Buy 1 get 1 free. Dalam bahasa mudahnya - Elect 1 official president, get 1 unoffical president for free! But which one? (Aaaaa....?)
Baru saja sedikit reda cakap-cakap berkenaan krisis politik dan kuasa pemerintahan di negeri Perak yang juga serba 2 = 2 Menteri Besar (MB), isu "serba 2" kini merebak pula kepada sebuah parti kecil di dalam komponen Barisan Nasional iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP).
Apa yang sedikit menghairankan saya ialah dengan populasi kaum India yang agak kecil di negara ini (jika dibandingkan dengan populasi lain-lain kaum Melayu dan Cina), di manakah kewajaran untuk mempunyai banyak parti politik yang bertunjangkan kaum India?
Lihat
Parti utama yang memperjuangkan agenda dan suara masyarakat India sejak sekian lama sering dikaitkan dengan Malaysian Indian Congress (MIC), pimpinan Samy Vellu Sangalimuthu @ S. Samy Vellu (sumber). MIC boleh dikatakan saluran penting kaum India menyampaikan aduan, rintihan dan tuntutan mereka kepada pimpinan tertinggi negara (PM dan barisan kabinet).
Namun, perpecahan yang berlaku semasa krisis kepimpinan di dalam MIC telah mewujudkan sebuah lagi parti serpihan kaum India iaitu Indian Progressive Front (IPF), di bawah pimpinan M. G. Pandhitan (bekas Timbalan Presiden MIC, bekas MP Tapah dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Industri - sumber).
Itu hal di pihak BN. Manakala di pihak Pakatan Rakyat (PR) pula, ketidakpuashatian pemimpin India terhadap pemimpin utama PKR, telah menyebabkan bekas Ketua Bahagian PKR Kepong, S. Nallakaruppan bertindak keluar dari PKR dan menubuhkan sebuah parti baru untuk kaum India, yang dinamakan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) - sumber.
Dan yang terbaru ialah pada 19 Mei 2009, di mana tertubuh lagi sebuah parti baru yang juga untuk kaum India yang diberi nama "Malaysia Makkal Sakti Party" (MMSP), pimpinan R. S. Thanenthirran (sumber).
Nampaknya, itulah sebahagian kemeriahan para pemimpin kaum India menubuhkan parti-parti yang "terang lagi bersuluh" mendokong agenda membela nasib dan kepentingan kaum India di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Berbalik kepada topik yang asal di mana terdapat juga parti politik kecil lain yang biarpun secara tidak khusus memperjuangkan agenda untuk masyarakat India, namun organisasi dan pimpinan tertingginya dihuni majoriti pemimpin berbangsa India. Contohnya ialah Parti Progresif Penduduk (PPP), pimpinan Presiden 1 iaitu M. Kayveas dan Presiden A iaitu T. Murugiah - ini kes "Serba 2".
Tidak dapat dinafikan bahawasanya krisis kepimpinan dalam sesebuah parti politik telah banyak berlaku sebelum ini, namun ianya terjadi bukan di zaman "saya membesar". Ini kerana saya datang dari generasi terkemudian yang tidak sempat merasai dan melihat sendiri peristiwa perpecahan dalam MIC-IPF, MIC-PPP UMNO-PAS, UMNO-Semangat 46, MCA-Gerakan dan sebagainya. Yang sempat saya alami adalah perpecahan UMNO-PKR pada September 1998 (sumber). Waktu itu saya baru habis SPM dan tidak mengerti apa-apa tentang politik, lantaklah!
Namun, krisis terbaru dalam PPP ini menjadi kes pertama yang saya dapat ikuti sedari awal, setelah mempunyai masa/kelapangan dan internet sendiri di rumah untuk mendapatkan liputan berita mengenainya. Pada tahun 1998 dulu pun saya masih di kampung, di kawasan Hulu yang tiada talian internet dan waktu itu sedang membanting tulang bekerja membina rumah untuk mengumpulkan wang masuk ke IPT. Selepas masuk ke IPT, sibuk pula dengan kuliah dan hal-hal berkaitan pelajaran semasa menuntut. Memang tidak campur langsung hal-hal berkaitan politik ini.
Berita mengenai krisis dalaman PPP ini dapat dibaca lanjut di sini, sini, sini, sini dan sini. Makanya tidak perlulah saya ulas panjang-panjang kronologi yang berlaku.
Sepak-terajang
Rasanya, kedua-dua tokoh PPP (Kayveas dan Murugiah) kini telah faham setelah merasai sendiri apa yang dimaksudkan dengan "sepak-terajang" di dalam dunia politik.
Kayves "sepak" Murugiah.
Murugiah "terajang" Kayveas.
Kayves "sepak" Murugiah keluar dari PPP di atas alasan melanggar perlembagaan parti, dan hasilnya Murugiah bertindak balas dengan "terajang" Kayveas dari menduduki kerusi presiden PPP dengan menabalkan dirinya sendiri sebagai presiden yang baru (sumber).
Episod "sepak-terajang" ini terus berpanjangan dengan kumpulan kedua-dua belah pihak saling menyerang dengan menggunakan media bagi mendedahkan keburukan pihak lawan (sedangkan lawan tersebut sama parti, yang beberapa bulan lepas masih boleh duduk sebelah-menyebelah).
Apabila BN melihat "anak syarikat" sedang dilanda krisis yang dahsyat, maka Presiden BN telah mengutuskan Timbalan beliau bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku. Maka, perjumpaan pun diatur dan isi-hati kedua-dua tokoh ini turut diselami.
Malangnya, hingga kini bukan jalan penyelesaian yang dirintis, tetapi sebaliknya keadaan menjadi tambah kalut dan kabut dengan pendedahan demi pendedahan; pembongkaran demi pembongkaran dikeluarkan oleh kumpulan penyokong kedua-dua belah pihak (sumber).
Sebaik sahaja Murugiah diangkat sebagai "Presiden Baru" PPP oleh para penyokong beliau di perjumpaan (kemudian bertukar menjadi AGM) di Putrajaya, Kayveas yang terkejut, kecewa dan tidak berpuas hati, telah secara terbuka meminta Murugiah jika benar-benar ingin membela nasib kaum India, untuk Murugiah keluar dari PPP dan menubuhkan sebuah parti baru (sumber).
Parti baru lagi? Haiiii.....Makin bertambahlah parti politik kaum India dan berat jugalah apabila memikirkan jika setiap kali berlaku saja krisis kepimpinan, akan wujudlah parti baru. Berat nih!
Pokoknya, krisis dan permasalahan orang India (dalam situasi ini) sampai bila-bila pun tidak akan selesai, tidak akan selesai. Malah mereka akan terus lemah kerana berpecah di dalam kelompok yang kecil.
Ingat! Apabila anda cuba berjuang di dalam kumpulan-kumpulan kecil, makanya suara anda dan suara para penyokong anda juga adalah kecil.
Suara yang kecil akan mudah lenyap, ditelan laungan suara yang kuat dan besar oleh parti-parti gergasi di dalam BN. Malah dari segi pembahagian peruntukkan pembangunan, projek, malah untuk dipertimbangkan 1 kerusi Parlimen dan DUN juga ibarat "menunggu kucing bertanduk". Dah diterima masuk ke dalam BN tu duduk diam-diamlah.
Dengan peruntukkan, peluang dan kuasa yang kecil dan terhad ini, bagaimana mungkin anda dan parti anda dapat memenuhi aspirasi membela nasib dan hak kaum India secara berkesan di negara ini? Fikirlah!
Saya bukan orang India, tetapi saya ada beberapa sahabat yang berbangsa India. Krisis PPP ini tidak akan selesai jika kedua-dua pihak masing-masing saling "membaling batu, sembunyi tangan". Buat sarkas juga.
Bertemu dan duduk berbincanglah secara professional, secara pemimpin yang ada karisma. Jangan apabila ada kuasa dan pangkat sahaja nampak ada "aura", tetapi bila hilang kuasa, pangkat dan kedudukan, mulalah buat perangai yang tidak semenggah. Nanti buat malu saja orang nak sokong.
Bagi BN, krisis PPP boleh melarat dan merencatkan perancangan dan imej BN. Bagi PR pula, PPP mungkin tidak meninggalkan kudis kepada usaha mereka menarik sokongan kaum India kepada pembangkang.
Bagi saya, kesejahteraan hidup kita selama ini adalah berkait rapat dengan jernihnya hubungan sesama ahli dalam masyarakat. Jika Melayu dan Cina sahaja yang cukup makan, sedangkan rakan India hidup susah, bagaimana kesejahteraan dan keamanan dapat dipupuk?
Sebagai 1Malaysia, semua kaum perlu dijaga dan keadilan perlu diperuntukkan kepada semua tidak kira kaum dan agama. Ini kerana setiap rakyat ada sumbangannya kepada negara.
Para pemimpin Melayu/Islam pula, ambillah iktibar dari peristiwa yang sedang berlaku ini. Keadilan tidak akan dicapai jika Islam terus dipinggirkan dalam setiap tindakan kita. Islam telah lama mengajar dan menyediakan panduan lengkap buat para pemimpin untuk faham akan erti keadilan dan bagaimana rahmat dari tindakan yang adil itu dapat disebarluas, merentasi batasan perkauman dan keagamaan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment