Wednesday 15 August 2012

Berbuka di luar & tahniah Sukri

SCM

Alhamdulillah, semalam kami bertiga berkesempatan berbuka puasa di luar, juga yang pertama kalinya sepanjang Ramadhan tahun ini. Destinasi kami adalah ke Setia City Mall (SCM) - sebab mudah dan dekat.

Disebabkan kami tiba agak awal, maka selepas mendaftar, membuat pesanan dan bayaran, kami masih ada masa untuk berjalan-jalan melihat aneka barangan yang dijual di dalam pusat membeli-belah terbabit. Sudah menjadi kelaziman, kunjungan kami ke SCM tidak lengkap tanpa berkunjung ke kedai buku MPH bagi melihat bahan-bahan bacaan terkini yang dijual.

Bertuahnya kali ini, kesemua kami telah "menganugerahkan" diri masing-masing dengan bahan bacaan kegemaran sendiri. Isteri seperti biasa memilih novel, Mawaddah dengan buku kanak-kanak yang interaktif dan saya pula sebuah buku bacaan umum. 


Setelah hampir dengan waktu berbuka kami pun bergerak balik semula ke restoran, mengambil tempat duduk dan sambil itu sempat membelek-belek bahan bacaan yang dibeli. 


Tidak lama selepas kami duduk, mulalah restoran tersebut dipenuhi pelanggan-pelanggan lain yang juga sudah buat booking untuk berbuka puasa. Ada yang berkeluarga dan tidak kurang yang berpasangan. Bagi saya yang sudah  lama meninggalkan 'kehidupan malam di luar rumah', saya perhatikan ramailah orang hari ini yang membudayakan amalan makan di luar (atau disebabkan bulan puasa?). 

Sewaktu sedang makan, terpandanglah akan saya adegan romatik satu pasangan yang berbuka puasa di depan meja saya. Romantik sungguh, siap bersuap-suapan antara keduanya. I suap you, you pulak suap I. Selain bersuapan, berposing dan bergambar pula bertempel muka. Mengemaskini status di FB barangkali.

Saya cuma harap yang kedua anak muda ini adalah pasangan suami-isteri yang berkahwin muda. Justeru, apabila masih muda, rasa cinta itu mungkin mereka zahirkan dan manifestasikan secara lebih terbuka, sekalipun dilihat canggung dengan penilaian khalayak (walaupun halal di sisi agama - kerana dah berkahwin).

Seandainya mereka tiada sebarang ikatan yang sah, hati kecil saya cuma mendoakan supaya anak perempuan saya apabila dia besar nanti, tidak akan menjadi sejahil itu.

Manakala bagi yang hadir berbuka puasa bersama keluarga, saya perhatikan jarang benar mereka dan pasangan saling menyuapkan makanan di dalam restoran yang terdapat ramai orang sedang makan. Biasanya, ibu dan bapa lebih asyik melayan kerenah anak-anak yang sibuk "memecahkan pinggan" sebab nak makan ayam, atau berbual-bual. 

Apapun, adegan mesra pasangan tersebut ada juga hikmahnya kerana ia telah membantutkan hajat saya untuk berada lebih lama di restoran itu. Lantas saya bersegera naik ke tingkat 2 untuk solat Maghrib. 

Tahniah buat sahabat

Sebentar tadi (Khamis pagi) saya menerima kunjungan sahabat, Dr Sukri di bilik. 


Beliau tidak datang dengan tangan kosong mahupun membawa angpau raya. Beliau datang membawa berita gembira berserta surat jemputan ke Majlis Perkahwinannya dan pasangan pada 9 September ini di kampungnya di Jeram, Kuala Selangor.

Sukri merupakan "sahabat lama lagi konsisten" saya sebermula dari zaman persekolahan lagi (kami rakan sekelas di MRSM Muar, 1997/98). Kemudian kami sama-sama ke UTM (bidang berbeza) dan kini bertugas di bawah bumbung yang sama.

Buat Sukri, saya doakan segala yang baik buat anda dan bakal isteri - kebahagiaan dan jodoh yang berpanjangan. Diberi dan ditambah kesabaran untuk mengharungi kehidupan berumahtangga. Diberikan rezeki yang halal lagi melimpah-ruah dan kecukupan.

Moga majlis yang dirancang akan berjalan lancar, selamat dan meriah. 

Buat kawan-kawan sekelas sewaktu menuntut di MRSM Muar, saya menyampaikan pesanan Sukri bagi menjemput anda ke hari bahagia sahabat kita ini. 

Maklumlah, sudah lama tidak bertemu muka.

No comments: