Sunday 20 September 2009

Budaya ilmu: Galakkan program kuiz

Posting kali ini saya khususkan untuk mengajak para pembaca di luar sana agar bersama kita membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian. Galakan ini bukan sahaja buat diri sendiri, malah kepada anak-anak, saudara-mara, rakan taulan dan pelajar-pelajar kita.

Kuiz

Mungkin topik berkaitan kuiz ini bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Dahulu lagi kita telah menyaksikan populariti rancangan 'Popkuiz' kendalian Aznil di kaca TV rumah kita.

Dan terdapat beberapa lagi rancangan kuiz - Apa kata survey (Chef Wan), More Jutaria, Jutawan (Jalaludin Hassan), Roda Impian (Halim Othman), etc.

Bagitupun, kebelakangan ini nampaknya budaya berkuiz mulai berkurangan, malah banyak slot tersebut digantikan dengan rancangan hiburan dan realiti TV.

Sedangkan di negara maju seperti UK, rancangan berbentuk kuiz ini 'tidak pernah putus' daripada ditayangkan di kaca TV.

Selesai satu rancangan, rancangan baru pula akan mengambil tempat.

Tidak sebagaimana di tanah air, banyak kuiz (jika tidak semua) tidak berunsurkan hiburan dan artis semata, banyak berbentuk ilmiah dan menggalakkan peserta dan penontonya berfikir dan akhirnya menambah ilmu pengetahuan mereka.

Hidangan dan santapan minda sebegini pada saya, amatlah perlu diangkat sebagai salah satu keutamaan (priority) oleh stesen-stesen penyiaran di Malaysia.

Bukan sahaja dapat menarik segmen pasaran yang baru, malah menjayakan peranan sebenar media iaitu medium pendidikan kepada rakyat.

Contoh di UK

Berikut saya lampirkan beberapa contoh rancangan kuiz yang disiarkan di TV di UK (BBC dan lain-lain saluran), yang mana ianya bermaklumat dan mungkin Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Penerangan - jangan asyik sibuk dengan propaganda politik sahaja serta lain-lain agensi yang terlibat, untuk mengambil iktibar dan belajar daripadanya.

1) University Challenge (UC)

Disiarkan setiap minggu, setiap episod menampilkan pertembungan mahasiswa dari 2 universiti. Soalan kuiz meliputi pelbagai topik/bidang baik sains dan matematik, fizik, sosial sains, seni, teknologi, dan sebagainya.

Penilaian saya: Adalah amat wajar kepada KPT Malaysia untuk mewujudkan satu liga kuiz universiti mengikut format ini, dengan topik dan soalan adalah berpandukan silabus tempatan (IPTA).

Kita boleh menilai sejauh mana kompetitifnya dan berilmunya mahasiswa kita dan keberkesanan sistem pembelajaran di universiti tempatan selama ini.

2) Noel - Are you smarter than a 10 year old?

Rancangan kuiz ini menguji kefahaman dan daya ingatan peserta dewasa terhadap apa yang telah beliau pelajari sewaktu sekolah rendah. Rancangan ini formatnya mudah iaitu peserta boleh memilih mana-mana 'budak kecik' dalam kelas Noel untuk membantu beliau - dengan pilihan tertentu.

Topik yang ditanya adalah subjek murid umur 7 tahun hingga 10 tahun sahaja!

Namun, jika di akhir peserta gagal menjawab semua topik dan kemudiannya tarik diri atau tewas dan pulang tanpa mendapat apa-apa (take away with nothing), dia perlu mengadap kamera dan mengungkapkan baris yang begitu memalukan iaitu "I'm ...name...and I'm definitely not smarter than a 10 year old!

Penilaian saya: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) wajar meneliti dan mewujudkan kuiz bercorak sebegini untuk menilai dan mendapat maklum balas sama ada apa yang dipelajari semasa sekolah rendah dapat difahami dan diingati oleh golongan belia/dewasa di Malaysia.

3) Pointless

Rancangan ini masih baru tetapi amat menarik ditonton kerana ia membawa kelainan. Lazimnya kuiz memerlukan peserta memberikan jawapan terbaik dan sesiapa yang mendapat markah tertinggi akan menjadi pemenang.

Namun di dalam Pointless, peserta berlumba-lumba untuk 'mendapat skor/markah terendah' untuk menang. Kuiz ini melakukan survei kepada 100 orang terhadap sesuatu topik. Jawapan paling popular oleh responden 'di luar sana' hendaklah dielak daripada diberi oleh para peserta 'di dalam studio'.

Setiap jawapan yang betul oleh peserta, tetapi ianya tiada dalam senarai jawapan popular 100 orang yang disurvei akan dikira sebagai Pointless dan diberi markah '0'. Setiap jawapan yang salah akan mendapat maksimum 100 markah (harapan cerah untuk tersingkir awal).

Penilaian saya: Format yang berlawanan dengan 'apa kata survei'. Kami berdua juga turut cuba menjawab soalan-soalan yang dikeluarkan dan ada ketikanya mendapat 'pointless answer'. LOLZ!

4) Eggheads

Rancangan kuiz yang menampilkan pasukan eggheads iaitu gabungan peserta dan juara kuiz di UK. Mereka ber-6 (Barry tiada dalam foto) adalah peserta kuiz terhebat di UK ketika ini.

Setiap episod, eggheads akan berdepan pencabar (challenger) 1 kumpulan 5 orang. Pencabar kemudiannya diberikan topik dan akan memilih lawannya sesiapa sahaja dari eggheads. Kedua mereka akan masuk ke dalam bilik dan manjawab soalan.

4 peserta akan bertarung secara 1:1. Akhirnya setiap yang menang akan bersama 1 orang lagi di final untuk episod tersebut. Setiap episod menawarkan wang GBP1000 dan sehingga bulan lepas eggheads berjaya mengekalkan reputasi 'tanpa kalah' hingga GBP76,000 sebelum tewas - untung pasukan yang tewaskan mereka. Kini mereka kembali dengan ganjaran terkumpul yang baru.

Penilaian saya: para peserta rata-rata adalah orang awam yang mungkin pesara, kakitangan kerajaan, swasta, guru sekolah dan sesiapa jua. Jika kita mampu menerapkan kuiz bercorak sebegini, saya yakin ramai orang awam di Malaysia yang berminat menyertainya. Kementerian Penerangan boleh memasukkan elemen sejarah negara, kebudayaan dan sebagainya sebagai topik kuiz.

Jangan terkejut

Sebenarnya terdapat banyak lagi rancangan kuiz yang menarik dan interaktif, selain membantu orang awam dan profesional menambahkan ilmu pengetahuan (mastermind, the weakest link, etc).

Jika kita dapat membudayakan kuiz mulai sekarang, jangan terkejut jika suri rumah dan anak-anak kecil kita nanti akan lebih berilmu dan berpengetahuan dari kita dan abang-abang mereka yang sedang bertungkus-lumus belajar di universiti!

Sekian.

No comments: