Saturday, 9 January 2010

Kejiranan yang hilang


Untuk cerita lanjut sila klik (sini). Barangkali itu ujian dari Allah Yang Maha Berkuasa ke atas umat Melayu-Islam di tanah air hari ini.

Kejadian jenayah, tidak kira menyamun, merogol, kerap berakhir dengan pembunuhan ke atas mangsa dan kematian si pelaku di tangan pihak berkuasa.

Masih belum sejuk pun kisah pembunuhan kejam di Gemencheh, N9, kita dikejutkan pula dengan kematian sekumpulan penyamun dalam siri tembak-menembak dengan pihak Polis, yang melibatkan penggunaan bom tangan oleh penjenayah!

(Bercakap tentang bom. Baru-baru ini pihak polis telah berjaya menangkap beberapa suspek di Kelantan kerana menjadikan kediaman terpencil mereka sebagai tempat penghasilan bom, Gila!)

Terlalu ramai orang telah mengemukakan teori mengapa terjadinya perbuatan jenayah. Ahli akademik dan pakar kriminal pastinya mampu membahaskannya secara panjang lebar dengan senarai faktor-faktor penyebab yang berjela-jela.

Entah di mana silapnya, ubat kepada penyakit jenayah ini masih belum dapat dicari -Punca penyakit (jenayah) ini telah diketahui, namun masih gagal dicari penawarnya.

Patutlah mereka yang tinggal di bandar dan di kampung sekalipun begitu mengambil sikap berhati-hati. Mereka bukan sahaja sanggup berhabis wang ringgit memagari rumah mereka dengan sistem penggera, memasang grill, membina tembok besi, membela anjing, membela hantu, mengupah syarikat kawalan swasta, etc., malah rasa kebolehpercayaan kepada persekitaran juga semakin menipis.

Bukan mereka takut dirompak, tetapi mereka takut akan dibunuh selepas dirompak.

Kesannya? Dalam jangka pendek mereka mungkin akan merasa sedikit selamat 'di dalam' domain (rumah) mereka, tetapi merasa terancam apabila berada 'di luar' domain mereka - pergi ke kedai, keluar makan, ke tempat meletak kereta, menunggu bas, pulang malam seorang diri dari berjumpa rakan, melancong ke tempat asing, etc.

Manakala, kesan jangka panjang adalah terhapusnya integrasi dan semangat kejiranan di sesuatu kawasan dek sikap mengutamakan kepentingan diri (dan keluarga) sendiri, tidak percaya kepada persekitaran, tiada semangat setiakawan sesama yang berjiran dan sebagainya.

Akibatnya, kegiatan gotong-royong akan mati dan majlis serta sambutan dalam masyarakat tidak lagi mendapat penglibatan yang menyeluruh.

Tiada lagi kehendak untuk mengambil maklum perkembangan jiran tetangga kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Cuma satu yang dibimbangi adalah langkah pemantauan hanya dibuat di persekitaran rumah, tetapi apabila anak muda mereka keluar (ke pusat membeli-belah, menonton wayang, etc), bagaimana pula hendak mengawalnya dan menjamin keselamatan mereka?

No comments: