Saturday 5 September 2009

Rosol: Berhenti mendengar, mulakan bertindak

Nampaknya kemelut politik UMNO di Terengganu masih belum menemui titik penyelesaiannya lagi.

Biarpun Timb. Presiden UMNO beberapa hari yang lalu melabelkan telah ada perkembangan yang positif ke arah penyatuan dan pengukuhan semula hubungan di kalangan ADUN UMNO Terengganu, namun setelah melihat begitu ramai ketidakhadiran ADUN pada majlis beliau di Kuala Berang, hari yang sama, membuktikan ada 'sesuatu yang tidak kena'.

Berita Harian Online (sumber) hari ini melaporkan temubual bersama ADUN Ajil (Rosol Wahid), salah seorang ADUN yang tidak di 'kem' YB MB Terengganu, Ahmad Said a.k.a. jurucakap untuk kem Idris Jusoh.


Antara perkara utama yang diperkatakan adalah rasa meluat dan menyampah di kalangan ADUN UMNO Terengganu di sebalik langkah pimpinan tertinggi parti yang dinilai mereka sebagai 'banyak mendengar dari bertindak', menyebabkan hingga kini belum ada suatu perkembangan yang positif ke arah menyelesaikan krisis ini.

Rosol sebagaimana dipetik berkata:

"Sebenarnya beliau (Muhyiddin) tahu isu dan permasalahan ini. Jika itu kemahuannya, kita ikut, ..tetapi kita minta bukan setakat dengar masalah, sebaliknya perlu mengambil tindakan penyelesaian segera bagi memperkasakan semula parti". (sumber)

"Kalau setakat nak dengar masalah lebih baik tidak payah buat. Kita sudah serik apabila (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) panggil semua wakil rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati (pada Mei lalu), tetapi bukan saja gagal menyelesaikan, sebaliknya memburukkan lagi keadaan". (sumber)


Krisis ini nampaknya jauh lebih rumit untuk diselesaikan jika kehadiran Muhyiddin tidak lebih sebagai penambah seorang lagi 'pendengar yang setia'.

Tarik tali

Bersandarkan pengalaman saya sebagai anak Terengganu, rasanya sukar untuk para ADUN yang terbabit meninggalkan UMNO.

(faktor tarikan oleh PR pun kurang, manakala faktor tolakan dari BN sendiri juga kurang - MB tidak meminta ADUN-ADUN ini supaya keluar parti pun)

Mereka-mereka ini sebenarnya hanya 'bermain tarik tali' dengan pimpinan UMNO negeri kerana ingin menuntut kekayaan daripada 'kek ekonomi negeri' untuk turut diagihkan kepada mereka.

Ini kerana, diberitakan semenjak Ahmad Said melantik ADUN dari 'kem dia', ADUN-ADUN lain yang menjadi orang kuat bekas MB sebelum ini (Idris) sudah tidak begitu menerima habuan yang lumayan.

Ini kerana selain isu 'kek ekonomi' ini, kita tidak mendengar keluhan berkaitan kegagalan pentadbiran Ahmad Said dalam menjaga keperluan rakyat secara keseluruhannya.

Lainlah jika tuntutan ADUN ini dibuat setelah Ahmad Said dilihat secara jelas gagal mengurustadbir negeri dengan baik sehingga rakyat menjadi susah. Jika demikian, mungkin ada juga rasionalnya.

Masih muda

Banyak negeri selepas PRU ke-12 yang lalu merupakan negeri yang 'masih muda' dengan Terengganu sendiri tidak terkecuali.

Negeri-negeri lain yang muda (kerana bertukar kerajaan) adalah Selangor, Perak (hoho..), Kedah dan Pulau Pinang.

Justeru, orang Muda perlu banyak masa untuk belajar dan mencari rentak sendiri dalam mentadbir negeri.

Lihat sahaja bagaimana Selangor dan Pulau Pinang mendepani cabaran ini.

Dengan usia pentadbiran yang kurang 2 tahun, tentulah wujud kelemahan dalam proses pembelajaran dan 'cuba dan jaya' (cuba dan gagal pun banyak juga).

Cuma yang membezakan setiap 'orang muda' ialah keupayaan mereka untuk bertindak menyelesaikan masalah (bukan banyak mendengar semata).

Sudahnya

Mungkin gesaan Rosol ini boleh menjadi titik permulaan yang serius bagi pimpinan tertinggi UMNO di peringkat negeri dan nasional meneliti apakah bentuk 'tindakan' yang sepatutnya mereka ambil.

Tindakan menghantar lebih ramai 'orang tengah' mahupun 'pendengar' dilihat sudah tidak releven ketika ini.

Malah, semakin dilihat menambahkan rasa meluat dan menyampah, selain mendedahkan ketidakmampuan dan integriti 'pendengar @ orang tengah' yang dihantar.

Pada saya, isu ini akan selesai jua kerana mahu tidak mahu periuk nasi semua pihak menjelang PRU ke-13 nanti, perlu juga dijaga!

Sekian.

No comments: