Entahlah! Apakah ianya suatu suratan? Ataupun hanya sekadar kebetulan?
Itulah pertanyaan yang seringkali berputar di dalam kotak pemikiran saya setiap kali kenderaan yang saya pandu, berlalu melintasi beberapa buah perkampungan (zon pantai) pelancongan di negeri Kelantan dan Terengganu.
Mana tidaknya, dua elemen yang ingin saya kupas selanjutnya nanti, merupakan fokus utama penyelidikan yang kini sedang saya siapkan iaitu terma Inap Desa (Homestay) dan Mapan (Sustainable).
Di kawasan tarikan pelancongan, terutama di Pantai Timur, kedua istilah ini nampaknya begitu popular – berdasarkan pemerhatian saya terhadap papan-papan tanda Homestay dan Agrotourism yang ada di kiri-kanan jalan.
Alhamdulillah, dari satu sudut, saya bersyukur kerana dengan popularnya istilah Homestay dan Sustainable ini, secara tidak langsung menggambarkan bahawa (setidaknya) penduduk, pengusaha dan pemain industri pelancongan mula meningkat pengetahuan, pendedahan dan kemahuan mereka terhadap kedua-dua konsep ini.
Begitupun, jauh di sudut hati, masih wujud ‘sedikit’ perasaan gusar kerana dikhuatiri kedua istilah ini hanya digunakan dibuat secara 'loose term' (digunakan secara longgar, tanpa ada kefahaman) oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Maksud saya, apakah terma-terma tersebut digunakan selari dengan konsepnya yang sebenar, atau dipopularkan sekadar 'pelaris jualan' produk-produk yang mereka bangunkan – i.e. menarik pengguna (pelancong) tertentu, di segmen-segmen tertentu di dalam pasaran?
Andai kata kebimbangan ini ada asasnya, akan tempanglah niat murni yang menunjangi konsep Homestay di negara kita.
Apa itu HOMESTAY?
Menurut pasukan pengkaji pelancongan (Tourism Planning Research Group), Fakulti Alam Bina, UTM, Homestay ringkasnya perlu menampakkan ciri-ciri berikut:
H – House (peserta tinggal bersama ibubapa angkat)
O – Organise (ada jawatankuasa – cth. JKKK)
M – Material
E – Economy (tambah pendapatan isirumah)
S – Safety/Security
T – Teamwork (bukan milikan tunggal)
A – Attitude
Y – Yield
Bagi saya pula, 3 syarat mudah berikut wajar dipenuhi untuk membolehkan sesuatu produk itu diiktiraf sebagai Homestay iaitu:
1) Menyediakan kemudahan penginapan (accommodation)
2) Menjalinkan hubungan dengan keluarga angkat (foster parent)
3) Melibatkan penghayatan kehidupan masyarakat desa (experience the rural livelihood)
Bagi saya, 3 aspek ini adalah benda asas (basic). Untuk menjayakan konsep ini juga memerlukan kerjasama dan kerja berpasukan, dengan matlamat untuk mengagihkan keuntungan demi manfaat bersama. Tiada istilah ‘milik peribadi’ – ianya projek komuniti, milik bersama, untung bersama.
Bukan sahaja manfaat ekonomi (peningkatan pendapatan), tetapi keuntungan daripada aktiviti Homestay perlu dikembalikan bagi pembangunan sosio-budaya dan kebajikan komuniti terlibat.
Jika hanya menyediakan tempat menginap kepada pelancong, itu pada saya, bukanlah Homestay melainkan lebih menepati ciri-ciri ‘budget motel’.
Malangnya, ciri-ciri ‘budget motel’ inilah yang saya perhatikan telah berkembang subur, bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Jika di kawasan pantai di Kuala Terengganu dan Dungun, begitu banyak sekali ‘Homestay’ persendirian didirikan, dengan tidak menonjolkan ciri-ciri sebagaimana yang ‘difahami’ oleh TPRG, saya sendiri, mahupun para pelancong.
Kesannya, pelancong menjadi keliru (tertipu lebih tepat barangkali), apabila mendapati apa yang sepatutnya mereka alami melalui program Homestay (yang sebenar), tidak dirasai sepanjang kunjungan mereka.
Akhirnya mereka pulang ke negara mereka, dan menyebarkan cerita betapa tidak seronoknya tinggal di ‘Homestay’ di Malaysia!
Kalau kabur, akan keliru
Justeru, saya berharap agar pihak berwajib dapat memantau perkara ini dan menjalankan kajian awal impaknya terhadap pembangunan Homestay secara menyeluruh.
Bukanlah teguran saya ini dibuat dengan niat atau mempunyai apa-apa kepentingan peribadi. Ia tercetus daripada hasrat saya untuk melihat agar terma Homestay ini tidak lagi dimangsakan melalui penggunaan secara ‘loose’ dan kabur, demi kepentingan segelintir pihak.
Adalah menyedihkan jika suatu hari ini, komuniti-komuniti Melayu desa yang bersusah-payah membina kegiatan Homestay ini akhirnya turut terpalit dan terheret sama dengan isu ‘loose term’ Homestay ini, yang akhirnya menyebabkan pelancong berpersepsi buruk dan mula menjauhkan diri daripada menyertai program-program Homestay anjuran penduduk desa.
Sebagai penutup, tidak salah untuk berkecimpung dengan kegiatan Homestay, tetapi laksanakanlah ia berpandukan garis panduan Homestay yang telah disediakan.
Dengan cara itu, tandanya kita boleh berlaku adil kepada komuniti yang benar-benar komited, di samping mampu menepis sebarang bentuk kekeliruan di kalangan pelancong.
Dengan cara itu, tandanya kita boleh berlaku adil kepada komuniti yang benar-benar komited, di samping mampu menepis sebarang bentuk kekeliruan di kalangan pelancong.
Sekian.
No comments:
Post a Comment