Thursday, 31 December 2009

Kereta Proton yang 'spacious'*

* spacious = ruang yang luas dan selesa.

Apa gunanya ruang yang luas dan selesa dalam kereta? Inilah yang dibuktikan oleh foto di bawah bahawa langkah Proton menyediakan kereta yang 'spacious' adalah bertepatan dengan keperluan 'mereka'.

Sumber: berita harian online

Nota: kedua-dua entiti (iaitu lembu) terbabit bukanlah mangsa tangkap khalwat, tetapi sebenarnya menjadi mangsa culik dan dilarikan, sebelum berjaya diselamatkan pihak berkuasa. Huhu...nangis lembu tuh!

Hadiah Tahun Baru 2010

Sumber: klik sini

Gula naik 20 sen sekilo hari ini

PUTRAJAYA 31 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 12 tengah malam ini.

Kementerian itu pada masa sama menarik balik subsidi ke atas harga roti putih yang sebelum ini dikategorikan sebagai barang kawalan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia terutama sejak Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun masih menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

“Berdasarkan anggaran penggunaan gula dalam negara pada 2010 sebanyak 1.26 juta tan metrik, tanggungan subsidi gula oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion pada 2010 berbanding RM720 juta pada 2009 jika harga gula dikekalkan.

“Mengambil kira senario ekonomi pada masa ini, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan pemberian subsidi gula dengan hanya menaikkan harga gula sebanyak 20 sen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun harga gula di Malaysia dinaikkan tetapi ia masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Harga baru gula di Semenanjung ialah RM1.65 sekilogram berbanding Thailand (RM2.50), Singapura (RM3.05), Indonesia (RM3.40) dan Filipina (RM3.62),” katanya.

Mohd. Zain menegaskan, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen hanya akan membawa kesan kenaikan harga yang minimum ke atas produk berasaskan gula termasuk makanan dan minuman.

“Kenaikan tertinggi melibatkan krimer pekat manis seberat 505 gram dengan anggaran kandungan gula 228 gram, kosnya cuma naik 4.6 sen sahaja atau kurang daripada 5 sen.

“Secawan teh tarik dengan anggaran gula 40 gram hanya akan mengalami kesan kenaikan 0.8 sen, iaitu kurang daripada 1 sen,” katanya.

Mengenai roti putih pula, beliau berkata, barangan makanan tersebut akan ditarik keluar daripada skim kawalan harga juga mulai 1 Januari ini.

“Roti putih dikawal pada 2009 dan diberi subsidi supaya harganya berada di tahap tertentu, kerajaan bagaimanapun tidak beri subsidi lagi mulai 2010.

“Peniaga (roti) tidak boleh naik harga roti putih pada malam ini tetapi boleh naik selepas 1 Januari berdasarkan pertimbangan mereka dan keadaan pasaran,” katanya.

Dr Sepet: Baru naik 20 sen. Selepas ini, bersama-samalah kita amalkan budaya hidup yang sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan. Juga kurangkan makan-minum di kedai mamak, jangan lagi membantu usahawan bumiputra yang menjaja kuih-muih di pasar malam, yang pastinya akan menaikkan harga barang jualan mereka.

Sumber: berita harian online

Mungkin untuk melengkapkan lagi pesta naik harga tahun 2010, harga semasa tepung dan minyak petrol wajar dinaikkan juga.

Tuesday, 29 December 2009

Kembali ke UK

Alhamdulillah, setelah lebih dua bulan berada di tanah air untuk tujuan kajian lapangan (dan pulang bertemu keluarga dan rakan), kami bertiga akhirnya perlu kembali semula ke kampung halaman kami di Oxford.

Insya-Allah, penerbangan kami dijadualkan jam 2 pagi ini (Khamis 31 Dis 2009) dan akan tiba di Heathrow, London jam 11 pagi (Khamis 31 Dis 2009 juga).

Kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan, terima kasih kami ucapkan atas segala bantuan dan jasa baik kepada kami sepanjang di tanah air, dan ampun maaf kami pinta jikalau ada tersalah dan tersilap.

Moga bertemu lagi tahun hadapan (bulan Mei, Insya-Allah) dan doakan kesihatan, keselamatan, kemudahan atas setiap urusan, kewarasan dan kejayaan kami di sini. Wassalam.

Saturday, 26 December 2009

Hanya 'UMNO Juara Rakyat'?

Seperti yang saya dengar menerusi laporan berita Astro Awani semalam, bermula awal Januari 2010 (9 Jan jika tidak silap), UMNO akan mula menggerakkan program raksasa, bersepadu dan menyeluruh, yang membawa tema "UMNO Juara Rakyat".

Penjelasan tersebut telah dibuat oleh SU Agung UMNO, D.S. Tengku Adnan (KuNan) sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka xmas anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) (ini yang dipimpin oleh Kayveas, bukan Murugiah).

Rumusan pernyataan beliau adalah, program tersebut adalah bermatlamat untuk memperingatkan rakyat akan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh parti UMNO terhadap negara sedari sebelum kemerdekaan, hinggalah tertubuhnya negara 1Malaysia yang semua kita nikmati hari ini.

Begitupun, apakah bentuk dan pengisian program raksasa tersebut masih belum ada hitam-putihnya. Cuma 'promosinya' sedang giat dijalankan ketika ini.

Apapun, jalan ke arah menjadi juara sebenar bukanlah sekadar ungkapan manis di bibir yang tidak mencerminkan apa-apa tindakan yang meyakinkan.

Ini kerana hasil daripada pendidikan dan kemajuan yang dipacu oleh kerajaan (dan UMNO adalah sebahagian darinya), rakyat hari ini telah mampu melihat dan membaca, mengkaji, menganalisa bahawa masih banyak KPI (Penunjuk Pencapaian Utama) yang perlu UMNO perbaiki terlebih dahulu sebelum dapat muncul sebagai 'juara rakyat'.

Antara perkara yang perlu diambilkira mungkin:

1) UMNO perlu jadi juara perangi amalan rasuah:

- rakyat kini telah dapat membezakan di antara "dibicarakan" dengan "disabit bersalah". Ini kerana panggillah seramai individu yang terlibat dengan sesuatu skandal rasuah dan penyelewengan untuk "dibicarakan", namun, jika semuanya "tidak disabit a.k.a akhirnya dilepaskan", maka samalah juga dengan kes perbicaraan penyelewengan berbillion wang negara dalam kes Perwaja beberapa tahun yang sudah dan kini perbicaraan skandal PKFZ pula mengambil tempat. Bicara tu bicara juga, akhirnya siapa yang kena hukuman, kalau semua terlepas?

- terbaru, banyak pihak mula tampil mempersoalkan ketelusan Laporan Audit tahun 2007 dan 2008 yang langsung tidak menyentuh insiden kehilangan enjin pesawat.

- projek pembinaan dan penyediaan infrastruktur untuk rakyat, yang menggunakan wang cukai rakyat oleh golongan OKU (Orang Kuat Umno). Lihat sajalah beberapa siri runtuhan projek-projek kepentingan awam di Terengganu. Alhamdulillah, hingga kini masih belum ada nyawa yang melayang.

- mengapa kualiti kerja kontraktor ini tidak dipantau (atau enggan dipantau) oleh badan yang berkaitan? Dan apakah akan ada sebarang tindakan untuk menyiasat dan mengheret pesalah sebegini ke mahkamah, dibicara dan dihukum akhirnya?

"Amalan menyerahkan kerja kepada subkontraktor juga berleluasa. Subkontraktor terakhir mungkin dapat untung sikit sangat jadi dia akan potong sana potong sini. Itu yang membuatkan bumbung runtuh, dinding berkulat" - Datuk Salleh Majid (Kosmo, hal. 2, 27 Disember 2009).

- jika merasakan hal di atas itu memerlukan komitmen di luar lingkungan UMNO, ambillah usaha yang paling mudah iaitu UMNO haruslah terlebih dahulu membuktikan keupayaannya menjadi jaguh dengan membersihkan hal dalaman parti daripada para pemimpin yang mengamalkan rasuah, sebagaimana didedahkan pelbagai pihak berlaku setiap kali tibanya pemilihan pucuk pimpinan parti.

2) UMNO perlu jadi juara membasmi masalah sosial di kalangan masyarakat Melayu-Islam:

- Menatap akhbar saban hari membuatkan hati saya runsing dan kepala saya pening berkenaan pelbagai kes jenayah di kalangan orang Melayu yang semakin 'pelik dan jelek'.

Ibu cekik anak, Aunty perdagang bayi, pelajar 14 tahun dikenduri 5 remaja, suami warga emas bunuh isteri warga emas, budak dicabul-dijerut dan dibuang di tempat pengumpulan sampah, bermacam lagi - sekadar memetik beberapa tajuk.

- Sebagai parti yang ditubuhkan khusus untuk menjaga kepentingan orang Melayu, adalah besar amanah ke atas UMNO bagi memandu generasi muda, belia Melayu untuk kembali kepada landasan agama dan arah tuju kehidupan yang sebenar-benarnya.

- sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara serius, apakah percambahan program-program hiburan di media massa kebelakangan ini berupaya memupuk akhlak remaja yang baik, atau sebaliknya, semakin melalaikan dan memesongkan fokus, tumpuan dan jatidiri sebagai orang Melayu-Islam?

- UMNO perlu terus berjuang bukan sahaja bagi memastikan bahasa Melayu dimartabatkan, malah tulisan dan penggunaan jawi juga turut dipertahankan. Janganlah dianggap maju jika bahasa Melayu dan jawi akhirnya terpinggir di bumi sendiri.

3) UMNO perlu jadi juara kepada pemeliharaan alam sekitar:

- jangan ingat hanya keperluan sesama manusia sahaja yang perlu UMNO jaga dalam usahanya menjadi juara rakyat. Isu dan perkara berkaitan pemeliharaan sumberjaya dan alam sekitar turut tidak terlepas daripada penilaian rakyat.

- rasanya semua kita tahu bahawa laporan oleh JKR berkenaan kejadian tanah runtuh di bukit antarabangsa kini telah dikeluarkan dan boleh diaksess oleh mereka yang berminat.

- justeru, adalah besar kehendak rakyat untuk melihat di samping keperluan kerajaan melantik kontraktor Melayu-Bumiputra bagi kerja-kerja pembangunan (dan pemusnahan alam), adalah penting kerajaan pada masa yang sama menggiatkan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar agar pembangunan fizikal itu 'tidak meragut' kelestarian persekitaran masyarakat bandar dan luar bandar.

- Makanya, aspek perancangan dan pembangunan tanah secara tidak terancang haruslah diminimakan kesannya terhadap persekitaran.

- demikian jugalah halnya dengan tindakan yang sewajarnya diambil kerajaan terhadap isu pencemaran air dan pencerobohan kawasan rizab sungai bagi pertanian haram yang dilaporkan di Cameron Highland baru-baru ini. Bagusnya tindakan meroboh telah dibuat, namun itu baru melibatkan sebilangan kecil sahaja - apapun, nampak ada komitmen untuk menguatkuasakan undang-undang.

- besar sikit dari kes mencemar air, adalah kes mengorek sungai bagi mencuri pasir. Banyak kes dilaporkan malah ada yang mengaitkan kekebalan si pencuri pasir adalah disebabkan wujud hubungkait politik. Justeru, siasatan perlu digerakkan.

- sejajar dengan apa yang diikrarkan oleh Perdana Menteri pada COP15 baru-baru ini bahawa Malaysia komited dengan usaha ke arah mengurangkan kadar pengeluaran karbon ke udara menjelang 2020. Justeru, pelbagai usaha harus digerakkan kerajaan (di bawah UMNO) bagi memastikan ianya berjaya direalisasikan.

- selain kawalan terhadap aktiviti perindustrian yang mencemarkan, suatu mekanisme juga haruslah difikirkan bagi memastikan penggunaan kereta dapat diminimakan terutama di kawasan bandar agar gejala pencemaran udara dan kesesakan dapat dikurangkan.

- makanya, wakil-wakil rakyat dari UMNO perlu dididik, supaya tidak hanya memperkatakan hal yang berkaitan ekonomi, politik dan sosial semata, malah mampu mengupas isu-isu penting berkaitan persekitaran. Ini kerana jika tanpa persekitaran yang bersih, di manakah lagi tempat tinggal untuk anak-cucu kita?

4) UMNO (melalui pelbagai agensi kerajaan) perlu menjuarai hal berkaitan kesejahteraan ekonomi:

- kuasa ekonomi merupakan salah satu tonggal yang tiada pada orang Melayu. Menerusi dasar liberalisasi ekonomi, kek ekonomi orang Melayu yang dikatakan mencapai 19%, bakal menguncup lagi (kata pakar hingga tinggal 12%). Manakala, kek ekonomi milik kaum lain dan golongan kapitalis luar dijangka akan terus menokok.

- justeru, saya melihat beberapa tindakan 'extreme' wajar dipertimbangkan seperti:

i) Mengikis budaya dan mentaliti subsidi. Telah terlalu lama masyarakat Melayu dilenakan dengan pemberian subsidi dalam pelbagai aspek (Sudah lebih 50 tahun). Subsidi yang pada awalnya berfungsi sebagai 'tongkat' untuk memimpin orang Melayu yang lemah dalam ekonomi berbanding kaum lain, kini menjadi seperti 'candu' yang mengkhayal dan semakin melemahkan kita.

Tanggapan orang Melayu tidak dapat maju tanpa subsidi perlu dikikis kerana ramai orang Melayu yang berhijrah (dari kampung ke bandar, atau ke luar negara) kini mampu berjaya dan berdiri sama tinggi dengan cabaran global.

Langkah mengurangkan jumlah subsidi perlu difikirkan jikalau menghapuskannya dilihat masih belum praktikal, sebagai usaha membolehkan orang Melayu berjalan sendiri tanpa tongkat.

ii) Membasmi kegiatan 'Ali Baba' (bukan nama orang, tapi perbuatan). Malu apabila mendapati orang Melayu yang berniaga sebenarnya cukup sinonim dengan gelaran Ali Baba. Baik dalam bidang pembinaan (kontrak di sub kepada bukan bumi), lesen perniagaan seperti lesen operasi bas, lot kedai, etc. (disewakan kepada peniaga bukan bumi dan pendatang asing).

Memang orang Melayu ini dapat untung (10-20%), tetapi untung sebenar (80%) itu masuk terus ke dalam saku bangsa lain, hasil usaha mereka memperdaya orang Melayu yang tidak sabar hendak cepat kaya.

Akhirnya, lot-lot perkedaian yang seharusnya dimiliki (menjadi aset) bumiputra berpindah ke tangan orang asing. Jika nasib tidak baik, sekiranya berlaku sebarang kejadian buruk (kemalangan bas express, bangunan runtuh, etc.) padahnya pemilik yang mengali-babakan inilah yang terheret.

Tangan bekerja, bukan mulut

Justeru, bagi mencapai cita-cita besar merealisasikan agenda 'UMNO Juara Rakyat', langkah yang berani, malah mungkin yang ekstreme perlu digerakkan. Jangan sampai rakyat dan orang Melayu khususnya melihat ianya hanya sekadar satu lagi slogan (demi slogan) yang tidak mencerminkan situasi sebenar masyarakat.

Mungkin juga UMNO perlu lebih sensitif kepada rakan komponen lain kerana mereka juga pastinya ingin menjadi juara untuk kumpulan dan kaum yang mereka wakili. Atas semangat BN, dan disebalik pelbagai krisis yang melanda komponen BN (kepimpinan MCA, MIC dan PPP), mungkin agenda 'BN juara rakyat' lebih cocok digunapakai.

Sekian.

Friday, 25 December 2009

Mat Said dan Pelajar Cemerlang PMR

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."


Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

Sumber: klik sini

Thursday, 24 December 2009

Misi Mustahil COP15

Ada beberapa perkara yang menarik untuk diulas berkenaan COP yang baru sahaja selesai. Tungguuu...

Jalan-jalan di Jalan Masjid India, KL

Berkunjung ke kawasan sesak terutama di sekitar Jalan TAR dan Masjid India bukanlah suatu kelaziman bagi saya.

Saya sememangnya tidak gemar memandu, mencari tempat letak kereta dan berjalan-jalan apabila berkunjung ke tempat yang saya kurang tahu, dan di masa yang sama amat sesak dengan kenderaan dan orang.

Namun, pagi tadi selepas menemani isteri ke Ibu pejabat JKR di Menara Tun Dr Ismail dan kemudiannya ke CIDB di Grand Seasons Avenue, kami mengambil risiko untuk ke tempat sibuk bagi mencari sedikit barang keperluan.

Hajat asal saya ialah ingin mendapatkan seutas tali pinggang (kulit) yang baru dan melihat-lihat jika ada jam tangan yang murah (dan boleh lupus), seperti jam tangan Mont Blanc, Longines, paling tidak pun Breitling atau Armani.

Lalu, selepas memuaskan hati orang rumah dengan pilihan tudung-tudung kegemaran beliau, saya mengajaknya ke bazar berbumbung Jalan Masjid India.

Banyak barang berjenama yang dilelong pada harga yang amat murah. Lihat sajalah tas tangan LV, Prada, Coach, Gucci, Bonia, D&G, Burberry yang kesemuanya direkabentuk seakan yang mahal, tetapi menepati selera golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia.

Rasanya jenama seperti LV, Coach dan Gucci adalah yang paling 'menderita' akibat penghasilan dan lambakan produk palsu yang berleluasa di sekitar KL dan bandar-bandar lain di Malaysia.

Manakala jam berjenama seperti Mont Blanc, Tissot, Rolex, Breitling pula ditawarkan pada harga di antara RM30 hingga RM50, mengikut rekabentuk yang biasa hingga yang 'terbaru'.

Namun, sebagai salah seorang penggila jam, memegang sahaja sudah tahu akan kekurangan pada produk 'tiruan' ini. Tambahan pula kerja tangan si penirunya masih kurang memuaskan (lambang senget, ada lebihan gam pada nombor, terlalu ringan dan cat 'silver' yang mudah lekang, etc).

Jenama Adidas, Puma, Nike? Maaf kata-lah, saya nampak seperti sudah tiada harga dan keistimewaan lagi dah.

Selepas tidak mendapat jam yang memuaskan hati, kami meninjau-ninjau pula gerai-gerai lain di sekitarnya. Rezeki kami baik.

Adalah 1 pakcik itu yang menjual barangan antik - termasuklah matawang lama yang sememangnya menjadi kegemaran saya dan isteri.

Lantas tanpa teragak-agak, beberapa matawang lama telah kami beli (murah kalau dikira dalam RM). Kami beli bukan kerana ingin untung, tetapi kami beli kerana nilai sejarah dan nostalgia berkait dengan matawang itu.

Saya beli sebab saya belum pernah lihat matawang kertas ini, sebelum ini

Periksa dahulu ketulenan setiap wang yang ingin dibeli (kepala harimau dan garisan)

Wang ini dicetak oleh Bradbury Wilkinson & Co. di England (Surrey)

Wang ini juga ada wajah kepala harimau (macam ikon Singapura), ada tulisan Jawi 'satu ringgit' dan dicetak oleh Waterlow & Sons Ltd, London.

Tandatangan oleh 'Chairman of the Commission' bertarikh sebelum merdeka, 1st July 1941

Sah diperlakukan di negeri-negeri Selat dan negeri-negeri Melayu

Duit daun pisang yang digunakan pada zaman pemerintahan Jepun

Entah apa yang boleh dibeli dengan 10 dollar wang ini pada zaman tersebut

Ini duit syiling bernilai 2 1/2 sen bertarikh 1903

Sudah berusia 106 tahun

Biarlah kami tidak berkira untuk membelinya hari ini, asalkan barang lama ini dapat kami pelihara, jaga dan diwariskan untuk tatapan anak-cucu dan generasi yang akan datang.

Mungkin selepas ini kami akan berkesempatan untuk menambah koleksi ini, atau mungkin juga ianya makin sukar didapati, atau mungkin juga akan bertambah tinggi nilai dan harganya hingga di luar kemampuan kami.

Sunday, 20 December 2009

Indahnya Negeriku

Khamis lepas (17 Disember 2009) merupakan jelajah siri ke-3 dan terakhir kami bertiga ke Pantai Timur, khasnya ke negeri kelahiran ayah, Terengganu.

Alhamdulillah, berbeza dengan 2 siri kunjungan sebeklum ini di mana kami terpaksa mengharungi hujan lebat serta air banjir hingga ke paras lutut, cuaca kali ini agak baik (biarpun hujan sekali-sekala).

Kami bertolak dari Subang Jaya agak lewat iaitu sekitar jam 10.00 pagi dan tiba di Desa Seberang Pintasan, Dungun sekitar jam 3.30 petang.

Biarpun apa yang dihajati tidak dapat dipenuhi petang tersebut, sekurang-kurangnya kunjungan ke petempatan nelayan ini memberikan pengalaman baru yang indah buat kami.

Hahaha....leganya dapat keluar dari carseat nih...

Kuat betul angin pantai petang tu (musim monsun)

Kelihatan beberapa 'ketam' di sebalik batu..

Muka dua orang yang suka tengok air laut dan pantai...

Disepanjang pantai ini terdapat banyak lot tanah untuk dijual.

Nun jauh di kaki langit, hujan sedang mencurah turun (perhatikan perubahan bentuk awan)

Ombak besar yang membadai pantai. Kalau mandi konfirm mati lemas ni..

Dahla ayah, Mawaddah dah kembung makan angin pantai ni...jomla balik

Jom balik kampung kita, jumpa Tok dan Tokki....

Misi kami diteruskan dengan kerja-kerja temubual dan perjumpaan bersama peserta program Homestay di Kampung Telok Ketapang, Kuala Terengganu keesokkan harinya.

Alhamdulillah, segala kerja berjalan lancar dan orang kampung begitu menyokong dan gembira menerima kehadiran kami, di samping berminat dengan kajian yang sedang dibuat.

Kami bertolak pulang ke Subang seawal pagi Sabtu (semalam). Biarpun sedih kerana berpisah (sementara) dengan Tok, Tokki serta Pak-Pak Cik dan Mak-Mak Cik, kami juga semakin rindukan suasana di Kampung Oxford kami di sana.

Biarlah pula untuk setengah tahun yang mendatang ini kami habiskan di UK, sebelum kembali menjengah kaum-keluarga dan sahabat-handai di tanah air, tahun hadapan.

Insya-Allah.

Thursday, 17 December 2009

Bung + Zizie = Sehati Berdansa 2010?

Dua-tiga hari ini media agak kecoh dengan laporan mengenai kisah cinta sensasi pelakon Zizie dengan seorang ahli parlimen BN dari Sabah.

Biarpun pada awalnya laporan akhbar tidak menuding secara terang kepada individu atau MP yang tertentu, laporan beberapa tabloid kemudiannya telah menyebut nama Bung Mokhtar, MP BN dari Kinabatangan secara langsung dikaitkan dengan kisah cinta tersebut.

Pelbagai andaian dan penyiasatan telah dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar, sehingga ada yang menurut Ibu Zizie pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa untuk mengesahkan sendiri ada atau tiada majlis resepsi sebagaimana tersebar luas di internet dan melalui sms.

Manakala, usaha wartawan untuk mendapatkan komen dan penerangan daripada kedua-dua 'mempelai' masih menemui jalan buntu berikutan kedua-duanya memberikan alasan tertentu untuk 'cover line'.

Begitupun, bangkai gajah manakan boleh disorok-sorok, kelak yang busuk itu akan terhidu juga.

Wartawan yang masih belum berpuas hati kemudian menanyakan perkara ini kepada beberapa 'buddy' atau kenalan rapat 'Bang Bung' di perlimen seperti D. Muhammad Aziz (Seri Gading), etc.

Biarpun rata-rata mereka menganggap perkara (nikah-kahwin) ini adalah hal peribadi Bang Bung, Muhammad Aziz mengucapkan tahniah buat Bung di atas 'benda baik' ini dan juga menasihati kedua-dua mereka tidak cuba menyorokkan perkara ini kepada rakyat 1Malaysia.

Janganlah perkara ini terus disorok dan janganlah mengejutkan rakyat apabila menyaksikan Bang Bung dan Zizie berjoget dan bergoyang mengikut rentak irama di atas pentas.......Sehati Berdansa 2010!

Sekian.

Wednesday, 16 December 2009

Had petrol 20 liter

Bermula semalam (16 Dis), lebih 400 operator stesen minyak yang terletak dalam radius 50km dari pintu sempadan Malaysia-Thailand mula menguatkuasakan arahan kerajaan untuk hanya menjual 20 liter minyak buat warga asing (Thailand semestinya).

Arahan kerajaan ini bertujuan memastikan hanya mereka atau rakyat Malaysia sahaja dapat menikmati minyak petrol pada harga yang disubsidikan.

Perlaksanaan kaedah terbaru ini (had maksima 20 liter), menurut menteri yang berkaitan dijangka mampu mengurangkan pengaliran keluar wang kerajaan bagi menampung bayaran subsidi dan seterusnya menjamin keistimewaan mendapat subsidi hanya untuk rakyat tempatan.

Begitupun, masih kedengaran cakap-cakap di kalangan rakyat dan juga para pemimpin masyarakat serta para pengusaha mengenai kemampuan kaedah baru ini bagi membendung permasalahan salahguna sistem subsidi minyak petrol, terutama di kawasan sempadan negara.

Menurut.............

kena sambung lepas saya pulang dari Terengganu (nak bertolak pagi ini untuk meneruskan kajian di beberapa buah kampung di Dungun dan Kuala Terengganu - final trip to my hometown). Wassalam.

Tuesday, 15 December 2009

Seram-sejuk pembentangan bajet 2010

Kalau ingin tahu lebih lanjut, silalah berkunjung dan membacanya di blog saudara Nobisha (sini) dan memobelakang (sini).

Ini bukan cerita kelakar, tetapi yang kelakarnya sikap ambil mudah kebanyakan (70 orang ahli parlimen BN) yang tidak hadir untuk mengundi dan seterusnya meluluskan laporan Bajet 2010 yang dibentangkan malam tadi.

Tambah dikesali, kesalahan (tidak hadir ke dewan) oleh ahli-ahli Yang Berhormat ini telah dituding kepada pihak pembangkang.

Janganlah memperbodohkan pemikiran rakyat dengan tuduhan sedemikian. Sudah sah-sah menjadi tugas pembangkang untuk berbeza pandangan dalam hal undian terbabit. Malah, kemenangan tipis (3 undi - kerana PM sendiri dan Ong Tee Keat juga turut bergegas ke Dewan bagi mengundi) itu mencerminkan betapa barisan YB pembangkang serius dalam hal-hal berkaitan Bajet dan urustadbir negara.

Astro Awani yang menemubual menteri di Jabatan Perdana Menteri, D.S. Nazri Aziz melaporkan betapa 'jika beliau dibekalkan pistol, nescaya bolehlah digunakan untuk menembak kepala mana-mana ahli parlimen BN yang berdegil untuk tidak menghadirkan diri setelah diberitahu'.

Implikasi daripada kemenangan tipis Bajet kerajaan BN ini, tambah Nazri lagi, bukan sahaja mendedahkan sikap dan komitmen sebenar ahli parlimen BN, tetapi turut:

1) Menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa jikalau mereka (BN) tewas dalam pengundian malam tadi, ianya merupakan petunjuk wujudnya 'undi tidak percaya' ahli Dewan terhadap PM dan seluruh pimpinannya dalam kerajaan.

2) Menimbulkan pelbagai masalah terutama melibatkan pembayaran gaji serta lain-lain peruntukan perbelanjaan kerajaan (dan kakitangan kerajaan) bagi tahun 2010. Ini kerana jika ditolak dan memerlukan pembentangan semula, kemungkinan sidang Dewan tidak sempat diadakan dalam bulan ini (kerana Disember yang telah menghampiri akhir tahun 2009).

3) Paling teruk lagi, insiden malam tadi juga akan dilihat rakyat sebagai bukti bahawa ahli YB dari BN sendiri tidak yakin dengan Bajet 2010 yang dibentang, makanya mereka tidak mengundi untuk menyokong dan meluluskannya.

Tidak pernah lagi terjadi dalam sejarah, Bajet yang dibentang hanya diluluskan dengan perbezaan 3 undi. Tetapi mujurlah 3 undi tadi 'tidak melompat' di saat-saat akhir sebagaimana yang terjadi di Perak sebelum ini....

Dr Sepet: Tentu pening kepala PM dengan sikap dan mentaliti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat BN.

Dilema Barangan Buatan Malaysia

Jana kekuatan ekonomi

Pernah menonton rancangan Buletin Utama? Rancangan berita yang disiarkan setiap hari jam 8 malam di TV3.

Diakhir rancangan berita ini akan dipaparkan iklan yang khusus menyeru seluruh warga 1Malaysia agar terus menyokong, dengan membeli barangan buatan Malaysia - serta jadilah pengguna yang bijak.

Sememangnya usaha yang dibuat pihak kerajaan ke arah mempromosi dan menggalakkan rakyat agar membeli dan menggunakan barangan buatan tempatan merupakan suatu langkah yang murni dan baik - perlu diteruskan.

Dengan membeli barangan tempatan bukan sahaja membantu mempertingkatkan sumber kekayaan dalaman negara, malah kesan gandaan kepada ekonomi dan sosial juga begitu signifikan.

Sokongan berterusan pengguna akan membolehkan syarikat tempatan mengekalkan prestasi jualan dan penghasilan, seterusnya membantu golongan petani yang membekalkan barangan keperluan asas (petani mendapat rezeki) kepada perusahaan juga dapat terus berkembang.

Apabila perusahaan yang dibentuk melalui kekuatan dalaman ini dapat mengharungi gelombang krisis ekonomi, mereka (pengusaha tempatan) ini akan dapat mengekalkan peluang pekerjaan buat rakyat dan masyarakat setempat yang terlibat.

Dengan pendapatan yang berterusan, para pekerja ini akan dapat terus berbelanja dan akhirnya duit itu akan kembali berkitar secara berterusan di dalam struktur pengekonomian setempat.

Malah, dalam konteks yang lebih umum lagi, penggunaan produk tempatan secara tidak langsung akan dapat membantu mengurangkan bebanan import negara (jangka pendek) dan menjadi titik tolak ke arah pemerkasaan penghasilan dalaman negara (self-contained economy) bagi jangka panjang.

Contoh mudah dengan apa yang saya maksudkan oleh 'self-contained economy' adalah dengan melihat cara negara Thailand membangunkan teknologi dan produk pertanian tempatan sehingga bukan sahaja berjaya memperkasa eksport ke luar negara (hingga boleh mempengaruhi harga beras serantau), malah secara jangka panjang tidak risau jikalau berlaku krisis kekurangan bahan asas makanan (beras).

Itu contoh negara luar yang percayakan produk tempatan untuk keuntungan ekonomi dalaman dan luaran. Bagaimana pula dengan negara kita?

Berkesankah langkah kerajaan bagi menggalakkan rakyat membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia?

Jawapannya: "Ya, berkesan, dan Tidak, tidak begitu berkesan".

Untung besar vs untung kecil

Tiada orang ingin melabur pada perniagaan yang untungnya kecil. Inilah dilema yang sering menjadi sebab mengapa kempen untuk membeli barangan buatan Malaysia masih belum begitu berjaya.

Para pengusaha tempatan sendiri nampaknya menghadapi kepayahan bagi mempercayai kemampuan sumber dalaman bagi menggerakkan perniagaan mereka.

Mudah kata, biarpun menghasilkan 'produk tempatan' di bawah jenama 'buatan Malaysia', ramai pengusaha sebenarnya mengimport bahan mentah mereka daripada negara luar.

Salahkah tindakan mereka itu? Tidak juga. Ini kerana mereka juga perlu memikirkan strategi untuk meminimakan modal, bagi memaksimakan untung perniagaan.

Contoh terkini dapat diperhatikan di dalam siaran Buletin Utama sebentar tadi di mana sebuah syarikat pembekal susu lembu segar tempatan terpaksa 'membuang' lebih 75,000 liter susu lembu (berlanjutan selama 2 bulan) berikutan 2 daripada 3 kilang yang membeli susu enggan menerima bahan mentah berkenaan.

Alasan yang diberi, menurut berita, susu yang import dari China (dan Thailand serta Indonesia) adalah jauh lebih murah berbanding bahan mentah (susu) yang disedia syarikat milik tempatan tersebut - rujuk foto.

Sumber: Berita harian online

Justeru, bagaimana untuk menjayakan kempen 'belilah barang buatan Malaysia' jika para pengusaha sendiri lebih mementingkan periuk nasi masing-masing dan tidak menyokong penghasilan tempatan?

Itu belum lagi dikira kesan rantaian iaitu terhadap masa depan para pekerja di ladang lembu berkenaan dan pihak-pihak lain yang berurus-niaga dengan syarikat tempatan tersebut. Pastinya kesemua yang berada di dalam 'rantaian' perkhidmatan terbabit akan menanggung risiko dan bebanan kewangan, malah jikalau berterusan mereka boleh 'gulung tikar'.

Satu lagi contoh yang relevan yang dapat kita perhatikan adalah perkembangan di dalam industri pembinaan negara. Dari mana datangnya bahan binaan berkualiti rendah, dibeli pada harga yang rendah (mengupah buruh yang rendah)? Digunakan pula untuk membina makmal sekolah, studium, kompleks pentadbiran kerajaan, rumah untuk golongan miskin dan banyak lagi?

Jika ditanya kepada pengusaha, jawapan mereka lain pula. Bukan mereka tidak menyokong industri tempatan.

Mereka kata pembekal tempatan tidak mampu memenuhi permintaan bekalan bahan mentah yang diinginkan.

Ini kerana dalam banyak keadaan, sesetengah pengeluar masih berstatus IKS (industri kecil dan sederhana) dengan kapasiti pengeluaran dan penghasilan yang terhad. Justeru, untuk memenuhi permintaan berskala besar adalah sukar.

Contoh lagi - bagaimana untuk pengusaha IKS tempatan mampu membekalkan 10,000 liter jus salak kepada Pasaraya Mydin, yang umum tahu menjual harga murah? Jika modal untuk membeli salak tempatan adalah RM8.00/kg, berbanding salak dari Indonesia iaitu RM3.00/kg? Dan bekalan tempatan sendiri tidak mencukupi untuk menampung keperluan 10,000 liter yang diminta?

Dilema inilah yang membuka pintu untuk para pengusaha aksess kepada bahan mentah yang diimport dan membuat untung secara maksima. Mangsanya? Fikirlah sendiri.

Bijak, dan jangan sampai kena pijak

Justeru, kempen pengguna bijak dan membeli barangan buatan Malaysia janganlah hanya tersandang di bahu para pengguna, malah pihak-pihak yang terlibat di dalam 'rantaian penghasilan' produk itu juga harus 'dikempen' dan dididik agar mendahulukan penggunaan bahan mentah dan sumber (buruh, modal, perkhidmatan sokongan) tempatan. Dan mana yang terkurang atau tiada kepakaran, barulah diimport.

Ini kerana kita ingin memastikan 'pengguna yang bijak' bukanlah slogan kosong atau sebenarnya kita menjadi pengguna yang tertipu dengan muslihat para pengusaha yang pintar dalam membuat iklan hinggakan dalam sedar kita sebenarnya menggunakan barangan berkualiti rendah yang murah, yang diimport (dari China, Thailand, etc.), yang cuma dilekatkan label 'Buatan Malaysia'.

Sekian.

PERMATApintar @ PERMATAelit?

Sekadar memberikan pandangan sebagai 'lay-man' @ orang kebanyakan.

Konsep yang menarik

Perlu saya akui bahawa komitmen kerajaan bagi menyediakan sistem dan persekitaran bagi pendidikan awal kanak-kanak (pendidikan di awal usia) yang terbaik, memang satu langkah yang terpuji dan wajar disokong.

Justeru, ke arah memantapkan lagi sistem pendidikan dan pengajaran awal, program PermataPintar (PP) telah dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri 1Malaysia iaitu D.S. Rosmah Mansur di kampus UKM baru-baru ini.

Turut dikhabarkan juga, peruntukan sebanyak RM100 juta bakal disalurkan untuk menggerakkan program PermataPintar pada kapasiti penuh.

Turut menumpang tuah adalah kampus UKM yang mana akan dibina kompleks yang menempatkan pusat PermataPintar ini.

Program 'anak emas'

Kepada sesiapa yang membaca artikel dan laporan tentang program PP ini akan melihat ianya merupakan 'brain-child' atau program yang dicetuskan oleh isteri PM, yang seterusnya diperkenal dan dipopularkan secara agresif kebelakangan ini.

Seingat saya, dahulu program dan kajian Permata ini dijalankan di UPSI (yang fokus kepada bidang pendidikan dan perguruan). Kini, bagi peringkat seterusnya telah dikembangkan ke UKM.

Jika kita lihat jauh sedikit lagi, kita akan melihat bahawa program ini akan menjadi 'selling-point' dan sumbangan isteri PM. Sebelum ini, batik. Diperkenal dan dipopularkan sehingga ianya dipakai setiap Khamis hujung bulan oleh penjawat awam. Siapa yang 'menjual' idea ini? Arwah isteri pertama Tun Pak Lah.

Kontroversi PP

Disebalik sokongan dan dokongan pelbagai pihak terhadap program PP ini, muncul suara dari luar arus perdana (Pakatan) yang mahukan penjelasan mengenai keperluan disalurkan wang peruntukan sebegitu besar bagi menggerakkan PP, sedangkan sebelum ini telah diadakan program 'Sekolah Kluster' dengan tujuan dan maksud yang hampir sama?

Juga ditimbulkan kesan dan keupayaan program PP ini untuk mengambilkira mereka yang miskin, dan dari kawasan luar bandar.

Daripada apa yang cuba ditonjolkan media massa, pelancaran, perancangan kompleks, modus operandi PermataPintar ini dilihat dari kacamata orang biasa lebih menjurus kepada Permata Elit (PE). Atau dalam bahasa mudah, program itu ditonjolkan secara ekslusif dan elit sekali, berbeda dengan semangat menyediakan perkhidmatan pendidikan secara yang menyeluruh.

Dengan siapnya kompleks berjuta ringgit di kampus UKM kelak, murid pintar ini akan 'diasingkan' dari mengikuti suasana pembelajaran normal bersama rakan normal di sekolah. Dan dikumpulkan dikalangan yang terbaik, di antara yang terbaik.

Bukankah baik jika program PP@PE ini terus dimasukkan sebagai sebahagian rangka silabus dalam struktur Sekolah Kluster yang telah dikenalpasti dan ianya terus boleh dilaksanakan.

Dengan cara itu juga, pihak yang berkaitan dapat terus menjalankan penilaian dan kajian perbandingan kesan langsung di sekolah-sekolah terlibat. Contoh kajian adalah seperti adakah wujud peningkatan pencapaian murid yang mengikuti silabus PP berbanding murid biasa dalam persekitaran yang sama? etc.

Juga tidak membazir jika digunakan dana RM100 juta itu dengan menjadikan Sekolah-Sekolah Kluster (baik di bandar, mahupun di luar bandar) ini sebagai 'pilot projects' program PP ini. Barangkali dengan prasarana yang telah sedia ada (tidak perlu bina yang baru), ianya tidaklah menelan belanja sehingga RM100 juta.

Dari segi pengurusan pula, tidaklah saya tahu secara terperinci agensi yang bertanggungjawab memantau perlaksanaan dan penilaian program PP ini. Barangkali juga telah dijelaskan hal ini, cuma saya yang terlepas pandang. Apapun, diharapkan janganlah apabila timbul sebarang kecacatan dan kelemahan, masing-masing pihak saling menuding jari.

Ini kerana telah banyak kes, setelah timbul sesuatu isu, masing-masing menuding jadi dan yang ruginya, anak-anak ini juga.

Sudah masuk gear

Untuk berundur sudah terlambat kerana persediaan dan kelengkapan telah siap (dan bakal siap). Saya cuma berharap agar di akhirnya program yang murni seumpama ini akan dapat menonjolkan ciri-ciri kesederhanaan dan bukannya menonjolkan imej elitis dan keterasingan/darjat keistimewaan dengan murid-murid lain yang mungkin pada peringkat awal perkembangan minda mereka, tidak begitu pintar.

Ini kerana ramai juga insan yang lambat berkembang mampu menjadi lebih pintar dan berjaya membawa inovasi ke dalam kehidupan berjuta manusia yang awalnya lebih pintar.

Dan lebih penting bagaimana program yang 'canggih' sebegini dapat menyelamatkan bakat-bakat pintar dari keluarga miskin dan mereka dari kawasan luar bandar dalam negara 1Malaysia ini. Sekian.

Ke Putrajaya

Petang tadi saya menemani isteri ke Kementerian Kewangan di Putrajaya, bandar baru yang serba moden, gah dan menjadi ikon dan lambang kemajuan pesat negara.

Ini merupakan kali yang ke-2 sejak pulang ke tanah air kami bertandang ke Putrajaya. Kali pertama ke Kementerian Pengajian Tinggi (di Menara PJH, dekat tasik Putrajaya) bagi urusan surat pengesahan sebagaimana diperlukan bagi visa Mawaddah dan kali ini isteri ada temubual dengan pegawai di Kementerian Kewangan (KK) berkaitan kajiannya.

Tidak banyak yang berubah, pelawat masih berpusu-pusu mengunjungi Masjid Putra yang tersergam di gigi tasik, cuma kawasan di sekeliling 'roundabout besar' Pejabat Perdana Menteri telah dipagar, mungkin ada kerja-kerja menaiktaraf kemudahan bagi pengunjung.

Kami sempat makan di Alamanda Putrajaya yang tidak begitu sukar dicari bagi anda yang datang dengan kereta sendiri. Malah perkhidmatan bas (Nadi Putra dan Rapid) juga kerap. Nampaknya, ramai yang berkunjung ke Alamanda di waktu ini, terutama kakitangan kerajaan dari pejabat-pejabat yang berhampiran.

Kami juga sempat bersolat dalam keadaan yang selesa di Masjid Putra, sebelum saya melepak-lepak di atas bangku di 'pocket park' berdekatan bangunan-bangunan kerajaan di Presint 2 itu - sementara menunggu isteri selesai kerja. Seronok sebab berangin dan teduh.

Selesai urusan di KK, kami ke Presint 1 (Anjung di Parcel E), bersebelahan Kementerian Kesihatan. Dan di sinilah bermula kisah sedih.

Terperanjat saya mendapati berlaku kesesakan lalulintas yang teruk di Parcel tersebut. Kereta-kereta diletakkan di merata tempat (kereta pengunjung dan staf). Hampir saja tiada ruang TLK yang kosong. Semua penuh!

Dengan segala perancangan yang rapi sesuai dengan statusnya sebagai 'a planned city', sebenarnya tidak seharusnya berlaku gejala kesesakan mahupun ketidakcukupan TLK di mana-mana tempat di Putrajaya.

Ini kerana tujuan asal pejabat-pejabat kerajaan persekutuan dipindahkan dari ibukota Kuala Lumpur ke Putrajaya adalah untuk memudahkan orang ramai (rakyat) berurusan dan mengurangkan gejala kesesakan perbandaran (overcrowding) dan mengurangkan tekanan kesesakan lalulintas.

Namun, baru 10 tahun ianya dibangunkan, Putrajaya nampaknya mula dihimpit fenomena dan penyakit yang sama dengan lain-lain kawasan perbandaran di 1Malaysia.

Tidaklah ingin diterangkan bagaimana sukarnya untuk memandu (bukan untuk mencari TLK) di jalan yang sempit (disempitkan dengan tindakan pemandu yang membuat parking berlapis) kerana perkara yang lebih besar adalah pihak Perbadanan Putrajaya hendaklah segera bertindak mengurangkan tekanan jumlah kenderaan dan ruang TLK di kawasan-kawasan panas/tumpuan (hotspots) di Putrajaya.

Hendak menyalahkan pengguna pun sukar juga kerana mereka datang dari segala ceruk rantau untuk berurusan di Pejabat Persekutuan yang terletak di Putrajaya. Jika pejabat-pejabat kerajaan ini masih di Kuala Lumpur, mungkin saja pengguna boleh menggunakan kemudahan Bas, LRT, komuter dan sebagainya. Ditambah pula dengan cuaca kering dan panas terik, tidak menggalakkan rakyat untuk menunggu perkhidmatan bas.

Begitu juga bagi yang ingin berurusan dengan beberapa agensi kerajaan, yang bukan dekat letaknya diantara satu bangunan dengan bangunan yang lain.

Memang diakui Putrajaya melaksanakan sistem 'Park n Ride', tetapi mungkin ianya tidak benar-benar dipromosikan kepada para pengguna kenderaan persendirian, sehingga tidak ramai yang tahu dan faham cara ianya beroperasi.

Jika terasa sukar untuk mendekati setiap rakyat yang datang ke Putrajaya, pertingkatkan usaha iklan di 'billboard' sekitar Putrajaya, mahupun menampal hebahan mengenai 'PnR' ini di setiap bangunan kerajaan.

Mungkin juga jika tidak ingin menambah bilangan TLK, yang jika ditambahpun tidak akan menyelesaikan masalah (kerana kereta tetap bertambah saban hari), pihak berkuasa mungkin boleh meningkatkan usaha penguatkuasaan agar para pengguna lebih berdisiplin. Contoh yang sering saya lihat adalah operasi berterusan pihak berkuasa MPSJ (Subang Jaya) yang berjaya menggerunkan para pengguna kenderaan persendirian di zon komersil yang sesak sehingga mereka sanggup untuk berjalan jauh sedikit daripada dikenakan saman.

Situasi di Parcel E ini pada pandangan saya perlu ditangani segera kerana pertama, ianya terletak di 'gerbang masuk' ke Putrajaya, yang boleh menimbulkan persepsi negatif buat pelawat.

Yalah, nampak bangunan semuanya indah dengan senibina yang menarik, landskap dan kemudahan taman memang kelas dunia, tetapi jalannya sesak, banyak asap dan persekitaran diburukkan dengan kereta yang diletak merata-rata hingga menyusahkan ramai pengguna lain dan merosakkan kawasan hijau.

Kedua, hasil pengamatan singkat tersebut juga menunjukkan kawasan Presint 1/Parcel E itu memang menghadapi masalah kesesakan dan kekurangan TLK, ini kerana sepanjang memandu di sekitar Putrajaya, bahagian lain seperti Presint 2 dan lain-lain tempat, tidak pula dihimpat masalah yang sama.

Cegah sebelum parah. Amatlah malang jika bandar Putrajaya yang cantik dan 'well planned' ini untuk tahun-tahun berikutnya, akan dicacatkan dengan pemandangan jalan yang sesak serta kereta-kereta yang parking melintang di sana-sini dek masalah ketidakcukupan tempat letak kereta (TLK).

Dr. Sepet: Rancang - Bangun - Kawalselia - Tambahbaik.

Wednesday, 9 December 2009

Peragut pun menangis....huhu..tulah buat jahat lagi!

jap lagi update!

Dengarnya: Kuasa guru besar 'diperbesar'

Saya ada terbaca satu berita di akhbar Kosmo hari ini yang membawa tajuk "Pengetua, Guru Besar Diberi Kuasa Pecat Guru" dan disebelah artikel tersebut segera dilaporkan ulasan oleh NUTP "Hati 380,000 guru terluka - NUTP"- Kosmo, halaman 4 (Rabu 9 Disember 2009).

Harap-harap ada di kalangan anda yang turut membacanya.

Merevolusi

Artikel tersebut melaporkan ulasan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi pada Sidang Dewan Rakyat Ke-12 yang berkata MUNGKIN pada masa depan guru besar akan dipertimbangkan untuk diberikan kuasa bagi mengambil dan memecat guru di sekolah mereka.

'Pembesaran' bidang kuasa kepada guru besar ini kata beliau MUNGKIN dibuat bagi merevolusikan sistem pendidikan negara.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka (guru besar) boleh melakukan hire and fire. Mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang"- Dr. Mohd Puad Zarkashi, Kosmo (hal. 4).

Hati guru terluka

Terkejut dengan pernyataan Mohd Puad tersebut, Hashim Adnan, Presiden NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) telah menyelar SEANDAINYA menjadi kenyataan keputusan Kementerian dimasa hadapan iaitu guru besar dan pengetua dibekalkan dengan kuasa untuk 'hire and fire'.

Pernyataan Timbalan Menteri yang pandai itu juga menurut Hashim telah menyinggung dan melukakan hati 380,000 orang warga pendidik yang selama ini telah banyak berkorban untuk negara dan anak bangsa.

"NUTP sedih kerana jasa guru yang selama ini diangkat martabatnya kini dicampak, dihina sedemikian rupa dan menimbulkan rasa sedih dalam dunia pendidikan negara"- Hashim Adnan, Presiden NUTP, Kosmo (hal. 4).

Apa yang menarik adalah logik yang dibentangkan NUTP bahawa kejayaan, mahupun kegagalan sesebuah sekolah melahirkan pelajar yang cemerlang, tidak kira dari segi keputusan peperiksaan mahupun kokurikulum, tidak hanya disebabkan faktor guru semata. Malah banyak lagi faktor lain yang 'disekitarnya' yang turut mempengaruhi prestasi pembelajaran pelajar di sekolah.

Faktor yang pelbagai ini boleh juga disumbang oleh pihak pentadbiran sekolah, malah halatuju yang dibawa oleh guru besar atau pengetua itu sendiri, selain aspek kemudahan dan komitmen pelajar itu sendiri.

Turut terlintas di kepala saya ialah SEANDAINYA jadi dilaksanakan keputusan ini, bagaimana ianya boleh menjamin tidak berlaku penganiayaan kepada para guru dan pendidik yang KOMITED terhadap tugas mereka, namun dalam waktu yang sama BERBEZA FAHAMAN (aspirasi dalam pendidikan, method pengajaran, atau mungkin hal berkaitan perbezaan ideologi politik) dengan sang guru besarnya?

Apakah dengan keengganan mereka untuk 'mengipas boss' atau 'nampak lebih pandai @ advanced dari bos' boleh meletakkan karier dan masa depan mereka dalam bahaya?

Dan apakah kita ingin lihat di masa hadapan guru pula akan lebih banyak menghabiskan masa untuk 'menjaga periuk nasi sendiri a.k.a bermain politik di pejabat' daripada terus komited mendidik anak bangsa?

Bidang kritikal

Sependapat dengan NUTP (kerana sedikit sebanyak sebagai pendidik saya turut faham), Timbalan Menteri yang pandai itu perlu sedia maklum bahawa bidang perguruan adalah suatu bidang yang kritikal (sebagaimana bidang perubatan juga).

Untuk mendapatkan guru yang mencukupi dan komited mengajar (dan belajar) di bandar dan luar bandar, bukan suatu target yang mudah untuk dicapai. Justeru apa yang seharusnya dilakukan bukanlah dengan cuba MENGUGUT sang pendidik dengan menimbulkan idea 'hire and fire', sebaliknya terus berpegang kepada Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang telah dipersetujui dan beristiqamah (berterusan) dengan usaha ke arah memantapkan profesion dan kemahiran para guru yang sedia ada, dan mereka-mereka bakal menjadi guru.

Dengan cara itu juga, akan berkuranglah usaha pihak kerajaan yang lain (terutama Kementerian Sumber Manusia) untuk menempatkan 'guru tiada sekolah' ke lain-lain profesion di masa hadapan.

Sekian.

Dr. Sepet: Ada mak ayah kata guru besar sekolah adik sombong, macamla gaji RM10k sebulan. Jumpa ibubapa pun susah nak senyum, apatah lagi nak beramah mesra. Kalau 'orang luar' sendiri dah kata macam itu, 'orang dalam' entah bagaimana pula ye melihat beliau? Sekadar bertanya...

Monday, 7 December 2009

Ayat 'sama' bolasepak Malaysia

"Amaran keras buat skuad B-23 negara ke Sukan SEA di Laos" - sumber
"Skuad bolasepak (dan futsal) wanita negara dilarang menyertai kejohanan antarabangsa (kecuali persahabatan)" - sumber

-Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaludin

Apalah Nasib

Malas nak mengulas perihal skuad bolasepak wanita. Cukuplah angka kekalahan 0-14 kepada Thailand dan tewas 0-8 kepada Vietnam menceritakan tahap dan kualiti sebenar permainan Malaysia.

Nak kata pemain Malaysia main bola berkaki ayam dan tak berbaju pun tak juga. Semua cukup lengkap.

Berlatih? Rasanya siap dengan jurula(e)tih pun ada. Salah tatacara pemakanan? Rasanya tiada yang kena ikat perut atau berpuasa dalam waktu persediaan...

Nasib? Kalau nak dibebankan ke atas 'nasib' semata, baik pakat-pakat main PS2 ,tak pun main Championship Manager. Tak penat badan dan tidak terbuang duit rakyat.

Harapan yang palsu lagi

Sememangnya perhatian para peminat bolasepak tempatan tidak begitu terarah kepada skuad wanita kerana 'faham' dengan segala bentuk kelemahan yang mereka miliki.

Malah, mutu permainan dan kualiti pemain skuad wanita juga diketahui umum semakin terkebelakang berbanding permainan negara kerdil, mundur dan miskin lain di rantau ini, yang sebaliknya, skuad mereka terus mempamerkan peningkatan.

Cuma, apabila skuad bolasepak B-23 tewas kepada lawan yang turut menewaskan skuad wanita, Vietnam dengan keputusan 1-3, selepas menang bergaya 11-0 kepada Timor Leste pada perlawanan pembukaan, agak mengecewakan saya.

Saya tidaklah meletakkan harapan untuk Malaysia menang, tetapi tidaklah menyangka skuad Malaysia gagal meneruskan momentum dan suntikan moral hasil kemenangan besar ke atas Timor Leste.

Akhirnya, skuad negara terus 'disayurkan' oleh skuad Vietnam.

Biarpun faktor pemain ke-12 (pengadil) dijadikan sebab dan punca ketewasan skuad negara, namun secara profesionalnya (pinjam kata-kata KJ), skuad negara boleh mempamerkan aksi yang lebih baik dan mantap pada perlawanan tersebut jika mengambilkira faktor menang besar ke atas lawan sebelumnya, dan persediaan rapi skuad negara sebelum itu lagi.

Namun, itulah realitinya. Kita pembaca akhbar di ruangan sukan (kerana tiada lagi siaran langsung di kaca TV), sekali lagi disajikan dengan 'harapan palsu', yang entah bila akan dapat kita kecapi manisnya menewaskan lawan-lawan serantau seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Liga budak sekolah

Corak dan pengelompokan pasukan bola sepak di rantau Asia Tenggara boleh saya contohkan sebagaimana berikut:

===============
Budak Tingkatan 1 = Negara mundur seperti Timor Leste dan negara bukan suka bercakap mengenai bola seperti Brunei dan Filipina.

Budak Tingkatan 3 = Negara yang mudahnya, seperti Malaysia yang cakap berdentum-dentum, prasarananya canggih, tapi hasilnya tidak sekuat mana.

Budak Tingkatan 5 = Negara yang tidak jauh beza dengan kelompok kedua, tetapi dalam tidak banyak cakap, prestasi mereka masih dikira antara yang terbaik di rantau ini.

SBP (Sekolah Berasrama Penuh) = Tapak pertandingan, seperti Sukan SEA.
===============

Itu hari, Budak Tingkatan 3 (MAL) 'ketuk' Budak Tingkatan 1 (TL), 11 kali tak berbalas. Punyelah gembira bebudak Ting. 3 nih.

Tapi, tidak lama selepas tu, Budak Tingkatan 3 tu pulak kena 'ketuk' dengan Budak Tingkatan 5 (Viet) sebanyak 3 kali sebelum dia sempat juga curi-curi ketuk balik 1 kali.

Tidak lama lagi, Budak Ting. 3 ni akan sekali lagi berdepan kawan di Budak Ting. 5 (Thai), yang akan menentukan cerah atau kelamnya harapan bebudak Ting. 3 ni.

Sudah adat

Kepada para peminat fanatik pasukan B-23 negara, janganlah terasa hati setelah membaca artikel ini.

Itulah adat orang bertanding, yang menang akan dipuji dan yang kalah (dengan ayat yang sama tu juga) biasanya dikeji.

Manakan mungkin untuk memuji dengan kekalahan yang diterima, setelah sekian lama ditabur dengan harapan palsu dan berjuta ringgit wang rakyat terbuang saban tahun buat mereka.

Sampai bila kita nak jadi seperti kata pepatah:

"ada tidak menambah, tiada tidak berkurang" - ada macam tiada.

Dan tambah pedih hati jika kita menyaksikan pasukan B-23 membuktikan kebenaran pepetah tersebut dengan menjadi pasukan paling awal berlepas pergi dan paling awal juga berlepas pulang ke tanah air.

Dengan baki perlawanan yang ada, biarpun nasib 'Budak Tingkatan 3' ini yang diibaratkan bagai telor di hujung tanduk, hendaklah manfaatkanlah 'tanduk' itu untuk 'menanduk' dan menundukkan lawan yang seterusnya.

Janganlah pula digunakan telor yang tersepit itu untuk dibaling kepada pasukan lawan mahupun pengadil perlawanan.

Sekian.

Thursday, 26 November 2009

Menempuh zaman fitnah

Sepertimana yang telah dikhabarkan kepada kita beribu tahun lalu, di dalam kitab suci Al-Quran bahawa akan tibanya zaman di mana fitnah akan bermaharajalela.

Akibat fitnah yang begitu luas tersebar, pemimpin yang baik telah tidak lagi dihormati, sementara pemimpin yang korup jualah yang disanjungi. Ramai yang 'tidak' menolak agama, tetapi tidak berminat untuk mengamalkannya lagi.

Ramai yang bising tentang halal-haram makanan di kopitiam, berbanding menegur perbuatan dosa anak-isteri sendiri yang tidak menjaga aurat mereka.

Perkara mengenai hak-batil serta halal-haram dilihat tidak lagi tertegak di atas landasan kepatuhan kepada tuntutan agama yang suci, melainkan berpandukan menerimaan majoriti (yang menolak ajaran agama).

Inilah yang mula terjadi dan kesannya begitu menganggu setiap kita kerana garis yang memisahkan yang hak dengan yang batil (benar dengan palsu; halal dengan haram) nampaknya begitu kabur dan hampir saja mulai hilang.



Tuesday, 24 November 2009

Khabar kepulangan

Menyampaikan pesanan rakan-rakan dan bekas pelajar buat sesiapa yang mungkin melayari dan membaca blogspot ini.

Pada 22/11/09 jam 11.49 malam, saya menerima satu s.m.s memaklumkan bekas guru / rakan seperjuangan Dr. Amiruddin Abu Bakar (Bapak) telah dijemput pulang Allah SWT.

Sumber foto: sini

Sebagai salah seorang daripada anak murid yang pernah menerima didikan bapak kira-kira 7 tahun yang sudah, dan dengan ilmu yang beliau curahkan sehingga saya menjadi manusia (dan akhirnya berjuang bersama bapak sebagai pendidik anak bangsa), kepulangan bapak begitu saya rasai.

Tambah mendukacitakan saya kerana saya kini telah pulang (seketika) ke tanah air, dan hajatnya memang ingin menziarah rakan-rakan (bekas guru), namun dek kesibukan tugas, banyak perkara perlu dianjak-anjak hingga beginilah kesudahannya.

Apapun, pesan dan nasihat serta segala tunjuk ajar bapak akan saya ingat, kenang dan amalkan. Mudah-mudahan ilmu yang bermanfaat ini akan terus tercatat dalam buku amalan kebaikan dan pahalanya sampai buat bekalan bapak di alam sana.

Al-fatihah....

nota:

Semalam (malam Rabu selepas Isya, kami sekeluarga menghadiri majlis tahlil yang dibuat di kediaman arwah - bantuan Pn Azina dan suami. Di majlis tersebut juga saya sempat meluangkan masa bertemu dan berbual dengan beberapa guru (kini jadi kawan) termasuklah Dr Ibrahim, Hj Mahadi (Pengarah Jab. Perancangan Bandar DBKL), Prof. Mansur Ibrahim (UIAM) dan beberapa tetamu yang lain.

Begitu cepat masa berlalu dan kelihatannya guru-guru saya mula meniti waktu 'lama'. Apapun di kesempatan yang singkat itu pelbagai isu dan input terkini berkaitan bidang PBW dan IPT telah dikongsi dan banyak nasihat serta motivasi telah saya terima.

Bak kata pelajar saya di blog beliau, pemergian Bapak bukanlah untuk berterusan kita tangisi, tetapi gunakanlah segala ilmu yang kita dapat sepanjang mendapat tunjuk ajar arwah untuk dipraktikkan bagi manfaat ummah. Itu yang menjamin kebahagiaan dan manfaat yang berkekalan.

Wassalam.

Saturday, 21 November 2009

Bayangkan dunia ini selepas kepupusan manusia

Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri - bagaimanakah keadaannya bumi dan alam ini setelah seluruh manusia pupus dari muka bumi ini?

Inilah yang cuba diselami para saintis di dalam dokumentari bertajuk "Life after people" - iaitu kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku kepada alam ini setelah manusia lama pupus.

Penduduk bumi = 0 orang

Berikut adalah perkara-perkara yang diramal oleh para saintis boleh berlaku kepada bumi:

1) Dengan tiada lagi manusia untuk menghidupkan suis lampu, pancaran lampu buatan manusia ke langit (spotlight) di waktu malam tidak lagi berlaku. Pencemaran langit/cahaya tidak lagi menggugat atmosfera.

2) Stesen janakuasa tidak akan diisi dengan bahan api fosil (kerana tiada pekerja dah), dan dengan ketiadaan kuasa, tiada apa yang akan beroperasi lagi - kilang, mesin dan jentera, pam air, loji rawatan kumbahan, etc. Kincir angin dan penjana solar yang turut menjanakan kuasa turut akhirnya musnah kerana tiada sesiapa yang menyelenggaranya.

KLCC di Malaysia turut tidak terkecuali

3) Tanpa pam air, stesen keretapi bawah tanah (subways) dan jalan raya akan ditenggelami banjir. Bagi negara beriklim sejuk, pembekuan dan pencairan akan turut merosakkan konkrit yang tidak dijaga.

4) Disebabkan pencemaran tidak lagi berlaku (kerana tiada manusia), rumpair dan tumbuhan menjalar akan mula menyelaputi kawasan-kawasan bandar.

5) Tiada lagi pencemaran daripada kereta dan perindustrian/kilang. Sesetengah bahan cemar yang berada di atmosfera akan dineutralkan dalam tempoh 1 minggu. Sesetengah yang lain seperti chlorofluorocarbons dioxins and juga racun DDT, akan mengambil masa lebih lama untuk dineutralkan. Perkara yang paling memeningkan kita, kandungan gas karbon dioksida (CO2), akan perlahan-lahan diserap oleh lautan ke tahap maksimanya dalam tempoh 1000 tahun. Namun, kira-kira 15% CO2 akan terus kekal di atmosfera bumi, untuk mempengaruhi iklim bagi tempoh hingga 1000 tahun selepas manusia berhenti mencemarinya.

Mercu tanda Paris ini mula melalui 'tempoh tua'

Alam akhirnya mengambil semula 'haknya' dari tangan manusia

6) Pancaran kilat akan menyebabkan pejabat yang penuh dengan kertas mengalami kebakaran disebabkan wayar/rod bumi yang telah berkarat dan usang. Binaan konkrit juga mulai runtuh dan merosakkan struktur sedia ada bangunan, namun tinggalannya masih betahan untuk beribu tahun yang mendatang - sama sepertimana kita menjumpai kota-kota lama hasil tamadun silam / purba seperti di Mesir, Indo-China, Aztec dan Mayan, etc.

7) Peti kebal di bank pula boleh terus bertahan lebih lama dengan wang kertas dan ketulan emas kita masih selamat di dalamnya. Sesetengah bahan plastik pula dijangka akan terus kekal untuk tempoh beberapa ratus ribu tahun, sehinggalah mikroorganisma pengurai berevolusi da mampu menguraikannya.

Tiada lagi istilah haiwan peliharaan - semuanya menjadi haiwan liar yang kembali mendominasi alam

8) Sisa buangan nuklear buat masa ini akan kekal selamat dalam simpanan untuk beratus ribu tahun yang mendatang tanpa pengawasan, yang dalam tempoh itu, risiko radiasi juga akan turun secara drastik. Reaktor yang aktif, bagaimanapun, mungkin akan bocor, terbakar atau mencair, membebaskan jumlah pencemar radiasi yang tinggi. Namun, setelah diperhatikan kes Chernobyl, di mana alam dengan cepat 'merawat diri', menjadikan kesan radiasi tidak begitu membunuh.

9) Sesetengah ekosistem mungkin tidak akan kembali pulih kepada keadaan yang sama sebelum manusia mengolah alam ini.

10) Haiwan yang dijinakkan dan dibiak dalam sangkar dan tumbuhan juga, akan berevolusi untuk kembali kepada sifat semulajadi nenek-moyang mereka. Tiada lagi 'cute little poodle' berjalan-jalan di taman.

Jambatan dengan wayar besi keluli akan runtuh, begitu juga kerosakkan pada konkrit

11) Spesis yang diancam bahaya kepupusan akan kembali mendominasi kerana kembali mendapatkan habitat asal mereka. Namun, sesetengah spesis turut tidak terkecuali daripada kepupusan tanpa bantuan dan perlindungan manusia disebabkan ketidakpelbagaian spesis (jumlah semasa terlalu kecil) dan mengalami gangguan ekologi yang kritikal sewaktu tempoh penyembuhan tersebut.

12) Populasi tikus, biarpun bukan spesis diancam kepupusan akan 'hilang' disebabkan tiada lagi sampah yang dibuang manusia. Begitu juga dengan lipas yang mana tiada lagi bangunan dengan pemanas suhu di dalamnya.

Bangunan-bangunan mula diselaputi rumpair dan tumbuhan menjalar

13) Populasi ikan akan perlahan-lahan mengalami pemulihan (bertambah) daripada kegiatan 'overfishing' sebelum ini. Terumbu karam dan lain-lain organisma juga akan turut kembali menghuni dan membiak di dasar lautan.

14) Selepas beberapa juta tahun, hampir setiap jejak dan bukti (ketamadunan) yang menunjukkan kehadiran dan kewujudan kita, manusia di bumi ini, akan lenyap sepenuhnya......

Sumber: terjemahan dari Astroview/October 2009, pp. 24.

Thursday, 19 November 2009

Mawaddah: Apa cite saya?

Assalamualaikum semua...

Setelah sekian lama menyepi dari dunia penulisan blog ini (di atas faktor-faktor kesibukan bermain di rumah), saya kini tampil dengan perkhabaran terkini aktiviti-aktiviti saya setakat hari ini di tanah air.

Mula-mula...

Alamak, gatal pulak hidung ni!

Pulang kali pertama ini, Mawaddah banyak menghabiskan masa di jalan raya (bukan merempit, tetapi dikurung di dalam kereta) memandangkan ayah dan ibu perlu melawat ke pelbagai lokasi di 3 negeri pantai timur - untuk keperluan penyelidikan mereka.

Banyak kali jugalah mawaddah dibawa mengikut mereka berulang-alik dari Subang Jaya ke Kuala Terengganu (KT), Kota Bahru (KB), Johor Bahru (JB) dan pelbagai tempat lagi.

Apapun, jauh berjalan luas pemandangan. Tengok tempat orang. Tidur pun sedap juga dalam kereta!

Inilah kereta (baru) yang membawa kami semua ke hulu dan ke hilir - juga praktikal untuk meredah banjir di beberapa buah kawasan

Telah agak lama ayah dan ibu tidak ke Kota Bahru, KB Bandaraya Islam. Pemerhatian kasar mendapati KB nampaknya membangun lebih pesat berbanding KT (secara fizikalnya).

Namun, selari dengan perubahan fizikal, perubahan dan kemodenan turut mengubah corak sosio-budaya masyarakat Melayu di KB (mulai setara dengan golongan moden lain di bandar-bandar besar di Pantai Barat).

Pakaian anak-anak muda dan cara pergaulan (bebas) mereka juga mencerminkan betapa 'kemodenan' telah tiba.

Untuk menyedapkan cerita, sewaktu kami tiba di Bachok, terserempak dengan Pak Ngoh yang dalam perjalanan pulang ke KT.

Terkejut kami apabila diberitahu yang kereta beliau telah dipecah masuk pencuri - di waktu tengah hari dan keretanya diletak di bahu jalan besar dalam bandar KB (diulang, pecah kereta di tengah hari, di tengah bandar), apa nak jadi!

Kesihan Pak Ngoh, pulang bertugas dalam keadaan sehelai-sepinggang!

Apapun di KB, nama Mawaddah memang glamour rupanya...tengok beberapa foto yang sempat ibu rakamkan.

Eh! Eh! Sejak bila Mawaddah bukak tadika nih?

Kat kedai jual kain baju pun ade juga...

Selesai urusan di KB, kami bertolak pulang ke Terengganu. Dalam perjalanan tu, sempat juga kami singgah di Pantai Rhu Spuluh, Setiu.

Pantai ini memang tempat kegemaran ayah dan ibu untuk singgah sebentar, mendengar deruan ombak, merasa tiupan angin laut, membasahkan kaki dan bermain pasir serta merakamkan foto sebagai tanda kenang-kenangan.

Kini, obsessi mereka turut dikongsi dengan Mawaddah.

Yahuuuu.... Nyaman sungguh angin laut nih!

Gelilah tapak kaki...pasir yang halus dan putih

Ibu angkat Mawaddah

Mungkin ada yang tak tahu yang Mawaddah ada Mak Teh yang kini sedang menuntut di UiTM Dungun.

Makanya, di kesempatan yang ada, Ibu dan ayah membawa Mawaddah melawat Mak Teh di 'sekolahnya' - juga berhadapan dengan pantai...

Kereta yang sama ni lagi...

Bersama Mak Teh (mesti rasa letih layan kerenah Mawaddah, kan?)

Pemandangan yang mendamaikan...

Banyak sudah bercerita ni, nak dengar sikit lagi?

Sewaktu di kampung, Ayah sempat 'pulang ke sekoah' lamanya (SK Peroh), menghadiri majlis penyampaian hadiah Pok Chek dan Pok Su Mawaddah.

Ayah sedang buat-buat sibuk membaca buku aturcara...

Pok Chek menerima sijil penghargaan

Pok Su ngan Mat Alih sedang mengacau pelajar yang ingin naik ke pentas

Sememangnya Mawaddah menjadi insan yang paling sibuk di rumah tok. Mujurlah ramai pak cik yang sudi melayan.

Mawaddah bersama To'ki dan Pok Cik

Rasanya, cukuplah sekadar itu dahulu. Sebenarnya banyak lagi cerita dan foto yang hendak dikongsi, tetapi biarlah dikeluarkan 'beransur-ansur'.

Bye-bye!!!

Tuesday, 3 November 2009

Perancangan Kampus Mapan: Idea awal

Minggu lepas sewaktu menemani John di UTMJB, beliau ada berbincang dengan saya, rentetan pertemuannya dengan Dato' NC UTM, yang inginkan pandangan beliau - "bagaimana untuk merancang ke arah persekitaran kampus yang mapan" (planning for sustainable campus).

John nampaknya tertarik dengan aspirasi NC yang berfikiran jauh dan terkehadapan dalam hal sebegini.

Namun, tidak kurang juga John melihat 'banyak bakal-bakal' cabaran yang perlu didepani pelbagai lapisan warga kampus jika UTM bersungguh untuk bergerak ke arah persekitaran kampus yang mapan di masa hadapan.

1) Cabaran persekitaran fizikal

Tidak dinafikan kampus UTMJB begitu luas, dan kawasan-kawasan Desa Siswa didirikan agak jauh dan berselerak dari zon pentadbiran (centre area) dan fakulti-fakulti.

Kesannya, pelajar memerlukan suatu mod pengangkutan yang 'terbaik' buat mereka berulang-alik dengan bebas dari Desa Siswa ke fakulti.

Makanya, dengan membayar RM2, para pelajar akan memperoleh satu pelekat kenderaan untuk 'mengesahkan' penggunaan kenderaan (motosikal atau kereta) di dalam kawasan kampus.

Bilangan kenderaan dalam kampus saban tahun makin bertambah, hinggakan setiap TLK (tempat letak kenderaan) yang disediakan, masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah kenderaan yang masuk ke kampus ini.

Akhirnya, kampus sesak dengan kenderaan, jalan raya sudah tidak selamat buat pejalan kaki dan penunggang basikal. Malah, selain kawasan kilang, kampus UTM sendiri kini menjadi menyumbang utama pencemaran udara di sekitar Skudai!

Malah, jika diperhatikan keadaan topografi kampus sendiri begitu berbukit sehingga menyukarkan pembinaan laluan berbumbung yang menyeluruh. Malah, banyak kawasan dan fakulti terputus laluan pejalan kaki (fakulti kejuruteraan kimia dan gas asli, kejuruteraan elektrik, pusat sukan, etc) yang mengurangkan minat warga kampus untuk berjalan kaki.

Selain itu, faktor cuaca juga tidak dapat tidak perlu diambilkira. Ini kerana apabila hujan, bukan sahaja 'air hujan' yang perlu kita berhati-hati, malah kilauan 'petir' juga perlu diawasi.

2) Cabaran perubahan minda dan sikap

Aspek ini sebenarnya yang wajar diubah jika mahu memastikan prinsip kemapanan dapat diaplikasikan di dalam idea perancangan kampus yang mapan.

Kata orang, jika sedari awal lagi telah diwujudkan 'mental-block', maka berbuih mulut berceramah pun tidak akan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan.

Contoh, apabila ditanya staf dan pelajar, akan sebab mereka gemar berkenderaan ke fakulti (berbanding menggunakan perkhidmatan bas awam yang disediakan), antara jawapan mereka:

- inginkan waktu yang lebih fleksible (naik bas kena ikut jadual) dan kurang menunggu.
- tidak suka berebut.
- kena buat banyak kerja di lapangan (luar kampus).
- ingin keluar malam (atau ada keperluan kerja hingga waktu malam).
- tiada perkhidmatan bas ke bandar (Skudai dan JB).
- mampu untuk berkenderaan (wang PTPTN ada) dan menjimatkan (masa).
- kelemahan kemudahan bas (sering penuh - terlewat tiba di kuliah, bas tidak selesa, hari hujan selalu basah kerana pondok bas kecil, etc.).
- laluan berbumbung tidak menghubungkan kuliah dengan Desa Siswa.
- tidak mahu berpenat semata-mata ingin ke kafeteria (tempat makan).

Idea ke arah kampus mapan

"Tidak kenal, maka tidak cinta".

Namun, bagaimana untuk ada rasa cinta jika awal-awal lagi perhubungan itu meletakkan perbezaan (pendapat) di depan, sedangkan sepatutnya meletakkan persamaan (dan keterbukaan) sebagai permulaan mencari titik tolak.

Makanya, carilah potensi dahulu. Dari potensi itu barulah difikirkan bagaimana untuk mengembangkannya demi kebaikan. Kemudian masukkan cabaran dan lihatlah bagaimana ianya wajar diatasi sejajar dengan pelan pembangunan potensi yang sebelumnya.

John gemar mencari dan melihat potensi kampus semasa. Menurutnya, potensi besar yang akan mendorong ke arah perubahan sikap yang positif bagi idea kampus mapan adalah:

"kesemua pelajar UTMJB kini menetap di semua Desa Siswa di dalam kawasan kampus".

1) Jadikan perkhidmatan bas lebih menarik

Justeru, perkhidmatan bas dalam kampus wajar dinaiktaraf supaya lebih menarik dan beroperasi secara lebih berkesan (mengikut jadual dengan kekerapan lebih tinggi).

UTM juga untuk jangka panjang tidak boleh bergantung kepada 'bas sewa'. UTM harus melabur dengan membuka GLC/anak syarikat milik UTM yang berperanan menyediakan bas UTM sendiri dalam kampus.

Inilah yang dibuat di Oxford Brookes University, tempat John berkhidmat.

Oxford Brookes University Bus - lengkap dengan WIFI
(boleh dibayar secara kad/pas semester, bulanan, mingguan atau tunai untuk setiap trip)

Dengan cara itu, bukan sahaja universiti dalam menjimatkan banyak wang untuk membayar sewa kepada syarikat luar (kroni) dalam jangka panjang, malah boleh menjadi permulaan untuk UTM melebarkan sayap pelaburannya sendiri.

Dengan wang yang dijana bas milik sendiri, UTM, dalam jangka panjang boleh melabur bagi menaiktaraf dan membaikpulih segala kemudahan awam di dalam kampus.

Malah, bas UTM juga boleh didaftarkan untuk perjalanan dari UTM ke bandaraya JB, dan turut mengambil penumpang orang awam bermula dari Skudai-JB.

2) Memperkenalkan pendekatan 'Park n Ride'

Dulu, ramai orang ketawa apabila mendengar idea Park n Ride ini. Alasan mereka adalah sama sebagaimana alasan yang saya berikan di atas (mengapa anda guna kenderaan dalam kampus?)

Namun hari ini di Lembah Klang, banyak TLK di stesen-stesen LRT (komuter) hampir tiada ruang kosong kerana begitu ramai orang yang bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan Park n Ride ini.

Setelah agak lama tinggal di luar (terutama di Oxford), saya mendapati jika bandar Oxford yang luasnya berganda lebih besar dari kampus UTMJB ini berjaya mengaplikasikan perlaksanaan sistem P&R, saya tidak nampak mengapa kampus UTMJB tidak mampu untuk menerapkan idea seumpama ini ke dalam perancangan kampus mapan.

Berbanding Oxford yang penduduknya tinggal berselerak, semua pelajar UTM tinggal DI DALAM KAMPUS, di Desa-Desa Siswa yang ada.

Justeru, 3-4 Desa Siswa perlu berkongsi satu kawasan TLK yang dilengkapi 1 pusat transit (transit-point) perkhidmatan bas ke zon utama (pentadbiran dan fakulti).

3) Perkenalkan sistem perundangan baru dalam yuran pelajar & staf

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan sistem caj membawa kenderaan peribadi dalam kadar (%) tertentu di dalam slip yuran pelajar, atau slip gaji staf universiti.

Dalam bahasa mudah, setiap staf yang mendapat pelekat kenderaan secara automatik masuk dalam sistem rekod di mana setiap bulan %tertentu akan dipotong dari gaji mereka untuk sumbangan tidak menyokong polisi kampus mapan (bawa kereta sendiri) dan sebagai sumbangan (pollution-pays) - bayar sebab cemarkan alam.

Bagi pelajar pula, %potongan adalah lebih rendah, tetapi menurut prosedur yang sama - masukkan dalam slip pembayaran yuran sekali dalam 1 semester.

Kadar potongan juga boleh berbeza di antara pengguna (pemegang pelekat) kereta atau motor - kadar ditentukan pihak universiti sendiri.

Semua ini tidak mustahil jika istilah 'kepimpinan melalui teladan' dapat ditunjukkan, bermula dengan Dato' NC sendiri.

4) Kupon untuk pengguna basikal

Apabila 'menyusahkan' penggunaan kenderaan persendirian, universiti hendaklah 'menyenangkan' pengguna perkhidmatan awam, penunggang basikal dan pejalan kaki.

Pengenalan sistem kupon - untuk mendapat diskaun membeli basikal, diskaun membaiki basikal, loker khas untuk menyimpan basikal di fakulti, pas untuk berbasikal di zon pentadbiran, etc., akan menggalakkan lagi minat staf dan pelajar untuk berbasikal.

Dengan insentif ini juga (P&R dari Desa Siswa dan berbasikal di fakuti), alasan cuaca tidak lagi menjadi halangan yang besar (kerana tidak berbasikal jauh, dan tidak perlu berbasikal untuk pulang ke Desa Siswa).

Hanya mencadang

Apa yang ditulis panjang lebar itu hanyalah pengembangan idea hasil sembang-sembang dengan John.

Mungkin ada yang logik, mungkin ada yang 'belum masanya' lagi untuk dilaksanakan.

Apapun, kepala ini harus terus berputar dan berfikir serta menampilkan idea-idea yang harapnya dapat direalisasikan bagi menjayakan perancangan kampus UTM yang mapan di masa hadapan.

Sekian.