Dua hari lepas, sewaktu berkunjung ke sebuah kedai akhbar India di SS14, Subang Jaya, dan setelah ke kaunter untuk membayar harga senaskah akhbar KOSMO, terpandang saya akan sebuah buku, nukilan (Dato') Kamal Amir yang bertajuk "Tengku Razaleigh Hamzah: Rahsia Yang Terpendam".
Memandangkan akak yang beratur di depan saya masih sibuk mengatur barangan yang dibelinya, sempatlah saya menyemak sepintas lalu kandungan buku terbabit.
Terus-terang saya katakan yang saya tidak kenal penulisnya . Begitupun, dari segi lenggok bahasa yang digunakan, nampak tidak jauh bezanya dengan naskah yang dihasilkan oleh penulis-penulis politik seperti MSO (Mohd Sayuti Omar), A. Kadir Jasin mahupun Daud Hj Ibrahim.
Terus-terang juga saya katakan, bagi kebanyakan warga Malaysia yang berusia di bawah 40-an, penceritaan mengenai insan bernama Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi) ini begitu jarang sekali dihebahkan dan dengari.
Umum mungkin tahu dan sedia maklum jika diperkatakan berkenaan Parti Melayu Semangat 46.
Begitupun, sejauh manakah pula kecaknaan kita terhadap personaliti dan idealisme yang ditonjolkan oleh beliau, sepanjang bergiat di dalam politik, sama ada semasa di dalam UMNO, di luar yang menentang UMNO, dan akhirnya kembali kepada UMNO?
Sejauh manakah juga generasi muda hari ini mengetahui akan peranan, jasa serta sumbangan beliau (KuLi) yang mengasaskan PETRONAS, menjadi pengerusi Pernas (Permodalan Nasional), Bank Bumiputra (beliau nyata kecewa dengan hilangnya entiti penting untuk bumiputra ini), yang mana kita semua hari ini sedikit-sebanyak turut mendapat untung darinya?
Apakah kita juga dimaklumkan akan penglibatan beliau yang secara langsung dengan perancangan bagi mengembalikan semula 'khazanah negara' yang suatu ketika dahulu milik asing seperti Sime Darby dan Guthrie?
Dan apakah generasi muda pendokong UMNO hari ini juga tahu bahawa terbinanya PWTC, adalah di atas tanah yang beliau sumbangkan? - yang saban tahun umat UMNO ini akan datang bersidang?
Sumbangan KuLi bukan sahaja telah memberikan impak kepada UMNO itu sendiri, malah turut dirasai oleh pihak dan mereka-mereka (yang dahulu dan kini) berada di luar rumah UMNO.
Menerusi naskah (terbitan Mei 2010) ini, Kamal Amir juga turut menyorot pelbagai kisah yang 'terpendam' dan yang sengaja 'dipendamkan' oleh media-media arus perdana berkenaan KuLi.
Menariknya, penglibatan KuLi ini telah beliau kupas melalui temubual bersama KuLi sendiri dan dipersembahkan mengikut sela-masa, pemerintahan setiap Presiden UMNO, bermula dari era Tunku Abd Rahman hinggalah kepada era Najib Razak, selain mengupas perihal Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Sungguhpun pengaruh KuLi terhadap umat Melayu-UMNO dilihat tidak begitu menonjol ketika ini (kerana media berita TV terutamanya, setiap malam hanya memutar berita mengenai "3 serangkai"), masih ada pihak yang menilaikan bahawa KuLi masih berpengaruh (lihat keratan akhbar di bawah).
Sumber: pada foto
Namun, apakah akan berlaku 'come back' oleh KuLi menjelang PRU ke-13 akan datang ini? Hanya masa yang akan memberikan kita jawapannya.
Di kelapangan yang ada juga, saya sedang berkira-kira untuk menulis (di dalam beberapa siri bacaan ringkas), rumusan pembacaan saya terhadap naskah ini dengan dibantu beberapa sumber lainnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment