Wednesday 7 October 2009

Kempen Bagan Pinang: Masih ada yang tertinggal kapal

“Hanya BN boleh merubah taraf hidup rakyat, hanya BN mampu membawa prasarana, kemudahan asas dan melahirkan modal insan dan negara Malaysia telah diberi pengikitrafan kerana dasar-dasar pendidikan dan pemerintahan yang paling lama,” - Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin (sumber: sini)

Lucu

Permohonan maaf didahulukan jika ada di antara pembaca yang akan terasa hati dengan komen saya selanjutnya nanti.

Namun, itulah perasaan saya, begitu melucukan apabila menatap petikan ucapan seorang 'ketua' (wanita UMNO Sabah) sewaktu siri kempen sempena PRK Bagan Pinang yang sedang rancak berjalan ketika ini.

Bukan untuk menyatakan beliau kurang cerdik, namun mungkin beliau kurang terdedah kepada perkembangan mutakhir yang sedang melanda seluruh negara dan di peringkat global dewasa ini.

Jika saya sebagai orang biasa yang membacanya pun rasa lucu, apatah lagi jika orang yang pandai politik dan minat politik yang membacanya. Tentu lebih teruk lagi kena 'bambu'.

Kena tinggal

Saya anggap ucapan beliau ini sebagai seorang 'pemimpin' yang ketinggalan kapal. Di kala ramai orang telah bergerak laju ke era baru, masih terdapat yang hidup dalam suasana di zaman silam.

Telah beberapa kali telah saya ulas sebelum ini bahawa ayat seperti 'hanya BN yang boleh membawa pembangunan' mungkin boleh laku jika ianya diperkatakan pada era tahun 1960an.

Malah, beberapa ahli akademik dan sains politik termasuk Prof. Agus Yusuff dan Prof Atory juga turut mengingatkan bahawa pemakaian 'label pembangunan' sebagai umpan mendapatkan sokongan politik di era millenium ini bukanlah suatu tindakan oleh orang yang bijak.

Bukalah mata, bacalah surat khabar dan internet. Bergaullah dengan orang yang di luar parti anda untuk membolehkan anda terdedah kepada pelbagai ilmu dan pengetahuan yang baru lagi terkini.

Bukanlah niat saya untuk menafikan sumbangan dan jasa kerajaan BN membangunkan negara selepas kemerdekaan hingga ke hari ini. Bodohlah jika masih ada yang mempertikaikannya.

Namun, di masa yang sama kita kena rasional dan realistik di dalam melakukan sebarang penilaian.

Ini kerana selain kemampuan BN membawa pembangunan fizikal dan ekonomi, kita perlu juga mengakui kemampuan beberapa negeri yang kini ditadbir oleh pembangkang/PR dalam menyediakan perkhidmatan yang memuaskan buat rakyat.

Di Kelantan sendiri telah hampir 2 dekad ditadbir PAS, dan kini Selangor (PKR), P.Pinang (DAP) dan Kedah (PAS). Rakyat melihat dan menilai kesemuanya ini. Bagaimana pula dengan Sabah yang jika tidak silap masih kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia? (cukup, saya tidak ingin mengulas lanjut).

Janganlah nanti ahli parti yang nampaknya lebih matang menilai dan berpengetahuan berbanding 'ketua' mereka sendiri.

Berubahlah

Bagi mendapatkan sokongan para pengundi, pastinya bermacam cara digunakan. Tetapi, bak kata pepatah "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar".

Janganlah nampak sangat tahap pemikiran / mentaliti sebenar kita, tambah-tambah lagi jika anda seorang 'ketua' dalam memperkatakan sesuatu perkara.

Tidak salah untuk mengajak rakyat berterima kasih dengan kerajaan, bak kata pepatah "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa", tetapi janganlah sampai ke tahap menjadi taasub sehingga merendahkan tahap pemikiran dan mentaliti diri.

Dr. Sepet: Untuk keselamatan, toleh kiri dan toleh kanan sebeum membuat keputusan nak menyeberang atau tidak.

No comments: