Saya
tidak tahu apa penilaian anda terhadap isu yang dibangkitkan (rujuk
foto), namun saya mempunyai pandangan tersendiri, yang ingin saya
kongsikan bersama para pembaca.
Tetapi sebelum itu, suka saya syorkan anda membaca artikel pada foto di bawah terlebih dahulu (klik - SINI), cuba fahami dan kemudian baca selanjutnya artikel
saya. Selepas meneliti kedua sumber ini, maka saya serahkan kepada
kebijaksanaan saudara-saudari untuk menilai dan menimbang secara
objektif kedua-dua pendapat.
Graduan: antara 'hapus pinjaman' dan 'jaminan peluang pekerjaan'
Di
kala para penganalisa ekonomi serantau menjangkakan tahun 2012 sebagai
tahun penuh mencabar bagi pertumbuhan ekonomi Asia (baca - SINI), saya secara peribadi
meletakkan harapan untuk melihat pimpinan Pakatan Rakyat dapat tampil
bersama tawaran-tawaran yang lebih meyakinkan ke arah memakmurkan
rakyat dan mengangkat ekonomi Malaysia.
Salah
satunya saya ingin melihat bagaimana kerajaan PR menggariskan
dasar, langkah serta rancangan untuk menjamin penyediaan peluang-peluang
pekerjaan kepada rakyat (graduan) di pelbagai sektor ekonomi dan
perkhidmatan sebagai 'tawaran PRU13'.
Tersasar
sedikit jangkaan saya, kerana salah satu daripada 4 kertas kerja yang
dibentangkan menyentuh secara jelas hasrat kerajaan PR (andai menang
PRU13), adalah untuk menghapuskan semua pinjaman PTPTN.
Saya
yakin ramai peminjam PTPTN yang di luar sana pastinya lega dengan
pengumuman Dato Husam tempoh hari. Namun ingin saya tanyakan: benarkah ia (hapus semua pinjaman PTPTN) menjadi sesuatu yang baik untuk kerajaan dan rakyat?
Mungkin memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membiayai hutang graduan adalah mustahak. Begitupun pada saya masih ada perkara yang lebih mustahak, termasuklah seperti yang telah saya sebut sebelum ini - sediakan jaminan peluang pekerjaan di pelbagai sektor kepada graduan.
Bangsa berdikari: Sendiri berhutang, sendiri bayar
Sebagai
salah seorang peminjam PTPTN (yang dah nak habis bayar), prinsip saya
mudah. Apabila menandatangani surat perjanjian pinjaman, secara
automatiknya saya telah mengikat diri dengan bersetuju dan berjanji
untuk membayar balik pinjaman pada kadar yang dipersetujui.
Tapi itu situasinya jika kita bercakap mengenai prinsip.
Apapun,
mungkin masih terlalu awal untuk saya komen apakah mekanisma yang bakal
digunapakai kerajaan negeri Kelantan di dalam menguruskan penghapusan
pinjaman PTPTN ini kelak.
Namun bagi saya, terdapat beberapa aspek yang rasanya perlu dilihat oleh kerajaan Kelantan secara serius.
Pertamanya,
dasar pinjaman PTPTN bukan dibuat dengan mengikut latar belakang
seseorang peminjam. Ringkasnya, siapa sahaja yang bergelar mahasiswa
layak untuk memohon mendapatkan pinjaman PTPTN sekalipun datang dari
keluarga jutawan atau kaya-raya. Bukan juga untuk serkap jarang, namun ada
segelintir peminjam yang berada/kaya yang meminjam PTPTN bukan untuk kegunaan
pelajaran, tetapi inginkan wang untuk bergaya dengan membeli barangan
berjenama, atau motosikal baru dan sebagainya. Maaf kata.
Pun
begitu, tidak dinafikan PTPTN juga banyak membantu meringankan bebanan
kewangan pelajar terutama yang datang dari keluarga berpendapatan
sederhana dan rendah (sepanjang tempoh belajar).
Justeru
di sini soalan saya: Apakah penghapusan hutang PTPTN ini akan dibuat
secara 'pukul rata' (semua dikira sama, kaya dan miskin selagi mereka
peminjam PTPTN dikira 'layak' mendapat penghapusan hutang?), atau dilakukan secara penelitian 'case
by case' oleh kerajaan PAS Kelantan?
Ataupun kerajaan negeri dan Dato Husam perlu berfikir untuk merombak prosedur pembayaran balik pinjaman supaya lebih mudah dan meringankan beban peminjam terutama di kalangan graduan menganggur dan yang baru memulakan karier?
Dan sekiranya mekanisma penghapusan pinjaman PTPTN adalah yang terbaik, barangkali kerajaan PR dapat menimbang supaya graduan diberikan diskaun seperti hanya membayar semula 20% pinjaman (baki 80% dihapuskan melalui dana kerajaan).
Harapan saya: Guna wang royalti untuk pastikan 100% biasiswa buat anak Kelantan
Tawaran berkebajikan "BR1M, baucer buku dan air percuma"
Skim
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang diagihkan kepada rakyat
Malaysia berpendapatan di bawah RM3000/bulan dan 'baucer Buku' untuk
penuntut IPT merupakan strategi terkini bagi 'membantu rakyat' secara tebar pukat.
Jangan cepat melenting dengan BR1M kerana strategi yang hampir sama konsepnya juga telah dijalankan oleh kerajaan PR di Selangor dengan mengagihkan air percuma 20 cubic meter pertama kepada seluruh rakyat Selangor.
Strategi BR1M mahupun air percuma pada saya merupakan satu langkah popular lagi terkesan kerana dengan membantu 1keluarga, kerajaan sebenarnya telah menyentuh hati semua ahli keluarga.
Sebagai
contoh, memberikan air percuma ke 10,000 buah rumah, sebenarnya telah
memanfaatkan 50,000 penduduk (a.k.a bakal PENGUNDI).
Justeru,
di sini timbul soalan: Apakah IMPAK menghapuskan hutang PTPTN ini
akan sama dengan impak pemberian air percuma mahupun BR1M atau Baucer
Buku kepada rakyat?
Ini kenalah anda tanya kepada Dato Husam.
Harapan saya: Guna wang royalti untuk pastikan 100% biasiswa buat anak Kelantan
Sebagai penutup, saya menaruh harapan untuk melihat wang royalti minyak yang bakal diperoleh Kelantan setelah kerajaan baru PR mengambil alih Putrajaya kelak, dapat disalurkan untuk keperluan yang lebih mustahak dengan manfaat yang lebih besar, terutama kepada generasi anak Kelantan yang akan datang iaitu dalam bentuk pengurniaan 100% biasiswa. Jika berupaya direalisasikan, langkah ini juga saya jangka bakal mengangkat kerajaan PR sebagai pembela semangat perlembagaan negara - iaitu hak kepada biasiswa.
Manakala
generasi yang telah bersetuju untuk menanggung hutang dengan PTPTN
(sama ada mahasiswa yang sedang belajar mahupun graduan yang sudah tamat
belajar) pula hendaklah dibantu oleh kerajaan baru PR dengan cara memperbanyakkan peluang pekerjaan baru di pelbagai sektor kepada mereka agar dapat membina hidup dan seterusnya melunaskan hutang-hutang yang ditanggung.
Ini
kerana kalaupun hutang PTPTN mereka 'dibayar kerajaan', mereka bakal
dihimpit beban hutang rumah, hutang kereta, hutang kad kredit dan
bermacam jenis hutang lagi.
Pendek kata, hidup ini tidak pernah sunyi daripada menanggung hutang! Selesai satu, muncul lagi satu...
Sekian.
Pendek kata, hidup ini tidak pernah sunyi daripada menanggung hutang! Selesai satu, muncul lagi satu...
Sekian.
No comments:
Post a Comment