Monday 20 October 2008

Pengurusan kekayaan

Berita 1

Kerajaan yakin harga minyak sawit meningkat

20/10/2008 3:06pm

KUANTAN 20 Okt. — Kerajaan yakin harga komoditi minyak sawit yang kini menurun ke paras RM1,700 setan akan kembali meningkat tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Senator A. Kohilan Pillay.

Katanya jangkaan peningkatan semula harga komoditi itu dibuat atas beberapa faktor seperti beberapa lagi musim perayaan yang akan menjelang tiba yang akan meninggikan semula permintaan komoditi itu.

Selain itu, katanya negara yang mempunyai empat musim kebiasaannya akan membuat permintaan tinggi terhadap minyak sawit apabila tiba musim sejuk.

“Kita yakin harga minyak sawit akan meningkat semula kerana percaya permintaan terhadap komoditi itu akan meningkat pada musim perayaan selain kedatangan musim sejuk di negara berkenaan, yang akan menyebabkan pengunaan minyak sawit kembali meningkat.

“Dengan ini kita percaya harga minyak sawit akan meningkat semula pada tahap yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceramah Kerjaya Sektor Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Program ceramah yang dihadiri 300 pelajar sekolah dan universiti di negeri ini merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan profil sektor dan pengetahuan orang ramai, terutama pelajar, mengenai kerjaya di sektor berkenaan.

Katanya harga minyak kelapa sawit pernah mencatatkan peningkatan ketara pada Mac lepas iaitu mencecah RM4,600 setan sebelum menurun kepada RM3,800, diikuti RM2,700 dan kini RM1,700.

Bagaimana pun, katanya walau pun harga minyak sawit kini RM1,700 setan, namun harga itu masih relevan memandangkan kos operasi bagi pengeluaran biodiesel misalnya mencatatkan pada paras RM1,200 setan.

Menurutnya, ketika harga minyak sawit berada pada paras rendah ini, adalah lebih baik jika pekebun dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit.

Ketika harga sawit tinggi, katanya pekebun jarang memberikan tumpuan kepada kerja-kerja penanaman semula pokok kelapa sawit.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kohilan berkata negeri Pahang merupakan salah satu penyumbang utama kepada kemajuan komoditi itu di negara ini.

Dari segi penanaman kelapa sawit, terdapat lebih 640,000 hektar ladang di negeri Pahang yang mana lebih 40 peratus daripadanya diusahakan melalui skim Felda.

“Ini menjadikan Pahang sebagai negeri keempat terbesar dalam penanaman kelapa sawit di negara kita di mana jumlah keluasan keseluruhan ialah sebanyak 4.3 juta hektar selain sebagai pengeluar utama produk kayu-kayan dan getah,” katanya.

—BERNAMA

Berita 2

Malaysia tidak berada dalam krisis kewangan - Najib

20/10/2008 1:58pm

KUALA LUMPUR 20 Okt. — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.

Bagaimana pun, beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata ekonomi sebenar negara tidak dapat dielak akan menerima kesan negatif oleh cabaran kewangan semasa.

“Sambil kita berkeyakinan mengenai ketahanan sektor kewangan kita, kita beringat bahawa kegawatan kewangan di dalam pasaran lain akan memberi kesan terhadap ekonomi sebenar negara serta di seluruh dunia,” katanya selepas merasmikan Forum Megatrends Khazanah.

Najib berkata dari perspektif kerajaan, pengurusan kesan impak ke atas ekonomi sebenar merupakan keutamaan teratas sambil kerajaan memastikan integriti sistem kewangan negara ini.

Katanya kemelesetan ekonomi global akan memberi impak ke atas permintaan bagi penggunaan budi bicara yang menjadi sebahagian dari eksport Malaysia.

“Agak jelas, sektor ekonomi yang boleh diniagakan akan menerima kesan secara negatif,” katanya.

Pertumbuhan yang perlahan, kata Najib yang mulai ketara, akan memberi kesan terhadap permintaan yang perlahan bagi mendapatkan komoditi seperti yang dilihat di dalam penurunan harga komoditi yang termasuk harga minyak mentah.

“Kemerosotan harga minyak sawit dan getah akan memberi kesan terhadap perolehan syarikat perladangan dan pekebun kecil kita,” katanya.

Dengan itu, katanya pemacu pertumbuhan ekonomi mampan perlu dilakukan oleh pelaburan swasta domestik dan penggunaan domestik yang kukuh yang berterusan.

— BERNAMA

=========================

Berita 3

Penoreh resah harga getah merudum

TENOM 24 Ogos - Para pekebun kecil di sini mula resah berikutan harga getah yang jatuh menjunam sehingga RM3 sekali gus menyebabkan pendapatan mereka kini terjejas.

Menurut mereka, harga getah sebelum ini mencatat lebih RM5.

Bekas Ketua Anak Negeri (KAN), Gonsubin Yosundang, 58, berkata, para pekebun getah hari ini tidak ceria seperti dahulu kerana bukan sahaja harga getah yang menjunam tetapi juga kemungkinan akan terus turun.

Beliau yang mengusahakan kebun getah di Kampung Ulu Tepoh berkata, pendapatan penoreh terjejas teruk berikutan kejatuhan harga komoditi itu yang begitu mendadak.

''Kita berharap kerajaan dapat membantu menangani masalah ini kerana pendapatan daripada hasil getah tidak lagi mewah seperti dahulu dan harga barang makanan pula terus meningkat.

''Malah kami kini dilanda kebimbangan, harga getah akan terus jatuh. Jika keadaan ini berlaku, mungkin penoreh getah terpaksa mencari pekerjaan lain," katanya.

Seorang lagi pekebun getah, Selliang Riung, 57, yang tinggal di Kampung Kelanaan berkata, pihak berkaitan perlu berbuat sesuatu bagi melindungi kebajikan para penoreh supaya kehidupan mereka tidak terus terhimpit.

Katanya, hampir 70 peratus rakyat luar bandar terdiri daripada mereka yang bergantung hidup daripada hasil getah dan jika harga terus menjunam tentu sekali ramai yang akan meninggalkan kampung halaman dan berhijrah mencari pekerjaan di bandar.

Pesara tentera, Majakum Matthew, 41, pula berkata, para penoreh sepatutnya tidak terlalu takut dengan kedudukan pasaran harga getah yang turun naik.

Katanya, para penoreh sepatutnya menabung dan membuat persediaan semasa harga getah melambung naik.

''Harga getah ini ada pasang dan surut, kita kena sabar. Pada masa sama, kita minta kerajaan untuk berbuat sesuatu menstabilkan harga atau sekurang-kurangnya ada satu kaedah mempertahankan harga sekarang," katanya.


Berita 4

Dividen Felcra dijangka terjejas - Muhammad

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kemerosotan harga komoditi tanaman sawit dan getah sejak beberapa bulan kebelakangan ini akan menyebabkan dividen kepada pelabur Felcra terjejas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kemelut kewangan yang berlaku di pasaran global menyebabkan harga komoditi mengalami penurunan.

''Ini bermakna kita mesti bersedia bahawa dividen akan datang bakal terjejas kerana pendapatan daripada kelapa sawit dan getah menurun,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra 2008 di Dataran Wisma Felcra di sini hari ini.

Menurut Muhammad, bagi mengatasi masalah itu, pengurusan Felcra perlu lebih jitu dalam meningkatkan hasil tanaman agar kemerosotan yang berlaku tidak menjejaskan pendapatan.

Jelasnya, jika ladang-ladang milik syarikat swasta dapat mengeluarkan hasil yang tinggi, Felcra juga mampu berbuat demikian.

''Saya berharap, Felcra dapat meningkat hasil daripada 17 metrik tan setiap hektar kepada 21 metrik tan sehektar,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, pengurusan yang lebih teratur akan dapat memastikan hasil tanaman ditingkatkan walaupun dengan kos yang masih tinggi.

Katanya, krisis kewangan yang melanda di peringkat global bakal menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam situasi politik yang kurang stabil.

''Kita berkehendakkan politik yang stabil tetapi kalau kita masih bergoncang dan masih tak selesai dari segi isu-isu politik, masalah yang datang dari luar boleh menggugat negara kita,'' tegasnya.

=========================

Sekarang, semua kita sedia maklum baik di UK, US, Eropah/EU, Asia kini sedang bergelut dengan krisis ekonomi. Malaysia, sebuah negara kerdil dengan kapasiti pasaran saham yang kerdil dan pergantungan terhadap import yang tinggi perlu menyiapkan langkah yang padu ke arah menghadapi gelombang krisis ekonomi ini.

Lihat saja bagaimana syarikat gergasi di Jepun yang lebih organise tumbang menyembah bumi, kadar pengangguran meningkat di UK dan US, pasaran saham Asia mula hilang modal dan keyakinan oleh para pelabur dan akan banyak lagi kesan yang bakal muncul selepas ini.

Kita sebagai rakyat (yang sayang Malaysia) tidaklah bermaksud untuk merendahkan kredibiliti para pemimpin negara dalam menangani krisis ini, namun jika diperhatikan sekarang ni terlalu banyak statement yang berbentuk 'longgar' dilontarkan seolah-olah ingin menyedapkan hati pelabur dan rakyat sendiri bahawa kita masih kukuh dan kuat.

Pastinya harga barang yang naik 'menggila' selepas harga minyak naik RM1 beberapa bulan yang sudah kini masih 'kekal' tinggi, tanpa menampakkan adanya tanda untuk turun. Harga bahan asas seperti beras masih mahal dan tidak banyak berubah, biarpun kerajaan telah menurunkan harga minyak beberapa kali selepas kenaikan tertinggi itu.

Orang kampung menyeluh, sudahlah harga bahan makanan mahal, hasil getah dan sawit pula terpaksa dijual murah dan mengurangkan pendapatan (ada saudara dulu menerima RM3k sebulan hasil jual sawit, kini turun kepada RM1k sahaja - 1/3 berkurang). Sedangkan harga barang dan kos perkhidmatan terus kekal dan ada semakin naik.

Sesak! memang sesak! Tapi inilah realiti yang dirasai oleh orang kampung (pemimpin rasa atau tidak, tak tahulah!).

Apa penyelesaiannya? Pemimpin perlu buktikan melalui tindakan yang berkesan, dan bukan lagi melalui pernyataan politik/atas angin sahaja. Biarlah orang kampung dapat merasai penurunan kos-kos hidup seharian dan merasai peningkatan pendapatan jualan hasil ladang.

Sesungguhnya mencegah dari awal melalui tindakan segera itu lebih baik dari merawat kesan negatif yang terjana selepas itu disebabkan kelewatan mencari penyelesaian.

No comments: