Wednesday 9 December 2009

Dengarnya: Kuasa guru besar 'diperbesar'

Saya ada terbaca satu berita di akhbar Kosmo hari ini yang membawa tajuk "Pengetua, Guru Besar Diberi Kuasa Pecat Guru" dan disebelah artikel tersebut segera dilaporkan ulasan oleh NUTP "Hati 380,000 guru terluka - NUTP"- Kosmo, halaman 4 (Rabu 9 Disember 2009).

Harap-harap ada di kalangan anda yang turut membacanya.

Merevolusi

Artikel tersebut melaporkan ulasan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi pada Sidang Dewan Rakyat Ke-12 yang berkata MUNGKIN pada masa depan guru besar akan dipertimbangkan untuk diberikan kuasa bagi mengambil dan memecat guru di sekolah mereka.

'Pembesaran' bidang kuasa kepada guru besar ini kata beliau MUNGKIN dibuat bagi merevolusikan sistem pendidikan negara.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka (guru besar) boleh melakukan hire and fire. Mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang"- Dr. Mohd Puad Zarkashi, Kosmo (hal. 4).

Hati guru terluka

Terkejut dengan pernyataan Mohd Puad tersebut, Hashim Adnan, Presiden NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) telah menyelar SEANDAINYA menjadi kenyataan keputusan Kementerian dimasa hadapan iaitu guru besar dan pengetua dibekalkan dengan kuasa untuk 'hire and fire'.

Pernyataan Timbalan Menteri yang pandai itu juga menurut Hashim telah menyinggung dan melukakan hati 380,000 orang warga pendidik yang selama ini telah banyak berkorban untuk negara dan anak bangsa.

"NUTP sedih kerana jasa guru yang selama ini diangkat martabatnya kini dicampak, dihina sedemikian rupa dan menimbulkan rasa sedih dalam dunia pendidikan negara"- Hashim Adnan, Presiden NUTP, Kosmo (hal. 4).

Apa yang menarik adalah logik yang dibentangkan NUTP bahawa kejayaan, mahupun kegagalan sesebuah sekolah melahirkan pelajar yang cemerlang, tidak kira dari segi keputusan peperiksaan mahupun kokurikulum, tidak hanya disebabkan faktor guru semata. Malah banyak lagi faktor lain yang 'disekitarnya' yang turut mempengaruhi prestasi pembelajaran pelajar di sekolah.

Faktor yang pelbagai ini boleh juga disumbang oleh pihak pentadbiran sekolah, malah halatuju yang dibawa oleh guru besar atau pengetua itu sendiri, selain aspek kemudahan dan komitmen pelajar itu sendiri.

Turut terlintas di kepala saya ialah SEANDAINYA jadi dilaksanakan keputusan ini, bagaimana ianya boleh menjamin tidak berlaku penganiayaan kepada para guru dan pendidik yang KOMITED terhadap tugas mereka, namun dalam waktu yang sama BERBEZA FAHAMAN (aspirasi dalam pendidikan, method pengajaran, atau mungkin hal berkaitan perbezaan ideologi politik) dengan sang guru besarnya?

Apakah dengan keengganan mereka untuk 'mengipas boss' atau 'nampak lebih pandai @ advanced dari bos' boleh meletakkan karier dan masa depan mereka dalam bahaya?

Dan apakah kita ingin lihat di masa hadapan guru pula akan lebih banyak menghabiskan masa untuk 'menjaga periuk nasi sendiri a.k.a bermain politik di pejabat' daripada terus komited mendidik anak bangsa?

Bidang kritikal

Sependapat dengan NUTP (kerana sedikit sebanyak sebagai pendidik saya turut faham), Timbalan Menteri yang pandai itu perlu sedia maklum bahawa bidang perguruan adalah suatu bidang yang kritikal (sebagaimana bidang perubatan juga).

Untuk mendapatkan guru yang mencukupi dan komited mengajar (dan belajar) di bandar dan luar bandar, bukan suatu target yang mudah untuk dicapai. Justeru apa yang seharusnya dilakukan bukanlah dengan cuba MENGUGUT sang pendidik dengan menimbulkan idea 'hire and fire', sebaliknya terus berpegang kepada Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang telah dipersetujui dan beristiqamah (berterusan) dengan usaha ke arah memantapkan profesion dan kemahiran para guru yang sedia ada, dan mereka-mereka bakal menjadi guru.

Dengan cara itu juga, akan berkuranglah usaha pihak kerajaan yang lain (terutama Kementerian Sumber Manusia) untuk menempatkan 'guru tiada sekolah' ke lain-lain profesion di masa hadapan.

Sekian.

Dr. Sepet: Ada mak ayah kata guru besar sekolah adik sombong, macamla gaji RM10k sebulan. Jumpa ibubapa pun susah nak senyum, apatah lagi nak beramah mesra. Kalau 'orang luar' sendiri dah kata macam itu, 'orang dalam' entah bagaimana pula ye melihat beliau? Sekadar bertanya...

No comments: