Wednesday, 14 March 2012

Menuduh si polan dan si polan, elakkan melampaui batas

Ini bukanlah kali pertama saya menulis perkara ini (melampaui batas di dalam berkelahi) dan yang bersangkutan dengannya. Namun, selagi terdaya, akan terus saya tegur perkara ini dengan harapan suatu hari nanti mereka-mereka yang "ringan tangan dan ringan mulut" menuduh dan melabel orang lain dengan bermacam gelaran yang tidak baik, dapat merenung kembali ke dalam diri mereka, dan memperbaikinya.

Saya selalu juga melayari website Tranungkite untuk melihat bahan-bahan terkini politik tanah air. Laman yang diasaskan oleh PAS kawasan Dungun ini menarik, berinformatif selain menampilkan beberapa artikel oleh bloggers yang OK mutu penulisannya.

Namun, laman yang sama sering diselang-selikan dengan posting dan forum bicara politik yang "keras", yang bukan sahaja boleh menambah salah faham masyarakat terhadap pendokong gerakan Islam (PAS), bahkan boleh mendatangkan bahaya kepada akidah mereka yang melemparkan tuduhan itu sendiri, tanpa mereka sedari. 

Salah satunya adalah tajuk forum berikut:

Nak tumpang semangkuk-kah? Lihat lanjut sini: Tranungkite

Saya terkejut apabila TKO "tergamak" melulus-siar perbincangan bercorak sedemikian di laman mereka. Adalah menyedihkan apabila membaca tuduhan dan "hasil kerja tangan" mereka yang kononnya mendokong perjuangan Islam, sebaliknya bersahsiah sebegini, sehingga "secara bebas dan pasti" menuduh dengan tuduhan yang berat yang si polan dan si polan itu munafik.

Kalau PAS hanya sebuah parti politik yang tidak berkaitan dengan Islam, saya tidak begitu terkesan (walaupun perbuatan sebegini masih di luar batasan), tetapi bagi pertubuhan yang diasaskan agar mendokong syariat Islam, PAS (melalui penyokong mereka) dan Tranungkite wajar mengambil sikap berhati-hati, cermat agar terhindar dari mendapat "saham subahat".

Kepada penyokong PAS, kalau pun ada segelintir orang yang tidak senada dengan pendapat anda dan puak anda, jangan dengan "ringan mulut dan tangan" menuduh, melabel dan menghukum mereka dengan hukuman sebegitu dan sebegini.

Menuduh orang lain sebagai munafik dan kafir, adalah seperti berniat (mungkin tidak sengaja) menolak kebenaran hadis Nabi SAW yang meyakinkan kita bahawasanya amatlah luas kasih-sayang dan limpah rahmat Allah Taala kepada hambaNya, sekalipun setelah hambaNya membuat dosa dan kesilapan. 

Sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)"

Hadis ini wajar direnungkan sedalam-dalamnya oleh kita semua, termasuklah golongan yang mendabik bahawa merekalah yang memperjuangkan agama. Sesungguhnya Nabi mengajarkan kita supaya jangan sekali-kali kita berputus asa di atas rahmat Allah, dan janganlah juga kita jadikan orang lain berputus asa dari mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan pengurniaan label dan gelaran yang "keras" dan melampaui batas.


Tiada seorang pun di kalangan kita yang tahu secara pasti hari kita akan dijemput Allah dan menjamin tempat di akhirat sana. Tegurlah dengan sabar.

Allah lebih mengetahui segala sesuatu.

No comments: