Sumber: MindaTajdid (Disiarkan pada Mar 02, 2008)
Penerangan tentang Islam tidak boleh dibuat secara semberono atau ‘cincai’, apatah lagi makian dan hamunan. Sebaliknya hendaklah dengan kekukuhan hujah dan alasan serta memahami latar belakang sasaran dan keadaan.
Apabila dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w begitu ditindas
di Mekah, maka baginda mencadangkan supaya sebahagian para sahabahnya
berhijrah ke Habsyah. Ketika itu yang memerintah Habsyah adalah Najasyi,
seorang raja yang terkenal bersifat adil. Kerajaan Habsyah adalah
kerajaan Kristian dalam ertikata agama tersebut menjadi teras kerajaan.
Apabila para pembesar Quraish Mekah yang
memusuhi Islam mengetahui bahawa sebahagian orang Islam berhijrah ke
Habsyah, mereka mengambil langkah menghantar dua tokoh mereka yang hebat
ketika; ‘Amr bin al-‘As dan ‘Abd Allah bin Abi Rabi’ah. Tujuan agar
dapat dipujuk Raja Najasyi supaya ditangkap orang-orang Islam yang
berada di sana dan diserahkan kepada pembesar Mekah.
Hadiah-hadiah mewah dibawa oleh kedua tokoh tersebut sebagai umpan
bagi membuka laluan agar mereka dapat bertemu dangan raja. Orang-orang
besar juga telah menerima habuan mereka. Kata kedua tokoh Quraish
tersebut kepada Raja Najasyi:
“Wahai Raja! Telah datang ke negaramu
budak-budak yang bodoh. Mereka telah memecah belahkan agama kaum mereka
dan tidak pula memasuki agamamu. Mereka membawa agama yang mereka
ada-adakan yang kami dan engkau tidak kenalinya. Pembesar kaum mereka
yang terdiri daripada bapa-bapa mereka, paman-paman mereka dan kaum
keluarga mereka telah menghantar kepadamu utusan agar engkau
mengembalikan mereka kepada kaum mereka. Mereka lebih tahu keburukan
mereka itu”.
Namun Najasyi mengambil langkah yang berhati-hati.
Dia ingin menyoal siasat terlebih dahulu. Lalu dipanggil para sahabah
Nabi s.a.w yang berhijrah ke negaranya dan ditanya mengenai agama
mereka.
Di sini saya ingin menonjolkan jawapan yang diberikan kepada Najasyi
oleh jurucakap umat Islam di Habsyah ketika itu; Ja’far bin Abu Talib.
Ja’far ialah seorang sahabah yang Rasulullah s.a.w. Benar-benar memahami
hakikat dakwah Islam ini. Dalam situasi yang genting dan sukar beliau
memilih jawapan yang terbaik. Kerana, sebarang penerangan yang tidak
memuaskan akan mengorbankan sekian ramai yang berhijrah ke sana.
Apabila Najasyi berkata kepadanya: “Agama apakah ini yang kerananya kamu telah pecah belahkan kaum kamu dan tidak pulak kamu memasuki agamaku?”.
Lantas Jaafar bin Abu Talib pun memberikan jawapan yang sangat terpilih
lagi menyentuh hati nurani Najasyi yang merupakan seorang Kristian
ketika itu. Kata Ja’far:
“Wahai Raja! Kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah;
kami menyembah berhala, memakan bangkai (binatang yang tidak
disembelih), mendatangi perkara-perkara yang keji, memutuskan hubungan
kekeluargaan, menyakiti hati jiran. Mereka yang kuat di kalangan kami
menindas orang yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah
menghantarkan kepada kami seorang rasul.
Kami kenal akan keturunannya, kami kenal akan benar cakapnya, kami
kenal akan amanahnya, kami kenal dia seorang yang memelihara diri dari
keburukan. Lalu dia menyeru kami kepada Allah agar kami
meng’tauhid’kanNya dan menyembahNya; dia juga meminta agar kami
tanggalkan apa yang kami dan keturunan kami sembah selain Allah yang
terdiri daripada batu-batu dan berhala-berhala. Dia perintahkan kami
supaya bercakap benar, tunaikan amanah dan hubungkan silaturrahim.
Dia melarang kami dari membuat perbuatan keji, perkataan dusta,
memakan harta anak yatim, menuduh zina wanita-wanita baik. Dia menyuruh
kami agar hanya menyembah Allah yang esa, tidak mensyirikkanNya dengan
sesuatu, dia menyuruh kami agar bersolat, berzakat dan berpuasa –lalu
Ja’far menyebut beberapa ajaran Islam yang lain lagi-.
Lalu kami membenarkannya dan beriman dengannya, serta kami ikut agama
Allah yang dia bawa. Maka kami hanya menyembah Allah, tidak
mensyirikkanNya, kami haramkan apa yang dia haramkan dan kami halalkan
apa yang dia halalkan. Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka
menyiksa kami, mengganggu kami dari agama kami.
Tujuannya, mereka mahu agar kami kembali menyembah berhala,
menghalalkan segala kekejian yang pernah kami halalkan. Apabila mereka
memaksa, menzalimi, menekan kami dan menghalang agama kami, lantas kami
pun keluar menuju negaramu. Kami memilih engkau, dibandingkan yang lain.
Kami ingin mendapatkan perlindungan engkau. Kami harap kami tidak
dizalimi di sisi engkau, wahai Raja!”.
Lalu Najasyi bertanya: “Adakah bersamamu apa-apa yang datang daripada Allah?”. Jawab Ja’far: Ya!. Kata Najasyi: “Bacakan kepadaku”.
Lalu Ja’far membaca Surah Maryam yang terkandung kisah Maryam dan Nabi
‘Isa a.s.. Bercucuranlah airmata Najasyi, juga para agamawan Kristian
yang ada bersamanya. Maka Najasyi pun enggan menyerah orang-orang Islam
kepada Quraish dan mempertahankan mereka. Bahkan dalam senyap, Najasyi
menganut Islam. (lihat: Al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 97-99,
Riyadh: Uli al-Nuha).
Saya menukilkan kisah ini sebagai satu gambaran betapa Islam yang
indah perlu dipasarkan secara yang indah juga. Kejayaan Ja’far bin Abu
Talib dalam peristiwa ini adalah kejayaan membentangkan Islam kepada
lain yang mempotensi menerima kebenaran.
Isu-isu yang disentuh oleh
Ja’far memaut hati nurani Raja Habsyah Najasyi yang beragama Kristian.
Latar pengetahuan dan anutan Najasyi terhadap agama Kristian diambil
ruang oleh Ja’far untuk menekan persoalan-persoalan yang dia nyatakan.
Demikian juga ayat al-Quran yang dipilihnya.
Islam dan umatnya yang disalahfahami hari ini memerlukan pendekatan
Ja’far bin Abu Talib. Memahami sasaran dan memilih isu yang mampu
merubah keadaan.
Maka, daripada ancaman salah sangka dan penindasan
kepada kejayaan membawa isu dan meraih perasaan dan minda Najasyi.
Isu-isu yang dibawa oleh Ja’far benar-benar memukul pewakilan pembesar
Quraish Mekah, menggambarkan keindahan Islam dan keperluan umat manusia
kepadanya. Sekaligus menolak isu pepecahan yang dibangkitkan di pihak
Quraish kerana telah terlukis dalam minda Najasyi bahawa keperluan untuk
agama ini muncul lebih besar dari segala isu sampingan.
Penerangan itu juga berjaya menukar keadaan daripada pihak muslimin
yang berada di pihak yang didakwa kepada pihak yang mendakwa. Maka dua
perwakilan Quraish itu seakan secara tidak langsung dimasukkan ke dalam
kandang orang salah.
Inilah kebijaksanaan atau hikmah dalam memenangi
pertarungan pengaruh. Tidak memerlukan maki-hamun atau cacian,
sebaliknya memerlukan hikmah.
Justeru, penerangan tentang Islam tidak boleh dibuat secara semberono
atau ‘cincai’, apatah lagi makian dan hamunan. Sebaliknya hendaklah
dengan kekukuhan hujah dan alasan serta memahami latar belakang sasaran
dan keadaan. Sebab itulah Allah menyebut:
(maksudnya) Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan
berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari
jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125)
Kata al-Sa’di (meninggal 1376H): “Hikmah maksudnya setiap
individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan
perlaksanaannya. Antara hikmah itu, berdakwah dengan ilmu bukan dengan
kejahilan, memulakan dengan yang lebih penting dan apa yang berikutnya,
menyampaikan apa yang lebih dekat kepada pemikiran dan kefahamannya,
dengan cara yang lebih dapat diterima, dengan lunak dan lembut.
Adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan
ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara
memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan
pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan
mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin
mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Ramai orang menganggap bahawa yang dikatakan hikmah dalam seruan dan
dakwah itu bermaksud berlunak kata semata. Sebenarnya, hikmah kurang
tepat untuk diterjemahkan sebagai lunak kata, atau lembut bicara semata.
Hikmah dalam dakwah bermaksud perkataan atau tindakan yang sesuai
dengan sasaran dakwah. Maka ia membabitkan persoalan ilmu perkara yang
hendak didakwahkan, mengenali sasaran dakwah di sudut latarbelakang,
suasana dan memilih pendekatan yang terbaik.
Boleh jadi pendekatan yang hikmah itu berlunak, mungkin juga
bertegas. Mungkin pendekatan dakwah berhikmah seorang ayah kepada anak,
tidak sama antara seorang anak kepada ayah, atau rakan kepada rakan.
Juga mungkin tidak sama pendekatan dakwah pihak yang berkuasa dengan
yang tidak berkuasa. Juga mungkin tidak sama pendekatan dakwah berhikmah
kepada seseorang yang kita kenali dan yang belum kita kenali.
Pendekatan bahasa dakwah kepada orang biasa, tentu tidak sama dengan
kelompok intektual yang mempunyai kemampuan fikir yang tinggi. Sebab
itu pendekatan Rasulullah s.a.w kepada masyarakat badawi tidak sama
dengan orang kota.
Masyarakat berubah, bahasa dan pendekatan dakwah juga mesti berubah.
Pendekatan zaman dahulu mungkin tidak sesuai untuk suasana yang baru.
Maka kita tidak boleh menterjemahkan semua tindakan dakwah yang pernah
dilakukan oleh jenerasi lalu. Ada orang umpamanya, ingin berdakwah
secara tegas seperti yang dilakukan oleh Saidina ‘Umar, lalu apabila dia
membaca Saidina ‘Umar pernah memukul orang tertentu maka dia pun
memukul orang ketika berdakwah. Sedangkan dia tidak mengkaji suasana
‘Umar tidak sama lagi dengan suasana kita hari ini.
Tindakan yang dibuat oleh ‘Umar mampu menyebabkan orang ramai insaf.
Apatah lagi dia seorang khalifah yang mempunyai kuasa dan umat Islam
ketika itu berada pada zaman kegemilangannya. Sementara masyarakat kita
tidak lagi lagi seperti masyarakat ‘Umar, kuasa kita juga tidak seperti
‘Umar. Sementara umat Islam kita pula sedang berada pada zaman
kelemahannya.
Maka tuntutan dakwah dengan hikmah itu menuntut agar usaha dakwah
dalam bentuk ucapan atau tindakan itu adalah yang diyakini paling
berkesan terhadap sasaran. Setelah kita berusaha mencari jalan yang
terbaik dan berkesan, namun dakwah tetap ditolak, maka kita telah pun
menunaikan amanah Allah dalam dakwah ini. Soal memberi hidayah yang
sebenar, tidak berada di tangan kita. Kita telah membuat yang terbaik
yang kita yakin.
Maka, memahami latar keadaan dan sasaran amat penting. Sebab itu
dalam hadis: Daripada Abd Allah bin ‘Amr: Suatu hari kami berada di
sisi Nabi s.a.w., lalu datang seorang pemuda dan bertanya: Wahai Rasulullah! Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa?”. Jawab baginda: “Tidak boleh”. Datang pula seorang tua bertanya Saya mencium (isteri) sedangkan saya berpuasa?”. Jawab baginda: “Boleh”. Kami pun memandang antara satu sama lain. Sabda Rasulullah s.a.w: “Aku tahu mengapa kamu memandang antara satu sama lain. Sesungguhnya orang tua itu dapat mengawal dirinya” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Jawapan yang berbeza diberikan oleh Nabi s.a.w disebabkan oleh latar
yang berbeza. Pemuda tersebut jika diberikan keizinan mungkin akan
menyebabkan melakukan persetubuhan yang membatalkan puasa. Namun orang
tua itu mampu menahan diri. Maka keduanya mendapat jawapan yang berbeza.
Ini juga faktor yang menyebabkan sesetengah soalan-soalan yang sama
yang ditanya oleh para sahabah diberikan jawapan oleh baginda
berbeza-beza. Semuanya merujuk kepada persoalan kesan dan keperluan.
Maka pada zaman manusia ramai yang dfobiakan dengan Islam, atau
disalahfahamkan tentang gambaran Islam, maka pendekatan yang paling
berkesan perlu dikaji dan disemak secara yang bersungguh-sungguh.
Penerangan-penerangan Islam secara kono dan kolot hendak dihapuskan.
Islam tidak pernah kono dan kolot, ia sentiasa mengatasi sempadan zaman
dan tempat. Namun yang membawa bendera agama itu ada yang kadang-kala
menjadikan Islam ini seakan kelihatan ketinggalan zaman.
Program-program agama dalam media-media kita sepatutnya dibuat
penilaian semula sejauh manakah ianya mampu menghadapi cabaran
kerencaman pemikiran dan tanggapan yang berbagai terhadap Islam dewasa
ini. Siapakah golongan yang menonton program-program tersebut? Sejauh
manakah ianya mampu menampilkan kewibawaan Islam untuk generasi baru?
Kadang-kala para penyampai mesej atau risalah Islam atau penceramah
agama itu lebih parah untuk dibetulkan daripada orang yang hendak
disampaikan itu. Sehingga terkadang kita hairan, apakah tujuan atau
mesej yang hendak disampai? Lawak jenaka ke? Jual ubat ke? Cerita kartun
ke? Balas dendam ke? Atau keagungan risalah atau mesej Islam. Entah
berapa banyak ayat al-Quran dan sunnah yang begitu indah menjadi hodoh
atau tawar disebabkan tafsiran atau gaya penerangan golongan yang
kononnya ingin menyampaikan Islam.
No comments:
Post a Comment