Friday, 27 August 2010

Kelainan Puasa & Tarawih Tahun Ini

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang telah memberikan peluang untuk saya sekali lagi menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini.

Alangkah beruntungnya saya (dan anda) dengan nikmat kurniaan Allah ini, di kala ada di kalangan saudara seagama yang lain, tidak kiralah kaum keluarga, sahabat-handai mahupun jiran tetangga kita, telah dijemput pulang oleh Allah sebelum sempat mengecap nikmat Ramadhan.

Syukur yang tidak terhingga juga kerana kedatangan Ramadhan tahun ini dipermudahkan Allah, tidak sebagaimana mencabarnya keadaan saudara seagama kita yang kini terus ditimpa musibah terutama mangsa banjir di Pakistan sana.
Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini sedikit pembaharuan (jika tidak penambahbaikan) telah dan sedang dibuat - dengan berusaha lebih kerap bersolat Isya dan Terawih di masjid.

Biarpun tidaklah mampu untuk keluar setiap malam, sekurang-kurangnya tahun ini lebih kerap berbanding tahun lepas. (Waktu malam dah mula sejuk, macam permulaan winter)

Cabarannya bukan kecil memandangkan tempoh berpuasa tahun ini agak panjang (bersahur jam 4am dan berbuka 8pm). Waktu Isya pula sekitar jam 9.45pm.

Tahun ini saya memilih Masjid Madina di Stanley Road, Iffley, Oxford untuk solat berjemaah. Rumah teres yang diubahsuai menjadi masjid ini terletak di dalam kawasan perumahan - saiznya agak kecil jika dibandingkan dengan Masjid di Manzil Way.

Apapun, kehadiran jemaah pada pemerhatian saya tidak pernah surut, baik di awal Ramadhan, dan kini setelah 17 hari berlalu, masih penuh dan sesak. Jika anda sedikit terlewat, sama ada solat di tingkat atas, atau di laluan masuk ke masjid.

Inilah, pada saya, perbezaan ketara dapat diperhatikan setelah berpuluh tahun saya bersolat terawih di tanah air.

Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang dialami di tanah air, sekadar ingin berkongsi apa yang lebih baik di sini, agar dijadikan pedoman kita semua.

Jika di kampung saya dulu-dulu, bulan puasa ni memang seronok. Waktu malamnya ke masjid bersolat terawih. Seminggu yang awal tu adalah dalam 4 baris/saf makmunnya. Budak-budak pun ramai datang.

Masuk minggu ke-2, masjid menerima 'diskaun' dari segi kedatangan jemaah, adalah tinggal 2 saf. Budak-budak dah tak duduk dalam masjid, ramai yang memenuhkan tangga masjid saja.

Masuk minggu yang akhir, adalah 1 saf (kalau tidak setengah saf). Budak-budak yang datang pula ramai nak bermain mercun saja.

Ini kerana masyarakat kita (jujur saya kata) bukan lagi bersemangat nak kejar ganjaran besar yang Allah janjikan, terutama di akhir Ramadhan (10 yang akhir, dengan malam Lailatul-Qadar, etc.) tetapi makin sibuk dan semangat nak sambut raya.

Di sini berbeza, keadaannya lebih tenang. Makin di penghujung Ramadhan, semakin sesak masjidnya. Alangkah terbukanya mata dan minda saya setelah memerhatikan hal ini. (Berbeza dengan senario di tanah air)

Memang tidak dinafikan solat terawih adalah sunat sahaja, bukannya tuntutan yang wajib. (biarpun amalan sunat dijanjikan pahala sebagaimana amalan wajib di bulan yang mulia ini) Namun, tidak dapat tidak, solat fardhu (Isya) digalakkan kita berjemaah.

Makanya, alang-alang berjemaah Isya tu, eloklah tunggu sebentar dalam 30 minit mengerjakan 8 rakaat.

Buat rakan-rakan di Oxford, jika berkelapangan, saya ingin kempen agar bersama-sama kita berkunjung ke masjid-masjid yang berdekatan bersolat berjemaah.

Bawalah sedikit kelainan tahun ini, dan moga Allah terus kasih dan terus sayang kita, dan dipanjangkan umur untuk terus berusaha memperbaiki diri bukan sahaja di kala Ramadhan tahun ini, malah untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Wassalam.

No comments: