Saturday 18 June 2011

Munculkah aroma politik baru di Terengganu?

Husam: PAS berpeluang di Terengganu

Ketika menjawab soalan Tang Ah Chai, sejauh manakah peluang PAS-PR untuk mengambil alih Terengganu, negeri yang pernah ditawan PAS ketika PRU ke-10 pada tahun 1999?  Mengambil unjuran beberapa kejadian baru-baru ini, misalnya ceramah politik Pakatan Rakyat di Terengganu, membariskan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang menarik kira-kira 30,000 hadirin, Husam Musa berkata sambutannya agak memberangsangkan.
 
Lebih-lebih lagi, kenaikan harga barang baru-baru ini menyebabkan sentimen kebencian terhadap kerajaan semakin meningkat, sebagaimana yang diamati Husam Musa (gambar kiri).  Bertambah pula dengan pertukaran Pesuruhjaya PAS di negeri Terengganu, iaitu Abdul Wahid Endut yang tidak mempunyai beban politik penglibatan dalam kerajaan yang lama, Husam yakin PAS akan berjaya membawa perubahan politik.

Husam menambah, seandainya PAS menawan Terengganu, ia bukan sahaja mengambil alih kuasa kerajaan negeri, tetapi turut menyumbang dari segi bilangan kerusi parlimen.


--------------

Nota kaki:

- Sekali-sekala adalah terbaca artikel berkaitan politik Terengganu di blog-blog, namun tidak banyak cerita mengenai pembangkang DUN Terengganu dikupas, banyaknya menjurus kepada "promosi" Mat Said.

- Teringat kata-kata seorang rakan yang menjadi pemerhati politik Terengganu yang setia "kalau nak menang di Terengganu, Pas perlu sedia banyak duit". Betul atau tidak, hanya dia yang lebih tahu.

- Sungguhpun selera dan hajat Pas/PR begitu besar untuk kembali merampas Terengganu daripada Umno/BN, saya tidak jangka kerajaan Mat Said akan hanya berpeluk tubuh.

- Umno/BN pastinya masih menyimpan "a lot of tricks under their sleeve". Tak percaya, lihat bagaimana kerajaan Nizar boleh tumbang di Perak selepas hanya 11 bulan dan Terengganu pula "dikembalikan" kepada BN selepas hanya sepenggal diperintah Pas.

- Sekalipun Pas dilihat semakin terbuka, dengan barisan pemimpin yang lebih inklusif, menyasarkan peningkatan undi golongan muda dan bukan Islam sahaja tidak mencukupi untuk dijadikan bekalan selesa buat Pas.

- Mahu tidak mahu, Pas yang berhajat untuk "ganti Umno" perlu mendampingi khalayak yang terdiri daripada para pendokong Umno (pemimpinnya dan ahlinya).

- Tetapi yang sering menjadi "isu" (tidak semestinya menjadi masalah) adalah apabila adanya usaha mendekati Umno oleh para pemimpin Pas, dengan segera pula ianya dianggap sebagai "nak berbaik" atau "nak berpadu" dan sebagainya.

- Maka benarlah kata pepatah, "selangkah ke depan, dua langkah pula ke belakang".

- Dan maaf katalah, tanpa sokongan kaum Melayu (yang bukan ahli Pas), saya jangka tiada perubahan besar akan berlaku.

Wassalam.

No comments: