Thursday 21 April 2011

Punca masalah air di UUM...adalah oleh UUM

“Saluran paip lama sudahlah kecil bocor pula sepertilah tapak tangan kecil menadah air terjun.” - MB Kedah.


Oleh: Amelia Hashim

ALOR SETAR, 19 April - Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak akan menghadapi masalah bekalan air sekiranya pihak pengurusannya mendengar nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya mengstruktur semula atau naiktaraf infrastruktur pembekalan dan saluran paip air institusi berkenaan.

Infrastruktur bekalan air berkenaan seusia dengan pembinaan UUM 27 tahun lalu yang bukan sahaja tidak mampu menampung peningkatan jumlah penghuninya dari tahun ke tahun malah air itu mengalami kesusutan (non revenue water) sebanyak 43 peratus kerana kebocoran paip.

Tegasnya lagi, walaupun mereka membelanjakan RM100,000 sebulan, air yang diperolehi daripada tangki air Syarikat Air Darul Aman (Sada) adalah percuma dan mereka hanya belanja kos pengurusan. 

“Kemudahan air yang ada adalah yang disediakan semenjak universiti itu dibina di mana untuk penghuninya seramai 10,000 orang. Sebaliknya sekarang penghuninya meningkat kepada 30,000 termasuklah pelbagai kolej, fakulti, hotel dan padang golf,” kata Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada media di pejabatnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM Profesor Madya Dr Mohd Amy Azhar Mohd Harif yang mendakwa UUM membelanjakan RM100,000 sebulan bagi menguruskan bekalan air bersih untuk kegunaan 25,000 pelajar dan 5,000 kakitangannya.

Menurut Dato’ Seri Ustaz Azizan, pihak pengurusan UUM sepatutnya mengambil contoh dari apa yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang menaiktaraf infrastruktur semula loji serta pembesaran saluran paip.

“Saluran paip lama sudahlah kecil bocor pula sepertilah tapak tangan kecil menadah air terjun,” katanya.

Ini kerana Loji Air Padang Sanai mampu mengeluarkan air sebanyak 50 juta liter padu sehari untuk bekalan ke UUM dan Bukit kayu Hitam sebanyak 35 juta liter padu, Durian Burung 10 juta liter padu dan sekitar Padang Sanai sebanyak 5 juta liter padu.

Justeru itu UUM tidak akan hadapi masalah air sekiranya mendapat nasihat pakar dengan menaiktaraf infrastruktur bekalan air di dalam kawasan mereka.

Nota kaki:

- Sekarang ini, pihak mana yang sebenarnya telah mempergunakan institusi keilmuan dan para pendidik bagi memenuhi agenda dan "kepentingan politik" mereka?
- Nasihat saya, "biarlah kita silap dalam bersangka baik (terhadap kerajaan Kedah), daripada kita silap dalam bersangka buruk (sebab kepada siapa nak kita minta maaf nanti?)".

No comments: