Tuesday 15 September 2009

F1: Agenda terbaru 1Malaysia

Mungkin saya tertinggal kapal di dalam mengulas perkara ini.

Nampaknya, penerapan konsep 1Malaysia semakin diperluas hingga ke peringkat global dengan terbaru, kerjasama Kerajaan Malaysia dengan sebuah konsortuim usahawan tempatan telah merealisasikan usaha membawa 1Malaysia ke litar F1 di seluruh dunia bermula tahun hadapan.

Tiga 'taikun' tempatan yang terbabit secara langsung dengan usahasama F1-1Malaysia ini ialah Tony Fernandes (AirAsia), Kamarudin Meranun (AirAsia) dan SM Nasarudin SM Nasimudin (Naza).

Manakala, nama 2 pemandu F1-1Malaysia pula dijangka akan diumumkan pada 31 Oktober ini setelah tapisan terhadap 6 nama (calon pemandu) dibuat.

Tenaga 'kita'

D.S. Najib, yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan 1 ketika ditemui menyifatkan penubuhan pasukan F1 ini sebagai 'pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya'.

Ini kerana, kereta yang bakal digunakan kelak merupakan rekabentuk tempatan, dibina dan diuji di litar antarabangsa Sepang.

Malah, tenaga yang menguruskan 'pit-stop' juga kelak akan menggunapakai tenaga rakyat kita, rakyat Malaysia.

Strategi pemasaran

Inisiatif untuk menubuh dan seterusnya melancarkan pasukan 1Malaysia-F1 team ini merupakan hasil gabungan antara sektor awam dan swasta, yang mana pembabitan kerajaan adalah melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Proton Holdings Bhd.

Selain itu, Proton dan Lotus juga turut bergabung tenaga membina enjin, dan bantuan teknikal kepakaran permotoran tempatan turut dilibatkan (dari UTM, UTP, CTRM, SIC dan AAM).

UTM pun terlibat - foto

PM ketika ditemui menyifatkan penglibatan kerajaan (melalui Proton) bukanlah satu pembaziran, memandangkan ianya dibiayai oleh dana GLC terbabit.

Tambahan pula, untuk membolehkan Proton dan Lotus meneroka pasaran luar dan seterusnya meningkatkan daya saing di arena antarabangsa (sekarang pun ada, tetapi masih belum mencapai prestasi memberangsangkan), kemunculan F1-1Malaysia dilihat mampu menawarkan peluang untuk mempromosikan jenama tempatan (Proton/Lotus, Naza dan AirAsia) secara lebih proaktif.

Melalui 'jelajah' ke seluruh pelusuk benua juga, pelbagai usaha ke arah mempromosi negara Malaysia (strategi pelancongan dan pelaburan) dapat diterapkan dengan lebih berkesan dan sistematik.

Boleh menang ke?

Ketika ditanya mengenai peluang untuk melakar kemenangan, PM menegaskan adalah teralu awal untuk meramal sebarang kemungkinan.

Begitupun, dengan kontrak selama 10 tahun diberikan oleh FIA, adalah tidak mustahil melalui usaha yang berterusan (progresif), suatu hari nanti lagu "Negaraku' akan berkumandang dan 'Jalur Gemilang' akan berkibar megah di litar-litar F1 seluruh dunia.

Pembabitan 'kita'

Pembabitan negara baik secara langsung dan tidak langsung di kancah F1 bukanlah perkara baru.

Bermula pada tahun 1999, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah dimasukkan ke dalam kalendar rasmi perlumbaan F1 (kini memasuki tahun ke-11).

Negara turut mempunyai pemandu F1 pertama iaitu Alex Y. yang memandu untuk pasukan Minardi F1 (biarpun telah dijangka pencapaian beliau - ramai orang kata dia suka 'tebas rumput' kat tepi litar, entahla).

Malaysia khasnya Petronas juga bukanlah jenama asing di mana nama Petronas -Malaysia terpapar gagah pada badan kereta BMW Sauber-F1.


Sayangnya, BMW baru sahaja menandatangani penjualan pasukan tersebut kepada sebuah konsortium dari Swiss.

Turut tidak dilupakan, syarikat penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia juga turut meletakkan jenama mereka pada Pasukan F1-William.

Justeru, kemunculan 'semula' Malaysia ke kancah F1 melalui F1-1Malaysia menampakkan komitmen berterusan negara di dalam sukan permotoran ini. Bezanya kali ini, jenama F1-1Malaysia adalah terjemahan secara (hampir) total imej dan kepakaran tempatan.

Isu 'sampingan'

Saya bukanlah peminat besar (big fan) sukan F1 ini, tidak sebagaimana waktu bergelar mahasiswa dahulu - waktu itu banyak acara sukan saya minat.

Kini saya masih menonton perlumbaan ini yang disiarkan di saluran BBC (1/2) di kala hujung minggu, itupun hanya hari Ahad (dekat-dekat nak tamat perlumbaan-nak tahu keputusan).

Di UK ini biasalah, medianya gemar membesar-besarkan sesuatu kisah terutama jika ada Brits yang terlibat.

Musim ini, pasukan Brawn GP (Virgin) dan pemandunya Button adalah British. Tahun sebelumnya heboh dengan kisah Hamilton (McLaren) yang juga pemandu berbangsa British.

Namun, bukan itu yang saya maksudkan dengan 'isu sampingan'. Ianya lebih kepada foto di bawah:


1) Bayangkan jika yang sedang 'berpesta' dengan botol ARAK yang bersaiz super besar itu adalah pemandu Melayu-ISLAM yang memenangani perlumbaan itu suatu hari nanti.

2) Bayangkan juga jika pemandu Melayu-ISLAM itu 'menyemburkan' ARAK itu kepada petugas Pit-Stop yang mungkin orang ISLAM, dan ditambah jika dia menang di bumi MALAYSIA (negara Islam) sendiri.

3) Mungkin juga bekalan ARAK itu akan lebih mudah didapati kerana dengar khabar ada 'taikun' Melayu sendiri yang menjadi pengarah di syarikat ARAK terbesar di Filipina baru-baru ini (sumber).

Mungkin bagi kebanyakan orang, isu yang dinyatakan ini hanyalah perkara kecil yang tidak 'menjadi kudis' kepada keseluruhan aturcara.

Namun, apa yang jelas salah (dan haram) di sisi agama yang menjadi anutan majoriti penduduk negara ini, masih kekal sebagai salah (dan haram).

Saya hanya menjalankan tugas untuk memperingati pada yang terlupa, dan berpesan pada yang alpa.

Jika F1 dapat 'dibersihkan' dari ROKOK, mengapa tidak ARAK?

Sekian.

No comments: