Campurtangan untuk perubahan?
Sebagaimana dapat diperhatikan menerusi laporan akhbar-akhbar online tanah air, sepanjang tempoh berkempen begitu banyak 'aliran masuk' para pemimpin politik utama dari Semenanjung ke Sarawak.
Secara jelas, situasi Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini telah tidak lagi dilihat sebagai agenda pemilihan pemimpin di peringkat negeri, sebaliknya menjadi agenda penting semua pihak di peringkat nasional.
Justeru, apakah yang telah memacu minat serta campurtangan yang begitu luar biasa, baik oleh kerajaan Persekutuan yang ditunjangi BN mahupun PR terhadap PRN Sarawak kali ini?
Jawapannya, perubahan.
Di satu pihak, Pakatan Rakyat mahukan angin "perubahan" yang melanda selepas PRU ke-12 yang lalu (menukar pentadbiran di beberapa negeri) akan kekal bertiup pada PRN Sarawak.
Manakala pihak yang satu lagi iaitu BN pula, setelah dijana oleh beberapa siri kemenangan dalam PRK kebelakangan ini, mahukan "pengekalan" ke atas Sarawak dengan "tawaran perubahan" - iaitu janji pengunduran Taib Mahmud dari kerusi Ketua Menteri.
Tidak suka tapi terpaksa?
Sebetulnya, benarkah rakyat (pengundi) di Sarawak mahukan perubahan (sehingga perlu tukar kerajaan)?
Dan sebetulnya, benarkah Taib ingin meninggalkan kerusi KM yang disandangnya?
Jawapan ini hanya akan dapat diketahui apabila selesai proses pengundian kelak.
Begitupun, saya melihat salah satu dari 3 kemungkinan ini akan kita saksikan jua iaitu sama ada:
1) BN menang dengan mempertahankan majoriti 2/3.
2) BN menang tetapi gagal mengekalkan majoriti 2/3.
3) PR menang dan Baru Bian menjadi KM Sarawak yang baru (dengan syarat Baru Bian sendiri perlu menang kerusi yang ditandinginya).
Ada juga sesetengah pemerhati politik memasukkan kemungkinan ke-4 iaitu "kerajaan campuran BN-PR", tetapi saya melihatnya sebagai langkah yang tidak praktikal berpandukan realiti semasa.
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap analisa beberapa pihak, seolah-olah di Sarawak ketika ini semakin merebak apa yang diistilahkan sebagai sentimen "tidak sukakan pemimpin, tetapi terpaksa juga menyokong kerana sayangkan BN".
Ada sesetengah pihak yang kemudiannya tampil menyamakan usia pemerintahan Taib dengan Nik Aziz di Kelantan.
Hujjah mereka: kalau hendak tukar Taib, bagaimana pula dengan Nik Aziz?
Pokoknya, bukan usia pentadbiran yang perlu disamakan, tetapi kualiti pemerintahan yang perlu dijadikan ukuran.
Dan sebagai langkah meredakan sentimen inilah PM yang telah berulang kali berulang-alik ke Sarawak telah tampil dengan pengumuman bahawa kerusi KM selepas PRN ini bakal diisi dengan orang baru.
Cuma, bilakah tarikh sebenar peralihan kuasa itu sahaja yang belum dapat dipersetujui di antara PM dan KM, seterusnya diperjelaskan kepada rakyat.
Undi bandar dan pedalaman
Berpandukan analisa yang dibuat MerdekaReview, parti dalam PR terutama DAP begitu mensasarkan para pengundi di kawasan bandar.
Pembinaan kekuatan DAP ini barangkali berdasarkan kejayaan mereka menumbangkan BN sewaktu pengundian di Sibu tidak lama dahulu.
Justeru, adalah tidak menghairankan jikalau strategi BN kini lebih terarah kepada memastikan sokongan kaum peribumi pedalaman kepada BN tetap 'solid' - dengan meluluskan pelbagai insentif dan janji-janji projek pembangunan.
Dapat dilihat menerusi laporan akhbar online, setiap hari akan ada sahaja lawatan oleh para pemimpin Persekutuan ke rumah-rumah panjang di pedalaman, naik bot, mengharungi sungai, panjat bukit untuk bertemu masyarakat (pengundi).
Saban hari juga rakyat disajikan dengan berita/pengumuman daripada kerajaan Persekutuan untuk membina itu dan ini, dengan berjuta peruntukan tersedia untuk kawasan pedalaman di Sarawak.
Walhal, jika sekiranya kita melihat kepada kepelbagaian sumber kekayaan negeri yang ada (balak dan petroleum), kerajaan pusat tidak perlulah menjanjikan sebegitu banyak imbuhan kepada Sarawak - sumber negeri boleh diagih untuk tujuan ini.
Tetapi inilah realiti yang berlaku.
Politik ugutan
Politik ugutan
Sedari awal kempen bermula, para pengundi di Sarawak telah diberi peringatan (amaran @ ugutan - mengikut tafsiran anda masing-masing), supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji manis yang ditabur pihak lawan.
Langkah (beri amaran) yang seolah-olah memperkecilkan kemampuan lawan ini telah ditafsir banyak pihak seperti "katak di bawah tempurung" - iaitu seseorang yang masih tidur barangkali, sehingga gagal melihat realiti semasa yang mana beberapa kerajaan negeri telah ditadbir oleh parti lawan.
Malah, jika diperhalusi, peringatan sebegini juga umpama cuba merendah-rendahkan tahap intelektualiti para pengundi di dalam memilih pemimpin secara bebas dan demokrasi.
Pertandingan secara demokrasi tidak menyuburkan budaya politik berunsurkan ugutan sebegini, malah meluaskan ruang pihak-pihak yang bertanding untuk berkomunikasi dengan para pengundi, menyampaikan dan menjelaskan manifesto masing-masing.
Pengundi, inilah saat anda
Jika selama ini anda (para pengundi) hanya boleh komplen di dalam hati, atau di kedai kopi atau bercakap sendirian di hadapan TV, tidak bersetuju dengan sesetengah pemimpin, inilah saatnya untuk anda "memperbetulkan" apa yang dirasakan tidak kena - melalui hak 1 undi yang anda ada.
Jika anda inginkan perubahan, nyatakan perubahan tersebut melalui undi anda.
Dan jika anda mahukan keadaan seperti sedia ada, undilah untuk pastikan perubahan tidak berlaku.
Sekiranya anda memilih untuk tidak mengundi, maka anda sebenarnya memilih untuk hilang hak komplen di atas apa jua keputusan PRN kali ini.
Selamat mengundi!
No comments:
Post a Comment