Monday 7 December 2009

Ayat 'sama' bolasepak Malaysia

"Amaran keras buat skuad B-23 negara ke Sukan SEA di Laos" - sumber
"Skuad bolasepak (dan futsal) wanita negara dilarang menyertai kejohanan antarabangsa (kecuali persahabatan)" - sumber

-Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaludin

Apalah Nasib

Malas nak mengulas perihal skuad bolasepak wanita. Cukuplah angka kekalahan 0-14 kepada Thailand dan tewas 0-8 kepada Vietnam menceritakan tahap dan kualiti sebenar permainan Malaysia.

Nak kata pemain Malaysia main bola berkaki ayam dan tak berbaju pun tak juga. Semua cukup lengkap.

Berlatih? Rasanya siap dengan jurula(e)tih pun ada. Salah tatacara pemakanan? Rasanya tiada yang kena ikat perut atau berpuasa dalam waktu persediaan...

Nasib? Kalau nak dibebankan ke atas 'nasib' semata, baik pakat-pakat main PS2 ,tak pun main Championship Manager. Tak penat badan dan tidak terbuang duit rakyat.

Harapan yang palsu lagi

Sememangnya perhatian para peminat bolasepak tempatan tidak begitu terarah kepada skuad wanita kerana 'faham' dengan segala bentuk kelemahan yang mereka miliki.

Malah, mutu permainan dan kualiti pemain skuad wanita juga diketahui umum semakin terkebelakang berbanding permainan negara kerdil, mundur dan miskin lain di rantau ini, yang sebaliknya, skuad mereka terus mempamerkan peningkatan.

Cuma, apabila skuad bolasepak B-23 tewas kepada lawan yang turut menewaskan skuad wanita, Vietnam dengan keputusan 1-3, selepas menang bergaya 11-0 kepada Timor Leste pada perlawanan pembukaan, agak mengecewakan saya.

Saya tidaklah meletakkan harapan untuk Malaysia menang, tetapi tidaklah menyangka skuad Malaysia gagal meneruskan momentum dan suntikan moral hasil kemenangan besar ke atas Timor Leste.

Akhirnya, skuad negara terus 'disayurkan' oleh skuad Vietnam.

Biarpun faktor pemain ke-12 (pengadil) dijadikan sebab dan punca ketewasan skuad negara, namun secara profesionalnya (pinjam kata-kata KJ), skuad negara boleh mempamerkan aksi yang lebih baik dan mantap pada perlawanan tersebut jika mengambilkira faktor menang besar ke atas lawan sebelumnya, dan persediaan rapi skuad negara sebelum itu lagi.

Namun, itulah realitinya. Kita pembaca akhbar di ruangan sukan (kerana tiada lagi siaran langsung di kaca TV), sekali lagi disajikan dengan 'harapan palsu', yang entah bila akan dapat kita kecapi manisnya menewaskan lawan-lawan serantau seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Liga budak sekolah

Corak dan pengelompokan pasukan bola sepak di rantau Asia Tenggara boleh saya contohkan sebagaimana berikut:

===============
Budak Tingkatan 1 = Negara mundur seperti Timor Leste dan negara bukan suka bercakap mengenai bola seperti Brunei dan Filipina.

Budak Tingkatan 3 = Negara yang mudahnya, seperti Malaysia yang cakap berdentum-dentum, prasarananya canggih, tapi hasilnya tidak sekuat mana.

Budak Tingkatan 5 = Negara yang tidak jauh beza dengan kelompok kedua, tetapi dalam tidak banyak cakap, prestasi mereka masih dikira antara yang terbaik di rantau ini.

SBP (Sekolah Berasrama Penuh) = Tapak pertandingan, seperti Sukan SEA.
===============

Itu hari, Budak Tingkatan 3 (MAL) 'ketuk' Budak Tingkatan 1 (TL), 11 kali tak berbalas. Punyelah gembira bebudak Ting. 3 nih.

Tapi, tidak lama selepas tu, Budak Tingkatan 3 tu pulak kena 'ketuk' dengan Budak Tingkatan 5 (Viet) sebanyak 3 kali sebelum dia sempat juga curi-curi ketuk balik 1 kali.

Tidak lama lagi, Budak Ting. 3 ni akan sekali lagi berdepan kawan di Budak Ting. 5 (Thai), yang akan menentukan cerah atau kelamnya harapan bebudak Ting. 3 ni.

Sudah adat

Kepada para peminat fanatik pasukan B-23 negara, janganlah terasa hati setelah membaca artikel ini.

Itulah adat orang bertanding, yang menang akan dipuji dan yang kalah (dengan ayat yang sama tu juga) biasanya dikeji.

Manakan mungkin untuk memuji dengan kekalahan yang diterima, setelah sekian lama ditabur dengan harapan palsu dan berjuta ringgit wang rakyat terbuang saban tahun buat mereka.

Sampai bila kita nak jadi seperti kata pepatah:

"ada tidak menambah, tiada tidak berkurang" - ada macam tiada.

Dan tambah pedih hati jika kita menyaksikan pasukan B-23 membuktikan kebenaran pepetah tersebut dengan menjadi pasukan paling awal berlepas pergi dan paling awal juga berlepas pulang ke tanah air.

Dengan baki perlawanan yang ada, biarpun nasib 'Budak Tingkatan 3' ini yang diibaratkan bagai telor di hujung tanduk, hendaklah manfaatkanlah 'tanduk' itu untuk 'menanduk' dan menundukkan lawan yang seterusnya.

Janganlah pula digunakan telor yang tersepit itu untuk dibaling kepada pasukan lawan mahupun pengadil perlawanan.

Sekian.

No comments: