Motif utama Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak membuka keahlian BN adalah untuk menyasarkan "pengundi yang bersikap sinis di atas pagar". Golongan ini adalah mereka yang kesangsian terhadap parti politik, memandang rendah terhadap ahli politik, menganggap "sama saje orang politik", "susah, malah mustahil nak berubah", untuk menghalalkan sikap acu tak acu diri mereka terhadap politik.
Bukan kesemua mereka yang duduk di atas pagar bersikap sedemikian, tetapi golongan ini tidak kurang jumlahnya. Agak ramai antara mereka yang mengundi pembangkang pada PRU ke-12 kerana berpatah hati terhadap BN. Malangnya, prestasi Pakatan Rakyat pula mengecewakan mereka, setelah menaruh harapan yang tinggi terhadap keputusan PRU ke-12.
Sebelum tahun 2008, kira-kira satu pertiga daripada warga Malaysia yang layak (dari segi usia) tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Sementara kira-kira satu perempat daripada pengundi tidak keluar untuk mengundi. Jadi, hanya 50% daripada warga yang layak untuk mengundi adalah "pengundi". Daripada pengundi ini, anggaran umum mendapati BN mencakupi 30%, pembangkang 30%, dan 40% selebihnya adalah pengundi di atas pagar yang bukan menyetujui sebulat-bulatnya pemerintah mahupun pembangkang.
Secara keseluruhannya, warga Malaysia yang layak untuk mengundi sebelum 8 Mac 2008 terbahagi kepada:-
1. 15% penyokong setia BN
2. 15% penyokong pembangkang
3. 20% pengundi atas pagar
4. 17% tidak mengundi
5. 33% tidak mendaftar sebagai pengundi
1. 15% penyokong setia BN
2. 15% penyokong pembangkang
3. 20% pengundi atas pagar
4. 17% tidak mengundi
5. 33% tidak mendaftar sebagai pengundi
Ramai yang teruja untuk mendaftar diri sebagai pengundi selepas 8 Mac 2008, dan lebih ramai antaranya adalah penyokong PR. Sementara PR memenangi sokongan di beberapa negeri pemerintahan mereka, BN di bawah pentadbiran baru Najib (termasuk "1Malaysia"-nya dan nasionalisme Melayu) turut mengembalikan sokongan sesetengah pengundi.
Memusnahkan harapan terhadap politik
Sesungguhnya kita kekurangan perangkaan dari hasil soal selidik untuk dikaji, namun kita boleh buat beberapa andaian dan anggaran. Warga yang layak tapi belum mendaftar sebagai pengundi telah menurun kepada kira-kira 25%, dan asas sokongan PR meningkat kepada 20% (daripada kelebihan pentadbiran di beberapa negeri dan pengundi yang baru berdaftar). Asas BN pula meningkat kepada 18% (kembalinya sokongan ahli UMNO), dan 37% selebihnya berada di atas pagar (atau 49% daripada pengundi yang telah mendaftar).
Apakah yang akan dilakukan oleh pengundi atas pagar ini pada hari pengundian? Mengundi PR, BN atau kuasa ketiga? Atau berada di rumah dan tidak keluar mengundi? Sejauh manakah keputusan mereka ditentukan sikap yang sinis?
Dalam keadaan persempadanan kawasan pengundian yang tidak adil, seandainya keghairahan politik menyurut, dan pengundi di atas pagar yang kecewa enggan keluar mengundi - hanya penyokong setia kedua-dua pihak yang keluar mengundi - maka meskipun diandaikan PR memiliki asas 20% berbanding BN 18%, maka BN masih mungkin memenangi lebih daripada 60% kerusi.
Dari percaturan strategi politik BN, matlamat yang paling rendah adalah - jikalau hancurnya harapan politik pengundi di atas pagar, dan enggan keluar mengundi di kawasan yang utama, maka calon BN akan menang dengan tipis. Dengan kata lain, calon BN tidak semestinya menukar penyokong PR kepada penyokong dirinya. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah - jangan menimbulkan rasa meluat di kalangan pengundi sehingga pengundi atas pagar rasa terpanggil untuk membeli tiket penerbangan dan balik untuk membuang undi dan menggulingkan BN- seperti yang berlaku pada 8 Mac 2008.
Mengapa pengundi tidak ghairah dengan pertukaran kerajaan?
Ahli politik macam mana yang tidak mengundang rasa meluat di kalangan pengundi? Jawapannya, ahli politik yang bukan ahli politik pada asalnya, dan masih tidak dilihat sebagai ahli politik sehingga kini! Menteri Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Eksekutif PEMANDU, Idris Jala adalah contohnya.
Jikalau diteliti parti komponen BN, UMNO terpalit dengan imej ektrem dan rasuah. Parti-parti lain yang menumpang pada BN kelihatan hanya pengikut UMNO, sesiapa sahaja, baik tokoh korporat, ahli akademik, seniman ataupun tokoh agama - jika menyertai parti-parti komponen ini akan tercalar imej diri mereka. Sebaliknya, seandainya mereka hanya bertanding dengan imej "ahli bersekutu BN", mereka tidak kehilangan apa-apa walaupun jika tidak berjaya.
Jikalau dilihat dari sudut yang lebih luas, adalah sesuatu yang lumrah di mana-mana negara, apabila pengundi berasa jemu pengundi terhadap ahli politik profesional (careerist politicians) atau kelas politik (political class). Fenomena kepopularan Parti Teh (Tea Party) di Amerika Syarikat sekarang adalah contoh bagaimana pendekatan populis berjaya menawan hati massa.
"Kuasa ketiga" dari masyarakat sivil yang cuba dibentuk peguam hak asasi, Haris Ibrahim juga merupakan cubaan pendekatan "ahli politik yang bukan ahli politik", atau "ahli politik tanpa rela" (reluctant politicians), dengan harapan jalan baru diterokai dengan penampilannya untuk "berkhidmat kepada rakyat". Seandainya BN memilih ahli bersekutu yang berimej baru untuk menyarung jersi BN, maka ia sekurang-kurangnya boleh mengekalkan sesetengah pengundi atas pagar dalam rumah. Pada hakikatnya, ia adalah "kuasa ketiga" versi BN.
Seandainya kedua-dua "kuasa ketiga" ini kena pada tempatnya, maka kedudukan PR akan menjadi genting. Apa yang harus direnungi PR adalah, mengapa ahli politiknya dirasai pengundi "sebegitu ahli politik"? Mengapa begitu ramai pengundi tidak lagi keghairahan dengan pertukaran kerajaan, belum pun genap tiga tahun?
Oleh: Wong Chin Huat / sumber: SINI
No comments:
Post a Comment