Friday 8 January 2010

Dari terbakar kepada membakar

Saya terkejut apabila membaca beberapa akhbar online pagi ini yang melaporkan kejadian atau cubaan membakar 3 buah gereja di sekitar ibukota (sumber) dan (sumber).

Daripada 3 cubaan, yang dipercayai menggunakan cecair mudah terbakar molotov cocktail, hanya 1 yang menyebabkan kebakaran iaitu Gereja Metro di Desa Melawati.

Pihak polis telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat perkara ini dan mengetatkan kawalan di semua rumah ibadat di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri juga turut menyatakan komitmen bagi mengatasi masalah ini secepat mungkin berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada.

Makasar

Masihkah anda ingat akan kejadian atau rusuhan antara agama yang berlaku di Makasar, Indonesia beberapa tahun yang sudah, di mana kesan daripada tindakan 'matlamat menghalalkan cara', ramai nyawa yang masih kecil dan tidak berdosa menjadi mangsa dan korban.

Gereja dibakar, kemudiannya masjid dibakar, penganut kedua-dua agama ini bertempur, berbunuhan, hidup tidak aman, ekonomi lumpuh dan akhirnya - menang jadi arang dan kalah jadi abu.

Ini bukan perkara main-main. Bukan sahaja keharmonian hidup sesama jiran sebelah-menyebelah kita boleh tergugat, malah ekonomi negara boleh lumpuh dan kepercayaan kepada kemampuan kerajaan memimpin juga akan turut terjejas.

Pada saya, ini bukanlah caranya untuk sesiapa jua menyuarakan perasaan bantahan terhadap insiden yang berlaku. Mana-mana anutan sekalipun tidak pernah menyuruh dan menyeru para pengikutnya bertindak secara di luar kewarasan.

Mungkin juga ianya (kebakaran) ini bukan berpunca tindakan penganut Islam dan Kristian, mungkin ada pihak lain di luar yang ingin mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru-hara, demi mencapai agenda dan cita-cita mereka tersendiri.

Apapun, hal siapa dalang yang cuba menimbulkan kacau-bilau dan huru-hara ini, kita kena tunggulah dulu hasil siasatan dan tindakan pihak berkuasa.

Usahlah rakyat cepat melatah kerana jika rakyat terus berperasangka, makanya agenda mereka (sesiapa jualah mereka ini) untuk mengulang kembali (menyucuk jarum) peristiwa 13 Mei akan lebih mudah dijalankan.

Justeru, setiap rakyat perlu berperanan memastikan tidak akan ada ruang untuk dieksploitasi pihak-pihak yang jahat bagi menggugat keharmonian antara agama dan di antara masyarakat kaum di negara ini.

Bersederhanalah dalam setiap perbuatan dan janganlah kita melampaui batas. Kerana sesungguhnya Allah Taala amat membenci orang-orang yang melampaui batas.

No comments: