Sunday 7 June 2009

Analisa: Peluang UMNO & PAS di Manek Urai

Tidak lama lagi akan berlangsunglah proses pilihanraya kecil (PRK) DUN Manek Urai, di Kelantan. Perihal Manek Urai ini tidak perlulah saya ulas lagi memandangkan ianya telah saya tulis dan kupas pada (beberapa) posting sebelum ini - sila rujuk posting terdahulu.

Bagi penulisan kali ini, saya cuba untuk mengupas dan membuat analisa bagaimana UMNO, mahupun PAS masing-masing mempunyai peluang di Manek Urai, dengan cara yang saya rasa mudah dan ringkas, agar para pembaca akan dapat faham dan menangkap maksud yang ingin saya sampaikan.

Penulisan ini juga tidak memberikan/merumuskan satu jawapan atau ramalan tentang pihak mana yang bakal memenangi PRK tersebut. Cukuplah ia sekadar mendedahkan kepada para pembaca tentang bagaimana orang bawahan yang cetek ilmu seperti saya melihat sesuatu "proses politik" itu harus berlaku.

Analogi

Fikir punya fikir, saya berpendapat cara paling mudah dan ringkas bagi membantu kefahaman saya sendiri dan para pembaca ialah menggunakan contoh aktiviti memasak.

Ini kerana setiap hari kita memasak dan tanpa kita sedari memasak juga boleh dikaitkan dengan proses politik. Cuba lihat:

Umunya, terdapat 3 komponen atau peringkat asas bagi aktiviti memasak iaitu (rujuk Rajah 1):

1) Mencari buku resepi dan memilih sajian yang bersesuaian, mula mengumpulkan bahan-bahan (tepung, gula, air, bawang dan garam) untuk sajian tersebut dan peralatan memasak yang bersesuaian - juga dipanggil INPUT.

2) Memulakan kerja-kerja memotong bawang, mencampurkan setiap bahan terbabit, menguli campuran bahan (doh) menggunakan penguli dan dimasak/dibakar di atas dapur - ini dipanggil PROSES.

3) Apabila selesai di masak, diangkat dari dapur, ia kemudiannya dihias dan dihidang, tunggu untuk dimakan perut yang lapar - juga dipanggil HASIL/OUTPUT.

Rajah 1: Tiga (3) komponen/peringkat dalam aktiviti memasak

Jika anda sudah terang akan contoh di atas, sekarang cuba kita tukarkan 3 peringkat dalam aktiviti memasak kepada tiga (3) peringkat asas dalam pengurusan perjalanan setiap PRK seperti Rajah 2 bawah ini:

Rajah 2: Tiga (3) komponen asas pengurusan perjalanan PRK

1) Setiap calon dan parti yang bertanding akan mengembeling tenaga mengumpulkan pasukan berkempen, menubuhkan pusat kawalan, perayu undi, menabur janji dan membentangkan manifesto (bawa pembangunan, etc.), mengenalpasti jentera-jentera dan agensi tertentu untuk diguna bagi membantu - dipanggil INPUT.

2) Setelah segala ramuan tersedia, maka bermulalah proses berkempen (pentas ceramah, kunjungan dari rumah ke rumah, pembinaan infrastruktur, etc), SPR mula melakukan persiapan dan akhirnya proses membuang undi berlangsung - ini dipanggil PROSES.

3) Akhirnya, semua usaha gigih pihak-pihak yang bertanding akan "dibayar" semasa pengumuman keputusan PRK oleh SPR, siapa yang menang dan siapa yang kalah - ini dipanggil HASIL/OUTPUT.

Sudah nampak bagaimana kedua-dua contoh ini dikaitkan?

Seperti orang memasak, dalam politik juga sama. Sebelum PRK berlangsung, setiap calon dan parti yang bertanding akan mengenalpasti dan mendapatkan gambaran awal keadaan di DUN terbabit - membentuk pasukan - mulakan proses berkempen - tunggu keputusan akhir, siapa menang dan siapa kalah.

Menang atau kalah

Menang atau kalah dalam pertandingan sudah menjadi adat. Akan tetapi untuk menang dalam politik adalah suatu proses yang sukar untuk dijangka.

Dalam politik tanah air kebelakangan ini, pihak yang kuat tidak semestinya menang dan pihak yang selalu menang (kubu kuat mereka) juga tiada jaminan untuk terus menang.

Kita cuba buat analisa terhadap situasi ini menggunakan sifir memasak yang telah dihuraikan di atas. Kali ini beberapa kebarangkalian (probabilities) diwujudkan bagi menggambarkan situasi berbeza, yang berpotensi terjadi. Cuba perhatikan:

Klik rajah untuk besarkan

Kebarangkalian 1:

Bahan dan ramuan telah disedia ikut buku resepi (perancangan dah rapi), tetapi proses memasak tidak teratur (proses berkempen tidak jelas), pakat main hentam saja memasak, tetapi hasilnya tetap sedap (parti boleh menang).

Kebarangkalian 2:

Ramuan tak cukup atau salah belia bahan (tiada perancangan yang rapi), tapi proses memasak tu betul (kempen bagai nak rak), hasilnya jadi sedap juga (akhirnya menang).

Kebarangkalian 3:

ramuan dan bahan semua lengkap (perancangan dan modal semua baik dan mantap), memasak juga ikut proses yang betul (proses berkempen juga bagai nak rak), tapi bila siap nak dimakan ia tak sedap (tapi kalah juga).

Kebarangkalian 4:

Yang ini nasib dia baik sebab = ramuan tak lengkap (tiada persediaan sangat), proses main hentam (ceramah dan berkempen pun biasa saja) tapi hidangan tetap sedap (masih boleh menang).

Kebarangkalian 5:

Yang ini paling kasihan = ramuan pilih yang salah (tiada perancangan, ingin jadi calon saja sebab nama masuk TV), kemudian memasak tidak ikut proses (tak berkempen sangat, sebab tiada jentera), lepas tu hidangan juga tak sedap (kalah dan bungkus terus).

Merancang, bertindak...menang?

Jelaslah dalam banyak-banyak kebarangkalian di atas, bab merancang dan bertindak semasa proses berkempen itu kedua-dua pihak mampu lakukan.

Namun yang akan menentukan menang-kalah ialah undi! Undi oleh pengundi DUN Manek Urai.

Ada ketikanya kita lihat ada parti yang membuat perancangan rapi, berkempen gila-gila, dan mereka menang.

Namun, jangan pelik jika ada situasi yang mana perancangan rapi di buat, berkempen bagai nak rak tapi kalah juga.

Bagi yang tidak merancang, tidak berkempen, memang tak menang la kot!

Bagi pihak-pihak yang bertanding kelak, pilihlah mana-mana kebarangkalian yang dirasakan ideal menurut pendapat anda.

Kata orang Inggeris "plan for the worst, hope for the best" - merancang bagi menghadapi kemungkinan yang terburuk, tapi mengharapkan hasil yang terbaik.

Kena selari

Biarpun akhirnya orang akan menilai OUTPUT, tetapi sewajarnya PROSES dan INPUT juga perlu diikut dengan betul. Inilah disiplin politik.

Memang ada tipu-daya politik (banyak sebenarnya) - salah guna jentera (INPUT), kempen berat sebelah (PROSES), dan mereka menang (OUTPUT). Ini yang membuatkan rakyat merasa muak dan jelek.

Makanya, mereka ini mula ditolak rakyat sedikit demi sedikit. Saya berpendapat, tidak ada lagi jalan pintas, pintu belakang dan zon selesa bagi mana-mana calon dan parti yang bertanding.

Setiap mereka hendaklah patuh kepada disiplin ini di mana ketiga-tiga komponen INPUT, PROSES dan OUTPUT haruslah diikut dan ditonjolkan kepada masyarakat.

Tiada lagi salah guna kemudahan dan jentera kerajaan oleh UMNO, tiada lagi kempen berat sebelah di TV dan akhbar dan sebagainya. Jika ini terus berlaku, penolakan rakyat akan meningkat kerana mengikut logik saja mereka sudah boleh faham.

PAS juga tidak boleh mendabik dada, seandainya UMNO betul-betul menampakkan yang ia ingin berubah - nampak membela Melayu.

Calon

UMNO - PAS - (akim?) dijangka akan meletakkan calon masing-masing di Manek Urai. Beberapa minggu yang sudah telah dapat kita lihat parti-parti tersebut mula mendapatkan bahan-bahan, ramuan untuk masakan (susun perancangan dan bina jentera pilihanraya) - INPUT kita sudah nampak.

Kini tinggal tunggu PROSES berkempen sahaja. Bagaimana perancangan dapat diterjemah kepada tindakan bagi menambat hati para pengundi di sana. Jika UMNO dapat uli tepung dengan baik, ada kemungkinan nak dapat kuih yang naik dan kembang dengan cantik tu cerah la sikit. Jika PAS dapat jaga kepanasan api dapur dengan baik, mungkin lauk dia masak sekata la nanti.

Akhirnya, sama-samalah kita lihat OUTPUT pula. Adakah para pengundi DUN Manek Urai suka hidangan kuih yang "diuli" UMNO, atau lauk yang "dimasak" oleh PAS?

Saya pun tak tahu!

No comments: