Sunday, 2 October 2011

Lambakan Filem Seram/Hantu - Eh, baru sedar ke?

Apa kes? 


Sedikit petikan:

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu yang cukup popular sekarang kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Kalau seperti "pahat dengan penukul" pada saya bolehlah tahan lagi sebab sekali diketuk si penukul (sekali isu lambakan filem hantu ini timbul), pahat akan bekerja (akan adalah tindakan/perbincangan mengenainya). 

Tapi di dalam isu ini perumpamaan "pahat dengan penukul" telah tidak lagi releven, malah lebih cocok dengan perumpamaan "carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga" "hangat-hangat tahi ayam" - sekarang baru nak sedar, tapi lama-kelamaan sejuk dan diamlah isu ini dan keadaan kembali sepertimana biasa... 

Soalan 1: Sekarang baru sedarkah pihak-pihak yang berwajib berkenaan isu lambakan filem hantu/seram/tahyul ini?

Bukankah isu filem seram/hantu/tahyol ini sudah lama? Sebagai bukti lamanya filem hantu ini "dipandang sebelah mata" oleh pihak berkuasa agama (hingga menjadi santapan minda masyarakat Islam kita), lihatlah keuntungan berpuluh juta ringgit yang dijana saban tahun filem-filem hantu ini kepada industri hiburan tanah air.

Bahkan, bukan sedikit pelakon baru yang popular tidak naik tanpa berlakon filem hantu, kan?

Soalan 2: Baru sedar ke yang filem seram itu tidak membantu pembangunan minda yang kreatif dan daya insan yang progresif?

Dulu-dulu di kampung memanglah orang tua kita ada guna cerita hantu untuk takutkan anak-anak supaya tidak pulang lewat petang, atau merambu di malam hari. 

Tetapi hari ini, hantu dan ustaz dah disamakan taraf, menjadi bahan hiburan masyarakat.

Itulah realiti dunia hiburan. Ada permintaan adalah penghasilan. Ada pasaran, adalah produk.

Disebabkan pasaran dan permintaan yang sentiasa memuaskan inilah, rasa saya semua 27 spesis hantu yang pernah diketahui wujud di bumi Malaysia, telah di"cover" di dalam semua filem seram yang ditayangkan di pawagan-pawagan yang berdekatan dengan anda. 

Mengapa 27 spesis hantu? Entah, lihatlah senarai wikipedia mengenai "hantu di dalam masyarakat Melayu" (KLIK). 

Siap masuk wikipedia tuh!

Saya berharap janganlah perbincangan yang dicadangkan ini senyap di tengah jalan. Iyalah, hendak juga tengok apakah pendirian pihak yang berwajib: apakah mereka akan mampu mempertahankan pendirian untuk menjaga akidah ummat melebihi tuntutan komersil dan hiburan.....?

Bersama kita tengok.

No comments: