Saturday 21 April 2012

Kelantan Delights: Indah Khabar Dari Rupa

Tiada apa yang lebih mendukacitakan apabila malam minggu anda diakhiri dengan peristiwa yang membuatkan anda sekeluarga terkilan.

Malam ini (tadi) kami 11 orang berkunjung ke restoran Kelantan Delights yang terletak di Subang Jaya. Maklumlah, inilah pertemuan lengkap semua ahli di dalam keluarga Haji Wahid sementelah kepulangan kami sekeluarga ke tanah air.

Sebelum kaki melangkah masuk, kelihatan begitu gah sekali the presentation of the restaurant (lihat foto, sumber dinyatakan).


Masuk ke dalam, terus terdetik di hati saya, "maju perniagaan, penuh dengan pelanggan". Ini kerana hampir semua meja ada pelanggan, tinggal barangkali 2-3 meja di luar yang masih kosong.

Pesanan diambil dengan segera dan sementara menunggu makanan dan minuman, semua mengisi masa dengan bersembang.

Kemudiannya, keadaan mula berubah apabila:

(1) Acara karaoke. Dimulakan dengan alunan suara-suara sang keldai sama ada keldai bernyanyi solo, berduet sesama jantina atau berpasangan dengan yang lain jantina. Mereka mungkin berbangga dengan "kemerduan" suara mereka, sedangkan rata-rata pengunjung yang datang untuk menikmati makan malam bersama keluarga saling tercengang dan jelas riak wajah semua orang yang begitu terganggu dengan kebisingan mereka melalak seperti suara sang keldai itu.

Saya tidak faham, mengapa pihak Kelantan Delights boleh membenarkan sebilangan kecil pelanggannya berkaraoke sedangkan tiada bilik karaoke disediakan (lazimnya kedap udara untuk elak bising). Ini menjadikan pelanggan berbayar yang lain termasuklah kami menjadi "mangsa" kepada kecuaian pihak Kelantan Delights menguruskan pelanggan mereka yang bersuara keldai itu.

Terus jatuh rating saya terhadap restoran ini kerana kebisingan oleh aktiviti karaoke yang telah menukar Kelantan Delights menjadi Kelantan berong (hingar-bingar), tidak berpadanan dengan bayaran hampir setengah ribu kami makan di sana.

(2) Pesanan lewat dan tercicir. Bagaimana bagi sebuah restoran yang gah seperti Kelantan Delights boleh menghantar pesanan yang tidak sekali dan lewat. Kalau 6 orang makan dulu dan 5 makan kemudiannya, tidaklah pelik. Tetapi kalau sudah 10 orang siap makan dan seorang masih menunggu makanan yang dipesan untuk sampai, itu sudah dikira terlalu cuai. 

Memandangkan pesanan terlalu lewat (air dah hampir habis diminum untuk sejukkan hati), bukan sahaja saya, malah isteri dan adik ipar turut "mengejar" beberapa pelayan bertanyakan "status" pesanan yang satu itu. Mula-mula saya pergi tanya. Selepas 10 minit keadaan masih sama, giliran isteri, dan 15 minit berikutnya giliran adik ipar pula. Malah, bukan sahaja makanan lewat, pencuci mulut (bagi yang memesan secara menu set) turut gagal disediakan, hingga ke akhirnya. 

Sikap tidak profesional petugas di kaunter diserlahkan lagi dengan wajahnya yang sombong, tiada senyuman, jauh sekali untuk menjelaskan keadaan. Minta maaf usah cakaplah. Itu mungkin tiada di dalam kamus perniagaan pihak restoran ini. Sebagai orang Pantai Timur, saya "boleh nampak" lagak biadap pekerja tersebut dan terasa ingin juga menumbuk mukanya yang sombong itu!

Saya telah mengembara ke banyak tempat dan telah tinggal di negara asing untuk tempoh masa yang lama. Pelbagai ragam manusia telah saya perhatikan, tetapi yang buruknya tetap tidak dapat mengatasi apa yang ada di tanah air sendiri. Sedih.

Saya pernah merasa peritnya dilayan sewaktu membeli makanan di kedai-kedai arab sewaktu ke Makkah dan Madinah tidak lama dahulu (kami urus/buat ibadah umrah sendiri dari UK ke Saudi). Saya pernah tidak dilayan dan menerima layanan tidak baik ketika di dalam restoran dan ketika hendak makan. Namun malam ini, Kelantan Delights telah mengatasi kesemua senarai "tempat makan yang hanya indah khabar dari rupa".

What a shame!

3 comments:

SAR said...

Salam saudara penulis,

Kelantan Delights dengan ini munyusun jari sepuluh memohon ampun atas pengalaman saudara dan keluarga sewaktu menjungi 'outlet' kami di Subang Jaya baru-baru ini,sekaligus mengucapkan ribuan terima kasih diatas komen dan pandangan yang dibuat yang membolehkan kami memperbaiki mutu perkhidmatan kami.

Sila ma'alum, setiap perkara yang tersebut di penulisan saudara diambil perhatian sepenuhnya untuk kami memperbaiki mutu perkhidmatan kami.Pengalaman makan bersama keluarga yang di cemari oleh insiden-insiden seperti yang disebutkan pasti menyedihkan dipihak pengguna seperti saudara dan keluarga.

Selain janji kami untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kami di masa depan, kami juga dengan ini menjemput saudara dan keluarga untuk sekali lagi mencuba pengalaman makan bersama keluarga di tempat kami selaku tetamu istimewa, sila hubungi kami melalui saya Sabri Ab Rahman di talian 0122323081 atau email sabri@tas.com.my selaku penguasa restoran Kelantan Delights.

Terima Kasih
Sabri Rahman
Kelantan Delights Sdn Bhd

Dr Sepet said...

Salam Encik Sabri,

Terima kasih di atas maklum balas yang diberikan.

Sebagai pelanggan, saya sekeluarga tentunya terkilan dengan apa yang terjadi, namun ianya telah terjadi. Begitupun, apa yang dicoretkan pada artikel di atas merupakan luahan isi hati saya secara ikhlas, hasil pemerhatian pada malam itu.

Namun begitu, jika diamati saya masih berlembut kerana hanya meluahkan apa yang terbuku dan tidak mengajak mana-mana pembaca di luar sana untuk memulaukan Kelantan Delights. Mereka barangkali lebih arif dan boleh sahaja menganggap apa yang menimpa saya sekeluarga sebagai satu kes terpencil (mungkin ianya tidak berlaku di malam-malam yang lain).

Saya gembira kerana Encik Sabri mengambil inisiatif yang baik dengan respon terhadap artikel yang ditulis secara tidak seberapa ini.

Mudah-mudahan Kelantan Delights terus maju di masa yang mendatang.

Dr Sepet.

akuzle ayu said...

Dr. Sepet dh terima 'tanda' terima kasih En. Sabri tuh? Hihi..