Musafir
Musafir (atau as-Safar) bermaksud penempuhan jarak - iaitu keluar dari kampung halaman menuju suatu tempat yang berjarak jauh sehingga kerananya si pelaku tersebut dibolehkan untuk meng-Qasarkan (memendekkan) solatnya. (rujuk: Ensiklopedia Solat Menurut al-Qur'an dan as-Sunnah oleh Sheikh Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahthani. Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i, m.s: 225).
Solat Qasar
Pengertian ringkas solat secara Qasar adalah memendekkan atau mengurangkan bilangan rakaat solat bagi solat fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat.
Boleh dilakukan untuk solat Zuhur, 'Asar dan 'Isya'.
Meng-Qasarkan solat adalah sedekah daripada Allah, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah an-Nisa' ayat 101 yang bermaksud:
"Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu."
Dalam hal ini, terdapat satu riwayat dari Abu Ya'la bin Umayyah, di mana beliau menceritakan:
"Aku pernah bertanya kepada 'Umar bin Khathhab: (Allah berfirman) "maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir." (Namun sekarang) masyarakat sekarang sudah berada dalam keadaan aman. 'Umar berkata: "Aku juga pernah merasa hairan sebagaimana engkau merasa hairan. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perkara tersebut. Baginda bersabda: "Ia suatu sedekah yang telah disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Oleh itu, terimalah sedekah Allah." (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 686).
Tuntutan Meng-Qasarkan Solat
1) Amdullah bin 'Umar r.a berkata:
"Aku pernah menemani Rasulullah SAW dalam perjalanannya dan baginda tidak pernah mengerjakan solat lebih dari 2 rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, 'Umar dan 'Usman r.anhum. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 689).
2) 'Aisyah r.ha, menyatakan:
"Ketika solat pertama kali diwajibkan, Allah mewajibkan dua rakaat-dua rakaat, sama ada ketika sedang tidak dalam perjalanan mahupun ketika dalam perjalanan. (Selepas Hijrah Nabi SAW) Solat ketika as-Safar ditetapkan/dibiarkan (2 rakaat), dan solat ketika tidak as-Safar (dalam perjalanan) ditambah (jumlah rakaatnya). (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 1570).
Imam Ahmad rahimahullah di dalam al-Musnadnya (6/241) menambahkan:
"Kecuali solat Maghrib dan Subuh." (Rujuk nota kaki no. 71, ms. 550, Ensiklopedia Solat Menurut al-Qur'an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahthani. Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i).
3) Dari Ibnu 'Abbas r.a., beliau menyatakan:
"Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi kalian SAW ketika tidak dalam perjalanan (musafir) adalah empat rakaat dan ketika dalam perjalanan dua rakaat, serta ketika menghadapi rasa takut adalah satu rakaat." (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 687).
Ingin mengekalkan solat tanpa meng-Qasar?
Menurut sheikh Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahthani, yang menaqalkan daripada Sheikh Abdul Aziz bin Bazz:
"Dasar solat yang pertamanya adalah 2 rakaat, sebagaimana yang diwajibkan Allah Taala, kemudiannya setelah hijrah, Allah SWT menambahkannya 2 rakaat lagi bagi yang tidak dalam perjalanan menjadi 4 rakaat, iaitu pada solat 'Isya', Zuhur dan 'Asar. Adapun solat dalam perjalanan, masih tetap 2 rakaat, iaitu bagi solat 'Isya', Zuhur dan 'Asar (diqasarkan). Dengan demikian, meng-Qasarkan solat (di dalam perjalanan) adalah sunnah mu'akkad kerana tidak ada larangan untuk mengerjakan solat secara lengkap, iaitu 4 rakaat."
(Rujuk: Ensiklopedia Solat Menurut al-Qur'an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahthani. Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i, ms: 252).
Walau bagaimanapun, perlu difahami dan diketahui bahawa meng-Qasarkan solat (memendekkannya menjadi 2 rakaat) di dalam perjalanan (musafir) adalah lebih baik dan utama daripada melaksanakannya secara sempurna (tamam).
Ini adalah bersandarkan kepada hadis berikut:
Daripada 'Abdullah bin 'Umar r.a. dia menyatakan, Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya Allah suka jika keringanan yang Dia berikan itu dimanfaatkan sebagaimana Dia tidak suka kemaksiatan kepada-Nya dilakukan." (Hadis yang dinilai Hasan menurut Sheikh Muhammad Hashiruddin al-Albani di dalam Kitabnya, Irwaa'ul Ghaliil, 3/9, no. 564).
Wallahua'lam - moga beroleh manfaat!
(kredit kepada Ustaz)
No comments:
Post a Comment