Monday, 27 October 2008

PUJUK...bukan TUNTUT...

Bertemu kembali,

Semalam ada menonton Buletin Utama kat internet, biasalah berita kat TV sekarang ni, 30 minit yang awal tu dikhaskan untuk politik (macam dah jadi makanan asasi rakyat dah). Lantaklah kome semua, yang masih belum cukup pencalonan, sibuk lagi dok berkempen. Yang dah 'lulus' tu bolehlah tarik nafas lega (sekejap je, sebab tu baru layak jadi calon, belum tentu jadi 'calon yang menang' lagi).

Tinggalkan dulu UMNO dan kapalnya dahulu, saya tertarik dengan komen yang diutarakan oleh Prof Emeritus Khoo Khay Kim (UM) perihal ketuanan melayu, pertikaian mengenai kontrak sosial dan peri penting pehamahan terhadap artikel 153 dalam perlembagaan negara (mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia).

Artikel 153 menyentuh beberapa aspek iaitu (1) hak melayu/bumiputera memasuki sektor perkhidmatan awam, (2) biasiswa dan (3) pendidikan.

"hanya artikel 153 ada dalam perlembagaan, dan perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, dan segala undang-undang lain yang bertentangan dengan perlembagaan adalah tidak sah" - Khoo Khay Kim (25 Oct 2008).

Langkah yang perlu digerakkan kini adalah mendedahkan kepada generasi muda tentang pembentukan perlembagaan dan kefahaman terhadap kontrak sosial yang telah dibentuk melalui persetujuan bersama para pemimpin (berbilang kaum) di masa dahulu.

Seterusnya beliau diaju pertanyaan berkaitan dominasi UMNO dalam BN.

"dominasi itu berasaskan artikel 153! Dan mereka seharusnya faham apa itu artikel 153. Saya rasa ahli politik kita seharusnya belajar apa yang sensitif dan apa yang tidak sensitif. Apa yang boleh disebutkan, apa yang tidak seharusnya disebutkan, biar mereka kembali ke masa selepas Mei 13 1969."

Selanjutnya beliau menambah,

"parti-parti di luar UMNO, kalau mereka mahukan sesuatu seharusnya PUJUK, bukan TUNTUT!"

"Mungkin kalau PUJUK akan mengambil masa yang lama, tapi akhirnya mungkin boleh dapat. Kalau TUNTUT saja, mungkin tak boleh dapat" - Khoo Khay Kim (25 Oct 2008).

Saya tidaklah memba**-buta untuk menyokong dominasi UMNO dalam BN mahupun di peringkat negara. Ini kerana spirit/semangat sebagaimana yang telah digariskan di dalam artikel 153; kontrak sosial adalah amat baik dan jika ia diterjemah kepada tindakan dengan cara yang betul, beretika dan beramanah, alangkah elok dan mungkin kini tidak muncul/tiada suara-suara sumbang akan kedengaran baik dari pihak pembangkang, mahupun rakyat dari kaum lain.

2 persoalan timbul ialah:

Mengapa kini baru ditimbulkan persoalan mengenai 'ketuanan melayu', dan kontrak sosial? Adakah rakyat berbilang kaum tidak puas hati dengan prestasi ekonomi dan bagaimana hasil kekayaan negara diurus tadbir oleh pemimpin (melayu)?

Apakah langkah berkesan untuk 'menjawab' persoalan pertama, dan bagaimana parti pemerintah dapat bangkit untuk membina semula reputasi sebagai parti yang mewakili hati orang melayu dan di masa yang sama menjamin hak dan kesejahteraan hidup kaum lain di negara ini.

Bersama kita nantikan perkembangan hal ini di masa akan datang (atau tidak lama lagi?).

Wassalam.

No comments: