Penangan "Angel of the Dark"
Alhamdulillah, Allah bagi panjang umur sehingga saya dapat bertemu lagi sebuah hujung minggu untuk diisi dengan berbagai perkara serta aktiviti bersama keluarga.
Waktu hujung minggu kali ini saya rasakan kegiatan yang dibuat telah diseimbangkan antara kegiatan di luar dan juga di dalam rumah.
Di dalam rumah, bacaan politik terpaksa diketepikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada karya oleh penulis kegemaran saya iaitu Sidney Sheldon. Dengan berpandukan kepada manuskrip yang ditinggalkan mendiang Sidney, penulis novel prolifik, Tilly Bagshawe tampil mengambil peranan bagi memastikan karya berjudul "Angel of the Dark" ini disiap dan dipersembah kepada para peminat Sidney Sheldon seperti saya dan isteri.
Best jalan ceritanya, ada dijual di toko buku seperti MPH
Bermula petang Jumaat dan sehingga tengah hari tadi (Ahad) akhirnya novel tersebut berjaya jua saya habiskan (membacanya). Saya tidak berapa pandai untuk menggunakan teknik membaca secara "skip" (tidak membaca huraian yang tidak penting), saya masih membaca setiap perkataan di setiap muka surat sehinggalah ke kulit belakang. Puas hati.
Iqra'
Minggu ini juga Mawaddah memulakan kelas mengajinya dengan ibu selepas solat Maghrib. Alhamdulillah, sambutan yang diterima adalah menggalakkan, walaupun ia masih tidak ibu jalankan secara kerap.
Biarlah minat itu datang sendiri melalui dorongan dan galakan oleh kami berdua. Lagipun dia masih kecil, belumpun masuk umur 4 tahun.
Siapa ajar siapa pulak nih...?
Saya yang memerhatikan dia belajar mengenal huruf asyik rasa nak tergelak saja, terutama melihatkan dia bersungguh-sungguh mengaji, menyebut huruf-huruf dalam buku Iqra' dengan pelat "minah saleh". Terangguk-angguk kepalanya bak orang Jepun setiap kali cuba mengikut dan meniru gaya sebutan ibu.
Belajarnya juga tidak panjang, sekadar sa-muka sebagai "membudayakan" Al-Qur'an pada dirinya. Mudah-mudahan usaha ini menjadi pelaburan akhirat buat dirinya dan kedua orang tuanya juga.
Cili, kacang botol & limau
Bagi anda yang sering melayari blog ini tentu sedia maklum akan hobi saya dan isteri yang gemar bercucuk-tanam di sekitar kawasan rumah.
Alhamdulillah, hujung minggu ini telah kami luangkan untuk "menaik taraf" laman hadapan dengan menyediakan plot tanaman untuk sayur-sayuran dan pokok yang kami rasakan lebih mendatangkan manfaat (selain boleh menjadi hiasan di laman).
Petang Sabtu dan pagi Ahad telah kami jalankan kerja-kerja penyediaan plot untuk menanam sayur (secara gotong-royong bersama Mak dan Ayah). Setelah pokok-pokok bunga yang asal kami buang, diganti dengan tanaman sa-pokok limau kasturi, sa-pokok limau purut, serai dan juga ulam raja.
Kami juga turut mendapatkan bekas tanaman bagi menyemai benih kacang botol. Kami juga turut memindahkan pokok-pokok cili yang berada di belakang rumah, ke bahagian hadapan bagi mendapat lebih pencahayaan. Ini kerana kedua jiran di belakang telah menanam pokok pisang yang mana daunnya telah masuk ke laman rumah kami sehingga menghalang cahaya matahari.
Alhamdulillah, hasil kerja keras semua yang terlibat, bukan sahaja operasi penyediaan plot tanaman yang baharu berjaya disiapkan, malah turut melibatkan kerja-kerja pemotongan rumput dan pembersihan di sekitar rumah.
Melihatkan buah-buah cili yang banyak (tak sempat nak kira), saya amat bersyukur kerana apa yang diusahakan sejak 3 bulan yang lepas semakin menampakkan hasilnya, Alhamdulillah. Selepas ini, kita tinjau pula kisah kacang botol dan kacang bendi pula.
Saya suka menyarankan kepada rakan-rakan di luar sana, yang barangkali sedang memikirkan aktiviti untuk hujung minggu, sekiranya anda malas untuk keluar jauh - mengapa tidak cuba untuk bercucuk tanam?
Anak-anak kecik sebenarnya suka "membantu" kita berkebun. Mulakan dengan menanam sayuran (secara organik) yang mudah dijaga selain praktikal seperti serai dan kunyit yang boleh ditanam di dalam pasu dan ianya agak lasak.
No comments:
Post a Comment