Saturday 2 January 2010

Majlis perpisahan: Makan dan bersembang

Pertamanya, selamat kembali ke tanah air dan selamat maju jaya diucapkan buat Saudara Amin dan keluarga. Moga dipermudahkan oleh Allah Taala akan segala urusan dan pekerjaan saudara dan isteri pabila berada di tanah air selepas ini.

Terima kasih juga diatas jamuan perpisahan yang dibuat semalam, dapat juga saya bertemu mata dan bersembang dengan rakan-rakan, setelah 2 bulan meninggalkan kampung Oxford.

Majlis makan

Majlis makan semalam nampaknya meriah dan dihadiri ramai orang. Ada tetamu yang biasa nampak, dan ada juga beberapa saudara baru yang baru tiba.

Juga tidak dilupakan rakan-rakan yang mempunyai anak - semua semakin membesar, sihat dan gembira, alhamdulillah.

Sembang

Sebagaimana lazim, apabila lama tidak berjumpa akan adalah sessi sembang sambil makan-makan.

Pelbagai topik (politik tanah air semestinya) dibentang dan telah diperdebatkan semalam yang pada saya, yang semalam itulah sesi menyembang yang paling konstruktif pernah saya ikuti di mana telah ada elemen 'kritikal' dalam berhujah dan melontarkan pandangan.

Sebagai seorang pengkaji, sudah menjadi 'tabiat' saya untuk gemarkan perbincangan di mana setiap orang yang duduk bersembang boleh berbeza pandangan terhadap perkara yang sama, tetapi ianya didengari (biarpun mungkin tidak diterima hujahnya, itu tidak mengapa).

Berbeza pendapat bukan bererti kita ingin cari gaduh atau buat rakan sakit hati, tetapi mungkin 'sudut pandang' masing-masing yang berbeza - kerana sumber maklumat juga mempengaruhi hujah kita.

Satu objek itu mungkin dihuraikan secara berbeza oleh individu yang berbeza - itulah indahnya dalam bersembang.

Bagusnya lagi, apabila pelbagai orang berilmu yang mengupas sesuatu perkara, orang yang cetek ilmu seperti saya banyak beroleh manfaat dan pendedahan.

Jujurnya, saya tidak minat politik, tetapi saya minat untuk ambil tahu hal-hal berkaitan politik kerana ianya berkait langsung dengan bidang kepakaran saya iaitu perancangan, polisi, dasar, rangka strategi dan sebagainya.

Ketidakupayaan seseorang perancang mengambil tahu perkembangan semasa politik bukan sahaja menimbulkan kontradiksi dalam tindakan perancangan dan kawalan pembangunan, malah menjadikan kita seperti katak di bawah tempurung.

Justeru, 'mengambil tahu' itu adalah penting.

Apapun, bercakap mengenai politik kepartian adalah suatu perkara yang bersifat amat subjektif. Setiap orang menampilkan 'sudut pandang' yang berbeza, biarpun dari parti yang sama.

Cukuplah sekadar ditampilkan persoalan seperti "mana hendak didahulukan? - Islam dulu, atau Melayu dulu?"

Biarpun banyak perkara yang dibincang dan disembang masih dibiar terbuka - jawapan terbuka, sessi sembang yang konstruktif seperti semalam wajar diperbanyakkan.

Bukan untuk menge-cop seseorang itu pro-Umno atau pro-Dap, juga perbezaan pendapat bukanlah bukti si polan itu tidak sayang Melayu-Islam dan tidak cinta negara, kita sebagai pendengar yang setia atau 'penyampuk', sedikit sebanyak memperoleh maklumat dari pelbagai sumber, sudut dan dimensi untuk membantu kita sendiri membuat keputusan yang terbaik buat diri kita.

Persoalan siapa yang betul dan siapa yang salah juga tidak membantu kita ke mana-mana kerana di atas kertas, anda hanya boleh beri 1 undi dan saya juga 1 undi. Yang penting adalah bagaimana anda dan saya boleh gabungkan undi tadi menjadi 2 undi.

p/s: itu belum dikira undi golongan muda dan profesional, yang bekerja swasta, yang ramai mereka ini tidak pergi kursus BTN.

Sekian.

No comments: