Wednesday, 3 November 2010

Petikan Minggu Ini

Ke mana lagi nak naik gutu (kutu), jika tidak ke kepala - Mok.

Rancanglah kewangan anda

Dua hari lepas saya menelefon Mok di kampung. Al-maklumlah sekarang negeri dan wilayah Pantai Timur sedang menempuh musim monsun (tengkujuh). Kenalah bertanyakan khabar akan mereka-mereka yang ada di kampung.

Alhamdulillah semua sihat dan selamat, Terengganu biarpun menerima hujan tetapi belumlah seburuk negeri yang lazimnya banjir seperti Kelantan, Perlis dan Kedah, di setiap kali tibanya musim monsun ini.

Borak punya borak, adalah beberapa isu yang kami ketengahkan dan Mok sebutkan pepatah seperti yang saya petik. Ianya saya kira lebih bersangkutan dengan kehematan mengurus kewangan rumah tangga.

Makanya, di sini saya ingin berkongsi dengan para pembaca, kaedah (FORMULA) mudah menguruskan wang gaji/pendapatan anda (tidak kira anda yang telah bekerja, baru bekerja mahupun masih belajar), supaya di akhir bulan anda sekeluarga tidak makan mee maggi dan mencatu sumber makanan dek kerana lemah menguruskan ekonomi rumah tangga.

Formula yang saya gunakan ada 40-30-20-10 (total = 100%)

40% daripada gaji diguna untuk perbelanjaan utama (bayar sewa, ansuran rumah, kereta, bil-bil)
30% daripada gaji diguna untuk perbelanjaan makan (membeli barangan dapur)
20% diguna sebagai simpanan tetap (boleh usik di kala kecemasan)
10% disimpan tetap (tanpa boleh diusik)

Bak kata saudara Ruslan, untuk mencapai kehidupan yang selesa di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, pendapatan bulanan RM10,000 haruslah dicapai (PM kata, negara berpendapatan tinggi). Maka, contoh ini akan saya gunakan bagi menterjemahkan peratusan terbabit agar para pembaca lebih mudah 'nampak' dan faham.

40/100 * 10,000 = RM4,000  - digunakan untuk membayar sewa/ansuran rumah, kereta dan bil-bil utiliti berkaitan (bil telefon, h/p, astro, air, elektrik, gas, internet, etc), minyak kereta, tol, etc.

30/100 * 10,000 = RM3,000 - digunakan untuk kos membeli barangan dapur (shopping mingguan di pasaraya 1 kali/1 minggu @ RM300/troli), wang saku persekolahan, bayar tuisyen, etc.

20/100 * 10,000 = RM2,000 - disimpan tetapi, tetapi boleh dikeluarkan bagi tujuan belanja kecemasan (dan juga untuk membelanja diri membeli barangan berjenama yang lama diinginkan).

10/100 * 10,000 = RM1,000 - simpanan tetap yang tidak akan diusik tidak kira apa jua (kalau boleh terus dibuat potongan gaji ke akaun berasingan ini - hanya ambil selepas bersara/pencen/tua kelak), konsep seperti KWSP juga.

Begitupun, penentuan 40-30-20-10 ini hanyalah cadangan saya sahaja. Anda haruslah memadankan ia dengan situasi hidup dan keadaan kewangan semasa anda. Ianya boleh juga diatur menjadi 40-30-30 (bagi yang pandai menyimpan) atau 50-30-20 (bagi yang terpaksa berbelanja lebih), dan sebagainya lagi.

Saya sendiri telah mencuba formula ini (sebelum ke UK), dan Alhamdulillah ianya banyak membantu saya dari segi memupuk amalan suka menyimpan wang hingga memudahkan urusan perkahwinan dan hidup selepas berkahwin.

Dengan mengikut formula ini juga saya dapat 'mengesan' wang keluar dan wang masuk setiap bulan, dan setelah beberapa lama, corak aliran wang akan menjadi tetap (rutin), dapat saya baca dan dengan ini mengurangkan risiko kekurangan wang terutama di pertengahan dan akhir bulan.

Jika berminat untuk mencuba, dipersilakan dan selamat berjaya menguruskan kewangan anda!

No comments: