Saturday, 3 October 2009

1Malaysia: Sudah tubuhkan kelab

1Malaysia - Popular

Seperti dijangka, setiap kali sesuatu slogan baru diperkenalkan oleh seseorang pemerintah yang baru, ianya akan pantas diserap, diselit, dikepil, dipromosi dan dipopularkan pelbagai pihak.

Mungkin ramai di antara kita yang masih ingat akan ungkapan 'Malaysia Boleh', dan kemudiannya 'Islam Hadhari'.

Belumpun tersedar daripada lamunan mimpi 'Islam Hadhari', rakyat kini dihidangkan pula dengan '1Malaysia'.

Munculnya 1Malaysia ini pula dikala negara sedang meniti jalan yang serba mencabar dalam mengurustadbir ekonomi, sosial, budaya (curi budaya orang?) dan cabaran untuk mengekalkan hubungan berharmoni di antara kaum.

Biarpun 'isi' sebenar dan semangat yang dibawa oleh 1Malaysia belum begitu nyata difahami (kerana ia belum benar-benar dapat dibezakan dengan agenda Malaysian-Malaysia bawaan DAP), 'kulit'nya bagaimanapun begitu diminati ramai pihak.

Tidak salah dikatakan perkataan 1Malaysia kini menjadi *buzzword. Cuma bezanya, sama ada ianya diguna untuk menerangkan suatu perkara yang positif, atau menjadi istilah untuk menyindir di satu pihak.

(*buzzword - hingar bingar kerana di sana-sini orang berkata mengenainya)

1Malaysia - neutral atau berpihak?

Benda yang baik belum tentu semua orang akan terima.

Begitu jugalah dengan kemunculan 1Malaysia ini. Mungkin aspirasi yang cuba dibawanya adalah murni dan positif. Tetapi mungkin 'platform' ia diperkenal, dipromosi dan dipopularkan itu serba-sedikit menimbulkan persoalan.

Ini kerana 1Malaysia diperkenalkan oleh PM Malaysia, di mana pada masa yang sama beliau juga adalah Presiden UMNO.

Inilah yang dipandang sesetengah pihak sebagai ianya (1Malaysia) bukanlah sebagai suatu ideologi yang neutral (tidak berpihak kepada BN-UMNO sahaja).

Seharusnya kemunculan 1Malaysia akan menimbulkan paradigma baru di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa mereka selama ini telah berkongsi membina hidup dan mencari makan di atas bumi yang sama, milik mereka bersama.

Semua rakyat, tidak kira apa jua fahaman atau ideologi kepolitikan mereka, tetap tertakluk kepada kadar yang sama terhadap cukai pendapatan yang perlu mereka bayar.

Persoalannya, apakah 1Malaysia ini mampu untuk menjadi neutral? Atau satu gagasan 'berpihak' yang lebih lunak bunyinya bagi menggantikan istilah 'kronisma'?

Kelab penyokong

Dalam keriuhan pihak-pihak yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Bagan Pinang tidak lama lagi, blog ini melaporkan kisah berkaitan 'Kelab Penyokong BN' (KP).

Foto: sumber

Dalam kes ini, mengapa orang yang menyokong BN bertindak menubuhkan KP dan tidak masuk terus ke dalam BN? Iaitu dengan menyertai salah satu daripada pelbagai parti komponen dalam BN (3 yang utama - UMNO, MCA, MIC), atau menyertai salah satu sayap dalam setiap parti komponen terbabit (pemuda, wanita, putera, puteri, veteren, etc)?

Apa pula matlamat penubuhan KP ini?

Jika dalam kes KP PAS, mudahlah kita faham bahawa ianya ditubuhkan oleh Bukan Islam yang menyokong ideologi dan perjuangan yang dibawa oleh PAS.

KP PAS ini cuba menyumpulkan seramai mungkin golongan Bukan Islam untuk menyokong PAS (termasuklah calon PAS-PR). Ini kerana perlembagaan PAS masih tidak membenarkan Bukan Islam menjadi ahli PAS - syarat kena Islam, tanpa mengira kaum.

Justeru, untuk mengatakan Bukan Islam tidak boleh masuk BN pun tidak juga kerana BN parti berbilang kaum dan berbilang agama.

Mungkin pihak yang menaja penubuhan KP ini yang lebih layak menjawabnya.

Cuma apabila meneliti foto tersebut, jelas bahawa 1Malaysia begitu 'melekat' dengan BN (a.k.a berpihak secara ekslusif).

Maka, ianya tidak dapat tidak, boleh menjarakkan lagi minat orang-orang yang 'bukan-BN' untuk menerima ia (1Malaysia) sebagai suatu ideologi yang 'neutral', yang seharusnya dipandang penuh minat oleh rakyat di pelbagai lapisan.

Modal perkauman

Perkauman adalah suatu isu yang sensitif, tambahan pula apabila kita memperkatakannya di dalam situasi sekarang ini.

Begitupun, isu perkauman ini bukanlah benda asing. Ianya berlaku di mana-mana, tidak kira negara membangun mahupun maju.

Malah, di negara maju yang kononnya mengiktiraf globalisasi dan demokrasi juga dilihat masih subur dengan isu-isu perkauman yang dilihat belum ada penghujungnya.

Mungkin sedikit bezanya, isu perkauman ini banyak (bukan semua) diperjuangkan oleh golongan (parti) minoriti, dan bukannya parti pemerintah (faham ye?).

Sumber: pada foto

Justeru, modal berkempen yang berbentuk mengapi-apikan dan memainkan sentiman berbaur perkauman bukanlah suatu langkah yang bijak.

Silap hari bulan, api perkauman ini boleh membakar diri sendiri.

Foto: sumber

Belajar dan fahamilah sejarah

Memang asal negara kita ini rakyat dikenal melalui polarisasi (pengasingan) kaum - dibawa oleh penjajah British.

Tetapi, semakin kita mengecap kemajuan, kemakmuran dan kemodenan, generasi terkemudian ini semakin hari semakin melupakan sejarah.

Bagi mereka sejarah adalah benda yang lepas. Kita wajar melihat dan bergerak ke hadapan.

Namun pada hemat saya, semua kita kena balik meneliti, belajar dan memahami sejarah. Bukan dengan hafal buku sejarah sekolah rendah dan menengah (tidak semua fakta itu benar), tetapi carilah dan rujuklah sumber yang lain juga, yang mungkin bercanggah dengan apa yang lazimnya kita 'diberitahu'.

Harapnya apabila kita fahami sejarah, dapatlah kita fahami asal-usul kita, apa hak-hak kita dan apa yang bukan hak-hak kita.

Inilah yang generasi moden hari ini perlu tahu dan faham dan disedarkan! Barulah integrasi kaum dan keharmonian dapat kembali diwujudkan.

Bukannya dengan berterusan 'melempar batu sembunyi tangan' seperti pengedaran bahan bercetak seperti foto di atas itu - apapun, matlamat tidak menghalalkan cara!

Ini kerana sejarah juga membuktikan bahawa runtuhnya sesuatu negara itu bukan hanya disebabkan serangan dari pihak luar (penjajahan asing seperti di Iraq dan Afghanistan), tetapi banyak juga yang runtuh disebabkan 'anasir dalaman' yang gagal memahami sejarah golongan yang sebelumnya.

Dr. Sepet: saya minat sejarah, tetapi alangkah baiknya jika buku sejarah kita lebih interaktif.

No comments: