Thursday 29 March 2012

Dedikasi buat guru (Artikel MAZA)

Bacalah dan hayatilah.....kemudian dikau (yang lembut hati) akan menangis....oh guru! di atas tunjuk ajarmu, kini aku menjadi insan. Maha Suci Allah, berkatilah guru-guruku.

Kembara Ke Tempat Lama: Kenangan Dan Sayang

Oleh: Dr MAZA

Saya baru sahaja pulang ke UK setelah seminggu di Jordan. Bumi Jordan meninggalkan petanda besar dalam kehidupan saya. Apa tidaknya, di situlah saya mempelajari Bahasa Arab dan Shariah. Walaupun dahulu ada pihak yang hasad cuba menafikan bahawa saya memiliki pengajian far’i Shariah dari University of Jordan, namun dunia dokumen menafikan segala. Kadang-kala hasad dengki menjadikan kita kebingungan apakah yang dikehendaki oleh empunya penyakit itu.
Setelah 15 tahun meninggalkan University of Jordan, saya kembali melawat semula. Perasaan saya terbang bersama keindahan lampau. Namun, tempat kenangan tidak dapat mengembalikan keindahan, jika watak-watak kenangan sudah tiada lagi. Bahkan, berada di tempat kenangan mungkin hanya membangkitkan kesedihan apabila memikirkan kenangan yang tidak akan menjelma semula.
Gambar: Penulis Dalam University of Jordan

Saya melawat kuliah utama saya, Kuliah al-Adab dan juga kuliah far’i saya Kuliah Shariah. Alhamdulillah, semasa di kuliah Shariah saya ditakdirkan bertemu dengan sahabat lama saya Rayyan yang hari ini sudah bergelar Dr Rayyan dan menjadi pensyarah di situ. Dia menjemput saya makan tengahari bersama tetapi saya tidak sempat.
Demikian masa itu menukar manusia, dari seorang pelajar kepada seorang pensyarah. Hari-hari semalam setiap kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yang dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Itu kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru.
Guru-guruku
Insan yang paling saya ingin temui ialah guru saya Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi. Dia seorang ilmuwan dalam tafsir dan lain-lain. Banyak karyanya dalam dunia ilmu. Dahulu dia imam di Masjid ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Sweileh, Amman. Masjid tersebut memang bersejarah. Dr Abdullah ‘Azzam pejuang Afghanistan yang syahid juga dari masjid itu.
Dulu, kami para pelajar yang dahagakan ilmu menghadiri kelas pengajian Dr Salah al-Khalidi di masjid. Dia ada kuliah tafsir tetap setiap pagi selepas solat fajar. Kami menikmati semangat perjuangannya yang tinggi. Khutbah-khutbahnya membakar semangat. Pernah polis mengepungnya untuk diambil tindakan.
Di masjid itu juga, kami mempelajari ilmu dari guru-guru lain yang handal-handal yang berjiwa pejuang terutama dua ahli Parlimen Jordan ketika itu Dr Hammam Sa’id dan Dr Abd al-Qadir Abu Faris. Dr Hammam mengajar hadis dan Dr Abu Faris dalam politik. Masjid itu sering panas dengan isu-isu semasa.
Saya agak rapat dengan Dr Salah al-Khalidi. Saya sering ke rumahya, bahkan sebelum pulang dia memberikan bukunya Qabasat Tarikhiyyah yang belum dicetak dan masih tulisannya kepada saya. Saya masih simpan naskah asal itu sehingga hari ini.
Saya menemui Dr Salah al-Khalidi, dia sudah bertongkat. Dia dibuang dari Masjid Abd al-Rahman ‘Auf. Dia juga tidak dibenarkan meneruskan kuliahnya. Kini dia hanya boleh memberikan kuliah subuh tafsir ringkas di masjid lain di kawasan Sweileh itu iaitu Masjid Farid Khalil, sebuah masjid baru. Namun, dia bukan lagi imam dan khatib seperti dulu. Mungkin istilah tanpa tauliah tidak digunakan, namun dia tetap dihalang. Dia hanya boleh mengajar kuliah singkat subuh dan di universitinya sahaja.
Dia seperti semalam. Semangatnya tidak pudar. Dia berkata kepada saya ‘kerajaan yang zalim menghalang kelas-kelas ilmunya’. Saya berjumpa beliau di masjid baru itu selepas solat fajar. Sedih juga melihat keadaannya. Malang sekali, saya terlupa membawa sesuatu untuknya sebagai kenangan dari saya. Itu kesilapan besar. Saya sayangkan beliau. Banyak yang saya pelajari dari beliau.
Demikian dalam hayat kita, ramai guru yang berjasa menyumbang ilmu dan pembentukan fikiran kita. Seseorang guru kita sayangi, walaupun tidak semestinya kita bersetuju dengan setiap bilah perkataannya. Guru yang jujur memberikan kesan yang dalam kepada jiwa kita. Jika ada yang kita tidak bersetuju dengan tindakan atau pendapatnya pun, tidaklah bererti kita melupai jasanya.
Sayang dan cinta, mempunyai ruang yang berbeza dari ‘ikut semua yang guru kata’. Tidak bersetuju, bukan bererti tidak sayang. Bersetuju pula, tidak bererti sayang. Namun, mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu. Setiap orang akan sedar, ilmu yang paling mudah dipelajari, ialah apabila murid menyayangi gurunya.
Justeru itu, guru yang disayangi sering membawa pelajar cemerlang. Mudah masuk, mudah faham. Melihat wajah pun sudah mengembirakan perasaan. Kehadirannya dinanti, maka ilmunya mudah dinikmati. Jika guru dibenci, segala ilmunya menjadi pahit. Maka, murid hanya menunggu masa berhenti untuk guru meninggalkan ucapannya. Ilmu juga sukar dapat, tidak berkat.
Sebab itu, Islam menyuruh kita menyayangi guru yang paling agung, Rasulullah s.a.w. Cinta Rasul adalah asas agama ini. Ini kerana baginda sumber ilmu dan kebenaran. Ilmu dan kebenaran itu diambil dari baginda dengan penuh rasa cinta. Sesiapa yang membenci atau tidak menyayangi Rasulullah s.a.w maka segala ambilan ilmunya tidak bermakna dan berfungsi secara sepatutnya.
Gambar: Penulis dan Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi

Saya adalah insan yang amat kerdil untuk menceritakan tentang diri sendiri yang penuh dengan segala kelemahan. Namun, saya rasa saya sayangkan insan-insan yang berjasa membentuk ilmu dan fikiran saya. Saya masih terasa betapa nikmat semasa saya mencium dahi al-Syeikh Muhammad Salih ibn Uthaimin r.h. Beliau seorang yang amat soleh dan alim. Ratusan ribu muridnya. Ribuan manusia sering mengelilinginya.
Saya sayangkannya, walaupun beliau tidak kenal saya. Saya berdoa kepada Allah tentangnya. Banyak kali Allah rezekikan saya mencium dahinya. Pada tahun 2000, Allah rezekikan saya menjadi penterjemah semasa beliau berceramah kepada tetamu-tetamu haji yang tidak tahu bahasa Arab. Saya sempat berada di sisinya ketika itu, walaupun sebelum itu sering juga. Namun semasa tersebut, ruang lebih selesa dan lama.
Saya juga masih ingat ketika saya meminta guru sanad saya Maulana Zain al-‘Abidin al-‘Azami di Saharanfur India mendoakan saya. Saya rasa sayang kepadanya atas ilmunya. Semasa di berada dalam masjid, saya solat di sampingnya dan meminta beliau berdoa kepada saya. Beliau berdoa kepada saya dalam bahasa urdu, saya tidak faham, tapi saya yakin beliau doakan kebaikan saya. Amiin kata saya. Saya mencium beliau. Dia soleh dan alim. Pada tubuhnya yang uzur, terlihat tanda ikhlas seorang guru. Saya bukan orang soleh, tapi saya sayang orang soleh. Mudah-mudahan Allah ampunkan saya, dan dapat saya memperolehi syafaat mereka.
Apabila kita mencintai guru, kita mencintai ilmu. Apabila kita mencintai ilmu, kita wajar mencintai guru. Keikhlasan guru dilihat pada jihad ilmunya. Memang, keikhlasan itu dalam pengetahuan Allah, namun sering tandanya hadir dalam kehidupan insan. Ilmu bukan semata untuk wang. Ilmu yang dicurah kerana wang semata akan lesu ruhnya. Inilah yang sering berlaku kepada sebahagian guru-guru di university dan sekolah pada hari ini. Tidak dinafi, ramai juga yang ikhlas. Di Jordan, saya tidak lupa Dr Mu’iz Hariri, Dr Amin Qudah, Dr Sharaf Qudah, Dr Umar Ashqar dan lain-lain. Saya sayangkan mereka semua. Tentu saja saya amat sayangkan sahabat dan guru PhD saya Prof Dr Muhammad Abul Laits al-KhairAbdi.
Kedai Kitab
Saya pergi melawat beberapa kedai buku di Amman. Semasa pelajar, kedai kitab merupakan antara menu utama hidup. Saya pergi ke kedai buku Dandis, Amman. Sebelum sampai saya berfikir apakah Muhammad Dandis masih ingat saya dan nama saya. MasyaAllah, apabila sampai beliau masih ingat saya yang telah 15 tahun tidak datang ke kedainya. Bahkan apabila ada orang bertanya tentang kitab tulisan saya Sabab Wurud al-Hadith, dawabit wa ma’ayir, beliau menunjukkan ke arah saya: ‘itu penulisnya’. Beliau memberitahu saya bahawa ada empat orang pengunjung setia kedainya yang beliau tidak lupa; Prof Zulkifli Yusuf (UM) yang dulu belajar di Jordan, saya, seorang pelajar Bosnia dan seorang pelajar Korea.
Bau kedai kitab menggamit kenangan masa belajar. Banyak kitab baru yang muncul. Kitab bagaikan bukit yang tersusun. Bandar Amman itu sendiri ada pelbagai kedai kitab. Namun saya juga tertanya, Bandar Amman itu kelihatan kotor dan tidak tersusun. Manusianya susah dan serabut wajah mereka. Apakah peranan timbunan kitab-kitab jika gagal untuk mengubah kehidupan manusia? Apakah buku sekadar penghias bahasa orang ilmuwan, ataupun hiasan dinding rumah dan perpustakaan namun berfungsi mengubah pemikiran dan kehidupan? Segala falsafah dan likuk-pikuk perbahasan agama, ke mana akan pergi akhirnya? Penyedap bicara? menghabis wang manusia membayar harga kutub khanah? sedang khazanah ilmu itu gagal mengubah segala derita dan kemunduran umat.
Jika penulisan di Barat banyak yang berjaya membentuk polisi politik dan kehidupan yang mereka impikan, sejauh manakah pulak impak tulisan agama dalam masyarakat Arab? Nyata bahawa ‘Arab Spring’ itu satu keperluan untuk umat Arab.
Gambar: Penulis dan Muhammad Dandis kedai kitab.

Peranan Mahasiswa
Akhirnya, saya berterima kasih kepada pihak Kedutaan yang menyambut kedatangan saya dengan mesra. Para pelajar di Irbid yang memeriahkan ceramah-ceramah saya dengan kehadiran mereka. Sambutan kepada saya yang mesra dan memberangsangkan amat dihargai. Hari ini saya rasa fikiran pelajar di Jordan sudah banyak yang merdeka. Merdeka dari kongkongan kerajaan dan pembangkang. Bebas menentukan pendirian. Berani bersuara Itulah harapan kepada jenerasi baru jika kita ingin melihat mahasiswa berfungsi.
Gambar: Penulis berucap kepada pelajar yang memenuhi dewan besar University Yarmouk.

Seorang ahli politik yang ada kaitan dengan agama datang melawat pelajar Jordan sebelum itu dan menyatakan betapa pelajar terhutang budi kepada kerajaan dan mesti menyokong dasar-dasar kerajaan. Lalu diungkit jasa seakan ‘wang yang diberi terbit dari poket menteri’. Bahasa yang seperti itu menunjukkan betapa pengucapnya membodohkan pendengar. Betapa rendahnya nilai mahasiswa pada matanya.
Saya ‘menghasut’ pelajar untuk membebaskan diri dari fanatik kumpulan politik atau selainnya, sebaliknya menentukan pendirian sendiri setelah membaca, mengkaji dan berfikir. Itulah asas kehidupan ahli ilmuan selaras dengan firman Allah: (maksudnya):
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta akal, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”.(Surah al-Isra ayat 36).

Monday 26 March 2012

Kunjungan ke STEAM Museum (foto)

Ahad lepas kami bertiga berpeluang melawat ke Muzium Keretapi, Great Western Railway (STEAM Museum) di Swindon.

Kepada kaki shopping, tentunya Swindon Designer Outlet tidaklah asing kepada mereka. Menariknya STEAM ini hanyalah terletak bersebelahan dengan outlet terbabit.

Pelbagai khazanah penting lagi berharga berkaitan sejarah perkembangan keretapi dipamerkan untuk tatapan pengunjung. Bagi saya, kunjungan tempoh hari telah mengajar saya berfikir betapa akal manusia pemberian Allah itu sangatlah unik, sehingga ia mampu berfikir dan menterjemahkan idea, hingga melahirkan teknologi sedemikian rupa.

Zaman telah berlalu dengan Britain tidak lagi dianggap sebuah kuasa yang menguasaai teknologi keretapi ini, sekalipun mereka dahulunya begitu maju dan menerajui teknologi tersebut.

Dengan bayaran masuk hanya GBP4.25 (student), ianya worth every penny!









Saturday 24 March 2012

Bersiar di Bury Knowle Park, Oxford (ft. family & friends)

Alhamdulillah, hari ini cuaca cerah dan panas (19 degree). Ketibaan musim bunga diserikan dengan kehadiran Zippo Sarkis to town, juga telah memacakkan khemahnya di South Park. Enggan menyerabutkan diri dengan tempat yang ramai orang, kami mengambil keputusan untuk menukar angin program siar-siar hujung minggu dengan berjalan-jalan pula di Bury Knowle Park, Headington.

Aktiviti keluar bersiar juga dibuat bersempena mengalu-alukan kunjungan muhibah Cik Mat dan isteri ke kediaman kami, yang sedang bertimbun dengan kotak serta lain-lain barangan. Tidak lupa, setinggi terima kasih di atas urusan mendapatkan setem dari negara Burma yang 'rare' itu. Jasamu dikenang.

Di bawah beberapa foto yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca. Tidak lama lagi kesemuanya hanya tinggal memori indah sebagai kenang-kenangan buat kami sekeluarga. Silakan enjoice....!









Friday 23 March 2012

Sarajevo: dulu vs kini (foto)

Artikel 'copy n paste' dari sini: blogserius

War is bad.........

Siri foto dibawah diambil oleh Jim Marshall untuk projek "15 Years" beliau. Gambar sekitar Sarajevo diambil selepas perang pada tahun 1996 dibandingkan dengan keadaan mereka sekarang. Cool stuff. Mari kita lihat bagaimana Sarajevo pulih sejak peperangan penghapusan etnik dahulu.






Laporan asal Jim Marshal


Thursday 22 March 2012

Layan lagu: yang menarik minat-ku




Layan....

Telah-ku kata: Pakatan hanya perlu 100 kerusi

Sila baca seterusnya laporan dari theMalaysianInsider: Guan Eng - Pakatan hanya perlu 100 kerusi untuk ambil alih Parlimen.

Saya tiada nak ulas apa-apa kecuali perkara YANG SAMA telah saya sentuh dan kupas secara panjang lebar LEBIH AWAL berbanding Guan Eng serta laporan theMalaysianInsider.

Baca lanjut sini: Dr Sepet Menulis - beberapa perkara yang boleh difikirkan sebelum PRU13 (diterbitkan, Jumaat 16 Mac 2012).

Kebetulan?

Wednesday 21 March 2012

Syukur di atas kesempatan ini

Perjalanan dan pengembaraan kami di bumi orang bakal berakhir tidak lama lagi.

Alhamdulillah, syukur. Amat-amat bersyukur di atas kesempatan yang diberi, selain rahmat serta limpah kasih-sayang Allah yang Maha Pemurah. Dialah pemilik segala kekuasaan dan rezeki. Dan Dialah pemilik segala kejayaan.

Hiba hati ini, bilamana terlintas di fikiran, membayangkan akan tiba nanti saat untuk kaki berangkat pergi. Meninggalkan gedung ilmu, rumah tempat Mawaddah dibesarkan dan rakan-taulan. Oh! Begitu besar sekali nikmat serta rahmat yang telah Allah berikan. Syukur, sekalipun itulah ungkapan yang sering kami luahkan, tentunya tidak bisa cukup dan mampu untuk menggambarkan nikmat kurniaan Allah kepada hambaNya ini.


Untuk berbicara mengenai syukur, suka saya kongsikan firman Allah Taala di dalam Surah Ibrahim, Ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيْدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِىْ لَشَدِيْدٌ


Yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberitahumu; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Lihatlah, betapa luasnya rahmat Allah terhadap hambaNya yang bersyukur. Dan lihatlah betapa Allah senantiasa melimpahi rahmatNya buat mereka-mereka yang bersyukur.

Syukur bukan sahaja perlu diungkapkan di kala kita mengecap kejayaan dan kecemerlangan, tetapi bersyukurlah di atas perjalanan hidup ini secara keseluruhannya.

Bersyukur:

1) Kerana matamu dibenarkan melihat. Dan apabila matamu melihat sesuatu yang baik, ceritakanlah kebaikan itu. Namun jika matamu melihat sesuatu keburukan, lindungi dan tutuplah akan ia (keburukan) itu. 

2) Kerana telingamu masih boleh mendengar. Maka engkau dengarlah perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Cegahlah ia dan peliharalah ia dari mengengar sesuatu yang buruk dan memudaratkan.

3) Kerana tanganmu masih boleh memegang. Maka janganlah kamu mengambil apa yang bukan milikmu dan tunaikan hak Allah terhadap kedua tanganmu (dengan menghulurkan bantuan, ringan tangan).

Apabila direnung-renungkan, diimbas....perjalanan hidup yang bermula dari kampung di hulu Terengganu sehingga ke bumi yang asing dan indah ini....betapa besarnya kesempatan yang telah Allah berikan.


Namun begitu, syukur tidak cukup hanya melalui lisan, ia menuntut perbuatan, selari perubahan sikap ke arah yang lebih baik.

Moga kami dapat menghayati dan seterusnya menterjemahkan konsep syukur ini di dalam perbuatan seharian. Moga Allah kurniakan rahmat dan kasih-sayangNya buat kita semua. Sesungguhnya, Dialah pemilik segalanya. 

Firman Allah di dalam Surah Fathir, Ayat 3: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْ كُرُوْا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللهِ يَرْزُقُكُمْ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ فَأَنَّى تُؤْفَكُوْنَ

Yang bermaksud: "Hai Manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tiada Tuhan selain dia; Maka Mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?"

Allahua'lam.

Petikan minggu ini

"In youth we learn, in age we understand" - David Rossi/Criminal Mind

Tuesday 20 March 2012

Konsep Kapal Angkasa Keranak (foto menarik)

copy n paste: blogserius
Space...

Konsep kapal angkasa oleh Karanak





Laporan asal KaranakDA

Sunday 18 March 2012

Kunjungan ke GWR Museum

Nak gi carboot jap, nanti siapkan artikel ni.


Friday 16 March 2012

Pendapat: beberapa perkara yang boleh difikirkan sebelum PRU13

Saya tertarik dengan artikel, nukilan Amin Iskandar yang disiarkan di MalaysiaKini hari ini, yang bertajuk: Beranikah rakyat Malaysia berubah?

Memandangkan di kepala saya masih mampu mengingati beberapa point yang dibangkitkan sewaktu perbincangan bersama Dr MAZA hujung minggu yang lepas (sebelum beliau berangkat ke tanah suci), eloklah saya kongsikan idea dan butiran sembang-sembang santai bersama beliau, Azmi dan Yusof tempoh hari. Ini kerana ada kaitannya dengan tulisan saudara Amin.

Perubahan adalah fitrah

Apa maksudnya? Perubahan adalah fitrah hidup insan. Setiap saat, berjuta sel dalam tubuh kita akan mati dan diganti oleh berjuta sel yang baru. Perubahan secara fitrah ini, mahu tidak mahu, tetap jua akan berlaku.

Bagaimanapun, gesaan untuk perubahan di luar tubuh badan manusia termasuklah di dalam politik dan pemerintahan negara bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan atau dipaksakan. Malah, perubahan yang dicanangkan itu boleh jadi madu, dan boleh juga bertukar menjadi racun.

Namun, naluri insan yang sebati dengan perubahan, tidak dapat tidak, akan perlahan-lahan mencetuskan budaya fikir dan tindakan, yang akan menampakkan wujudnya keinginan kepada perubahan.

Secara peribadinya bagi saya, untuk berubah dua syarat diperlukan iaitu: 

- keberanian. Merobohkan tembok yang selama ini membelenggu kejumudan akal manusia bukanlah sesuatu tugas yang mudah, tambahan pula bagi sesebuah masyarakat itu "masih boleh bertoleransi" dengan sesuatu tindakan sekalipun boleh ditafsirkan sebagai menindas/menekan. Bahkan cabaran melahirkan keberanian ini bukan sahaja sukar dicetuskan di bidang politik, bahkan juga lihatlah di dalam aspek kerangka pemahaman agama Islam itu sendiri. Berapa ramai orang kelihatan "sukar memproses maklumat" jika mereka melihat sesuatu perbuatan yang diluar kerangka mazhabnya, sehingga timbul pelbagai andaian, walhal ianya masih berpandukan 2 sumber utama Islam. Contoh sahaja.

- kecerdikan. Suka saya ingatkan para pembaca terhadap pepatah orang tua "keluar mulut singa, masuk mulut buaya". Inilah pelita hikmat yang mengingatkan kita supaya jangan mudah terpana dan terpesona dengan sesuatu tindakan. Kehendak kepada perubahan, jika tidak disertai dengan pertimbangan intelek, hanya akan menjerumuskan kita ke dalam lubuk permasalahan, sekalipun setelah kita memilih untuk keluar dari lubuk masalah yang sebelumnya. Elemen kecerdikan di dalam memilih untuk berubah juga amatlah perlu, supaya kelak kita akan mendapat hasil "yang munasabah" terhadap tindakan itu.

Semasa sembang-sembang malam itu juga, MAZA ada mengingatkan saya bahawasanya ketika ini, terdapat sekitar 60% mereka yang boleh mengundi, masih belum buat keputusan untuk memilih siapa di dalam PRU13 yang akan datang. 

Golongan ini sering diistilahkan sebagai kelompok pengundi atas pagar. Pagar itu berduri atau berkaca, tidaklah dapat saya pastikan, cumanya tentu kurang enak duduk di atas pagar lama-lama. Di dalam artikel saya yang sebelum ini, saya lebih suka menggunakan istilah "wait and see voters", kerana perlakuan dan cara fikir mereka yang masih menunggu, mengumpul maklumat dan hanya membuat pilihan di saat-saat akhir. Mereka juga adakalanya dilabelkan sebagai "third force" yang akan bertindak sebagai penentu sokongan kepada kedua pihak, PR dan BN.

Foto (google image)
  
PR perlu selesai kemelut, jika mahu dipilih!

Kedah

Kalau dikupas secara panjang lebar, barangkali akan mengulangi apa yang telah beberapa kali saya tulis sebelum ini. Ringkasnya, PR juga perlu "clear" beberapa isu yang masih mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan penyokong BN, bahkan menjadi bualan para penyokong PR sendiri. Di antara isu yang dilihat belum selesai (tetapi nampak telah reda) adalah rentasan bidang kuasa PAS Pusat dengan pentadbiran kerajaan negeri Kedah melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang berperanan menasihati kerajaan negeri di dalam perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan parti.

Perkataan "nasihat" yang digunapakai pemimpin PAS Pusat barangkali berbeza definisinya dengan apa yang saya faham, terutama setelah PAS Pusat apabila menasihati dua orang Exco PAS Kedah supaya "perlu menerima semula" jawatan Exco, maknanya kedua mereka "kena menerima" nasihat tersebut dan akur. Bahkan MB Kedah juga seolah-olah faham bahawa beliau pertadbiran beliau masih memerlukan "nasihat" oleh Jawatankuasa Pemandu tersebut.

Pernyataan "sokongan" Anwar terhadap Israel

MAZA juga turut mengingatkan saya bahawa takrifan "moderate muslim" menurut kacamata Barat ialah apabila seseorang muslim itu menzahirkan sokongan mereka terhadap Israel. Inilah sebabnya mengapa Prof. Tariq Ramadhan (wikipedia) tidak diiktiraf sebagai Moderate Muslim oleh pihak Barat (selain dihalang memasuki US), kerana keengganan beliau mengiktiraf negara Israel.

Sungguhpun perdebatan di Dewan Rakyat begitu hingar-bingar memperkatakan pernyataan Anwar di AWSJ tempoh hari, ianya tidak lebih sekadar membazirkan masa. Lihatlah, apakah hasilnya? Seperti dijangka Anwar tidak mampu (atau tidak mahu?) menarik balik pernyataannya mengenai Israel. Apakah risau tidak dilabel sebagai "moderate muslim"? Mengejutkan saya sendiri, saya pula bersetuju dengan penyataan saudara KJ bahawa pernyataan penuh Anwar sebenarnya terbahagi kepada 2 iaitu sokongan mutlak (blanket support) pada bahagian pertama, dan sokongan bersyarat (mengambilkira aspirasi rakyat Palestin) untuk bahagian seterusnya.

Isu pernyataan Anwar juga saya kira telah menimbulkan suasana tegang (mungkin ramai tidak nampak) di antara beliau dengan Tuan Guru Nik Aziz. Jika sebelum ini, apa jua yang Anwar buat, dan setelah beliau bertemu mata dengan Nik Aziz, keadaan terus menjadi sejuk, bahkan Nik Aziz sendiri akan mengeluarkan pernyataan bagi menyokong Anwar.

Tetapi, di dalam isu sokongan terhadap Israel, Anwar, saya lihat tidak berjaya "memujuk hati" Tok Guru Nik Aziz. Bahkan Nik Aziz sendiri, selepas pertemuan dengan Anwar, bertindak menyerahkan kepada PAS untuk menyatakan maklumbalas. Dalam hal ini, pendirian PAS yang secara mutlak menolak sokongan terhadap Israel perlulah dipuji.

Salah laku dan moral

Tuduhan melibatkan salah laku dan moral pemimpin juga perlu diberikan perhatian serius oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, kita ingin membuktikan merekalah perintis untuk perubahan.

Baru-baru ini seorang "Ustaz" telah dikhabarkan ditangkap khalwat kerana menjalankan satu sesi kaunseling rumahtangga kepada isteri orang, jam 3 pagi di sebuah hotel.

Setelah dicekup, beliau menafikan terlibat. Logiklah beliau menafikan kerana bukan sahaja memperjudikan nasib dirnya, bahkan partinya juga. 

Namun, kenyataan penafian yang dikeluarkan beliau nampaknya mengundang lebih banyak persoalan berbanding menawarkan jawapan. Bahkan kesanggupan beliau "dibelasah" sekitar 20 orang samseng di dalam kawasan hotel juga menyerlahkan lagi "elemen jenaka" terhadap kes tersebut.

Cabaran buat Najib

Sekalipun kisah Ustaz PKR ditangkap khalwat itu tidak sedikitpun menggangu tidur Najib, beliau pada dasarnya masih belum dikira boleh nyenyak juga.

Najib, seperti yang dikongsi ahli sembang malam itu, menerima cabaran besar sama ada dari dalam UMNO sendiri mahupun dari luar UMNO.

Cabaran dalam UMNO

Sejarah parti UMNO sendiri membuktikan bahawa pihak yang lemah dan tidak berupaya "menggembirakan" parti, perlu dikorbankan. Inilah nasib yang menimpa mantan Presiden UMNO, Abdullah Badawi. Setelah beliau "menang teruk" dan hilang majoriti 2/3, Abdullah telah ditekan dan akhirnya tunduk dengan "nasihat" supaya meletakkan jawatan.

Foto (google image)

Penggantian pemimpin yang lemah dan gagal menunjukkan prestasi yang baik adalah juga satu bentuk "perubahan". Perlu diingatkan bahawa UMNO adalah sebuah organisasi yang amat besar, juga telah lama wujud dan ianya ditadbir secara berbilang lapis oleh ramai pemimpin yang semuanya berkepentingan. Justeru, untuk mengubah secara total organisasi besar seperti UMNO bukanlah mudah. Tangkal sakti manapun tidak berupaya melakukannya. Apatah lagi jika Najib sebagai Presiden, secara beberapa kerat yang lain-pun saya tidak jangka mampu menghadirkan perubahan yang munasabah.

Tetapi tidak adil juga untuk menuduh bahawa Najib tidak berusaha mengubah dan mentransformasikan UMNO. Lihat bagaimana seriusnya beliau diperkatakan mengenai "Winnbale candidates", wasatiyah dan sebagainya. Akan tetapi, sebotol air mineral tidak akan dapat menawarkan sebaldi air laut. Organisasi politik seperti UMNO adalah terlalu besar, samalah seperti PAS dan yang lain-lainnya.

Justeru, sekiranya pada PRU13 kelak prestasi Najib gagal mengembalikan majoriti 2/3, atau sekurang-kurangnya mencatat peroleh kerusi lebih banyak berbanding era Abdullah, adalah cerah sekali peluang beliau untuk "berpencen awal".

Cabaran luar UMNO

Sekarang ini pembangkang terutamanya PKR boleh senyum setiap hari memandangkan isu besar yang dijadikan modal merobek imej kerajaan pimpinan UMNO dan BN terus mendapat liputan dan menjadi buah mulut pelbagai lapisan masyarakat - isu Cowgate (NFC).

Selain NFC, isu Lynas juga masih kedengaran. Begitupun NFC lebih "meletup" memandangkan ianya lebih straight forward iaitu melibatkan pengurusan wang pembayar cukai yang disalurkan kerajaan bagi projek tersebut. Apabila timbul isu melibatkan wang pembayar cukai, maka ianya bukan lagi isu setempat, bahkan isu nasional. Ini bezanya dengan Lynas (pelaburan asing ke Pahang).

BR1M

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan bahawa kerajaan sebenarnya memiliki kemampuan atau dana untuk dikhususkan bagi menyalurkan sejumlah wang/peruntukan tunai secara "one-off" kepada rakyat (dalam kes ini, isirumah berpendapatan di bawah RM3000/bulan).

Kerajaan kelihatannya ada wang, dan sebenarnya (sepatutnya) boleh laksanakan program bercorak sebegini sejak dahulu lagi, di mana manfaatnya dapat dirasai rakyat dari pelbagai kaum dan dari seluruh negara (yang berada di dalam kumpulan sasar).

Sesungguhnya BR1M tidaklah se-gah tawaran yang dibuat PR terutama janji penurunan harga petrol, pemansuhan Tol dan PTPTN sekiranya mereka menang. Begitupun, kerajaan masih boleh menyelaraskan tanggungan beberapa bentuk subsidi dan memindahkan penjimatan tersebut kembali kepada rakyat.

Bagaimana kerajaan boleh menstrukturkan semula jenis-jenis subsidi? 

Kerajaan perlu melihat kembali mana-mana subsidi yang tidak mendatangkan kesan kepada rakyat "secara menyeluruh". Bercakap mengenai perkara ini, tentulah tidak wajar memasukkan kajian terhadap subsidi Petrol dan minyak masak kerana ia memberi kesan kepada seluruh rakyat. Namun subsidi lain seperti gula contohnya, kerajaan dapat lakukan sesuatu. Ini kerana tidak semua rakyat Malaysia menggunakan/ambil gula sebagaimana mereka gunakan petrol dan minyak masak.

Maka di sini wujud kumpulan yang guna banyak dan yang guna sedikit gula. Makanya, penarikan subsidi terhadap gula pada kadar tertentu (tentu akan naikkan harga gula), akan menjejaskan sebilangan kelompok yang banyak menggunakan gula, tetapi tidak kepada pengguna yang memang kurang mengguna gula. 

Justeru, sekiranya wang yang dijimatkan hasil pelarasan  subsidi gula ini dapat dikembalikan oleh kerajaan di dalam bentuk yang "seakan BR1M" untuk tahun-tahun seterusnya, mungkin manfaatnya juga lebih dirasai oleh rakyat terbanyak. 


Cuba buat kira-kira: kalau dapat RM500/tahun, berapa banyak gula boleh beli; dan apakah ada baki dari wang RM500 itu setelah berbelanja membeli gula untuk 1 tahun?

Dengan cara ini juga, wang pembayar cukai tidaklah secara terang-terangan "dipawahkan" untuk projek-projek kroni yang tidak menguntungkan seperti NFC.

Cabaran PRU13

Sebelum ini saya pernah menulis tentang keperluan PAS menampilkan calon Perdana Menteri dari kalangan PAS sendiri, sebagai alternatif kepada Anwar. Cuma cabarannya nanti adalah bagaimana untuk PAS memastikan sekutunya iaitu DAP menerima "calon universal" yang cuba diketengahkan oleh PAS.

Kalau melihat kepada roadshow Anwar serta sembang-sembang di ruang siber, memang PR sudah tidak sabar lagi untuk menang PRU13.

Keyakinan ini jelas tergambar terutama oleh Anwar sendiri yang mempromosikan di setiap siri jelajah beliau, catitan oleh Al-Syeikh Yusuf Qaradhawi di bukunya mengenai pujiannya terhadap Anwar.

Namun, secara peribadi, saya agak realisitik. Saya juga boleh bersetuju dengan pendapat segelintir pemimpin dari DAP yang juga realistik bahawasanya PR mampu untuk menang sehingga 100 kerusi parlimen pada PRU13 kelak, jika usaha dan kerja keras dibuat secara berterusan (PR sekarang memiliki 82 kerusi). 

Jikalau PR mampu mendapat 100 kerusi-pun ianya sudah dikira "menang" kerana kesannya terhadap masa depan Najib adalah lebih serius lagi (lihat kupasan sebelum ini - cabaran dalaman UMNO).

Tambahan pula, pelbagai isu seperti yang dinyatakan masih belum menampakkan penyelesaian yang tuntas, ditambah pula pengaruh 60% "wait and see voters", isu pengundi di Sabah dan Sarawak, pengundi di FELDA dan luar bandar, yang tentunya ramai di kalangan mereka telah mendapat habuan RM500.

Dikebumikan semula setelah 60 tahun bersemadi di hutan Malaya - Foto

RESPECT!

Jasad 9 orang mangsa kapal terbang terhempas ketika darurat akhirnya dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Pada tahun 1950, Sebuah pesawat C47 Dakota milik Tentera Udara Diraja England terhempas is Kampung Jenderam Kelantan. Ketika itu pesawat ini sedang melakukan misi menjatuhkan bom asap bagi menandakan lokasi kem komunis sebelum ianya dibom oleh pesawat pengebom Lancaster. Pesawat ini terhempas akibat kerosakan enjin dan kesemua 12 orang anak kapal dan penumpang tekorban. Antara yang tekorban ialah 4 orang awam termasuk pegawai polis Constable Mohammed Bin Abdul Lalil, penjejak orang asli Saiap Alais Sherda dan Yaacob Mat

Selepas terhempas sebuah ekspedisi menyelamat dilakukan. Walaubagaimanapun jasad kesemua mangsa terpaksa ditanam di dalam hutan kerana mereka risau diserang Komunis serta kesukaran membawa 12 mayat keluar dari kawasan hutan yang tebal. Mayat kesemua mangsa hanya dikeluarkan dari hutan pada tahun 2008 selepas Geoffrey Carpenter (82), waris salah seorang mangsa menulis kepada pejabat pelancongan Malaysia di Britain untuk mencari lokasi mayat mereka ditanam. Geoffrey bernasib baik kerana surat yang dihantar beliau dibaca oleh Kolonel Tajri Alwi yang kemudian membantu beliau mendapatkan bantuan Briged ke 8 Angkatan Tentera Malaysia

Pada tahun 2008 bangkai pesawat dan lokasi kubur ditemui. Seterusnya sebuah recovery team seramai 150 orang berjaya menggali dan membawa keluar rangka mangsa untuk dikenal pasti identitinya. Selepas lebih 60 tahun akhirnya kesemua mangsa kemalangan berbangsa British C47 Dakota ini dikuburkan di Tanah Perkuburan Komanwel di Kuala Lumpur. Jasad mangsa beragama Islam mengikut laman blog Military of Malaysia sudah ditanam pada tahun 2008. Lokasi saya tak pasti. 

Inilah penghormatan yang diberikan kepada mereka yang gugur ketika bertugas. Bak kata Marine Amerika, Leave No One Behind. Walaupun berpuluh tahun gugurnya jasad mereka, tetap diberikan pengkebumian yang sempurna dengan penuh istiadat. Respect!

Pengarang asal artikel: Obe-blogserius





Laporan asal Daily Mail
Informasi tambahan Military of Malaysia

Thursday 15 March 2012

Gelagat ahli parlimen kita...


Cap ayam?
after watching this video, no wonder after PRU12, our country had set a new record of 16 PRK (by-election). terjerit macam kena sampuk polong, no wonder after only few years our YB had heart attack or heart attack-like events!!

Wednesday 14 March 2012

Menuduh si polan dan si polan, elakkan melampaui batas

Ini bukanlah kali pertama saya menulis perkara ini (melampaui batas di dalam berkelahi) dan yang bersangkutan dengannya. Namun, selagi terdaya, akan terus saya tegur perkara ini dengan harapan suatu hari nanti mereka-mereka yang "ringan tangan dan ringan mulut" menuduh dan melabel orang lain dengan bermacam gelaran yang tidak baik, dapat merenung kembali ke dalam diri mereka, dan memperbaikinya.

Saya selalu juga melayari website Tranungkite untuk melihat bahan-bahan terkini politik tanah air. Laman yang diasaskan oleh PAS kawasan Dungun ini menarik, berinformatif selain menampilkan beberapa artikel oleh bloggers yang OK mutu penulisannya.

Namun, laman yang sama sering diselang-selikan dengan posting dan forum bicara politik yang "keras", yang bukan sahaja boleh menambah salah faham masyarakat terhadap pendokong gerakan Islam (PAS), bahkan boleh mendatangkan bahaya kepada akidah mereka yang melemparkan tuduhan itu sendiri, tanpa mereka sedari. 

Salah satunya adalah tajuk forum berikut:

Nak tumpang semangkuk-kah? Lihat lanjut sini: Tranungkite

Saya terkejut apabila TKO "tergamak" melulus-siar perbincangan bercorak sedemikian di laman mereka. Adalah menyedihkan apabila membaca tuduhan dan "hasil kerja tangan" mereka yang kononnya mendokong perjuangan Islam, sebaliknya bersahsiah sebegini, sehingga "secara bebas dan pasti" menuduh dengan tuduhan yang berat yang si polan dan si polan itu munafik.

Kalau PAS hanya sebuah parti politik yang tidak berkaitan dengan Islam, saya tidak begitu terkesan (walaupun perbuatan sebegini masih di luar batasan), tetapi bagi pertubuhan yang diasaskan agar mendokong syariat Islam, PAS (melalui penyokong mereka) dan Tranungkite wajar mengambil sikap berhati-hati, cermat agar terhindar dari mendapat "saham subahat".

Kepada penyokong PAS, kalau pun ada segelintir orang yang tidak senada dengan pendapat anda dan puak anda, jangan dengan "ringan mulut dan tangan" menuduh, melabel dan menghukum mereka dengan hukuman sebegitu dan sebegini.

Menuduh orang lain sebagai munafik dan kafir, adalah seperti berniat (mungkin tidak sengaja) menolak kebenaran hadis Nabi SAW yang meyakinkan kita bahawasanya amatlah luas kasih-sayang dan limpah rahmat Allah Taala kepada hambaNya, sekalipun setelah hambaNya membuat dosa dan kesilapan. 

Sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)"

Hadis ini wajar direnungkan sedalam-dalamnya oleh kita semua, termasuklah golongan yang mendabik bahawa merekalah yang memperjuangkan agama. Sesungguhnya Nabi mengajarkan kita supaya jangan sekali-kali kita berputus asa di atas rahmat Allah, dan janganlah juga kita jadikan orang lain berputus asa dari mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan pengurniaan label dan gelaran yang "keras" dan melampaui batas.


Tiada seorang pun di kalangan kita yang tahu secara pasti hari kita akan dijemput Allah dan menjamin tempat di akhirat sana. Tegurlah dengan sabar.

Allah lebih mengetahui segala sesuatu.