Saya tidak begitu pasti apa dah jadi dengan orang yang mengurustadbir negara kita (people who's running our country).
Belumpun reda kisah sensasi pelajar tumbuk guru di Sarawak (sumber), kini timbul pula cadangan daripada sayap UMNO agar ditubuhkan sekolah khas hamil di peringkat nasional - ilham asal penubuhan dibuat oleh kerajaan negeri Melaka.
Tidaklah dapat dipastikan, apakah dengan cadangan kerajaan negeri Melaka dan Puteri UMNO ini dapat menguruskan (jika tidak menyelesaikan) permasalahan pelajar hamil yang mana statistiknya saban hari bertambah merungsingkan.
Atau boleh jadi dikhuatiri dengan tertubuhnya 'sekolah khas' ini nanti, bakal menggalakkan lagi para pelajar untuk 'tidak takut hamil' di usia yang terlalu muda, malah bakal menyemai keyakinan bahawa hamil sewaktu bergelar pelajar sekolah bukanlah sesuatu yang di luar norma masyarakat kita.
Atau mungkin juga penubuhan sekolah sahaja tidak mencukupi. Bakal 'penuntut yang hamil' mungkin turut 'dibantu' dengan pelbagai insentif lain yang menarik seperti elaun sara hidup, biasiswa, kemudahan asrama, kemudahan pemeriksaan kehamilan, perancangan kelahiran dan keluarga, khidmat selepas bersalin dan pengurusan perkahwinan.
Rasanya, penyelesaian kepada permasalahan ini bukanlah dengan membina 'sekolah khas', yang mana bukan seringgit-dua kosnya. Jika benar-benar komited, pihak yang berkaitan boleh mencadangkan penubuhan 'Sekolah Pemulihan Khas', modulnya boleh diubahsuai daripada apa yang telah digunapakai sekian lama di sekolah-sekolah pemulihan akhlak (pesalah juvana) di seluruh negara.

Apa silapnya sistem kekeluargaan hari ini? Dan apakah masyarakat kita kini mulai bergerak meninggalkan apa yang sering kita bangga-banggakan sebagai "cara hidup orang Timur" atau "adat-adat ketimuran"?

Moga Allah terus kasih, sayang dan lindungi kita seluruhnya.
No comments:
Post a Comment