Thursday, 2 October 2008

Bencana Perbankan Online

Bertemu kembali,

Pertama, masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca blog ini tidak kira di mana anda berada. Semoga raya tahun ini tetap meriah sebagaimana tahun-tahun yang sudah.

Di balik pelbagai cabaran dan kekalutan yang tercetus di Malaysia ketika ini, seharusnya kita terus melahirkan rasa kesyukuran kerana masih dapat meneruskan pekerjaan dan hidup dengan selamat dan aman. Harapan semua agar keharmonian dan kestabilan ini terus kekal. Dan harapnya krisis politik yang belum pulih ini akan dapat dijernihkan dan rakyat semua dapat kembali merasa keuntungan menjadi warga Malaysia.

Tidak banyak sebenarnya perbezaan di luar negara dengan suasana di Malaysia saya perhatikan sejak kebelakangan ini. Laporan akhbar di UK mendapati jirannya iaitu Ireland mula terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi yang teruk. Penganalisis turut menjangkakan selepas Ireland, UK, Jerman, Spain dan banyak lagi negara dari EU akan mengalami nasib yang sama.

Bibit-bibit penyakit ekonomi kini semakin kelihatan dengan kadar pengangguran di UK telah meningkat sebanyak 10%, harga rumah telah turun dan bank-bank mula mengetatkan urusan pembiayaan pinjaman perumahan. Kesannya, bertambah ramai rakyat Britian akan sukar mendapatkan rumah (kemudahan asas) dan industri pembinaan (rumah) telah terjejas seterusnya mengakibatkan banyak syarikat pembinaan terpaksa gulung tikar.

Beberapa minggu kebelakangan ini kita turut dihidang dengan berita krisis kewangan di US. Ya! negara pendokong atau IBU kepada kapitalis kini bagaikan terpaksa menjilat ludah sendiri di mana kerajaan pimpinan Bush telah melakukan tindakan menyelamat paling besar dalam sejarah US dengan mem 'bail-out' kompeni-kompeni yang bermasalah menghadapi bangkrup tersebut.

Bayangkan US yang dahulunya gah memperjuangkan sistem ekonomi bebas berpandukan kuasa pasaran (market force), kini bertindak membelakangkan prinsip perjuangan tersebut melalui tindakan nasionalisasi (memiliknegarakan) agensi dan syarikat utama.

Pelan menyelamat bernilai US$700b yang dibentang Bush telah ditolak menyebabkan pasaran saham di Wall Street menjunam sebanyak 777 mata, memungkinkan kesan rantaian lebih parah selepas ini. Kini semua mata akan tertumpu kepada rayuan kedua pelan menyelamat yang akan dibentangkan semula.

Namun, isu ini biarlah pembaca dapatkan butiran dan penjelasan lebih terperinci daripada berita atau analisis oleh pakar ekonomi sendiri. Fokus Dr Sepet kali ini adalah berkenaan Sistem Perbankan Online (e-perbankan).

YA! tidaklah dapat dinafikan kuasa ICT di dalam segenap aspek kehidupan kita hari ini. Dan saya sendiri yakin bahawa asal sesuatu itu adalah baik, cuma selepas itu baik atau buruk bergantung kepada bagaimana cara ia digunakan.

Asal e-perbankan adalah mengintegrasikan ICT bagi memudahkan pengguna yang ingin berurusan dengan bank, tanpa perlu membuang masa menunggu giliran di bank. Segala urusan termasuk pemindahan wang dari satu akaun ke akaun yang lain kini dapat dibuat di mana sahaja yang mempunyai capaian internet/jalur lebar.

Namun, saya bimbang dengan keadaan ekonomi yang semakin tidak tentu ini, di mana penyalahgunaan e-perbankan boleh menjadi bencana kepada institusi perbankan terutama di negara membangun seperti di Malaysia.

Bayangkan jika kesemua pelanggan bank yang PANIK tiba-tiba memindahkan KESEMUA wang mereka dari bank Malaysia ke akaun bank lain di luar negara. dalam 5 SAAT sahaja akaun-akaun bank dan peti simpanan wang mereka bertukar menjadi KOSONG. Dan dalam 5 SAAT jugalah institusi perbankan boleh RUNTUH dan musnah.

Asal yang baik, jika tiada cara mengawal boleh menjadi bencana pula. Harapnya janji TPM bahawa negara masih berdaya tahan untuk menghadapi krisis kewangan ini adalah janji yang boleh dipegang. Besarlah harapan kita agar wang gaji dan hasil jualan kita di masa depan tidak terpaksa disimpan di BAWAH BANTAL dek keraguan terhadap bank!

Wassalam.

No comments: