai Islam. Indahnya, ramai yang jumpa saya selepas beberapa minggu dan menyuarakan hasrat memeluk Islam. Bagi saya itu merupakan kepuasan yang akan anda kecapi dalam kerja-kerja da'wah".

Berbagai topik sempat kami sembangkan dalam waktu yang singkat itu. Saya tidak rasa mampu mencapai tahap seperti Dr Ramzy. Siapalah saya dengan bermacam kelemahan dan kejahilan ini. Akan tetapi, ada perkara yang berharga yang telah saya kutip sepanjang perbualan singkat itu.

Saya merasakan jikalau Allah sudah ingin memberi (suruh kita bantu usaha da'wah), tiada kuasa yang dapat menghalangnya. Dan harapnya, biarlah cabaran tersebut masih di dalam had dan kemampuan diri insan yang serba kekurangan ini.

Dr Sepet 
Headington, Oxford

No comments: