Thursday 28 April 2011

Khir Toyo: Memuliakan Konsep 1 Melayu 1 Bumiputera

Khir Toyo: Memuliakan Konsep 1 Melayu 1 Bumiputera 

(sumber: MerdekaReview)

| Apr 28, 2011 11:39:16 am
 
 
1. Seperti yang dijangka majoriti kaum Cina tidak memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.  Ini bukanlah corak baru atau mengejutkan.  Corak pengundian ini telah bermula sejak pilihan raya umum 2008 dan dicerminkan dengan jelas dalam hampir kesemua pilihan raya kecil kecuali di Bagan Pinang.

2. Ramai orang bukan Cina, terutamanya bumiputera, melihat sokongan kaum Cina kepada Pakatan lebih merupakan sokongan kepada pemerkasaan kuasa politik orang Cina melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi menghakis dan seterusnya menghapuskan apa-apa sahaja keitimewaan bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

3. Bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

4. Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1 Melayu 1 Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

5. Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?

6. Malahan, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman?  Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman.

7. Mengapa apabila ditubuhkan PERKASA maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?

8. Apakah bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia?  Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap.  Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia.

9. Perkauman atau tidak slogan 1 Melayu 1 Bumiputera yang dicadangkan oleh Zaini Hassan (Utusan Malaysia) adalah bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

10. Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia.

11. Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya.  Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain.

12. Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya apakah kumpulan-kumpulan NGO yang sering menggunakan konsep 1 Malaysia untuk mendesak penghakisan hak-hak bumiputera bukan merupakan satu tindakan perkauman?

13. Mengapa orang Melayu sering dianggap perkauman bila bercakap soal penyatuan Melayu sedangkan kaum lain boleh sahaja bercakap soal penyatuan mereka tanpa bantahan orang Melayu?

*Tulisan ini dipetik dari blog Khir Toyo (gambar kanan), bekas Menteri Besar Selangor.

---------------

Tiada nota kaki

No comments: