Thursday 17 September 2009

Tol percuma Hari Raya: Khabar ceria @ khabar duka?

Rasa saya, pastinya ramai kalangan rakyat yang menghela nafas lega setelah mendengar pengumuman bahawa pihak MTD Prime, pengendali LebuhRaya Pantai Timur (LPT) bakal memberikan 'Tol Percuma' sempena musim perayaan bermula tengah malam ini dan 24 Sept ini.

Pemberian tol percuma ini bagaimanapun hanya berkuatkuasa bermula jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi (sumber).

Maka, dengan rasa gembira jugalah, hamba rakyat akan bersesak untuk pulang beraya ke Pantai Timur tahun ini.

Khabar gembira?

Pertama kali membaca langkah yang diputuskan oleh pengendali LPT ini, saya merasa agak lucu dan di masa yang sama risau dan khuatir (setelah meneliti kadar kematian dan kemalangan yang dicatat saban tahun dilaporkan media massa) apabila tibanya setiap musim perayaan.

Khabar gembira dengan:

1- Memandu di waktu malam, 12 tengah malam dan hingga 5 pagi?

2- Menggunakan pula Lebuhraya Karak - kemudian LPT di waktu malam dan awal pagi?

Awalnya juga, saya tidak begitu memikirkan langkah yang diambil ini kerana saya 'terlalu jauh' untuk dilibatkan sama.

Namun, setelah berkunjung ke rumah salah seorang rakan petang tadi dan bersembang dengannya, ada benar dan releven juga pendapat yang beliau utarakan.

Perbincangan kami lebih tertumpu kepada soal keselamatan, iaitu keselamatan pengguna jalan dan keselamatan rekabentuk dan penyelenggaraan lebuh raya itu sendiri.

(dan juga persoalan, mengapa 'keputusan bijak' ini dipersetujui menteri berkaitan)

Keselamatan pengguna

Adalah tidak mustahil untuk merebut 'tawaran percuma' ini, ramai di kalangan pemandu sanggup menggadaikan waktu tidur dan rehat yang secukupnya sebelum mereka (dan keluarga mereka) memulakan perjalanan jauh.

Tanpa rehat yang cukup, bukan sahaja menyebabkan para pemandu cepat letih dan mengantuk, malah mengurangkan daya reaksi (respon dan bertindak) kepada persekitaran.

Tambahan pula, persekitaran adalah gelap.

Foto hiasan

Memandu dalam keadaan sebegini hanya akan menambahkan lagi rasa 'nak segera sampai' atau 'janji cepat sampai' ke kampung, selain ingin mengejar 'tempoh percuma' yang ditawarkan.

Rekabentuk jalan dan persekitaran

Masihkah anda ingat reaksi para pelumba profesional F1 sewaktu FIA membenarkan perlumbaan waktu malam di GP Singapura?

Biarpun mereka sendiri pelumba profesional dan litar Singapura dijamin dengan kelengkapan lampu yang terbaik dan canggih, masih belum dapat menghapuskan rasa risau di hati setiap pemandu.

Begitu jugalah kerisauan saya dan saya minta para pembaca melihatnya dalam kontek begini:

Untuk sampai ke LPT dalam tempoh 12 malam - 5 pagi, para pemandu perlu berkejar melalui dan melepasi Lebuhraya Karak (L. Karak) terlebih dahulu, mungkin 1 jam sebelum itu (extra 1 jam jika jalan sesak @ berlaku kemalangan).

Saya juga percaya ramai anda di luar sana biasa dengan L.Karak - saya juga percaya tidak ramai yang sanggup memandu melaluinya di tengah-tengah malam hari.

Selain jalannya yang bersimpang-siur membelah bukit dan cerun yang dalam, memandu di kawasan tanah tinggi juga tidak dapat dielak daripada pengaruh 'KABUS' tebal (kawasan bukit).

Foto hiasan

Memandu di dalam jalan berkabus dengan memandu di dalam kegelapan malam adalah dua situasi yang berbeza. Tak percaya, cubalah memandu ke L. Karak selepas ini.

KABUS (Hujan) + MENGANTUK + GELAP + DISIPLIN PEMANDUAN = RISIKO KEMALANGAN MENINGKAT

Selain faktor persekitaran, faktor rekabentuk jalan juga turut meningkatkan risiko kemalangan, jika tidak berhati-hati dan berwaspada.

L. Karak seperti yang kita tahu, telah lama mengalami masalah rekabentuk. Selain masih ada 1 hala-2 lorong (kurang pilihan bagi laluan mendaki dan memotong) selain beberapa 'titik panas' kemalangan (terutama di waktu hujan dan berkabus - jalan licin, etc.).

Selain itu, LPT juga turut mempunyai 'titik panas' kemalangan maut selain terdapat selekoh tertentu yang tidak membenarkan 'halaju 110km/jam'.

PERSEKITARAN (kabus + hujan + malam) + PEMANDU (letih + mengantuk + terburu) + REKABENTUK JALAN (jalan sesak + lorong memotong dan mendaki terhad + selekoh maut) = RISIKO KEMALANGAN MENINGKAT

Ini sekadar formula yang dapat saya fikir secara sepintas lalu saja.

Renungkanlah

Sekadar ingin berkongsi:

"Jika anda sanggup berhabis wang beratus ringgit untuk membayar tempahan baju melayu atau juga baju kurung isteri, atau membelanjakan beratus ringgit untuk baju anak-anak dan orang tua di kampung, mengapa pula ingin berkira untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membayar tol?".

"Dengan peruntukan tersebut, anda mungkin mempunyai tempoh rehat yang cukup, memandu dalam keadaan yang anda selesa (mungkin waktu siang atau selepas bersahur) dan tidak perlu nak berkejar-kejar".

Janganlah mudah terpeseona dengan tawaran ini, tanpa membuat timbang-tara. Takut dan risau, khabar gembira bertukar duka.

Jangan jadikan perjalan pulang tahun ini sebagai yang terakhir terutama setelah mengenangkan atuk dan nenek di kampung yang rindu untuk menatap wajah riang dan gembira anak-cucu mereka saban tahun!

Buat pemegang konsesi/pengendali lebuh raya pula, pertimbangkanlah langkah pemberian tol percuma secara lebih ikhlas pada masa hadapan. Antaranya:

1) Tol percuma 24 jam untuk perjalanan dari KL ke Pantai Timur (kerana kocek kering berbelanja pulang), dan tol separuh harga 24 jam bagi perjalanan balik ke KL (kerana kocek kembali penuh dengan duit raya).

2) Pemberian diskaun tol pada kadar tertentu (25%-30%) untuk perjalanan pergi dan balik sepanjang tempoh perayaan bagi pengguna lebuh raya yang berkongsi kereta / kereta penuh.

3) Dan sebagainya, yang difikirkan sesuai mengikut keadaan.

Kepada yang akan dan sedang memandu untuk pulang ke kampung halaman, selamat memandu dan berhari raya-lah dalam keadaan yang selamat dan sejahtera.

Dr. Sepet: Maaf zahir dan batin.

No comments: