Wednesday 6 April 2011

Analisa MerdekaReview: PRN Sarawak 2011

Berikut adalah petikan (secara cut n paste) sebahagian analisa awal (tilikan barangkali) yang dilakukan oleh Merdeka Review berkaitan Pilihanraya Umum Negeri (PRN) Sarawak 2011. Artikel penuh boleh para pembaca lihat di SINI - sumber asal.

Saya suka memetik bahagian yang 'seronok dibaca'.

(nota: setiap sub-tajuk, ada yang saya tokok tambah sendiri, tetapi ulasan adalah berpandukan sumber asal)

Kerusi BN yang mungkin dirampas PR?

N24 Beting Maro (Parlimen: Batang Lupar)Mungkinkah ia menjadi kerusi DUN pertama yang dimenangi PAS di Sarawak?  Dalam PRN Sarawak 2006, PAS hanya tewas dengan perbezaan 896 undi.  Calon PBB Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di memperolehi 2,796 undi, sementara calon PAS Alem bin Din mendapat 1,901 undi.
Kali ini, Abang Ahmad Kerdee Abang Masadus menyarung jersi PAS dalam percubaannya untuk membuka lembaran baru dalam sejarah PAS di bumi Kenyalang.  Beliau berdepan dengan Razali Ghapor dari PBB.
 
N30 Saribas (Parlimen: Betong)PBB hanya menang dengan majoriti 94 undi dalam PRN Sarawak 2006, menewaskan calon PKR Abang Zulkifli bin Abang Engkeh.  Abang Zulkifli bertanding semula di kawasan ini, berdepan dengan calon PBB Ricky @ Mohammad Razi Sitam.

N20 Sadong Jaya (Parlimen: Batang Sadong)Calon PKR tewas dalam PRN Sarawak 2006 dengan hanya perbezaan 858 undi, kepada calon PBB.  Kali ini, PKR memberi laluan kepada calon PAS, Abang Eddy Allyanny untuk bertanding di kawasan DUN ini.  Abang Eddy berdepan dengan Aidel Lariwoo dari PBB dan calon bebas Mahayudin bin Wahab.

N25 Balai Ringin (Parlimen: Sri Aman)Perang tiga penjuru dalam PRN Sarawak 2006 menyaksikan pertembungan antara calon PRS, SNAP dan bebas.  Seandainya dijumlahkan undi yang diperolehi calon SNAP (1559 undi) dan bebas (742 undi), maka PRS-BN hanya menang dengan lebihan 774 undi.  Kali ini, pertandingan tiga penjuru digandakan, antara calon PRS Snowdan Lawan, calon PKR Ibi anak Uding, dan calon SNAP Dan Giang, Lipeh anak Mawi (PCM), Cobbold Ak Lusoi (bebas) dan Sujal anak Gansi (bebas).
 
N28 Engkelili (Parlimen: Lubok Antu)Calon SNAP Johnichal Rayong Anak Ngipa berjaya menewaskan Jonathan Krai Pilo dengan majoriti 426 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Bagaimanapun, Johnichal kemudiannya menyertai BN, menjurus kepada kehilangan satu kerusi daripada pembangkang.  Kali ini, Johnichal Rayong bertanding atas tiket SUPP, menentang calon PKR Marudi @ Barudi anak Mawong, Jimmy Simon Maja (bebas) dan calon SNAP Semijie Anak Janting.

N29 Batang Ai (Parlimen: Lubok Antu)Nicholas Bawin Anak Anggat bertanding atas tiket SNAP dalam PRN Sarawak 2006, kalah hanya dengan perbezaan 806 undi.  Bagaimanapun, dalam PRK Batang Ai pada April 2009, BN berjaya menewaskan Jawah Gerang (PKR) dengan majoriti 1,854 undi.  Kini, Nicholas Bawin pula bertanding dengan menyarung jersi PKR.  PRS-BN meletakkan Malcom Mussen anak Lamoh untuk mempertahankan kerusi ini.  PRS-BN dijangka berdepan dengan pertarungan sengit, kononnya banyak janji yang ditaburkan ketika PRK Batang Ai 2009 belum dikota.
 
N70 Ba'kelalan (Parlimen: Lawas)Baru Bian tewas dengan perbezaan hanya 475 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Selain pengaruhnya di kalangan kristian, Pengerusi PKR Sarawak ini juga seorang peguam yang banyak mengendalikan kes tanah adat.  Baru Bian pernah dijulang sebagai Ketua Menteri di laman sosial Facebook, seandainya PR berjaya memerintah di Sarawak.  Beliau berdepan dengan calon SPDP-BN, Willie Liau.

N39 Repok (Parlimen: Sarikei)SUPP menang dengan majoriti 576 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Kali ini, DAP meletakkan calonnya Wong Hua Seh untuk bertembung dengan David Teng Lung Chi.

N48 Pelawan (Parlimen: Sibu)SUPP menang dengan majoriti 263 undi dalam PRN Sarawak 2006 di kawasan yang terdiri daripada 90% pengundi Cina ini.  Bagaimanapun, DAP memperolehi lebihan 3,491 undi daripada kawasan ini dalam PRU 2008, untuk kerusi parlimen Sibu.  Dalam PRK Sibu 2010, DAP melebarkan jurangnya dengan SUPP, apabila meperolehi lebihan 5,469 undi, mengatasi SUPP.  Calon DAP David Wong Kee Woan akan berdepan dengan calon SUPP-BN, Vincent Goh Chung Siong (BN-SUPP).
 
N47 Bawang Assan (Parlimen: Sibu)Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh menang dengan majoriti 2,504 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Bagaimanapun, undi majoritinya menunjukkan pola penurunan, jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 (tinggal majoriti 1,458 undi) dan PRK Sibu 2010 (866 undi).  Kali ini, Wong berdepan calon DAP Alice Lau Kiong Yieng.

N46 Dudong (Parlimen: Lanang)SUPP menang dengan majoriti 408 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Kali ini, SUPP meletakkan ahli parlimen Lanang, Tiong Thai King untuk mempertahankan kerusi ini, berdepan dengan cabaran Yap Hoi Liong.

N 43 Ngemah (Parlimen: Kanowit)Kerusi ini dimenangi calon bebas Adeh Ak Denong dengan majoriti 549 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PRS dan SNAP.  Bagaimanapun, Adeh Ak Denong menyertai BN selepas menang dalam PRN Sarawak 2006.  PKR meletakkan calonnya Aris anak Alap, berdepan dengan Alexandar Vincent dari PRS-BN, Adeh Ak Denong dari PCM, Yakup Khalid (bebas) dan Micheal Anak Lias dari SNAP.

N 57 Belaga (Parlimen: Hulu Rajang)Kerusi ini dimenangi calon PRS-BN Liwan Lagang dengan majoriti 227 undi, dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan calon SNAP John Bampa dan calon bebas Stanley Ajang Batok dalam PRN Sarawak 2006.  Stanley memperolehi 1,628 undi dan John Bampa memperolehi 912 undi.  Dengan kata lain, jumlah undi kedua-dua calon ini melebihi jumlah undi yang diperolehi calon BN.  Lingkungan kawasan DUN Belaga merangkumi Sungai Asap, iaitu tempat kediaman kira-kira 10 ribu penghuni yang dipindah kerana pembinaan Empangan Bakun.  Kali ini, 6 calon mengambil bahagian dalam pertandingan DUN Belaga, iaitu penyandangnya Liwan Lagang, calon PKR Basah Kesing @ Ali Basah Kesing, calon SNAP John Bampa @ Tusau dan wakil PERS Michael Jok dan dua orang calon bebas Matthew ak Munan dan Kenneth Adan Silek.

Pertembungan Menarik (tetapi tidak semestinya berlaku perubahan kerusi)

N51 Balingian (Parlimen: Mukah)Pada tahun 2006, Abdul Taib Mahmud memenangi 6,393 undi, sementara calon Ibrahim Bayau dari PKR hanya memperolehi 667 undi.  Ketua Menteri yang memerintah untuk 30 tahun di Sarawak ini dijadikan sasaran dalam PRN Sarawak 2011, berikutan tempoh pemerintahannya yang terlalu lama, malah terpalit dengan tuduhan rasuah, sebagaimana yang dibongkarkan media dan pembangkang.
PKR meletakkan Suriati Abdullah untuk menentang beliau, pada yang sama beliau juga dicabar oleh sepupunya, Salleh Jafaruddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

N13 Batu Kawah (Parlimen: Stampin)Meskipun menang dengan majoriti 4,180 undi pada tahun 2006, namun kerusi DUN ini merupakan satu-satunya kawasan majoriti Cina yang masih dipertahankan SUPP di Kuching.  Penyandangnya, Tan Joh Phoi dari SUPP berdepan dengan cabaran Christina Chiew Wang See dari DAP.
 
N63 Piasau (Parlimen: Miri)Kerusi yang dimenangi Presiden SUPP George Chan dengan majoriti 3,918 undi.  Beliau berdepan dengan cabaran Ling Sie Kiong dari DAP.

N64 Pujut (Parlimen: Miri)SUPP menang dengan majoriti 1,370 undi dalam PRN Sarawak 2006.  Chia Chu Fatt meraih 55.5% undi popular, namun undi popular menurun 8.8% di kawasan ini untuk BN dalam PRU 2008 (Parlimen Miri).  Dalam PRN Sarawak 2011, Chia Chu Fatt akan berdepan dengan Fong Pau Teck.


Kerusi bahaya buat PR (sebenarnya, semua kerusi nampak bahaya)

N 11 Batu Lintang (Parlimen: Stampin)Kerusi DUN ini dimenangi calon DAP dalam PRN Sarawak 2006 dengan majoriti 3,407 undi.  Bagaimanapun, kerusi ini ditukar dengan DUN Padungan, untuk menyelesaikan pertikaian antara DAP dengan PKR.  Dengan rombakan tersebut, Voon Lee Shan dari DAP dan Dominique Ng dari PKR tersingkir dari senarai calon.  Kini, kerusi ini ditanding oleh See Chee How dari PKR, bersama Sih Hua Tong (SUPP-BN), dan Soo Lina (Bebas).  Soo Lina dilihat sebagai penyokong Dominique Ng.
 
N 9 Padungan (Parlimen: Bandar Kuching)Satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi PKR dalam PRN Sarawak 2006, dengan majoriti 1,417 undi.  DAP diberi laluan untuk bertanding di kawasan ini, dan PKR sebaliknya bertanding di DUN Batu Lintang.  Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan penyandangnya, Dominique Ng, yang bertanding kali ini sebagai calon bebas.  Beliau berdepan dengan Sim Kiang Chiok dari SUPP dan Wong King Wei dari DAP.


Nota Ringkas:

PRN Sarawak ini menjadi kayu ukur penting bagi kerajaan persekutuan yang dipimpin DS Najib Razak menilai sokongan rakyat terhadap BN amnya, dan kepimpinan TS Taib Mahmud khasnya.

Adalah tidak mustahil sekiranya BN berupaya mengekalkan kemenangan (atau menang lebih bergaya) pada PRN ini, mood Perdana Menteri untuk mengadakan PRU ke-13 lebih awal juga tidak boleh dikesampingkan.

Kemampuan semua parti yang bertanding akan diperhati, diukur dan dinilai banyak pihak (termasuklah kemampuan 5 orang calon yang diletakkan PAS).

Pihak yang menang (atau yang tewas), tidak dapat tidak, akan dilibatkan ke dalam struktur 'politik persepsi'.

'Persepsi' ini, sekalipun tidak berada di atas 'rasional', masih boleh memacu mood dan mempengaruhi pertimbangan para pengundi terutama di Semenanjung, seandainya PRU ke-13 diputuskan oleh PM untuk diawalkan.

Bagi rakyat di Semenanjung yang tidak begitu nampak akan kepentingan PRN Sarawak ini, tunggulah kalau-kalau selepas ini ada sebarang 'pengumuman penting' terhadap harga bahan api RON95 - yang ini, semua orang akan nampak.

"The goal is simple: reduce imported oil by one third in the next decade" - Barrack Obama via Twitter (i, Monday 4.4.11, p. 31).

No comments: