Sunday, 17 April 2011

Jatuh & Bangun PRN Sarawak 2011

Selesai satu, tunggu yang satu lagi

Tahniah diucapkan kepada rakyat di Sarawak kerana telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan dengan secara aman dan berdemokrasi, memilih kerajaan negeri untuk penggal baru, yang keputusannya telah kita semua ketahui lewat malam semalam.

Tahniah kepada BN kerana dengan segala daya dan kudrat yang ada, dan setelah segala macam jentera digerakkan, akhirnya 'berbayar' dengan kejayaan besar, memenangi PRN dengan majoriti 2/3.

 Sumber FOTO

Tidak dilupakan juga ucapan tahniah buat parti-parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat kerana dilihat telah berjaya menghadirkan cabaran yang lebih bermakna pada PRN ini.

Sesungguhnya yang menang, tidak menang semua. Dan yang kalah, tidak kalah semua.

Trend undi masyarakat Cina-Bandar

Kejayaan calon DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi ternyata telah menyuntik keyakinan kepada Pakatan untuk meneruskan kerja kuat dan seterusnya berdepan dengan PRU ke-13 tidak lama lagi.

Pencapaian DAP ini juga dilihat jauh lebih baik berbanding nasib calon-calon yang diletakkan PAS (0/5 kerusi) dan PKR (3/49 kerusi).

Malah kejayaan DAP menguasai undi kawasan bandar telah terbukti apabila parti ini berjaya menyapu bersih kesemua 5 kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching (ibu negeri) dengan majoriti yang saya kira 'menggerunkan*' iaitu:

1) Batu Lintang - majoriti 8,381 undi
2) Padungan - majoriti 7,880 undi
3) Pending - majoriti 7,595 undi
4) Kota Sentosa - majoriti 4,824 undi
5) Batu Kawah - majoriti 543 undi

*menggerunkan jika mengambilkira kerja kuat BN dengan segala peruntukan projek pembangunan yang diumumkan, undi majoriti yang diperoleh DAP/Pakatan untuk kesemua 5 DUN tadi menjangkau 30,000 undi!

Jika anda tanya saya, BN umumnya boleh bergembira dengan keputusan PRN ini tetapi parti komponen orang Cina dalam BN terutama MCA dan Gerakan, mereka patut merasa 'risau dan gusar' dengan trend ini.

Lihatlah prestasi SUPP (a.k.a parti orang Cina versi Sarawak) yang makin merudum setelah tewas 13 daripada 19 kerusi yang mereka tandingi, termasuklah kekalahan memalukan Presidennya sendiri, George Chan kepada muka baru dari DAP, Sie Kong (majoriti 1,590 undi). 

(SUPP adalah mangsa terbaru kemaraan angkatan DAP, yang 3 tahun sebelumnya telah meranapkan langsung Gerakan bagi mengambil alih Pulau Mutiara)

 Presiden SUPP, George Chan - sumber FOTO


Sokongan pengundi peribumi

Beban yang bakal dipikul oleh MCA mahupun Gerakan, mungkin tidaklah seberat UMNO jika melihat kepada kejayaan cemerlang parti komponen terbesar BN di Sarawak, PBB yang telah berjaya menang di kesemua 35 kerusi yang ditandingi.

Kini, timbul persoalan:

Apakah para pengundi di Sarawak mahukan Taib Mahmud turun takhta KM, berpandukan 'sokongan yang tidak berbelah bahagi' ini?

Atau apakah Taib sendiri berkeinginan untuk turun setelah melihat sendiri 'sokongan utuh' para pengundi terhadap PBB di bawah kepimpinan beliau?

'Tsunami' yang tidak menjadi

Apa yang dicanang-canangkan sesetengah pihak sebagai 'tsunami politik' semasa tempoh berkempen tempoh hari nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Mungkin istilah tsunami yang digunakan itu sendiri nampak sedikit 'grand', dan mungkin di lain kali boleh dipertimbangkan istilah yang lebih realistik seperti 'ribut tropika' atau 'angin lintang'.

Sebagai penutup, kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal posting ini bahawa "yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidaklah kalah semua".

BN telah menang 2/3 tetapi mereka hilang sokongan para pengundi Cina dan kawasan bandar (MCA dan Gerakan perlu buat homework yang ketat jika ingin menangani kekuatan DAP selepas ini).

PR pula sekalipun gagal menafikan kejayaan 2/3 BN, masih boleh berpuas hati dengan penambahan 8 kerusi berbanding prestasi mereka di PRN 2006, termasuklah kesemua 5 calon dari PAS yang tidak kehilangan wang deposit masing-masing.

Sekian.

bacaan tambahan: MerdekaReview

No comments: