Tuesday, 26 January 2010

Marilah mari, mari mengundi

Pengundian awal pulak

Beberapa hari lepas saya terbaca mengenai cadangan (di peringkat kajian) oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mewujudkan apa yang dipanggil sistem pengundian awal, pada Piliharaya Umum dan Pilihanraya Kecil yang akan datang.

Cadangan bagi mewujudkan sistem ini dikatakan mungkin bagi menggantikan sistem Undi Pos yang sedang digunapakai SPR ketika ini.

Jika ianya diterimapakai, sistem ini akan berfungsi dalam tempoh bertenang semasa kempen sedang berlangsung.

Ianya akan melibatkan anggota keselamatan, doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan (yang terbang) - nampak seperti mereka-mereka ini terlibat dengan bidang kritikal dan yang sukar bercuti atas sebab tugasnya begitu (nature of work).

Bangkangan

Walau bagaimanapun, cadangan (perancangan) SPR ini awal-awal lagi telah mendapat bangkangan terutama daripada para pimpinan Pakatan.

Seolah-olah langkah yang direncanakan ini bukanlah langkah positif yang PR harapkan daripada protes mereka selama ini - terhadap pengekalan sistem undi pos.

Ini kerana secara amnya, sistem undian awal dan sistem undi pos seakan-akan sama.

Melalui kedua-dua sistem ini, pengundi perlu membuang undi lebih awal. Malah, kumpulan pengundinya juga hampir sama.

Justeru, apa yang boleh diharapkan dari 'cadangan penambahbaikkan' ini?

Celup jari

Sebelum PRU ke-12 yang lalu, kita dihebohkan seketika dengan cadangan penggunaan dakwat kekal bagi mengesahkan pengundi yang hadir membuang undi.

Namun, ianya dibatalkan atas alasan wujud keraguan dan kemungkinan berlaku manipulasi terhadap penggunaan dakwat terbabit. Akhirnya kaedah konvensional dikekalkan.

Adalah tidak jelas sebab pembatalan tersebut dibuat. Ini kerana secara logiknya siapa yang ingin menipu dengan 'telah' mencelup jarinya? Semestinya ramai yang berebut untuk tidak mencelup jari kerana tiada peluang untuk mengundi beberapa kali di tempat yang berlainan.

Apapun, isu mengenai penggunaan dakwat pada jari hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam (sebagaimana biasa). Selepas PRU, segalanya fokus kepada perkara yang lain.

Daftar

Apa yang penting kepada SPR, dan parti-parti politik adalah memastikan golongan yang telah layak menjadi pengundi, mendaftar diri mereka sebagai pengundi.

Dengan segala teknologi dan kecanggihan yang ada, adalah tidak menjadi beban buat SPR untuk membersihkan senarai daftar pengundi.

Parti politik juga perlulah menyelitkan di dalam kempen masing-masing, bukan sahaja untuk menarik keahlian baru, malah memastikan diselitkan kempen untuk mendaftarkan ahli baru sebagai pengundi yang sah.

Adalah suatu kerugian jika ahli parti ramai, tetapi ahli parti yang layak untuk mengundi adalah rendah. Makanya, parti sukar menang dalam pilihanraya.

Justeru, bagaimana untuk menjadi 'juara rakyat' jika masih ramai ahlinya tidak dikempen untuk menjadi pengundi?

Ini kerana bukan mereka (parti) yang menentukan diri mereka 'juara', sebaliknya rakyatlah yang menentukan siapa 'juara' melalui undi-undi yang dibuang!

No comments: